Pengiktirafan Baitulmaqdis Sebagai Ibu Negara Israel

0
1221
views

Kemenangan Parti Republikan dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 2018 telah membuktikan persepsi yang telah lama dimainkan. Umumnya, dasar-dasar luar negara parti tersebut kerapkali mencetuskan perbalahan, dan jika parah, peperangan. Pertabalan Donald Trump tidak pernah bantu meringankan persepsi tersebut. Sejak hari pertama lagi, beliau mendatangkan masalah kepada semua pihak dan apabila api terlalu marak, baginda mengawal keadaan dengan cara yang cuai. Pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel tiada bezanya. Pada Disember 7, 2017, Amerika Syarikat memohon Israel bertenang sementara mereka menimbang keputusan berdasarkan sokongan dan penentangan [1]. Apa yang sedang berlaku adalah, Donald Trump barangkali mengumumkan satu perkara yang tidak dikaji dengan teliti.

Perkara ini bukanlah satu kejutan. Donald Trump pernah mengumumkan bahawa beliau akan menyekat kemasukan semua orang Islam sehinggalah pihak berkuasanya dapat mengenalpasti “apa kejadahnya sedang berlaku” (what the hell is going on). Kemudian beliau berubah nada, bahawa hanya orang-orang Islam dari negara-negara tertentu sahaja akan disekat untuk saringan. Perlaksanaan dasar tersebut pun ibaratkan perbuatan teran sembelit setelah Jabatan Keadilan membangkang draf yang dibentangkan White House. Sememangnya seorang ketua negara harus berfikir dan berbincang dengan baik sebelum mengumumkan satu tindakan.

Jelas sekali sebaliknya sedang berlaku, dan geopolitik Timur Tengah kemudian berada dalam keadaan tidak teratur. Setakat ini, masih belum ada negara yang berbuat sedemikian, terutamanya sekali tindakan memindahkan pejabat kedutaan negara ke, menurut Presiden Recep Tayyip Erdogan “garisan merah”, Baitulmaqdis. Raja Abdullah turut menyuarakan penentangan terhadap tindakan ini, menitahkan Jordan dan Turki akan bersatu untuk berdepan dengan cabaran ini.

Tindakan Donald Trump tidak sepatutnya dianggap sebagai kejutan. Beliau bukan satu-satunya presiden yang nekad untuk mendirikan kedutaan di Baitulmaqdis. Pada penghujung 1980-an, Baitulmaqdis menjadi isu utama dalam penentuan dasar luar negara Amerika Syarikat. Sejak 1989 , Israel telah memajakkan sebidang tanah besar di Talpiot kepada Amerika Syarikat untuk mendirikan pejabat kedutaan. Februari 1992 merupakan bulan demam pilihanraya. Ketika itu, Bill Clinton mengisytiharkan sokongan kepada pengiktirafan Baitulmaqdis. Namun setelah mendapat kerusi presiden, beliau tidak membuat sepertimana yang dijanjikan. Amerika Syarikat dibawah pentadbiran beliau tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Setelah meneliti kesan-kesan yang akan timbul daripada sekutu-sekutu Amerika Syarikat, Bill Clinton menandatangani rang undang-undang yang kedutaan Amerika Syarikat akan pindah ke Baitulmaqdis dalam masa lima tahun [2]. Penglibatan Bill Clinton sebagai orang tengah antara Yasser Arafat dan Ehud Barak kemudian menjadi masalah utama dalam perlaksanaan rang undang-undang tersebut. George W. Bush semasa berkempen mengecam Bill Clinton atas janji kosong. Beliau mendabik dada mengatakan usaha akan bermula sebaik sahaja beliau dilantik, satu janji di hadapan pertubuhan-pertubuhan Yahudi seperti AIPAC dan Suruhanjaya Yahudi Amerika.

Waqaf Saham

Perlaksanaan perpindahan dibawah pentadbiran beliau kekal dalam perantaraan iaitu “dalam proses”. Setiausaha Negara Colin Powell kemudian diutuskan untuk mematahkan hati para Yahudi. Pentadbiran Bush kemudian tamat, dengan Duta Besar Amerika Syarikat di Israel berkata bahawa tiada langsung perbincangan serius mengenai perkara ini. Masuk ke dalam pentadbiran Barack Obama, perkara yang sama berlaku, dan janji Bill Clinton sehinggalah Donald Trump berkuasa kekal sebagai kenyataan politik semata-mata.

Apa yang ramai tidak tahu adalah, Amerika Syarikat tidak akan menjadi negara pertama untuk menapakkan pejabat kedutaan di Israel. Sekitar 1950-an, sebanyak 16 negara telah mendirikan pejabat kedutaan di kota tersebut. Pada hari ini, senarai negara tersebut beroperasi di Tel Aviv. {erpindahan mereka berlaku atas sebab Baitulmaqdis masih lagi belum dimandatkan sebagai kedaulatan Israel. Pandangan umum sedunia menetapkan bahawa status Baitulmaqdis perlu diberikan kesimpulan berdasarkan rundingan antara Palestin dan Israel. Berdasarkan usaha tersebut, Baitulmaqdis akan dikongsi kedua-dua negara, bahawasanya Palestin akan merangkul Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Ketiadaan pengiktirafan rasmi menyebabkan penarikbalikan pejabat-pejabat kedutaan di sana. Masalah bermula apabila Perang Yom Kippur, yang menyaksikan satu demi satu negara tidak mahu bertapak di Baitulmaqdis. Untuk mengeruhkan keadaan, Israel meluluskan rang undang-undang yang memandatkan keseluruhan Baitulmaqdis sebagai ibu negara dalam bentuk “kota sepenuhnya dan bersatu”. Dan Baitulmaqdis setelah berpuluh-puluh tahun tidak mempunyai satu pejabat kedutaan. Donald Trump mampu mengubahnya. Namun begitu, beliau juga mungkin akan mengiktirafkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan buat apa yang pendahulu-pendahulunya lakukan: menundakan keputusan sehingga keluar pejabat.

Dengan ancaman amukan daripada pihak Palestin, juga pembakaran patung Donald Trump di Baitul Laham, api yang ditakuti Amerika Syarikat sudah mula marak. Seketika seluruh dunia kini menahan nafas menantikan percaturan seterusnya, apa yang pasti adalah strategi White House telah memakan dari dari segi hubungan bersama sekutu. Jika selama ini Amerika Syarikat berlakon semata-mata sebagai orang tengah, tindakan Donald Trump telah mendedahkan kedudukan sebenar negara tersebut. Hasilnya, tentu sekali perkara ini membuka peluang kepada pihak lain untuk menggalaskan tugas, khususnya China yang sedang mencari peluang untuk masuk ke Timur Tengah.
Kali ini Amerika Syarikat perlu berharap kepentingan mereka tidak akan kering seperti tekak Donald Trump semasa membuat pengumuman.

[1] https://www.haaretz.com/israel-news/1.827437

[2] https://www.haaretz.com/israel-news/1.769498

Previous articleYahudi Vs Zionis
Next articleHoly Grail Melayu Di Galeri Petronas
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here