Moving Forward As One

Pengguna Twitter Trigger Panggil Isteri “Orang Rumah”

3,013

Yang ajar panggilan orang rumah ialah Imam al-Ghazali.

Adat kita panggil bini tu orang rumah, adalah suatu kinayah. Memanggil secara kiasan. Nak meraikan sifat malu yang fitrahnya ada pada perempuan. Sifat malu ialah satu kemuliaan.

“Iman itu ada 70 cabang lebih, atau 60 cabang lebih. Yang paling utama adalah perkataan laa ilaaha illallah, dan yang paling rendah menyingkirkan gangguan dari jalan, dan rasa malu itu cabang dari iman.” (HR Bukhari dan Muslim)

Rasulullah bersabda, “Terdapat 99 bagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu.” (HR Baihaqi)

Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya setiap agama itu memiliki akhlak dan akhlak Islam itu adalah rasa malu.” (HR. Ibnu Majah)

Ihya Ulumiddin memakai istilah أم الأولاد yang jika diterjemah ke bahasa kita: “emak kepada anak-anak”.  Macam orang melayu panggil: “emaknya” atau “ibunya”. Kalau dah bercucu, atok-atok kita panggil “neneknya”. Sweet je.

Istilah orang rumah ni cantik sebenarnya.

Panggilan ni mengandungi falsafah tanggungjawab & penghargaan. Besar amanah seorang suami. Besar peranan seorang isteri. Jangan lupa hargai perit jerih si isteri yang menjaga rumah dari pagi ke petang. Kalau isteri yang bekerja, lagi la penat. Basuh baju, lipat baju, memasak, jaga anak, kemas rumah. Semua ni tidak mudah. Banyak pahalanya. Terima kasih kepada insan yang menjaga rumah, maka dipanggil orang rumah. Ia gelaran mulia kepada isteri.

Allah berfirman:

وَقَرْنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ ٱلْجَٰهِلِيَّةِ ٱلْأُولَىٰ ۖ

dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu. [al-Ahzab: 33]

Rumah juga melambangkan keselamatan. Seorang suami mestilah menyediakan rumah yang selesa dan selamat. Dengan duduk di rumah, si isteri tidak terdedah kepada banyak bahaya, fitnah dan dosa. Kaum perempuan juga diperintahkan diam di rumah jika tidak mempunyai tuntutan kerja, hajat atau keperluan di luar rumah. Izin suami diperlukan untuk seorang isteri keluar daripada rumah.

Dari segi feqh, suami perlu menyediakan rumah sendiri untuk isteri dan anak-anaknya. Ini adalah pendapat majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali.

Rasulullah bersabda, “Berilah mereka makan daripada apa yang kalian makan, berilah mereka pakaian daripada apa yang kalian pakai. Janganlah kalian memukul mereka dan janganlah kalian menghina mereka.” (HR Abi Daud)

Maka, panggilan orang rumah berisi kemuliaan dan amanah.

Penghormatan kepada suami yang menyediakan rumah.

Penghormatan kepada isteri yang menguruskan rumah.

Orang rumah bukan sebarang rumah. Rumah berisi mawaddah wa rahmah.

Kenapa tak panggil partner je?

Kena faham falsafah kekeluargaan Islam, yang tak sama macam starikat atau enterprise. Ni bukan share holder nak kena panggil partner. Perkahwinan adalah bahtera hidup yang nakhodanya adalah encik suami. Lelaki ialah pemimpin dan isteri wajib mentaatinya. Jikalau terbalik, ia menyalahi sunnatullah.

Lihatlah kuasa talak, ia diletakkan di tangan suami, bukan isteri. Hikmahnya, agar keputusan yang jatuh adalah rasional, bukan emosional. Tetapi jika berlaku penganiayaan, Islam tidak menzalimi. Isteri boleh menuntut fasakh dengan kuasa hakim.

Allah berfirman:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Kaum lelaki adalah pemimpin untuk kaum wanita dengan apa yang Allah lebihkan antara satu ke atas yang lain, dan dengan apa yang mereka belanjakan daripada harta-harta mereka [An-Nisa’ : 34]

Lelaki ialah pemimpin dan di bahunya tanggungjawab nafkah.

Bagaimana pula tanggungjawab isteri?

Tanggungjawab isteri adalah mentaati suami.

Syurga isteri di bawah telapak kaki suami.

Rasulullah bersabda, “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” (HR Abu Daud)

Rasulullah bersabda, “Mana-mana perempuan yang meninggal dunia, sedang suaminya redha kepadanya, nescaya dia masuk syurga.” (HR Tirmizi)

RUJUKAN:

Imam al-Ghazali. Ihya Ulumiddin.

Ruangan komen telah ditutup.