Kita kini hidup di era globalisasi di mana maklumat mudah disebarkan dan disampaikan di antara satu sama lain dalam masa yang singkat sahaja walau dimana pun kita berada (dah macam iklan TM pula). Perhubungan tanpa sempadan ini mampu dikecapi kerana kita memiliki jaringan telekomunikasi yang canggih, hasil evolusi telekomunikasi yang beribu tahun lamanya. Sekarang, jika kita menyebut perkataan telekomunikasi, ramai yang menyangkakan yang ianya hanya jaringan antara telefon, dan juga internet.

Sudah tentu ramai yang akan terkejut apabila diberitahu yang telekomunikasi juga meliputi rangkaian perhubungan purba seperti isyarat api, penggunaan haiwan seperti merpati dan penghantaran mesej berkuda. Ini kerana perkataan telekomunikasi itu sendiri yang membawa pengertian perhubungan dengan yang jauh kerana imbuhan “-tele” itu membawa maksud “yang jauh”. Oleh kerana itulah sebarang bentuk perhubungan dan komunikasi melalui jarak jauh juga termasuk di dalam ruang lingkup telekomunikasi.

Lebih kurang 2 abad yang lepas, di Perancis, wujudnya satu jaringan telekomunikasi yang meliputi seluruh Perancis yang diberi nama sebagai “semaphore telegraph”. Telegraf purba ini terdiri daripada rangkaian menara yang dipasakkan 20 batu di antara satu sama lain di sekeliling Perancis. Kewujudan menara-menara ini membolehkan mesej dan komunikasi dilakukan melalui jarak yang jauh dan dalam masa yang singkat (satu contoh telekomunikasi yang terawal). Menara telegraf purba ini dikendalikan oleh seorang pekerja yang menggerakkan tuil dan mekanisma yang terdapat pada menara. Di atas menara terdapat binaan kayu yang boleh digerakkan bagi membentuk isyarat tertentu bergantung kepada cara pekerja menggerakkan mekanisme tersebut. Isyarat tersebut boleh membentuk mesej apabila diterjemahkan oleh pekerja yang melihat simbol/isyarat itu dari menara yang seterusnya.

Sistem telegraf “semaphore” ini dicanangkan oleh Claud Chappe ketika musim panas tahun 1790. Ketika itu Perancis sedang berada di ambang revolusi yang menyaksikan golongan monarki digulingkan dan Republik Perancis dibentuk. Republik yang baru dibentuk itu berada di dalam keadaan goyah dengan ancaman yang datang daripada dalam seperti demonstrasi jalanan serta pemberontakan dan juga dari luar seperti dari negara-negara sekitar Perancis yang berusaha untuk mengembalikan semula pemerintahan beraja. Walaupun berada dalam keadaan tersepit, Perancis melihat yang musuh-musuh mereka tidak seragam di antara satu sama lain kerana had kemampuan sistem telekomunikasi yang ada pada ketika itu. Disebabkan itulah Republik Perancis mengarahkan agar Chappe membina rangkaian telefon Semaphore-nya dari Perancis ke Lille.

Kemuncak revolusi ini adalah apabila Napoleon mengepalai Perancis dalam satu kempen peperangan yang membawa mereka berseteru dengan British, Austria dan negara-negara beraja yang lain. Oleh kerana itulah, telegraf semaphore ini dibangunkan secara meluas di seluruh Perancis pada ketika itu. Kewujudan jaringan telekomunikasi yang efektif merupakan antara faktor yang membawa kepada kemenangan beberapa kempen Napoleon ketika Perang Revolusi Perancis (1792-1802).

Sistem telegraf Semaphore sangat berkesan dan mengikut rekod sejarah, rangkaiannya pernah meliputi seluas 5,000 km dan terdiri daripada 534 buah menara di seluruh Eropah. Sistem telegraf ini digunapakai secara menyeluruh di Eropah sehinggakan apabila Samuel Morse membawa kertas cadangan telegraf elektriknya kepada kerajaan Perancis, ianya ditolak begitu sahaja. Telegraf Semaphore ini terus menerus beroperasi di Perancis sehinggalah pada tahun 1852 apabila jaringan telegraf elektrif mula dibangunkan.

Namun begitu, walau bagaimana efisyen pun sistem telegraf semaphore ini, ianya masih lagi tertakluk kepada kemampuan pengendali menara. Usaha untuk menyampaikan dan menafsir isyarat yang dipaparkan memerlukan tenaga empat kerat yang hebat. Tetapi, walaupun dengan kekangan yang wujud, mesej masih boleh disampaikan dalam jangka masa yang singkat berbanding cara tradisional. Kebiasaannya mesej mengambil masa separuh hari untuk disampaikan dari hujung ke hujung dan rekod masa yang pernah dicapai oleh sistem telegraf ini adalah sejam (ketika isteri Napoleon melahirkan anak). Rekod yang hebat apabila difikirkan yang ianya dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga empat kerat manusia.

Rangkaian Semaphore ini juga dihadkan hanya untuk kegunaan pihak kerajaan sahaja. Dan setiap mesej yang disampaikan melalui telegaf ini dilindungi dan hanya diketahui oleh orang dipermulaan rangkaian dan di akhir rangkaian. Tetapi, walau bagaimana hebatpun perlindungan yang diletakkan ke atas sistem dan rangkaian telegraf semaphore ini, manipulasi manusia tetap boleh berlaku. Ini terbukti pada tahun 1837 apabila dua bersaudara dihadapkan ke mahkamah atas sebab memanipulasi rangkaian Semaphore dalam mengaut keuntungan dari pasaran bursa saham.

Kisah Blanc Bersaudara

Gambar 2: Bursa Saham Perancis, sekitar tahun 1800

itu wujud beberapa pasaran bursa saham termasuklah yang terbesar di Paris dan juga di beberapa bandar yang lain seperti Bordeaux. Pada ketika itu, kebanyakan pasaran saham tertumpu kepada syarikat-syarikat yang terlibat secara lansung dengan pihak kerajaan. Jadi jika saham syarikat-syarikat ini meningkat, ia menjadi petanda kepada pasaran saham secara keseluruhannya. Dan jika ia naik di Paris, kesannya turut dirasai di pasaran bursa yang lain, seperti contoh, Bordeaux.

Tetapi, jarak di antara satu bursa saham dengan bursa yang lain adalah jauh di antara satu sama lain. Jika berlaku sebarang perubahan terhadap bursa saham di Paris, berita tentang perubahan itu tidak akan sampai di Bordeaux sekurang-kurangnya sehingga 5 hari apabila ia disampaikan melalui surat dan juga surat khabar tempatan.

Disebabkan itulah sesiapa sahaja yang boleh mengetahui tentang keadaan bursa di Paris boleh mengambil kesempatan di atas maklumat itu di mana-mana sahaja pasaran bursa yang diperdagangkan jika maklumat itu sampai lebih awal kepadanya. Cara konvensional iaitu melalui penghantaran surat mengambil masa yang terlalu lama.

Oleh kerana itu, ramai yang cuba untuk merebut peluang mendapatkan maklumat tentang keadaan bursa di Paris lebih awal daripada pesaing yang lain. Berbagai cara digunakan termasuklah menggunakan merpati dan juga mengupah penyampai maklumat. Blanc bersaudara menemui cara yang lebih berkesan, memanipulasi rangkaian telegraf Semaphore.

Blanc bersaudara mengupah rakan mereka yang menetap di Paris untuk memerhatikan keadaan pasaran bursa saham di sana. Dan rakan mereka perlulah menyampaikan maklumat tersebut kepada Blanc Bersaudara melalui rangkaian telegraf Semaphore. Disebabkan rangkaian tersebut hanya boleh digunakan oleh pihak kerajaan, Blanc bersaudara bertindak dengan merasuah pengendali menara itu yang berpengkalan di Tours untuk menyampaikan maklumat tersebut.

Perkara itu bakal menimbulkan masalah jika mesej itu disampaikan begitu sahaja. Blanc bersaudara tidak mampu untuk merasuah semua pengendali menara semaphore, dan jika ada di antara mereka yang dapat mengesan sesuatu yang janggal, pasti rancangan Blanc bersaudara akan digagalkan dan usaha mereka menjadi sia-sia sahaja. Di sinilah kelicikan Blanc bersaudara terserlah.

Disebabkan sistem telegraf ini sepenuhnya dikendalikan oleh manusia, ia memberikan ruang untuk pengendali membetulkan kesilapan maklumat yang dihantar. Terdapat satu isyarat yang jika dihantar akan memadam frasa yang dihantar sebelum itu oleh pengendali tersebut. Ruang inilah yang digunakan sepenuhnya oleh Blanc Bersaudara. Frasa yang dipadam itu hanya boleh dilihat dalam ruang lingkup jaringan telekomunikasi tersebut. Apabila mesej itu sampai ke menara akhir di destinasi, pengendali menara yang terakhir itulah yang bertanggungjawab untuk memadam frasa yang salah itu sebelum mesej yang betul disampaikan kepada pegawai kerajaan.

Jadi Blanc bersaudara hanya perlu memberi rasuah kepada pengendali menara di Tours untuk memasukkan frasa yang salah kedalam mesej yang disampaikan secara rutin. Blanc bersaudara juga memberi rasuah kepada pengendali menara di Bordeaux untuk memberitahu mereka frasa yang dipadam itu. Dengan cara ini, tiada siapa pun yang akan dapat melihat frasa yang disampaikan itu melainkan Blanc bersaudara dan rakan-rakan subahat mereka.

Perancangan licik Blanc bersaudara ini berjaya dan tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa sehingga ia berlarutan dalam tempoh 2 tahun. Itupun apabila salah seorang rakan subahat mereka membuka mulut. Pengendali menara di Bordeaux yang sudah lanjut usia, menceritakan tentang rancangan Blanc Bersaudara kepada rakan-rakannya dengan harapan ada di antara rakannya yang boleh menggantikan tugasnya kelak. Perbuatan pengendali itu memakan diri apabila seorang daripada rakannya melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Blanc Bersaudara dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memanipulasi jaringan telekomunikasi milik kerajaan untuk kepentingan mereka sendiri. Tetapi, oleh kerana tidak wujudnya akta dan undang-undang yang melindungi jaringan telekomunikasi, Blanc bersaudara akhirnya dilepaskan dan akta perlindungan tersebut diwujudkan kerajaan sejurus selepas kes tersebut.

Peristiwa Blanc Bersaudara memberikan pengajaran yang sangat berharga. Siapa sangka rangkaian telekomunikasi primitif yang wujud 200 tahun yang lalu pun boleh dimanipulasi. Selagi ada manusia yang tamak dan suka mengambil kesempatan, selagi itulah peristiwa seumpama di atas boleh berlaku lagi. Di sebalik setiap inovasi, pasti ada yang akan memanipulasi.

Rujukan:

Standage, Tom (October 2017),” The crooked timber of humanity” The Economist 1843

Holzmann, Gerard (September, 1999),” Taking Stock” Inc

Schofield, Hugh (Jun, 2013), “How Napoleon’s semaphore telegraph changed the world” BBC

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.