Pengepungan Baghdad: Babak Hitam Dalam Sejarah Umat Islam

0
818
views

Di luar goyang di dalam goncang
Belum berperang Monggol dah menang
Baghdad yang tercinta bagaikan bunga pudar serinya
Sinar tamadun bagaikan api disiram hujan
Tinggalkan bara menanti percik batu dilaga

Di atas ialah petikan lirik daripada lagu kumpulan XPDC yang bertajuk “Monggol Dah Pulang” yang menceritakan kepada kita serba sedikit tentang babak hitam yang berlaku dalam sejarah Islam di mana ianya melibatkan Pengepungan kota Baghdad yang berlaku pada tahun 1258 Masihi, bermula pada 29 Januari hingga tamat pada 10 Februari pada tahun 1258 Masihi.

Berikut ialah analisis kekuatan kedua-dua belah pihak:

• Empayar Monggol (kerjasama dengan Kerajaan Armenia Cilicia, Kerajaan Georgia dan juga Kerajaan Antioch)

– Jeneral/Pemimpim: Hulagu Khan, Arghun Aqa, Baiju, Buqa-Temur, Sunitai, Ktabuqa dan Koke Illge.

– 40 ribu askar Monggol yang majoritinya terdiri daripada askar berkuda

– 12 ribu orang tentera berkuda Armenia

– 40 ribu orang tentera pejalan kaki Armenia

– Askar pejalan kaki Georgia

– 1000 orang juterera pakar artileri

– Askar Turki dan Parsi

– Kiranya gabungan tentera Monggol dan sekutunya berjumlah sekitar 120-150 ribu orang. Ada yang berpendapat mencecah sehingga 200 ribu orang.

• Khalifah Bani Abbasiyah

– Jeneral/Pemimpin: Khalifah Al-Musta’sim. Mujaheduddin, Sulaiman Shah, Qarasunqur dan juga Al-Ashraf Musa daripada Kesultanan Ayyubi di Mesir.

– Memiliki lebih kurang 50 ribu orang tentera.

Jadi kita sudah mengetahui akan jumlah askar yang dimiliki oleh kedua-dua belah pihak? Maka sekarang ialah waktu untuk kita terus melompat kepada analisis akan kedua-dua pertempuran yang pengakhirannya diketahui oleh kita semua. Tiada spoiler lagi antara kita.

Mongke Khan, pemerintah Monggol ketika itu dikatakan mahu menguatkan lagi cengkamannya ke atas wilayah di sekitar Iran, Mesopotamia, dan Syria yang ketika itu di bawah tamadun Islam. Maka Mongke telah mengarahkan adiknya Hulagu Khan untuk memimpin ekpedisi ke beberapa buah negara kota Muslim di sekitar kawasan yang disebutkan di atas termasuklah wilayah khilifah Abbasiyah ketika itu, meminta khalifah Abbasiyah tunduk kepada Hulagu, dalam masa yang sama membantu Hulagu memerangi negara-negara kota kecil Syiah Ismailiyah di sekitar Iran. Namun, Khalifah Al-Mutasim ketika itu menolak tawaran daripada Hulagu.

Dicatatkan terasa terhina dengan penolakan Al-Musta’sim ini, maka Hulagu Khan pun mengumpulkan bala askar dari bangsa Monggol sendiri dan juga kerajaan-kerajaan yang telah tunduk awal kepada kekuasaan Monggol. Berikut ialah petikan surat balasan Khalifah Al-Musta’sim kepada Hulagu Khan.

“Anda boleh datang dengan strategi, tentera, dan jerat, tetapi bagaimana anda hendak menangkap bintang? Adakah putera [Hulagu] tidak tahu bahawa dari timur ke barat, dari raja ke pengemis, dari tua ke muda, semua orang yang takut akan Allah dan kami semua antara ialah hamba ALLAH yang ditakuti itu?”

Namun terlebih dahulu, perlu diketahui bahawa kemampuan Hulagu Khan berbuat begini adalah kerana diberi kuasa penuh oleh Mongke untuk mentadbir sebuah tanah jajahan Monggol iaitu Ilkhanate (Ilkhanan) yang meliputi wilayah Parsi, Pakistan dan Afghanistan. Kerajaan-kerajaan yang membuat pakatan dengan Monggol memang mempunyai sejarah hitam permusuhan dengan Khalifah Abbasiyah. Sebagai contoh, Kerajaan Georgia masih menyimpan dendam apabila Tblisi (Tifilis), pusat pemerintahan Georgia ketika itu pernah dijarah oleh tentera Khalifah Abbasiyah.

Kempen pertama Hulagu Khan ketika dalam perjalanan ke arah Baghdad ialah menghapuskan sisa-sisa kerajaan Khawarizmi yang masih tinggal, sebelum terus menyasarkan kumpulan Assassin (Hasyasyin) yang berfahaman Syiah Ismailiyah yang diketuai oleh Imam Ala al-Din Muhammad yang sebelum itu cuba membunuh Mongke dan juga rakan Hulagu iaitu Kitbuqa namun berhasil dengan kegagalan sahaja. Maka diceritakan bahawa Monggol telah berjaya menangkap Imam Rukn Al-Dun Khurshah yang mewarisi jawatan ketua organisasi Assassins itu. Selepas berjaya mengalahkan organisasi Assassins ini, maka Hulagu terus mara ke arah Baghdad.

Sampai sahaja di Baghdad, Hulagu meminta Khalifah Al-Musta’sim agar menyerah kalah dan kota Baghdad dapat ditawan dengan mudah tanpa ada penumpahan darah yang banyak. Namun atas nasihat beberapa orang penasihatnya, mereka menyuruh khalifah Al-Mustasim untuk bertahan dan percaya kalau kota Baghdad diserang oleh musuh, maka seluruh dunia Islam akan datang ke Baghdad membantu.

Namun malangnya… apa yang diharapkan tidak berlaku. Ketika itu, dunia Islam sedang sibuk bersengketa antara satu sama lain, tamak demi takhta dan kuasa. Baghdad dibiarkan terkontang kanting menghadapi gempuran pakatan Monggol-Kristian yang berjumlah ratusan ribu itu. Penolakan oleh khalifah Al-Muta’sim telah membuatkan Hulagu menjadi benar-benar marah lalu berikrar kalau Baghdad berjaya ditawan, maka kota itu akan dihancurkan sampai ke titisan darah yang terakhir.

Diceritakan bahawa Hulagu Khan telah membahagikan jumlah askarnya yang berjumlah ratusan ribu kepada beberapa bahagian yang kecil dan berpecah dan menyerang dari pelbagai arah, membuatkan pasukan tentera Abbasiyah keliru dari mana Monggol akan datang. Namun ditakdirkan bahawa pada 11 Januari, askar yang dipimpin oleh seorang jeneral Abbasiyah iaitu Dawatdar telah terserempak dengan sebuah pasukan Monggol dan bertempur dengan mereka. Mongol berjaya dikalahkan dalam satu pertempuran kecil.

Namun Dawatdar pula menyangka bahawa itu ialah pasukan utama Monggol lalu selepas memenangi pertempuran kecil, dia telah menghantarkan surat kepada Khalifah dengan mendakwa bahawa dia telah berjaya mengalahkan pasukan Monggol tanpa mengetahui realiti sebenarnya.

Dicatatkan bahawa pada waktu malam itu, pasukan Dawatdar telah berpesta kerana meraikan kemenangan palsu mereka. Pasukan Monggol yang telah menyelinap disekitar pasukan Dawatdar dan mula menghancurkan daik atau tanggul, sejenis dinding yang dibina di tebing sungai untuk mengelakkan banjir dan telah menyumbatkan setiap terusan bagi mewujudkan suasana banjir. Bangun sahaja dari tidur pada waktu pagi, tentera Dawatdar mendapati bahawa mereka dikelilingi dek air bah yang semakin menaik.

Lalu ketika inilah pasukan Monggol menyerang pasukan Dawatdar. Dicatatkan dalam serangan ini, 12 ribu orang tentera Dawatdar terkorban sama ada pada melalui pedang Monggol, ataupun kerana kelemasan dibalun air bah. Hanya tiga orang askar sahaja yang hidup termasuk Dawatdar sendiri yang sempat lari ke Baghdad dan Hulagu Khan dicatatkan meneruskan kemaraan tentera Monggol. Kali ini, tiada satu pun tentera Abbasiyah yang menghalang kemaraan Hulagu.

Dicatatkan juga terdapat lebih kurang 10 ribu orang pelarian sedang menuju ke Baghdad, sekaligus menambahkan mimpi ngeri buat Baghdad. Bayangkan bekalan makanan yang ada untuk menampung perajuit yang sedang mempertahankan kota terpaksa diagihkan kepada pelarian yang mahu lari dari amukan menggila tentera Monggol.

Akhirnya pada 18 Januari, Hulagu dan askarnya akhirnya tiba ke Baghdad lalu kota ilmu ini dikepung dari segenap arah. Monggol tidak memilih untuk terus menyerang Baghdad sebaliknya mereka membina tembok mereka sendiri mengelilingi kota Bahdad. Di hadapan tembok mereka pula, mereka menggali parit yang dipenuhi dengan lumpur. Di belakang tembok pula, mereka sedang menyediakan mesin pengepungan seperti katapel tempur (catapult) dan juga Api Yunani (Greek Fire), sejenis senjata pengepungan yang dicipta oleh Rom Byzantine. Api dari mesin ini dikatakan memakan apa sahaja termasuk dinding.

Akhirnya, selepas serangan demi serangan, Baghdad pun menyerah kalah dan percubaan terakhir diplomasi Khalifah Al-Musta’sim gagal. Detik Baghdad menyerah kalah ialah pada tarikh 10 Februari (tarikh hari inilah) manakala janji Hulagu Khan untuk membantai seluruh Baghdad mula dikotakan sendiri olehnya.

Pada 13 Februari, acara pembunuhan beramai-ramai mula berlaku. Sejarah mencatatkan kepada bahawa Hulagu Khan telah membasahkan darah dari 500 ribu sehingga 2 juta rakyat Baghdad! Tidak kiralah anda seorang lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang tua, Monggol tidak kenal erti perikemanusian.

Kalau anda seorang perempuan lagi dasyat, anda mungkin akan dirogol bergilir-gilir oleh tentera Monggol sebelum maut menyapa anda! Tetapi tiada siapa yang mempunyai nasib seperti khalifah yang dipaksa untuk menonton rakyat-rakyatnya dibunuh tanpa belas kasihan dengan dua biji matanya sendiri. Kemudian, dia digulungkan dalam karpet sebelum digelek dan dipijak oleh kuda-kuda Monggol sehingga mati.

Tetapi yang lebih menyedihkan ialah kemusnahan sebuah metropolis gemilang di mana ilmu-ilmu yang sangat berharga yang menjadi milik umat Islam yang disimpan di dalam sebuah gedung ilmu, yang bernama Darul Hikmah, yang diasaskan oleh Khalifah Harun-Ar-Rasyid dan dikembangkan oleh anaknya Khalifah Al-Makmun dihabiskan dan dimusnahkan oleh bangsa gasar yang tidak kenal apa itu erti ilmu.

Setiap buku-buku ilmu yang merupakan khazanah ilmu umat Islam dilontarkan ke dalam Sungai Tigris. Buku-buku dari segala sudut ilmu, dari falsafah ke sains, dari sejarah ke matematik, dari astronomi sehingga ilmu-ilmu fiqh agama yang membentuk agama kita hari ini, tiada satu pun bebas dari amukan bala Mongol ini. Dikatakan air sungai Tigris menjadi hitam legam yang datang dari dakwat buku-buku yang dilontarkan dari perpustakaan Darul Hikmah oleh bangsa gasar tersebut.

Mujurlah ada lebih kurang 400 ribu buah manuskrip yang sempat diselamatkan oleh Nasirudin Al-Tusi (seorang ilmuwan Syiah berbangsa Parsi) dibawa lari ke Maragheh sebelum pengepungan berlaku. Ada sejarawan berpendapat bahawa Pengepungan Baghdad ini juga adalah dikatakan sebagai penyebab utama penamat zaman kegemilangan ilmu yang dipelopori oleh umat Islam.

Akibat bala dari Hulagu Khan ini, dikatakan bahawa sejak peristiwa itu, umat Islam tidak mampu mengulangi kejayaan yang pernah dicapai seperti mana zaman keemasan Abbasiyah. Baghdad pula menjadi puing-puing kemusnahan untuk beberapa abad sebelum berdiri kembali, tetapi tidak seperti bayangan silamnya! Dunia Islam buat sementara waktu tidak menyebut nama khalifah dalam doa khutbah Jumaat pada minggu tersebut. Umat Islam ketika itu hilang khalifah buat sementara waktu seperti kambing biri-biri yang kehilangan gembalanya.

Hanya pada tahun 1261 iatu kira-kira tiga tahun selepas kejatuhan Baghdad, pemerintah Mamluk di Mesir melantik salah seorang ahli keluarga Bani Abbasiah yang terselamat dari pesta darah Mongol tersebut, dilantik sebagai khalifah dengan gelaran Khalifah Al Mustansir. Namun peranan khalifah Bani Abbasiah di Kaherah, Mesir hanya sekadar simbol sahaja dan tidak mempunyai kuasa. Bani Abbasiah terus memegang jawatan khalifah Dunia Islam sehingga tahun 1517 Masihi, apabila tentera Turki Uthmaniah berjaya menakluk Mesir dan Sultan Selim melantik dirinya sebagai Khalifah Islam.

Kegemilangan Baghdad perlahan-lahan pudar dan sirna dari arena tamadun Islam dan pada masa sama, cahaya kegemilangan tamadun Islam muncul secara beransur-ansur di Istanbul. Secara jujur, air mata saya menitik menulis tentang babak hitam yang melanda peradaban Islam suatu masa dahulu. 

Previous articleEtnik Kanowit, Sarawak, Borneo
Next articleDracula – Karya Bram Stoker Itu Berinspirasikan Vampira Melayu?
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE