Pengepungan Acre 1191 – Dendam Salibi Terhadap Salahuddin

1,262

Tinta sejarah telah terpahat bahawa suatu ketika dahulu, muncul susuk tubuh pemimpin Islam yang menjadi igauan ngeri bagi ketumbukan tentera Salib. Beliaulah Sultan Salahuddin Al Ayyubi, penegak Dinasti Ayyubiyah yang berjaya membebaskan Baitulmaqdis dari tangan pemerintahan Salibi pada tahun 1187. Jatuhnya Baitulmaqdis menandakan kedudukan tentera Salib di dunia Arab semakin goyah.

Berita kegagalan tentera Salib dalam mempertahankan Baitulmaqdis pantas mendapat reaksi seluruh kerajaan Eropah. Paus Gregory VIII menyifatkan kekalahan tersebut merupakan suatu malapetaka buat dunia Kristian. Maka dengan itu, beliau telah meniup api semangat yang baru bagi melancarkan kempen Perang Salib Ketiga. Tujuannya hanya satu ; mahu merampas kembali tanah suci daripada Salahuddin.

Semboyan Pope pantas mendapat reaksi positif dari monarki Eropah. Frederick I Barbarossa (Maharaja Empayar Rom Suci) menjadi pihak paling awal yang menyahut seruan jihad itu. Baginda telah mempersiapkan angkatan seramai 200,000 tentera bagi menawan kembali Baitulmaqdis. Baginda telah memilih jalan darat dimana perjalanannya melalui Anatolia dan menuju ke Sicilia. Kemudian, kempen perang ini mendapat penyertaan daripada Philip II dari Perancis dan Richard the Lionheart dari England.

Kenapa Acre Penting?        

Acre merupakan kota yang terletak di persisiran pantai Laut Mediterranean. Kedudukan yang strategik ini telah memberi nilai ekonomi yang sangat lumayan kepada Acre. Bukan itu sahaja, Acre merupakan pintu utama bagi kuasa-kuasa Eropah untuk menakluk Baitulmaqdis yang terletak di bahagian selatan kota tersebut. Maka dengan itu, kempen Perang Salib Ketiga ini dimulai dengan menyasarkan Acre terlebih dahulu.

Kepungan terhadap Acre telah dimulakan pada tahun 1189 lagi dimana ia dipimpin oleh Guy of Lusignan, bekas Raja Baitulmaqdis. Guy dibebaskan oleh Salahuddin ketika beliau tewas dalam Peperangan Hittin, seterusnya menjadikan beliau seorang raja yang tidak mempunyai kerajaan. Maka, beliau telah memulakan pengepungan Acre ini bagi menebuskan kembali kekalahan memalukan dengan Salahuddin.

Kerana dendam terhadap Salahuddin, Guy sanggup untuk berganding dengan musuh tradisinya, Conrad of Montferrat untuk sama-sama mengepung Acre. Pada Ogos 1189, Guy telah memimpin sebuah ketumbukan ketenteraan berjumlah 700 infantri, 400 tentera berkuda dan armada laut Pisan. Sesampainya di Acre, Guy dengan segera mendirikan sebuah markas di Bukit Toron. Namun, beliau mendapat perkhabaran bahawa angkatan laut Pisan gagal dalam menembusi armada Saladin yang mengawasi persisiran Acre.

Pada ketika ini, Guy masih enggan melakukan sebarang serangan memandangkan kekuatan tenteranya masih lemah, mahu tidak mahu dia harus menunggu menunggu bantuan ketenteraan dari Eropah tiba. Kesabarannya terbalas apabila pada awal September, sejumlah 12,000 tentera dari pelbagai negara Eropah tiba di Acre.

Untuk memulakan pengepungan, Guy telah mengarahkan bahawa parit digali mengelilingi kota Acre bagi mengelakkan serangan darat oleh Saladin. Parit yang dalam itu dipenuhi oleh cebisan-cebisan kayu dan besi yang sangat tajam, menjadikan musuh gentar untuk melepasinya.

Reaksi Salahuddin       

Salahuddin dengan pantas menyiapkan tenteranya sebaik mengetahui Acre telah dikepung dari arah laut dan darat. Namun, baginda tidak dapat mengerah seluruh aset ketenteraannya ke kota itu kerana pada sebelumnya, sebahagian tentera telah diutus ke Syria untuk berhadapan dengan Barbarossa. Maka dengan kekuatan yang sedia ada, baginda tetap melancarkan serangan-serangan dari darat namun tidak memberikan kesan yang signifikan terhadap pihak Salib.

Dari dalam kota, tentera elit Salahuddin bertempur dengan sengit dalam menghadapi serangan Guy. Berbekalkan dinding kota yang sangat ampuh, tentera Guy ternyata buntu bagaimana mahu menawan kota tersebut. Guy telah memutuskan untuk membina menara panjat yang bersaiz raksasa – tingginya 30 meter dan diperbuat daripada bahan kalis api bagi menahan serangan Greek Fire dari dalam kota Acre.

Sebanyak tiga buah menara panjat telah dibina. Sebaik siap, puak Salib terus memulakan serangan habis-habisan. Pada awalnya, serangan Greek Fire dari dalam kota tidak memberi apa-apa kesan ke atas menara panjat tersebut kerana bahan yang diperbuatnya ialah kalis api. Salahuddin yang kebuntuan itu terus segera melancarkan serangan infantri ke atas markas Guy bagi mengalih perhatian mereka dari terus menyerang ke dalam kota.

Ketika pertempuran inilah salah seorang daripada tentera Salahuddin bernama Ali telah menawarkan dirinya untuk menyusup masuk ke dalam kota Acre. Beliau meyakinkan sultan bahawa beliau mampu membakar menara panjat milik Salibi itu berdasarkan kepakaran kimia yang dimiliki. Salahuddin membenarkan hasratnya itu dan Ali terus menyusup ke dalam kota bagi membantu tentera Acre melawan puak Salib. Akhirnya, ketiga-tiga menara panjat itu berjaya dibinasakan dengan serangan Greek Fire yang diubah suai oleh Ali.

Pengepungan Yang Sengit Dan Buntu 

Sepanjang pengepungan, kedua-dua pihak terpaksa menghadapi cuaca musim sejuk yang melampau. Bahkan, ada dalam kalangan mereka yang mati kerana penularan penyakit di mana najis mereka terdapat mukus dan darah. Setelah musim sejuk berakhir, pertempuran kembali berlaku dan keadaan masih buntu, baik Guy yang menyerang, Salahuddin yang mati akal bagaimana mahu memecahkan barisan pertahanan Guy serta penduduk Acre yang semakin lama semakin kekurangan bekalan makanan.

Pertempuran di laut juga tidak kurang hebatnya. Kadang-kadang armada Salahuddin yang menang, ada tikanya armada Salibi. Situasi baik di laut dan darat sememangnya sangat buntu, yang tersiksanya penduduk Acre yang kekurangan bekalan serta tentera yang sangat keletihan mempertahankan kota.

Namun apa yang menariknya, tentera Acre pernah menawarkan mahu menyerahkan diri dengan syarat-syarat tertentu namun ditolak mentah-mentah oleh Guy kerana beranggapan dia mampu menakluk kota itu secara pertempuran. Namun, keangkuhannya itu memakan diri kerana sehingga kini, bukan mudah mahu merobek kota Acre itu.

Di pihak Salahuddin pula, baginda telah melakukan pelbagai cara bagi merencatkan serangan Guy. Namun ia seakan-akan tidak berhasil. Kedua-dua pihak telah menanggung jumlah kematian dan kerugian yang amat besar, namun tiada hasil signifikan yang terhasil.

Richard the Lionheart – The Game Changer

Akhirnya pada Jun 1191, angkatan tentera yang dipimpin oleh Richard dan Philiph telah tiba di Acre dengan kekuatan armada lebih dari 200 kapal perang, makanan, kelengkapan perang dan 17,000 tentera. Bantuan ketenteraan ini memberi kelebihan kepada puak Salib untuk menatijahkan kepungan ke atas Acre. Kehadiran 200 armada Richard sekaligus menewaskan armada Salahuddin dari Mesir dan menyebabkan penguasaan laut kembali kepada tentera Salib.                                                                        

Kini, jumlah tentera Salib adalah seramai 25,000 orang. Richard mengarahkan senjata pemusnah catapult dibina dan menyerang kota itu siang malam tanpa henti. Baginda juga mengupah penggali agar menggali tanah di bawah benteng Acre supaya ianya dapat diruntuhkan. Akhirnya, Menara Maledicta telah binasa menyembah bumi akibat penggalian tersebut. Di sinilah harapan Salahuddin terhadap Acre hancur, tiada apa-apa mampu baginda lakukan, selain melihat kota penting itu jatuh.

Kejatuhan Acre

Jatuhnya Acre ke tangan pihak Salib adalah kerana kurangnya kesatuan dalam kalangan kerajaan-kerajaan Islam. Kerajaan Muwahhid di Maghribi enggan untuk memberikan bantuan laut kerana hubungan buruk dengan Salahuddin. Hal ini menyebabkan tentera Salib bebas memilih mana-mana lokasi di persisiran di Utara Afrika sebagai markas tentera. Kerana itulah, bantuan ketenteraan sentiasa sampai melalui jalan laut menuju ke Acre.

Salahuddin juga kehilangan sokongan dari anak saudaranya sendiri, Taqi al Din yang memilih untuk ‘buat kepala sendiri’ apabila mahu mendirikan kerajaan sendiri di selatan Turki. Baginda juga tidak mendapat perkhabaran terkini bahawa Barbarossa pada awalnya telah mati lemas di Sungai Saleph, selatan Sicilia yang mengakibatkan sebahagian besar tenteranya kucar-kacir.

Kejatuhan Acre sememangnya tidak dapat dielakkan lagi. Maka, pada tanggal 12 Julai 1191, setelah hampir dua tahun Acre dikepung, rakyat dan tentera kota itu menyerah diri kepada tentera Salib. Satu perjanjian antara Salahuddin dan Richard telah dimeterai di mana orang Kristian dibenarkan melawat Baitulmaqdis, puak Salib menguasai pantai Syam serta True Cross milik Kristian dipulangkan kembali.

Pertempuran di Acre menandakan bermulanya siri Perang Salib yang ketiga. Namun, pada akhirnya puak Salib masih gagal dalam usaha mereka untuk menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan umat Islam.

Ikuti penulis di laman sosial yang berikut:

Facebook: https://www.facebook.com/haikal.hazwan.37669
Instagram: https://www.instagram.com/haikal.haz/
Twitter: https://twitter.com/HaikalHazwan10

RUJUKAN:

Hamka. Sejarah Umat Islam Edisi 2016. Daulat Osmaniah. PTS Publishing.

Cartwright, Mark (2018). The Siege of Acre, 1189-91 CE.https://www.ancient.eu/article/1263/the-siege-of-acre-1189-91-ce/

King and Generals. Fall of Acre 1191 – Third Crusade DOCUMENTARY. https://www.youtube.com/watch?v=a2V50GGyXy8

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.