Pengenalan Sejarah Kaum Yahudi

694

Yahudi merupakan salah satu kaum yang paling banyak disebut dalam Al-Quran kerana sikap mereka yang sombong dan sering ingkar kepada Allah s.w.t. walaupun mereka diberikan pelbagai kelebihan oleh Allah s.w.t. sebagai kaum yang diamanahkan untuk menyebarkan ajaran agama yang hanya mengesakan Allah s.w.t semata-mata.

Al-Quran menukilkan nama Yahudi ini disifatkan dengan pelbagai sifat-sifat tercela di dalam Surah-surah Madaniyyah (Surah yang diturunkan di Madinah setelah Hijrah baginda Nabi Muhamad s.a.w. ke Madinah) seperti Surah Al-Baqarah, Al-Maidah dan At-Taubah, sedangkan ayat-ayat yang memuji sifat kaum ini menggelarkan mereka dengan nama Bani Israil.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Jaathiyah:

Yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Bani Israil Kitab Taurat, dan pangkat kehakiman serta pangkat kenabian; dan Kami telah kurniakan mereka benda-benda yang baik-baik, serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka di atas orang-orang yang ada pada zamannya.”

(Surah Al-Jaathiyah, Ayat 16)

Pertukaran gelaran daripada Bani Israil kepada Yahudi dalam Al-Quran menjelaskan bahawa mereka sudah terputus warisan daripada Nabi Yaakub a.s. yang digelar ‘Israil’ kerana kegemaran baginda berjalan pada waktu malam hari.

Namun begitu, perubahan ini juga menjadi refleksi kepada Kaum-kaum Yahudi yang mendiami Yathrib (Madinah) kerana di Mekah, kaum Yahudi sangat sedikit jika dibandingkan dengan di Madinah. Etimologi Yahudi ialah berasal daripada kata akar Yahuda (yang berubah menjadi Yehudi dengan sebutan Jehudi) dalam Bahasa Hebrew yang bermaksud “Untuk Pujian” atau “Yang Terpuji.”

Nama ini diambil daripada nama Anak Nabi Yaakub a.s. yang keempat, Yahuda, yang juga dipanggil sebagai Judah (Atau Judea dalam Bahasa Yunani). Nama Judah ini berasal daripada Kerajaan Yahudi terawal selepas perpecahan kerajaan ini daripada Kerajaan Israel Raya yang dipimpin oleh Baginda Nabi Sulaiman a.s.

Selepas kemangkatan Nabi Sulaiman a.s. sepuluh puak Yahudi memberontak dan tidak mahu menerima kepimpinan daripada anakanda Nabi Sulaiman a.s. yang mewarisi kerajaan, iaitu Raja Rehoboam. Mereka memilih Jeroboam sebagai Raja Kerajaan Israel. Tindakan ini menyebabkan dua lagi puak Yahudi iaitu Judah dan Bunyamin memisahkan wilayah mereka dan membentuk Kerajaan Judah di Selatan Israel kerana setia dengan kepimpinan keturunan Nabi Sulaiman a.s.

Maka, berlakulah perang saudara antara kedua-dua kerajaan bersaudara ini beserta campur tangan daripada bangsa-bangsa lain di sekitarnya seperti Kerajaan Assyria, Babilon dan Mesir Purba menyebabkan Kerajaan Israel musnah ditakluki oleh Empayar Neo-Assyria pada Tahun 720 SM.

Semasa penaklukan Raja Nebuchadnezzar II dari Empayar Neo-Babilon ke atas Kota Jerusalem dan kemusnahan Haikal Agung (Solomon Temple atau Beit Hamikdash) pada Tahun 587 SM, kaum tersebut dikenali sebagai Kaum Judah, mengikut nama kerajaan mereka. Daripada perkataan ini, maka lahirlah pelbagai kognat yang merujuk kepada bangsa ini seperti Yahudi (Bahasa Arab), Jews (Bahasa Inggeris), Ibrani (Bahasa Parsi) dan Ioudaios (Bahasa Yunani Kuno).

Selain itu, menurut Al-Shahrastani dalam kitabnya Al-Milal Wal-Nihal: “Apabila disebut Haada Ar-Rajul bererti orang itu telah kembali dan bertaubat.” Nama ini telah menjadi kebiasaan kepada mereka (Perkataan Haada atau Hud yang berubah menjadi Yahud) berdasarkan kata-kata Nabi Musa a.s.: “Inna hudna ilaika” yang bermaksud “Sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada-MU” (Surah Al-A’raf, ayat 156).

Bangsa Yahudi adalah Bangsa Etno-Keagamaan yang bermaksud agama mereka adalah agama untuk kaum mereka sahaja. Pada mula asalnya, ajaran agama yang disampaikan oleh para nabi yang menyebarkan risalah yang benar ini ditujukan untuk semua kaum dalam kawasan geografi nabi tersebut diutuskan, namun bangsa Yahudi menjadikan agama tersebut (monotheisme) eksklusif kepada bangsa mereka semata-mata.

Orang-orang Yahudi tidak sanggup untuk berdakwah kepada bangsa-bangsa lain yang pagan di sekelilingnya kerana lemah semangat dan takut berlawan dengan bangsa-bangsa gasar tersebut. Mereka sanggup mengubah isi kandungan kitab suci bagi menyesuaikan isinya dengan keadaan setempat. Hal ini dilakukan semasa orang Yahudi sudah tidak lagi fasih berbahasa Ibrani semasa pendudukan Yunani pada pertengahan Kurun ke-3 SM dan mereka perlu menterjemahkan Kitab Taurat (Torah) ke dalam bahasa Yunani Kuno.

Perterjemahan Kitab Taurat ke dalam Teks berbahasa Yunani dinamakan sebagai Septuagint (Tujuh Puluh) kerana mereka memerlukan 70 orang penterjemah untuk menterjemahkan karya tersebut. Malangnya, karya itu dipengaruhi oleh sedikit unsur-unsur Hellenisme seperti Tuhan menciptakan Manusia dengan imej-NYA, sedangkan dalam islam ada konsep Tiada Apa pun yang Setara dengan Allah sebagai Tuhan (Konsep Mukhalafathu lilhawadith).

Orang Yahudi juga dengan sewenang-wenangnya mengubah ayat dan maksud perkataan dalam Kitab Taurat menjadikan kitab suci itu tercemar dengan pemikiran mereka yang korup.

Allah s.w.t berfirman,

Yang bermaksud: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.”

(Surah Al-Maidah, ayat 13).

Bangsa Yahudi merupakan bangsa yang paling banyak Nabi dan Rasul yang diturunkan kepada mereka. Hal ini kerana kedegilan mereka dalam beribadat kepada Allah s.w.t. Apabila wafat sahaja seorang Nabi atau Nabi tersebut bergerak ke tempat lain (seperti hal Nabi Musa a.s.), kaum Yahudi akan kembali sesat dan mempersendakan ajaran nabi tersebut.

Semasa Nabi Musa a.s. pergi ke Gunung Tursina untuk menerima Kitab Taurat dan Sepuluh Peraturan, Kaum Yahudi kembali sesat dengan menyembah Patung Anak Lembu Emas yang boleh menguak yang dibina oleh Samiri. Begitu juga halnya dengan Nabi Uzair yang hidup selepas kembalinya Kaum Yahudi dari ditawan di Babilon (sekitar kurun ke-5 SM). Kitab suci syariat Nabi Musa a.s. sudah hilang atau dimusnahkan oleh Raja Nebuchadnezzar II. Namun begitu, Nabi Uzair Berjaya mengumpul kembali Kitab Taurat dan Kaum Yahudi ketika itu amat mengagungkan Nabi Uzair sehingga memanggilnya sebagai anak Tuhan.

Peristiwa ini dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah At-Taubah, Ayat 30 yang bermaksud, “Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran.”

Orang-orang Yahudi juga kerap mempersendakan Allah dan para Malaikat. Mereka juga menganggap mereka adalah bangsa yang terpilih kerana banyaknya Nabi dan Rasul diutuskan dalam kalangan kaum mereka, sedangkan setiap Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada mereka adalah untuk membetulkan mereka yang menyimpang dari jalan Allah.

Agama Orang Yahudi

Agama orang Yahudi turut dinamakan dengan nama kaum mereka kerana sifat etno-keagamaan yang wujud dalam kaum ini. Dalam bahasa inggeris dinamakan Judaism yang boleh diterjemahkan sebagai Judaisme. Sebagai agama samawi yang tertua (diperkirakan wujud lebih kurang 4,000 tahun dahulu), kepercayaan dalam Agama Yahudi dan Islam ada banyak persamaan, namun begitu orang Yahudi hanya beriman dengan syariat Nabi Musa a.s. sebagai Nabi terbesar dalam ajaran Yahudi. Mana-mana syariat nabi selepasnya tidak digunapakai, malahan mereka akan membetulkan kesilapan ajaran orang Yahudi kembali kepada ajaran yang asal, yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s.

Justeru itu, orang Yahudi tidak akan sesekali mengimani Nabi Isa a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul, lebih-lebih lagi Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah berbangsa Yahudi. Agama Yahudi turut beriman dengan Tuhan Yang Maha Esa serta percaya bahawa Alam ini diciptakan dalam enam hari (jangka masa), sebelum Tuhan berehat pada Hari Yang Ketujuh (Sabbath). Orang Yahudi turut percaya mereka adalah bangsa yang terpilih kerana mereka berasal daripada keturunan Sam bin Nuh a.s., anak Nabi Nuh a.s. yang paling utama, yang melahirkan keturunan-keturunan Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Ajaran agama Samawi turut dinamakan Ajaran Samiyah, berasal daripada nama Sam bin Nuh ini.

Dalam Bahasa Hebrew, nama Tuhan ialah Eloah (אלוה) yang bermaksud Tuhan Yang Satu (singular), manakala Elohim adalah kata majmuk bagi El (Tuhan secara umum). Selain itu, nama Tuhan juga ditulis sebagai YHWH dalam tulisan aksara Latin, yang ditransliterasikan ke dalam bahasa inggeris sebagai Yahweh atau Jehovah. Dalam upacara keagamaan, Nama Tuhan juga disebut sebagai Adonai atau Kyrios dalam bahasa Yunani Kuno (Dalam Septuagint). Menurut Judaisme Rabbinik, nama Tuhan paling suci ada tujuh iaitu

  1. YHWH
  2. El (Tuhan)
  3. Eloah (Tuhan)
  4. Elohim (Tuhan-tuhan)
  5. Shaddai (Maha Besar)
  6. Ehyeh (Aku akan Jadi)
  7. Tzevaot (Perumah)

Bangsa Yahudi percaya mereka adalah keturunan terus dengan Nabi Ibrahim a.s. manakala penganut ajaran kristian adalah keturunan berlandaskan kepercayaan (faith) terhadap Nabi Ibrahim a.s. Mereka juga percaya semua peristiwa yang berlaku adalah dalam lingkungan bangsa mereka seperti peristiwa Nabi Ibrahim menyembelih anaknya, orang Yahudi dan kitab mereka menyatakan bahawa Nabi Ishak a.s. yang ingin disembelih, bukan Nabi Ismail a.s. Mereka juga percaya Siti Hajar adalah hamba daripada Firaun, sedangkan dalam “Book of Jasher”, Firaun berbisik kepada anak perempuannya (Hagar), supaya menjadi hamba kepada Nabi Ibrahim a.s. menunjukkan bangsa Arab bukanlah keturunan hamba, malahan mereka adalah keturunan diraja Mesir.

Dalam kepercayaan, ajaran agama Yahudi tidaklah banyak perbezaan dengan agama kristian dan islam, namun mereka banyak menyimpang dari ajaran yang sebenar dan tidak mahu mengakui Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Nabi akhir zaman.

Perjalanan Bangsa Yahudi

Bangsa Yahudi adalah kaum yang digelar Bani Israil. Walaupun mula asal mereka percaya mereka berasal daripada Nabi Ibrahim a.s., namun Nabi Ibrahim bukanlah berbangsa Yahudi. Keturunan Nabi Ibrahim a.s. bersama isterinya Siti Sarah melahirkan Nabi Ishak a.s. dan Nabi Yaakub a.s. adalah anak kepada Nabi Ishak a.s. Nabi Yaakub a.s. ini digelar Israil kerana kegemarannya berjalan malam dalam mengenal Allah (Isra bermaksud berjalan malam dan El bermaksud Tuhan), maka baginda digelar Hamba Allah Yang Berjalan Malam atau Israil. Daripada keturunan Nabi Yaakub ini, lahirlah 12 orang putera yang membentuk 12 puak Yahudi.

Salah seorang anak Nabi Yaakub ialah Nabi Yusuf a.s., Nabi yang sangat tampan dan melalui keperitan hidup akibat perbuatan abang-abangnya. Walaubagaimanapun, Baginda Nabi Yusuf a.s. berjaya menjadi menteri yang paling berpengaruh di Mesir dan dikurniakan sebuah Negeri di Mesir. Setelah itu, baginda mengajak ayahanda dan abang-abangnya berhijrah ke Mesir untuk menduduki negeri tersebut.

Setelah bertahun-tahun lamanya, tibalah kepada zaman Firaun yang kejam terhadap orang Yahudi kerana orang Yahudi yang selalu menganggap diri mereka sebagai bangsa pilihan Tuhan, manakala Bangsa Mesir adalah keturunan Ham bin Nuh yang dicemuh mereka.  Pada zaman Firaun yang sangat kejam itu, Allah s.w.t mengutuskan Nabi Musa a.s. kepada kaumnya dan juga kepada Firaun serta seluruh rakyat Mesir. Setelah Firaun tidak menerima ajakan Nabi Musa untuk kembali ke jalan Allah serta Baginda Firaun mengancam untuk membunuh semua Yahudi, berlakulah peristiwa menyeberangi Laut Merah yang dinamakan sebagai peristiwa “Pass Over” ke Tanah Yang Dijanjikan, iaitu salah satu Kawasan di Negara Kan’an.

Rajah 1: Gambaran peristiwa Nabi Musa membelah Laut Merah yang dijadikan Peristiwa pengasasan Kaum Yahudi melalui peristiwa penghijrahan atau Exodus. Rujukan Gambar: https://thoughtsfromthehorizon.files.wordpress.com/2013/09/the-exodus-007.jpg

Orang Yahudi kembali tersesat semasa Nabi Musa a.s. menerima kitab Taurat di Gunung Tursina. Orang Yahudi turut takut berperang dengan bangsa Philistine menyebabkan mereka terbuang dan disesatkan di Padang Gurun Tih selama 40 tahun. Penerimaan Kitab Taurat ini menjadikan Nabi Musa a.s. dipandang sebagai pembawa ajaran Agama Yahudi ini dan dibantu oleh Nabi Harun a.s. Nabi Musa a.s. wafat sebelum mereka sampai ke Tanah Yang dijanjikan. Setelah wafatnya Nabi Musa a.s., Joshua dan para hakim memimpin bangsa Yahudi untuk menguasai tempat-tempat penting di tanah Kan’an dan menuju ke Baitul Maqdis.

Peperangan antara Saul (Tholut) dan Goliath (Jalut) dari bangsa Philistine tercetus sehinggalah Saul berjaya memenangi peperangan tersebut lalu menjadi Raja pertama bangsa Yahudi. Setelah itu, Nabi Daud a.s. menggantikan Saul dan menjadi raja kedua. Di Zamannya, Baitul Maqdis berjaya ditakluk dan Nabi Daud a.s. membeli tanah daripada Kaum Jebusite di Gunung Moria dan ke lembah di selatannya (Mata air Gihon) sebagai negara Israel terawal.

Setelah kewafatan Nabi Daud a.s., anakandanya Nabi Sulaiman a.s. pula menaiki takhta. Baginda mendirikan Haikal Agung pertama (Yang dipanggil Solomon Temple). Kerajaan Israil mengalami zaman keemasan di bawah pemerintahan Baginda Nabi Sulaiman a.s. dan wilayahnya bertambah besar.

Setelah kewafatan Nabi Sulaiman a.s., sepuluh puak Yahudi memberontak terhadap Rehoboam, anak Nabi Sulaiman a.s. dan memilih Jeroboam sebagai Raja Yahudi keempat. Rehoboam disokong oleh dua puak iaitu Puak Judah dan Bunyamin, menubuhkan Kerajaan Baharu yang dinamakan Judah. Kedua-dua kerajaan ini saling berperang dan pengganti Rehoboam, Abijah berjaya mengalahkan Israel dalam pertempuran. Kekalahan ini melemahkan Israel dan akhirnya mereka ditakluk oleh Assyria pada Tahun 722 SM. Kerajaan Judah bertahan sehingga Tahun 587 SM, sebelum mereka ditakluk oleh Kerajaan Neo-Babilon. Keadaan ini menyebabkan Yahudi terpencar ke seluruh kawasan kerajaan sekitarnya dan dibawa ke Babilon untuk dijadikan hamba.

Rajah 2: Kerajaan Israel dan Kerajaan Judah, Rujukan: By Oldtidens_Israel_&Judea.svg: FinnWikiNoderivative work: Richardprins (talk) – Oldtidens_Israel&_Judea.svghttp://www.jewishvirtuallibrary.org/map-of-israel-and-judah-733-bce, CC BY-SA 3.0, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=10872389

Setelah Kerajaan Parsi berjaya mengalahkan Empayar Neo-Babilon, Orang-orang Yahudi dibenarkan memerintah kembali Kerajaan Judah tetapi di bawah pengaruh Parsi. Zerubabbel, Gabenor Parsi di Judah membangunkan semula Haikal Sulaiman dan dinamakan sebagai Haikal Kedua pada Tahun 538 SM. Setelah itu, orang Yahudi memerintah Negara Judah ini di bawah hegemoni kuasa lain yang menaungi mereka, bermula dengan Kerajaan Parsi ini dengan jolokan nama Yehud Medinata (Wilayah Yehud).

Pada Tahun 333 SM, Raja Alexander The Great (Iskandar Yang Agung) dari Macedonia berjaya mengalahkan Raja Darius III dari Parsi. Wilayah Judah ini juga termasuk dalam hegemoni Orang-orang Yunani dan kebudayaan Yunani atau Hellenisasi terserap ke dalam kehidupan orang-orang Yahudi. Seluruh Kawasan Levant termasuklah Palestin dinamakan sebagai Coele-Syria.

Semasa pemerintahan Antiochus IV Epiphanes (Memerintah pada Tahun 175 SM hingga 164 SM), baginda bertindak kejam terhadap orang-orang Yahudi, mendiskriminasi kaum tersebut, menodai Haikal Kedua, mengorbankan babi di dalamnya serta mendirikan altar penyembahan kepada Dewa Zeus dalam Haikal Kedua. Tindakan ini mencetuskan Pemberontakan Maccabean yang berjaya menguasai Haikal suci dan membersihkan Jerusalem dari dikotori oleh amalan Pagan Yunani.

Dinasti Maccabeen melahirkan Dinasti Hasmonean yang merajai Kerajaan Judah, namun mereka masih di bawah hegemoni Yunani. Tidak lama kemudian, Kerajaan Rom pula yang menguasai Seluruh Laut Mediterranean dan Orang Yahudi bernaung di bawah pemerintahan Dinasti Separa Yahudi iaitu Dinasti Herod. 

Pada Tahun 4SM, wilayah Kerajaan Judah dibahagi-bahagikan kepada raja keturunan Herod dan gabenor-gabenor Rom, sebelum berlakunya pemberontakan terbesar Yahudi pada Tahun 66 hingga 73 M yang menyaksikan Orang Yahudi mengalami kekalahan terhadap Rom dan Kota Jerusalem dimusnahkan keseluruhannya oleh Titus Yang Agung, termasuklah Haikal Kedua.

Setelah Haikal Kedua dimusnahkan, Orang Yahudi masih ramai yang mendiami Kota Jerusalem tetapi dibawah pemerintahan Rom secara langsung. Mereka didiskriminasikan dan dijadikan warganegara kelas kedua oleh orang-orang Rom. Pada Tahun 115 M, tercetusnya Perang Pemberontakan Kedua di seluruh kawasan petempatan Yahudi dan diasporanya seperti di Mesir dan Cyprus.

Pemberontakan ini tercetus setelah orang Yahudi merasakan dapat peluang untuk memerdekakan diri mereka daripada Kuasa Rom kerana Pihak Rom terlibat dengan peperangan di Armenia dalam Perang Rom-Parthia. Namun begitu, Orang Yahudi dikalahkan oleh tentera Rom di bawah pimpinan Lucius Queitus setelah dua tahun memberontak. Perang tersebut digelar Perang Kitos, sempena dengan nama General Rom tersebut.

Pada Tahun 131 M, Kaisar Hadrian membina Kota Baharu di atas runtuhan Haikal Kedua dan dinamakan Kota Aelia Capitolina. Hadrian berjanji akan membangunkan semula Haikal kepada orang Yahudi. Namun begitu, Hadrian ternyata menipu dengan mendirikan Kuil Sembahan Orang Rom terhadap Dewa Jupiter dan tindakan baginda menimbulkan pemberontakan kali ketiga. Pemberontakan yang dinamakan Pemberontakan Bar Kokhba  ini bermula pada Tahun 132M hingga 136M dan diketuai oleh Simon Bar Kokhba.

Dalam peperangan ini, Yahudi mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah mereka dengan kematian di pihak Yahudi melebihi 500,000 orang dan mereka diharamkan menjejakkan kaki ke Kota Jerusalem.  Pusat orang Yahudi kemudiannya berpindah ke Galilee. Kaisar Hadrian mendirikan dua buah patung berhala di Puncak Bukit Kuil (Temple Mount), satu imej Jupiter dan satu imej dirinya. Kitab-kitab agama Yahudi dibakar, rabbi-rabbi Yahudi dihukum bunuh dan ajaran Kitab Taurat diharamkan di Jerusalem.

Mereka turut mengubah nama seluruh kawasan tersebut sebagai Syria-Palaestina untuk menghapuskan ingatan Yahudi terhadap kerajaan yang pernah dibina oleh nenek moyang mereka. Setelah itu, Orang-orang Yahudi terpencar ke seluruh pelosok dunia dan didiskriminasikan walau di mana mereka berada. Orang Yahudi ramai yang dijual ke pasar hamba atau dibunuh. Orang Yahudi yang bertubuh kekar pula dijadikan ‘Gladiator’ dan dibawa ke Colosseum atau Amfiteater untuk tontonan rakyat Rom.

Selepas beberapa ratus tahun, Orang-orang Yahudi memberontak lagi dan mereka selalunya akan membantu pihak lawan untuk mengalahkan pihak Rom Timur (Byzantine) seperti bersekongkol dengan Pihak Parsi untuk menjatuhkan Byzantine ataupun berpakat dengan Orang Samarita untuk memberontak. Yahudi masih diharamkan daripada menjejakkan kaki ke Baitul Maqdis, kecuali pada Perayaan Tisha B’Av. Orang-orang Yahudi hanya dapat kembali ke Baitul Maqdis selepas Saidina Umar Al-Khattab menakluk Palestin daripada Pihak Byzantine.

RUJUKAN:

Ustaz Mohamad Wahid bin Abd Hanif (2016), Yahudi dan Taurat, http://www.addeen.my/index.php/terkini/item/1262-yahudi-taurat, dilayari pada 20 April 2019.

Faiz Husaini (2009), Yahudi dalam Prespektif Al-Quran, https://www.eramuslim.com/suara-kita/pemuda-mahasiswa/yahudi-dalam-prespektif-al-quran.htm#.XLsKMuj7RPY , dilayari pada 20 April 2019.

O.K. Rahmat S.H., Dr (1984), Dari Adam Sampai Muhammad: Sebuah Kajian Mengenai Agama-agama, Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Josephus, F. (Kemaskini 2017), Antiquities of The Jews, Translated by William Whiston, Project Gutenberg (kemaskini terakhir pada 9 Ogos 2017), Utah, Project Gutenberg Literary Archive Foundation

The Book of Jasher (Translation ke Bahasa Inggeris pada 1887), http://www.sacred-texts.com/chr/apo/jasher/index.htm, dilayari pada 20 April 2019.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.