Pengembaraan Ibn Fadlan Yang Difilemkan Oleh Hollywood

1,808

Sastera Arab pun sebenarnya hebat sebaris dengan sastera fantasis yang lain. Seorang pelancong Yahudi akhir abad ke-9 mengisahkan tentang suku kanibal yang dengan sabar menggemukkan korbannya sebelum memakannya; salah satu nakhoda kapal Parsi awal abad ke-10 di Lautan Hindi juga berkata tentang suku kanibal (yang memiliki ekor) dan beragam makhluk laut, termasuk kura kura sebesar pulau, puteri duyung, dan ular pemakan gajah. Seorang penulis abad ke-15 menceritakan sebuah pulau bernama WaqWaq, di mana pokok dipenuhi perempuan seperti buah.

Tetapi, ramai antara kita tidak tahu bahawa perjalanan Ibnu Fadlan sebagai seorang utusan kerajaan itu lebih menarik. Beliau memulakan perjalanan pada Jun 921 M dan terakhir kali dilihat pada 1999 dalam cerita yang dilakonkan oleh Antonio Banderas dalam filem The Thirteenth Warrior.

Walaupun begitu, Hollywood tidak dapat menggambarkan secara jelas sosok Ibn Fadlan yang sebenar lagi lagi filem itu berdasarkan sebuah novel tulisan Michael Crichton yang menceritakan perjalanan Ibn Fadlan dengan lagenda Beowulf. Kisah perjalanan Ibn Fadlan ke wilayah Volga yang sekarag terletak di selatan Rusia sangat memberi kesan dan tak perlu kepada fantasi. Kebenarannya lebih hebat dan menghibur berbanding kisah fiktifnya.

Ekspedisi Ibn Fadlan ke Wilayah Volga (Sumber: Google)

LATAR BELAKANG

Ibn Fadlan atau nama sebenarnya Ahmad ibn Fadlan ibn al-Abbas ibn Rasid ibn Hammad yang dilahirkan pada 877 M di Baghdad, Iraq. Beliau adalah seorang yang pengembara, terkenal dengan kisah beliau mewakili Kerajaan Abbasiyah untuk bertemu Viking Volga, yang dikira antara yang bengis dan memonopoli utara Asia Tengah ketika itu.

Cerita tersebut diabadikan dalam sebuah naskah yang ditemukan di kota ziarah Mashdad di Iran Timur pada 1923. Awal manuskip itu menyampaikan maklumat singkat tentang penulisnya:

Ini adalah kisah Ahmad bin Fadlan bin al Abbas bin Rashid bin Hammad, seorang hamba Muhammad bin Sulayman, dan utusan (yang dikirim oleh khalifah) al Muqtadir kepada Raja Saqaliba. Buku ini mencatat apa yang dilihatnya di tanah suku Turk Khazar, Rus, Saqaliba, Bashgrid dan bangsa lainnya, bersama dengan berbagai istiadat dan cara hidup, raja raja mereka dan banyak hal terkait lainnya.

Muhammad bin Sulayman pula rupanya adalah anggota keluarga Abbasiyah yang berpengaruh pada 905 M kerana telah membantu mengukuhkan kekuasaan Abassiyah di Mesir. Jadi dengan bantuan Muhammad, Ibn Fadlan mendapat satu tugas mencabar daripada Khalifah al Muqtadir untuk menemui bangsa Bughar di Volga.

Ini bukanlah perjalanan yang biasa bagi Ibn Fadlan kerana jalan yang akan beliau kali ini lebih mencabar dengan pelbagai cerita rekaan yang dibuat untuk menakutkan pengembara. Lagi satu, perjalanan ini akan merentasi pelbagai bangsa dan kerajaan. Tidak lupa juga laut yang memisahkan dua benua. Cuba bayangkan kita ditempat Ibn Fadlan, dengan tiada panduan dan kawasan yang asing bagi kita, perlu berjalan kaki dan menyampaikan amanat raja. Zaman itu bukan zaman teknologi telefon. Semua berutus surat.

Wilayah Volga dan Rus (Sumber: Google)

PERMULAAN PERJALANAN

Ibn Fadlan tidak boleh terus berjalan memasuki kerajaan orang lain. Beliau terpaksa mengambil jalan yang jauh pula kerana antara Laut Hitam dan Laut Kaspia telah dihalang oleh bangsa Khazar (suku Turk dalam sebuah konfederasi yang lemah). Pada 21 Jun 921, dia berangkat dari Baghdad, mengikuti Jalan Khurasan, jalan kecil yang menghubungkan Baghdad dan Iraq dengan dataran tinggi Iran dan daerah di baliknya, menuju Iran timur dan Asia Tengah., serta salah satu dari sekian banyak jalan yang membentuk Jalur Sutera, yang menghubungkan pasar dan produk Tiongkok dengan Asia Tengah, India, Iran, Hilal Subur, Laut Tengah Timur dan Eropah.

Ibn Fadlan tidaklah seorang diri kerana di setiap tempat yang beliau berhenti, akan ada yang mengikutnya bersama. Di Iran Timur, beliau melaporkan rombongannya terdiri dari sekitar 3000 haiwan dan 5000 orang. Berjalan kaki, menunggang binatang, dan perahu, berhenti dan berehat beberapa kali dalam menempuh jarak sekitar 2500 KM dari Baghdad ke Bukhara (di Uzbekistan moden), melalui Iraq, dataran tinggi Iran dan Iran timur.

SAMPAI DI BUKHARA

Perjalanan seterusnya beliau telah sampai ke Transoxiana, sebuah wilayah yang antara dua zon yang sangat berbeza, di sebelah sisi lain terkena proses Islamisasi dan sisi lain Asia Tengah, terkenal dengan budaya hibrid yang mencerminkan perdagangan yang menghidupkan kota kota di situ. Bukhara adalah kota yang maju yang dihubungkan dengan jalan para pedagang seluruh benua Asia Tengah.

Pada bulan November, musim sejuk telah bermula. Ini yang menjadi cabaran kerana perjalanan makin menjadi ekstrem. Haiwan yang mereka tunggangi mula mati dan kawasan di sepanjang perjalanan telah membeku. Bayangkan perjalanan ini yang jauh dan perlu berjalan kaki dengan kekurangan sumber makanan dan air membeku, menjadikan ekspedisi ini hanya mampu dilalui oleh orang yang kuat dan berani.

BERTEMU SUKU TURK OGHUZ

Ketika dalam perjalanan itu juga, Ibn Fadlan telah bertemu dengan segolongan puak Turk Oghuz dan dengan tenang beliau mencatat niat jahat mereka, “Apa yang harus kita lakukan adalah membelah kedua utusan ini dan merampas barang yang mereka miliki,” tulisnya tentang ucapan salah seorang suku Turk itu. Kawannya berfikir merompak mereka sudah cukup:

“Tidak, mari kita ambil apa yang mereka miliki dan biarkan mereka kembali ke tempat asal mereka dengan keadaan telanjang.” Dalam beberapa generasi, orang orang Turk Oghuz akan mula masuk Islam, kerana dari merekalah nanti tertubuhnya beberapa kerajaan seperti Seljuk dan Turki Uthmaniyah.

Tapi kelakuan mereka ketika itu tidak ubah seperti orang gasar yang eksotik dan mempunyai amalan yang buruk. Catatan Ibn Fadlan ini penting kerana menjadi rujukan buat Khalifah Islam selepas itu untuk mengenal pasti dan menghantar para pendakwah ke kawasan mereka.

SAMPAI KE WILAYAH VOLGA

Pada 11 atau 12 Mei 922, tidak pasti tarikh tepatnya kerana banyak percanggahan. Ibn Fadlan telah sampai ke istana “Raja Saqaliba”, istilah yang secara etimologis terkait dengan suku “Slav” dan “slaves” (budak), menggambarkan bangsa Bulghar dari Wilayah Volga yang baru (tapi secara kasar) saja masuk Islam. Dengan itu, Ibn Fadlan memulakan salam dan menyampaikan hasrat Khalifah untuk membentuk sekutu bersama Wilayah Volga.

Sebenarnya, kedatangan Ibn Fadlan bukan saja sebagai utusan, tapi kali ini beliau datang untuk melihat sendiri cara hidup bangsa Bulghar yang baru saja masuk Islam. Disebabkan mereka masih baru, banyak perkara yang masih belum mereka tahu. Kehadiran beliau ini memberi sinar Islam yang baharu buat bangsa Bulghar untuk memahami Islam dengan lebih dalam. Ibn Fadlan sempat untuk mengajar mereka sebelum meninggalkan mereka untuk meneruskan perjalanan.

BERJUMPA SUKU RUS

Ketika bertemu dengan bangsa Rus, Ibn Fadlan diperkenalkan dengan cara pemakanan mereka. Boleh dikatakan apa yang mereka lakukan agak menjijikkan. Kerana sebelum pemakaman, akan ada seorang hamba perempuan yang diperkosa dalam keadaan mabuk, menemani mayat dan dibakar sekali dalam api yang marak. Jijik pada maksud Ibn Fadlan adalah kerana apa lagi yang teruk selain mengorbankan manusia?

Orang suku Rus pernah berkata kepada Ibn Fadlan, “Kalian orang Arab adalah orang yang bodoh!” Jadi beliau berkata, “Mengapa begitu?” dan dia menjawab seperti ini,

Kerana kalian dengan sengaja memasukkan orang orang yang paling dekat dan paling disayangi serta orang orang yang paling dihormati ke dalam perut bumi sehingga dimakan oleh hama dan cacing. Selain itu, kami mengkremasi (alunan ketika upacara kematian) sehingga mereka masuk ke syurga.

Saya bertanya hal ini (iaitu masuk ke syurga) dan dia berkata , ‘Tuhanku merasakan cinta yang begitu besar kepada si mayat sehingga Dia mengirimkan mayat untuk membawanya pergi dalam masa satu jam.’ Sesungguhnya hanya memerlukan waktu kurang dari satu jam agar kapal, kayu bakar, budak perempuan, dan tuannya terbakar habis menjadi abu yang sangat halus

Saat mendengar penjelasan itu, Ibn Fadlan tidak memberikan terus penilaian kerana beliau utusan yang diplomatik, dia cuba untuk tidak berkomentar tetapi membetulkan catatannya. Begitulah catatan seorang utusan yang berani menempuh perjalanan berliku hanya untuk agama dan Khalifah sebagai pemimpin. Moga ada lagi generasi kita yang macam ini, niat perjuangan demi agama dan tidak berkira walaupun dihantar ke tempat yang kita tidak suka.

RUJUKAN:

1.  Commercial Relations Between Arabs and Slavs (9th-11th centuries), A. Nazmi (Warsaw, 1998)

2. T.Mackintosh-Smith dan J. E. Montgomery, ed. Dan terj., Mission to the Volga: Ahmad ibn Fadlan, in Two Arabic Travel Books (New York, 2014)

3. Ibn Fadlan, Ibn Fadlan’s Journey to Russia, terj. R. Frye (Princeton, 2005)

4. Ibn Fadlan, Ibn Fadlan and The Land of Darkness: Arab Travellers in the Far North, terj. P. Lundedan C. Stone (London, 2012)

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.