Pengajian Hadis Di Zaman Melaka

719
views

Saya pernah ditanya, sama ada wujudnya pengajian hadith zaman Kesultanan Melayu Melaka dulu kerana apa yang sering digambarkan, orang-orang Melayu dulu hanya mementingkan pembelajaran tasawuf semata-mata.

Pada pendapat saya, setiap bidang ilmu yang menjadi teras dalam pengajian Islam seperti tauhid, tafsir Al Qur’an, fiqh, hadith, tasawuf dan sebagainya diajarkan bersama seawal wujudnya pusat pengajian Islam di rantau ini iaitu selewat-lewatnya sejak zaman Samudera Pasai.

Mustahil ulama-ulama dan pendakwah-pendakwah dari Arab dulu hanya mengajarkan tasawuf pada orang-orang tempatan semata-mata tanpa mengajar tauhid, Al-Qur’an, hadith, fiqh dan lain-lain. Ini kerana setiap bidang ilmu itu saling melengkapi antara satu dengan yang lain.

Walaupun kitab hadith yang paling awal ditemui di Nusantara ialah kitab ‘Al-Fawa’id al-Bahiyah fil Ahadith an-Nabawiyah’ karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri diikuti dengan kitab Syarah al-Latif atas Hadith 40 Imam Nawawi dan al-Mawa’izal Badi’ah, kedua-duanya karya Syeikh Abdul Rauf as-Sinkili, namun pengajian hadith di Alam Melayu telah wujud sebelum zaman kedua-dua ulama Aceh ini (abad ke-17).

Penggubalan Hukum Kanun Melaka itu sendiri boleh menjadi bukti wujudnya pengajian hadith di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Di samping beberapa hukum syarak yang terkandung dalam Hukum Kanun Melaka yang berasaskan pada sumber hadith seperti hukuman murtad, terdapat petikan hadith dalam Fasal 43 Hukum Kanun Melaka iaitu:-

البيّنة على المدّعي واليمين على من أنكر

Hadith tentang prosedur perbicaraan ini telah diriwayatkan oleh Imam Baihaqi.

Selain itu, Tun Seri Lanang mencatatkan dalam Sulalatus Salatin tentang wasiat Sultan Mansur Syah kepada anaknya, Sultan Ala’uddin Riayat Syah yang mana Sultan Mansur Syah memetik hadith berikut:-

كلكم راعٍ و كلكم مسؤل عن رعيته

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dalam kitab hadith sahih mereka.

Catatan-catatan ini membuktikan pengajian dan pengetahuan tentang hadith telah pun diajar di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Hasanuddin Yusof 
Maktab Penyelidikan 
Tamadun Alam Melayu dan Islam (ALAMI)