Ibn Khaldun dalam salah satu  kajian ketamadunannya mengatakan bahawa bangsa yang lemah akan mencontohi bangsa yang kuat. Kenyataan ini bertepatan dengan apa yang dilakukan oleh ‘Amr bin Luhay yang membawa sang Hubal kerana takjubnya dan berharap akan Mekah ketika itu dapat mencontohi kemajuan Syam. Tetapi setelah beberapa tahun silih berganti, Mekah tidak dapat menandingi kemajuan Syam meskipun bilangan bangunan makin bertambah. Sebaliknya, berhala tersrbut hanya merosakkan agama hanif dan menukar identiti bangsa Arab kepada penyembah jahiliah.

Begitulah apa yang telah terjadi ke atas bangsa kita sekarang. Tanah kita pernah dijajah British, Belanda, Portugis dan Jepun seawal kurun ke 16 sehinggalah awal kurun ke 19. Mereka mengeksploitasi bahan mentah dan tenaga kerja dari penduduk setempat dan membawa pulang hasil bagi memajukan negara mereka. Mereka bukan saja menjajah tanah kita, tetapi menjajah kita dari segi pemikiran dengan memberi wajah baru terhadap agama kita yakni sekular dan liberal.

Mereka meracuni agama dan bangsa kita supaya hilang rasa izzah kepada Islam, dan memperhambakan kita agar tunduk dan sentiasa berharap kepada mereka. Kita terpesona melihat kemajuan mereka segala dalam hal kebendaan, sains dan teknologi dan kita ingin merasa maju seperti mereka. Lalu dihantar anak anak Melayu yang bijak pandai untuk belajar dan membawa pulang segala macam kebendaan yang ada. Namun, sampai hari ini setelah puluhan tahun berlalu, kita masih gagal mengalahkan mereka, sebaliknya terus diperhambakan tanpa sedar.

Allah swt telah memuliakan kita bangsa muslim dan melahirkan kita untuk memimpin bukan meniru atau mengikut bangsa lain seperti firman Allah swt,

“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan kamu beriman kepada Allah.” (Surah Ali-Imraan: 110)

Jika kebendaan, sains dan teknologi menjadi syarat kejayaan, nescaya Allah swt mengarahkan Nabi Musa as. Dan Bani Israel untuk mempersiapkan segala kekuatan fizikal dan alat agar setanding dengan kehebatan Firaun. Tetapi Allah mengkehendaki sebaliknya. Firaun dihancurkan apabila Bani Israel taat akan kepada Allah melalui tindakan Nabi Musa yang membelah lautan.

Allah menurunkan Al-Quran kepada umat Muhammad saw dan di dalamnya terkandung pelbagai penawar dan petunjuk untuk mengeluarkan manusia daripada belenggu jahiliah menuju cahaya Islam. Melalui Al-Quran, kaum muslimin hanya mengambil sedikit masa untuk tampil sebagai kuasa besar dunia. Manhaj ini memberikan penekanan kepada program tarbiyah yang diwarnai dengan celupan Rabbani.

Tertewasnya Rom dan Parsi membuktikan jumlah manusia dan kemodenan benda bukanlah syarat kelayakan kepada kemenangan Islam. Bagaimana mungkin perang Badar yang disertai oleh 313 orang Muslim melawan 1000 orang Quraisy Mekah dan perangnya dimenangi oleh kaum Muslimin? Ia boleh menjadi petanda kepada pengakhiran sesebuah ketamadunan apabila kebendaan itu disembah dan merebak fitnah. Itulah yang terjadi kepada Rom dan Parsi. Mereka berjaya membina sebuah tamadun materialistik yang menjadikan syahwat sebagai tuhan dan menilai manusia hanya pada fizikal seperti kata pemikir barat Freud, manusia hanyalah ibarat kumpulan intrinsik yang bergerak. Jadilah mereka seperti kera kera yang sedang berevolusi untuk memenuhkan segala tuntutan syahwat. Kera kera itupun melompat gembira apabila syahwatnya dipenuhi sebaliknya bertukar menjadi gorilla yang paling ganas jika kekuasaan dan kemewahan yang dimiliki digugat

“Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk buruknya pada sisi Allah ialah; orang orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.” (Surah Al-Anfal:22)

Material tidak akan memberikan sebarang nilai tambah kepada harga diri seseorang manusia dan sesebuah masyarakat jika tidak memahami matlamat kewujudannya. Material sebaliknya boleh merosakkan kehidupan manusia itu sendiri kerana salah guna dan perebutan berlaku untuk mendapatkannya. Para sahabat tidak dikurniakan kehebatan sains dan teknologi untuk mengalahkan Rom dan Parsi sebaliknya mereka dikurniakan hati yang sarat dengan muatan iman.

Sabda Nabi saw; “Ketahuilah! Bahawa di dalam tubuh ini ada seketul daging. Jika baik, baiklah seluruh tubuh ini, dan jika rosak, maka rosaklah seluruh tubuh ini. Ia adalah hati” (HR Bukhari, Muslim dan Ibn Majah)

Pembinaan peradaban menurut manhaj Al-Quran bermula dari pembentukan hati yang tunduk kepada Allah dan bersih dari kecintaan dunia. Al Quran mengajarkan Rasulullah saw untuk membina jiwa manusia dulu sebelum meluaskan wilayah dan membina bangunan. Rasulullah tidak pula menghantar para Sahabat untuk belajar di Rom dan Parsi yang terkenal sebagai tamadun gergasi ketika itu. Buat apa mempelajari tamadun yang hanya materialistik, tapi tiada ruh.

Khulafa Ar Rasyidin menggunakan teknologi Al-Quran untuk meruntuhkan tembok tembok Rom dan Parsi. Jika Rom dan Parsi berlumba lumba mendapatkan kuasa melalui penjajahan dan perhambaan sesama manusia sebaliknya seorang muslim sama sekali takkan redha melihat manusia hidup di bawah kepimpinan yang zalim dan fasiq. Begitulah jawapan Rabi’ bin Amir, Hudzaifah bin Mishan dan Mughirah bin Syu’bah kepada panglima Parsi, Rustum sebelum tercetusnya perang Qadisiyah pada 636 M.

Namu begitu, ini tidak menafikan langsung keperluan terhadap kebendaan kerana kebendaan itu adalah sebahagian daripada persiapan selepas keimanan. Sayyid Qutb pernah menjelaskan bahawa,

“Ini tidaklah bererti bahawa kita mesti melupakan dan mesti memandang enteng kepada soal “penghasilan benda” dan “rekaan sains” sebab menjadi kewajipan kita juga untuk berusaha mendapatkannya, tapi bukanlah dengan anggapan bahawa ia merupakan “syarat kelayakan” asasi yang mesti kita gunakan dalam memegang pimpinan umat manusia dalam tempoh sekarang ini. Cuma ia perlukan sekadar untuk menjaga hidup kita dari ancaman dan penindasan dan juga kerana konsep Islam sendiri yang mengajarkan bahawa ciptaan sains adalah mustahak sebagai syarat menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

Oleh itu maka mustahaklah ada suatu syarat kelayakan lain, bukan hak ciptaan sains dan penghasilan benda, dan sudah pastilah syarat kelayakan itu tidak lain daripada “akidah” dan “program” yang membolehkan manusia itu mengawal dan memelihara hasil ciptaan sains, di bawah pengawasan suatu konsep lain yang dapat memenuhi hajat fitrah seperti yang telah diperolehi oleh kemajuan sains itu, dan supaya akidah dan program itu menjelma di dalam sebuah perkumpulan manusia, iaitu sebuah masyarakat Islam”.

Berbalik kepada Malaysia yang kini seolah diancam dan cuba digugat keharmonian yang telah terbina semenjak merdeka. Seolah ada yang cuba mencarik fabrik perpaduan di negara kita. Kita juga percaya Islam sebagai agama Persekutuan mula tidak dihormati fasalnya dalam perlembagaan. Menjadikan Islam di negara kita mula diprovokasi dengan isu isu mudah sehingga umat Islam menjadi reaktif. Unsur unsur pembawakan sekularisme dan liberalisme sedang cuba diserap penuh oleh golongan atheis dan pejuang hak asasi yang kononnya memperjuangkan suara manusia tetapi hanyalah untuk kepentingan diri mereka sendiri. Golongan sasar yang menjadi sasaran mereka adalah anak anak muda yang kini semakin ganjil perangainya dan pembawakannya. Generasi muda semakin hilang moral dan nilai yang sepatutnya membentuk jati diri mereka terhadap agama dan bangsa.

Negara kita juga seolah tidak stabil kerana tindakan politikus yang tiada hala tuju dan seolah tidak memikirkan rakyat yang rata rata masih susah. Ahli politik lebih memikirkan bagaimana untuk menyelamatkan periuk nasi mereka berbanding rakyat. Contoh politik beginilah yang membentuk masyarakat. Masyarakat yang hanya mengikuti tanpa ilmu akan mudah tertipu dengan janji janji manis politikus. Jika hendak dibandingkan ketika zaman Umar Al-Khattab, zaman beliau digelar zaman keemasan kerana rakyat hidup mewah dan dan golongan miskin hampir saja tiada.

Dikatakan harta Baitul Mal tidak terguna sedikit pun kerana tiada golongan yang layak menerimanya. Sedang Madinah hidup senang ketika itu, Umar al Khattab sebagai pemimpin hidup dalam keadaan dhaif. Kalau diikutkan boleh saja beliau hidup senang dengan gaji yang dibayar padanya, tetapi beliau berkhidmat bukan pada harta, tetapi pada amanah. Namun di Malaysia, menjadi keganjilan kerana wakil rakyat yang diberi mandat menggunakan alasan simplistik untuk berada dalam Dewan Rakyat. Sebagai pemimpin tidak sesuai untuk mengeluarkan kenyataan sebegitu. Bayangkan jika Khulafa Ar Rasyidin mengeluarkan kenyataan seperti penat dan sebagainya, adakah Islam dapat membina empayarnya yang tersendiri?

Khulafa Ar-Rasyidin hidup tanpa sains. Tetapi masih lagi mampu meluaskan syiar Islam hingga ke Afrika. Kita hidup dengan teknologi dan pengetahuan tetapi menjadi lebih terkebelakang dan lebih takut menyampaikan kebenaran.

Moga artikel ini memberi pengetahuan dan sedikit sebanyak kesedaran kepada kita bahawa materialistik tanpa ruh Islam itu tidak akan membantu kita malah akan menjatuhkan kita ketika kita berada di puncaknya.

Wallahu a’lam.

#NastiaUmmah

RUJUKAN:

  1. Thoriq Ahmad, (1984), Ini Sejarah Kita, Pustaka Buku Putih
  2. Mustafa Hj. Daud, (1999), Tamadun Islam, Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd
  3. Abdul Hadi Awang, (2007), Islam dan Demokrasi, PTS Publication and Distributors Sdn. Bhd

 

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan seorang Jurutera Mekanikal Lapangan di The Hub's Engineering Bergiat aktif dengan YADIM dan merupakan Presiden Kluster Belia di bawah YADIM iaitu Sahabat YADIM.

Comments are closed.