AMALAN
memburu kepala merupakan salah satu tradisi kuno yang pernah diamalkan di
Borneo. Jika di Sarawak, kaum Iban,
Kayan serta banyak lagi kaum pribuminya merupakan antara yang terkenal dengan
tradisi tersebut suatu waktu dahulu.
Satu tradisi yang mewarnai cerita perang perluasan wilayah mahupun atas
nama tropi untuk menunjukkan kehebatan seorang lelaki di mata masyarakatnya.
Hanya setelah kedatangan Brooke yang memerintah Sarawak ianya mampu dihentikan
itupun hanya sekitar tahun 1920an ianya benar-benar terhapus sama sekali.
Itu
merupakan cerita pemburu kepala di kalangan masyarakat di Sarawak dan mungkin
ramai tidak mengetahui bahawa di Sabah juga turut pernah mengamalkan tradisi
tersebut. Di Sabah ianya dikenali dengan
pelbagai nama mengikut bahasa atau dialek masyarakatnya seperti Pengait atau
Tonggorib bagi masyarakat Murut; Magarib bagi Lotud; Sagawi bagi Tobilung;
Pandadau bagi Murut Nabai dan Maginggulu bagi Murut Delayan.
Kehebatan
cerita si pemburu kepala dikalangan masyarakat Sarawak sememangnya tidak boleh
dinafikan kerana ianya mempunyai bukti-bukti yang jelas serta asas dokumen yang
kukuh berdasarkan kejadian yang pernah berlaku lebih-lebih lagi sewaktu perang
wilayah berlangsung satu ketika dahulu. Dan hal ini jauh berbeza dengan cerita
tentang si pengait di Sabah kerana ianya masih lagi bersandarkan kepada
cerita-cerita lisan yang disampaikan dari satu generasi ke generasi yang
lain.
Walaupun
begitu, jika kita menggodek bukti nyata pula sehingga sekarang masih ada
tengkorak-tengkorak manusia yang disimpan di rumah-rumah tradisi masyarakat
yang mengamalkannya suatu waktu dahulu.
Masyarakat Murut sebagai contoh adalah antara kaum yang tersohor dengan
amalan pengait atau tonggorib yang dikatakan telah diamalkan sekitar kurun
ke-16 sehingga 18 masihi sebelum ianya lenyap sama sekali. Tidaklah diketahui sebab musabab amalan
pengait ini terhenti di Sabah jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di
Sarawak mahupun Kalimantan. Ini kerana cukup jelas tradisi memburu kepala
terhenti dek kerana peraturan atau undang-undang tegas dan keras oleh Dinasti
Brooke mahupun Koloni Belanda bagi masyarakat di Kalimantan.
Jika
di Sarawak mahupun Kalimantan, antara penyebab pemburuan kepala dilakukan
mempunyai kaitan secara langsung dengan adat perkahwinan. Yang mana dikatakan suatu waktu dahulu
seorang lelaki itu tidak akan dapat berkahwin selagi tidak menunjukkan
kejantanannya dengan membawa pulang satu kepala manusia. Kepala manusia inilah nanti yang akan
dijadikan berian atau hantaran kepada bakal isteri.
Di
Sabah pula menurut fakta kajian menyatakan bahawa antara penyebab selain
daripada persamaan seperti di Sarawak dan Kalimantan adalah adanya satu
kepercayaan bahawasanya tengkorak manusia boleh membawa kebaikan serta limpahan
rezeki ke atas hasil tanaman mereka seperti padi. Disebabkan itulah pemburuan kepala manusia
itu perlu dan kebiasaannya mangsa-mangsa yang bercerai kepala daripada badan
adalah terdiri daripada penduduk perkampungan lain yang kalah di dalam sengketa
perang.
Bagi
masyarakat Murut dahulukala, tengkorak-tengkorak manusia akan diletakkan di
atas Tangkob. Tangkob ialah satu peti
berbentuk silinder dan mempunyai ketinggian kira-kira tiga hingga empat kaki
dan diperbuat daripada kulit kayu yang berfungsi sebagai tempat untuk menyimpan
padi. Bagi mengelak semangat padi yang
disimpan itu diganggu oleh anasir-anasir yang tidak baik dan agar rezeki
pemilik padi itu bertambah maka tengkorak manusia digantung dibahagian atas
tangkob bersama-sama beberapa helai daun silad kering serta tulang belulang
binatang.
Biarpun
tradisi pengait tidak lagi diamalkan di Sabah namun ianya kekal sebagai satu
ceritera kegagahan dan keberanian masyarakat di Borneo suatu waktu dahulu yang
menyaksikan masyarakat dunia menggeruni Borneo sehingga mereka menggelar
“Borneo, The Land of the Head Hunters”.
-HB-
#Sabahbest
Rujukan:
- Pengait. http://www.sabah.edu.my/itls07013/agamadankepercayaan_pengait.html
- Berita Harian, Kisah Pengait Pemburu Kepala Perlu Dikaji Dan Dibukukan. https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2018/10/485404/kisah-pengait-pemburu-kepala-perlu-dikaji-dibukukan




No comments yet