Moving Forward As One

Penemuan Rangka Manusia Prasejarah Berusia 7200 Tahun Di Indonesia

872

Bidang arkeologi semakin mendapat perhatian dunia oleh kerana kemajuan dalam negara-negara yang sebelum ini baru mula membangun. Ambil contoh China misalnya. Berzaman dalam kesusahan ekonomi.

Macam-macam pemimpin kena fikir, dengan kerisauan politik jika eksperimen mereka akan terbantut seperti Kesatuan Soviet. Kepimpinan Deng Xiaoping meletakkan China pada landasan pembangunan pesat hingga China berkembang bagaikan adikuasa baru.

Dengan kemajuan sekarang, China berkemampuan untuk melaksanakan kajian arkeologi terperinci hingga mengenali Dragon Man yang pernah hidup 146,000 tahun lalu.

Gambaran Dragon Man yang dijangka tinggi 300 sentimeter.

Dengan suhu geopolitik dunia semakin tenang, banyak negara boleh menjalinkan kerjasama tanpa perlu bimbang pendapat negara lain.

Ini memang bagus. Kerjasama amat diperlukan untuk memajukan bidang arkeologi.

Kerjasama dengan sebuah institusi Jerman telah menaikkan nama Indonesia dalam persada arkeologi. Baru-baru ini sebuah pasukan saintis menemui rangka seorang manusia yang pernah hidup 7,200 tahun dahulu.

Dan orang prasejarah ini dipercayai merupakan turun temurun generasi manusia purba yang belum dikenal pasti lagi. Bermakna ada kebarangkalian tinggi orang tersebut adalah jenis terbaru.

Mereka mengenal pasti jantinanya iaitu perempuan, yang dari segi DNA mirip jenis manusia Denisova. Untuk mendapat bayangan wanita ini, tengok orang-orang Asli di Australia atau kaum Melanesia yang bertaburan di sekitar Asia Tenggara dan Oceania.

Gambar Peta Rantau dengan agihan geografi.

Penemuan ini agak mengejutkan untuk golongan saintis yang sangat teruja. Kerana wanita ini jelas berlainan untuk dibandingkan dengan manusia prasejarah di Malaysia dan Laos.

Berkemungkinan besar Indonesia adalah sempadan antara dua jenis manusia berbeza, dimana jenis bertebaran di Oceania bertemu dengan jenis bertaburan dari Malaysia ke Laos. Kawasan yang dua jenis ini bertemu dalam Indonesia dipanggil Wallacea (Geggel, 2021).

Zon Wallacea.

Aktiviti manusia prasejarah di Wallacea didapati jauh lebih lama berbanding 7,200 tahun sahaja. Wallacea sudah ada orang sejak 50,000 hingga 65,000 tahun dahulu (O’Connell, et al., 2018).

Jadi penemuan ini memang penting, kerana barangkali ada petunjuk genetik pada rangkanya yang boleh membuka jendela baru dalam bidang arkeologi.

Mengenali Wanita Prasejarah Ini

Di sekitar pulau Sulawesi, ada sebuah gua dipanggil Leang Panninge. Tempat ini memang terkenal dengan aktiviti prasejarah antara 1,500 hingga 8,000 tahun terdahulu. Jangka masa ini adalah apa yang diketahui setakat ini berdasarkan bahan bukti sedia ada.

Pintu masuk ke Liang Panninge.

Ada kebarangkalian tinggi yang aktiviti prasejarah mencecah 20,000 tahun lamanya. Wanita prasejarah itu ditemui dalam keadaan lengkap, bermakna dia diberikan upacara pengebµmiαη yang rapi.

Analisis anatomi mengesahkan wanita ini meninggal dunia ketika berusia 18 tahun. Dia dikebumikan kira-kira 7200 tahun yang lalu. DNA purbanya seolah-olah diawetkan dalam tulang dalam telinga, satu berkat ilmu pada semua pengkaji kerana DNA purba selalunya lµpµs cepat dalam suasana tropika.

Kawasan arkeologi.

Daripada DNA inilah mereka mengenal pasti pasal Denisova dan Kaum Melanesia. Kerana DNA ini juga memberitahu saintis bahawa wanita prasejarah ini adalah sebahagian daripada Budaya Toalea yang hidup di sekitar Gua Leang Panninge.

Budaya Toalea memang banyak meninggalkan bukti-bukti purba seperti alatan batu yang kecil (Bulbeck, et al., 2000). Jadi sudah pastinya wanita ini pernah menggunakan alat-alat batu yang bersepah di bumi Sulawesi dulu.

Cuma punca pemergiannya masih belum (mungkin takkan) dapat dikenal pasti. Barangkali kerana terkena sesuatu penyakit silam sampai boleh meninggal dunia pada usia 18 tahun.

RUJUKAN:

Bulbeck, D., et al. (2000). Culture History of the Toalean of South Sulawesi, Indonesia. 38 (1): 71-108.

Geggel, L. (2021, Ogos 26). Ancient remains found in Indonesia belong to a vanished human lineage. Live Science.

O’Connell, J., et al. (2018). What did Homo sapiens first reach Southeast Asia and Sahul? PNAS.

Ruangan komen telah ditutup.