Banyak lagenda bercerita tentang kewujudan gergasi (giants). Walaupun tidak boleh dibuktikan secara saintifik, lagenda-lagenda ini tidak boleh diketepikan.

Kerana sensasinya mewarnai budaya masing-masing. Cuma kalau tengok lagenda diabadikan suku Paiute, boleh tahan terkejut jugalah.

Untuk pengetahuan semua, suku Paiute adalah sebuah definisi rambang (loose definition) yang menggabungkan Paiute Utara, Paiute Selatan dan bangsa Mono dalam satu kategori mudah.

Suku Paiute.

Populasi mereka tidak ramai, barangkali tidak lebih 15,000 orang di seluruh Amerika Syarikat.

Walaupun berbeza kelompok, perkongsian budaya tiga golongan ini merangkumi banyak perkara seperti cara hidup dan peranan jantina.

Tengok gaya, tiada istilah “kerja lelaki, kerja perempuan” sangat dalam kalangan puak ini.

Malah boleh kata perempuan lagi hebat untuk dibandingkan dengan peranan lelaki (Trafzer, et al., 2021).

Tetapi kalau bab bercerita (storytelling), memang semua warga Paiute akan berganding bahu tidak kira jantina. Mereka suka bercerita.

Dan salah satu cerita mereka melibatkan bangsa gergasi yang pernah diperangi dulu.

Cerita ini disampaikan secara turun-temurun dan akhirnya ditulis anak seorang ketua kampung yang bernama Sarah Winnemucca Hopkins pada tahun 1882.

Gambaran Musuh Budaya Dalam Cerita Paiute

Dulu kala nenek moyang Paiute ditimpa sebuah bala gergasi berkulit putih (bukan warga Eropah). Gergasi ini digelar Si-Te-Cah, yang tinggi lampai dan bersifat gasar.

Tiada langsung nilai manusiawi dalam kalangan gergasi-gergasi ini, hanya naluri kebinatangan yang hanya baik sesama diri mereka sahaja.

Berkali-kali Paiute diserang Si-Te-Cah, yang pandai menggunakan rakit diperbut daripada tumbuh-tumbuhan.

Dengan rakit inilah, mereka menjelajahi Tasik Lahontan, yang kini sudah kering kontang.

Lama juga Paiute bertahan dengan kerenah Si-Te-Cah. Tetapi sejarah mereka mencapai kemuncak di Gua Lovelock, dan mereka bertempur habis-habisan sampai Si-Te-Cah pupus buat selamanya.

Menerangi Lagenda Dengan Pelita Sains

Ada sebab kenapa lagenda tidak wajar diketepikan. Ia boleh diselidik secara saintifik, yakni melalui arkeologi. Gua Lovelock dan Tasik Lahontan adalah dua lokasi sangat penting.

Saiz Tasik Lahontan boleh kata macam mini-laut juga, iaitu sekitar 22,000 kilometer persegi (lagi besar daripada Perak). Tetapi tasik ini sudah kering sekitar 9,000 tahun lalu (Olsen, 2008).

Kalau ikut cerita Paiute, tasik ini ada peranan dalam peperangan mereka menentang Si-Te-Cah. Jadi tidak keberatan untuk percaya yang peperangan ini berlaku 9,000 tahun lalu (ketika tasik ini masih ada).

Mereka mengejar Si-Te-Cah sampai Gua Lovelock yang terletak di negeri Nevada. Si-Te-Cah enggan keluar daripada gua.

Lalu Paiute menyalakan api dari luar dan memastikan asap masuk dalam gua tersebut. Keluar saja Si-Te-Cah, Paiute tembak setiap satu dengan anak panah.

Gua Lovelock

Kisah ini menarik perhatian pakar-pakar arkeologi yang membuat dua penggalian antara tahun 1912 hingga 1924.

Mereka menemui lebih kurang 10,000 sampel purbakala seperti alat, raga dan tulang. Sebanyak 60 mumia dikeluarkan daripada Gua Lovelock, dengan kasut bersaiz 38 sentimeter panjang ditemui sekali.

Penemuan ini membuktikan satu benda: Gua Lovelock memang berpenghuni dulu. Tetapi ketinggian mereka dipertikaikan sampai hari ini.

Mungkin untuk merencahkan kesedapan cerita, Paiute membuat tokok tambah. Ataupun ada pertembungan bahasa purba dan moden dalam kalangan Paiute yang mencetuskan salah faham.

Kalau baca buku Life Among the Piutes, Sarah Winnemucca tidak sebut pun pasal “gergasi”. Tetapi beliau ada bercerita pasal “orang-orang gasar”.

Dan barangkali, memang ada seorang dua dalam kalangan musuh mereka yang tinggi lampai. Dan ketinggian itu menjadi saduran pada semua Si-Te-Cah.

RUJUKAN:

Olsen, B. (2008). Sacred Places North America: 108 Destinations. CCC Publishing. Halaman 57.

Trafzer, C., et al. (2021). Indigenous Activism: Profiles of Native Women in Contemporary America. Rowman & Littlefield.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply