Penemuan Mumia Di Jepun Yang Dikaitkan Dengan Kappa

518

Di dalam kisah rakyat masyarakat Jepun lama, Kappa merupakan syaitan air yang mendiami sungai dan tasik. Mereka dipercayai memakan kanak-kanak yang nakal. Di kala terdapat sekelompok masyarakat yang berpendapat bahawa legenda ini berasal-usul dari penampakan Salamander Gergasi Jepun, iaitu satu spesis haiwan yang masih hidup sehingga ke hari ini, terdapat juga sebahagian lain yang mempercayai bahawa mitos tersebut benar-benar wujud.

Malahan, sejumlah jasad mumia makhluk aneh berkemungkinan membuktikan lagi kebenaran dakwaan tersebut. Kini, orang ramai berpeluang untuk melihat sendiri bahagian-bahagian tubuh yang dipercayai milik Kappa yang dipamerkan buat kali pertamanya di Pulau Kyushu, Jepun.

Kappa yang namanya itu membawa maksud ‘anak sungai’, kebiasaannya digambarkan bertubuh kura-kura, memiliki paruh dan mempunyai rongga tubuh katak selain mempunyai lekuk di bahagian atas kepalanya yang dipenuhi air. Walaupun mereka secara umumnya merupakan makhluk air, Kappa kadangkala turut dikatakan berjalan di daratan. Menurut legenda, rongga tubuhnya mestilah kekal basah atau lembab ketika berjalan di luar air atau kelak, Kappa bakal kehilangan kuasa dan tenaga.

Kappa yang bersifat nakal

Kappa lazimnya dilihat sebagai figura pembawa masalah dan pembuat kacau. Gurauannya kadangkala bersahaja dan melucukan, seperti membuat bunyi bising atau menyelak serta mengintai di sebalik kimono wanita. Namun begitu, kadangkala gurauannya bersifat kasar dan jahat di mana Kappa bertindak melemaskan manusia dan haiwan serta menculik kanak-kanak lalu memakannya. Para ibu bapa turut dikatakan menggunakan legenda Kappa ini untuk menakut-nakutkan anak mereka agar menjauhi air.

Kappa merupakan salah satu makhluk legenda yang masyhur dalam kalangan masyarakat Jepun. Ramai daripada mereka mempercayai bahawa makhluk mitos ini benar-benar wujud. Pada hakikatnya, terdapat beberapa petanda awas tentang kewujudan mereka di beberapa buah tasik di Jepun. Namun, ada juga sebahagian yang berpendapat bahawa legenda ini hanya berasal-usul daripada penampakan Salamander Gergasi Jepun, atau ‘hanzaki’ yang dikenali sebagai haiwan yang bersifat agresif dan gemar menangkap mangsanya dengan menggunakan rahangnya yang kuat.

Salamander Gergasi Jepun

Kini, orang ramai berpeluang untuk melihat jasad-jasad mumia yang dipercayai milik Kappa sekaligus memutuskan sendiri sama ada makhluk mitos itu benar-benar wujud ataupun tidak. Jasad mumia yang berupa tangan serta kaki makhluk aneh tersebut dikatakan telah diberikan kepada keluarga Miyakonojo Shimazu sejurus selepas seekor Kappa ditembak di tebing sungai pada tahun 1818. Jasad mumia itu kini dipamerkan buat kali pertama di Kediaman Miyakonojo Shimazu yang terletak di Wilayah Miyazaki, Pulau Kyushu, Jepun.

Mumia yang dikatakan milik Kappa

Jasad-jasad mumia ini bukanlah mumia Kappa pertama yang ditemui. Terdapat sejumlah mumia yang didakwa milik Kappa telah ditemukan jauh masa dahulu. Pun begitu, sebahagian daripadanya diketahui telah dihasilkan oleh artisan di zaman Edo (1603-1867) dengan menggunakan anggota badan pelbagai haiwan seperti monyet, burung hantu dan ikan pari.

Kiri: Mumia Kappa di Kuil Zuiryuji, Osaka. Kanan: Mumia Kappa di Muzium Etnologi Kebangsaan, Leiden
Mumia Kappa di Matsuura Brewery

Zaman Edo memperlihatkan kewujudkan sejumlah literasi saintifik yang khusus tentang kajian Kappa.Suikokouryaku (1820) misalnya adalah sebuah konpendium maklumat berkaitan Kappa yang dikumpulkan daripada pelbagai sumber dari Jepun dan Cina. Buku yang disimpan di Perpustakaan Iwase Bunko ini turut mengandungi sejumlah lukisan Kappa, yang di antaranya seperti yang ditunjukkan di bawah.

Lukisan-lukisan Kappa dari Suikokouyaka (1820)

Menurut kisah rakyat Jepun, suatu cara untuk seseorang itu berupaya menewaskan Kappa adalah dengan mengambil kesempatan ke atas obsesi makhluk itu terhadap perilaku sopan. Misalnya, jika seseorang itu memberikan tunduk hormat kepada Kappa, ia akan membalas tunduk hormat tersebut sekaligus menumpahkan air yang bertakung di lekuk kepalanya.

Lantas, tenaga dan kuasanya pun akan hilang. Malahan, dikatakan bahawa sekiranya seseorang bertindak mengisi semula air di lekuk itu, maka Kappa tersebut akan berkhidmat untuknya buat selama-lamanya. Legenda juga menyebutkan bahawa Kappa boleh ditundukkan dengan menggunakan alahan mereka kepada besi, bijan atau halia.

Kurun demi kurun lamanya kisah dan penyelidikan tentang legenda ini hidup dalam kalangan masyarakat Jepun. Namun, para saintis masih juga tidak berjaya memberi kata putus tentang kewujudan makhluk misteri ini, walaupun sudah terdapat sejumlah telulang yang dikatakan milik Kappa ditemukan.

SUMBER:

April Holloway. (31 Mei 2014). Are mummified remains of unidentified creature proof of the mythological Kappa? Ancient Origins.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.