Penempatan Viking Tertua Di Iceland Ditemui

777

Aktiviti ekskavasi di timur Iceland mendedahkan penemuan sebuah kem memburu Viking lama yang dilihat jauh lebih tua dengan usia 70 tahun melebihi usia petempatan pertama yang direkodkan di negara itu. Kem tersebut terletak di Ladang Stoo, sebuah kawasan ladang lama Viking di kawasan fjord Stöðvarfjörður yang dijumpai secara tidak sengaja pada tahun 2003.

Kem tersebut ditemui pada tahun 2015 oleh ahli arkeologi Bjarni Einarsson dan terdiri daripada dua struktur dengan tarikh pembinaan yang berbeza. Satu struktur dikatakan dibina antara 869 hingga 873 Masihi manakala satu lagi struktur dikatakan dibina pada tahun 800.

Dengan pendedahan tersebut, ia sekaligus mengubah kisah awal petempatan manusia di Iceland. Berdasarkan dua buah buku yang direkodkan pada abad ke-12, aktiviti petempatan awal manusia dikatakan berlaku pada tahun 870. Manakala Landnamabok atau Book of Settlement menceritakan penghuni awal Iceland ialah Ingólfur Arnarson dan isterinya Hallveig Fródadóttir yang berlayar dari Norway ke kawasan yang dikenali sebagai Reykjavik pada tahun 874.

Semasa ditemubual Iceland Review, Einarsson menyifatkan penemuan di Stoo dan beberapa tapak arkeologi lain di Iceland sebagai bukti bahawa manusia sudah bertapak di Iceland lebih lama sebelum Arnarson mendarat di Reykjavik. Dengan panjang 103 kaki, ini menjadikan Stoo sebagai lokasi rumah panjang Viking terbesar yang pernah ditemui di Iceland.

Dan semasa ekskavasi, pasukan arkeologi Einarsson turut menemui pelbagai artifak menarik. Antara artifak yang ditemui ialah duit syiling Rom dan Timur Tengah (berkemungkinan wang syiling kerajaan Bani Abbasiyyah), serpihan emas, manik kaca dan potongan perak yang digunakan sebagai mata wang. Ini sekaligus menunjukkan rumah tersebut berkemungkinan milik ketua puak yang pernah mendiami kawasan tersebut.

Ekskavasi yang sama turut menyimpulkan rumah panjang itu dibina di atas tapak sebuah lagi infrastruktur lama tetapi lebih besar saiznya dengan panjang 131 kaki. Dalam temubual yang sama, Einarsson melihat ia berkemungkinan sebuah kem memburu bermusim yang diuruskan orang Viking di Norway.

Biasanya, perjalanan mereka dari Norway ke Iceland bertujuan untuk mengumpul sumber komoditi untuk diperdagangkan kepada dunia luar. Justeru, kem berkenaan hanya digunakan secara bermusim berikutan ketiadaan bukti kewujudan haiwan ternakan domestik di kawasan berkenaan. Penemuan ini bukan sekadar di Stoo tetapi di Aðalstræti, Reykjavik dan Vogur, Hafnir.

Dan Einarsson melihat ia sebagai permulaan trend petempatan kekal manusia di Iceland. Dalam satu temubual lain bersama Live Science, beliau menambah, “Ini merupakan sebahagian daripada corak petempatan pulau-pulau di Lautan Atlantik. Pertama, kita ada kem-kem bermusim dan kemudian diikuti oleh petempatan.”

RUJUKAN:

Fox, Alex. (2020). Newly Excavated Viking Dwelling May Be Oldest Found in Iceland. Smithsonian Magazine. https://www.smithsonianmag.com/smart-news/viking-dwelling-iceland-may-be-oldest-ever-found-180975176/

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.