Sebelum masuk islam, Abu Hafs adalah musuh agama yang bertekad membunuh Nabi Muhammad. Dia ditakuti dan dianggap kafir yang berbahaya. Sehinggalah saat berkahnya doa Nabi, bayu hidayah menyapa jiwa. Berubahlah dia menjadi Umar al-Khattab yang disegani kaum muslimin. Dulu ingin membunuh Nabi, kini rela mengorbankan nyawa demi Nabi.

Di dunia fana ini, tiada manusia biasa yang maksum tanpa masa silam, dan tiada pendosa yang hampa tanpa masa hadapan.
Lazimnya, manusia akan membenci orang yang melakukan kejahatan. Hal ini adalah fitrah yang bencikan keburukan. Fitrah manusia perlu menjalani tazkiyatun nafs bagi mengenal Allah dalam setiap hitam dan putih. Tasawuf mengajarkan kita untuk mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah. Bukan demi hawa nafsu sendiri, tetapi berpandukan wahyu ilahi.

Dengan kacamata hidup bertuhan, setiap orang dipandang dengan rahmat. Seseorang itu tidak mencapai maqam ihsan, kecuali dengan mengakui tiada yang lebih berdosa melainkan dirinya sendiri. Inilah tombol pintu taubat yang pertama.

Hak sebagai hamba, tidak menyombongkan diri dengan orang lain.

Kalau melihat orang bodoh, katakan: “Orang ini berbuat maksiat kepada Allah disebabkan kebodohan. Dan aku berbuat maksiat kepada Allah beserta ilmu. Maka Allah lebih memaafkannya berbanding aku.”

Kalau melihat orang berilmu, katakan: “Orang ini telah mengetahui apa tidak aku tahu. Apalah nak dibandingkan aku dengan dia.”

Kalau melihat orang tua, katakan: “Orang ini lebih dahulu mentaati Allah sebelum aku. Apalah nak dibandingkan aku dengan dia.”

Kalau melihat anak kecil, katakan: “Sesungguhnya aku lebih dahulu berbuat maksiat kepada Allah sebelum dia.”

Kalau melihat pendosa atau orang kafir, katakan: “Aku tidak tahu. Semoga kesudahannya husnul khatimah. Semoga dia memeluk Islam. Aku pula? Aku tidak tahu kesudahanku. Aku tidak tahu adakah akan kekal hidayah taufik bagiku.”

Maka, bagaimana pula akhlaknya dalam kita memarahi orang yang melakukan maksiat. Ya, marah kerana Allah adalah ibadah. Nabi marah, tetapi marah Nabi tak sama dengan marahnya kita. Marahnya Nabi kerana Allah. Marahnya kita?

Di zaman Bani Israel, ada seorang lelaki yahudi yang mengacau ahli ibadah semasa solat. Sewaktu sujud, dia memijak kepala ahli ibadah itu dan menginjaknya. Lantas si abid itu berkata, “Angkat tapak kakimu! Demi Allah! Allah tidak akan mengampunkan dosamu!” Maka Allah menurunkan wahyu dengan firman-Nya: “Hai orang yang bersumpah kepadaku! Bahkan dosa engkau yang tidak diampunkan!”

Imam al-Ghazali pesan, ingatlah 3 perkara sebelum kita memarahi maksiat:

1. Engkau mengingati dosa-dosa dan kelalaian di masa lalu agar diri terasa kerdil.
2. Berbezanya keadaan engkau dengan orang lain adalah semata-mata kerana nikmat Allah. Sehingga tidak timbul ujub, bagga atau sombong.
3. Mengingati ketidakpastian nasib diri. Boleh jadi kesudahan si fulan itu baik, sedang kesudahan engkau itu buruk. Sehingga diri merasa bimbang dan terhindar daripada merasa besar.

Seseorang bertanyakan Aisyah, “Bila orang menjadi jahat?” Jawabnya, “Bila ia menyangka yang dia telah berbuat baik.”

Bahaya paling besar bagi pendakwah ialah menyangka dirinya lebih baik. Oleh kerana inilah Nabi bersabda, “Apabila kamu melihat orang mengatakan: “Telah binasalah manusia”, maka dialah yang paling binasa” (HR Muslim). Kalimat tersebut adalah penghinaan kepada makhluk Allah dan tanda tertipunya diri sendiri dengan amal ibadah.

Boleh jika hendak marah kepada maksiat. Namun harus hati-hati supaya tidak merasa “aku lebih baik”. Marah yang dibolehkan adalah nawaitu kerana Allah. Lantaran

Allah yang menyuruh untuk marah kepada dosa-dosa. Juga dengan syarat, tidak merasakan diri terselamat di masa hadapan daripada apa yang dilakukan pendosa di depan mata. Yang lebih dirisaukan, adalah nasib diri sendiri berbanding amal orang lain. “Aku pula, bagaimanakah nasibku di akhir hayat nanti?”

Dengan mengingati mati, tiada manusia mampu meninggi diri.

RUJUKAN:

Imam al-Ghazali. Ihya Ulumiddin.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Penceramah Bebas dan Guru Al-Quran Tauliah Khas. Aktif memenuhi jemputan kuliah agama di 10 buah masjid dan surau dalam sebulan. Bertugas mengajar kelas tahfiz di Pondok At-Tanzil serta mengajarkan al-Quran kepada orang ramai dalam Kelas Al-Quran Dewasa Kg Kelantan dan Kelas Al-Quran Dewasa TIC Kota Tinggi. Diijazahkan sanad 10 Qiraat Al-Quran termasuklah Riwayat Hafs an Asim dari Mesir. Graduan Diploma Qiraat & Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin & Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Comments are closed.