Mejar (B) Dato’ Hj Mohd Said Bin Sulaiman telah dilahirkan pada 7 October , 1876 di Telok Blangah, Singapura.Bapanya Sulaiman Bin Jawa dan ibunya Selamah Binti Dato Wan Andak Bin Daeng Meng Bin Daeng Abdul Rahman.Adik beradiknya adalah Dato Daud Bin Sulaiman dan Ismail Bin Sulaiman.Beliau berkahwin dengan Datin Wan Aishah Binti Dato Wan Mohamad Don Bin Wan Nong Yahya Bin Wan Abu Talib Bin TAR.Dikurniakan 8 orang anak iaitu:-

1. Rafeah berkahwin dengan Hassan Bin Dato Abdullah Bin Dato Jaafar
2. Maimunah berkahwin dengan Wan Abdullah Bin Wan Hussin Bin Dato Penggawa Timur Wan Jaafar
3. Datin Hamidah berkahwin dengan Dato Ismail (Tok Long) Bin Abu Bakar Bin Dato Penggawa Barat Abdul Samad
4. Jaafar
5. Kapten (B) Dato’ Abd Kadir (JMF) berkahwin dengan Datin Wan Khatijah Binti Major Wan Mohamad Tahir
6. Ariff Mohd Said
7. Khatijah Mohd Said berkahwin dengan Dato Haji Mohd Said Bin Major Wan Mohamad Tahir
8. Kapten Haji Awang(JMF) berkahwin dengan Rogayah Binti Ismail Bin Sulaiman Bin Jawa

Pendidikan dan Perkhidmatan Kerajaan

Tok Major Dato Mohd Said Bin Sulaiman telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Teluk Belanga dan mula mengajian Al-Quran ketika berumur 5 tahun. Semasa dalam darjah 3 di Sekolah Melayu, beliau mula mendapat pendidikan dalam bahasa lnggeris dan meneruskan pengajian di Sekolah Inggeris Kampung Baru. Pendidikan beliau tergendala keranan mengikuti keluarganya ke Mekah dan disambung sekembalinya ke tanah air sehingga tahap Darjah 7 dan terpaksa berhenti kerana bantuan kewangan kerajaan Johor telah ditarik balik pada tahun 1894. Walaupun beliau hanya belajar hingga umur 16 tahun, asas pendidikannya seimbang dengan pendedahan awal kepada aliran Melayu dan Inggeris serta pengetahuan agama yang mendalam. Keseimbangan ini dapat dilihat dalam karyanya yang merangkumi bukan sahaja bidang bahasa dan sastera malahan pada isu-isu keagamaan.

Dalam autobiografinya, Riwayat Hidup Mejar Dato’ Haji Mohd Said Haji Sulaiman, beliau menyatakan bahawa beberapa bulan selepas tamat pengajian beliau mula bekerja menulis rencana dan menyimpan buku di sebuah syarikat percetakan ‘British and Foreign Bible Society’ di Singapura. Disitulah mulanya pendedahan beliau kepada alam penulisan. Pada tahun 1898, Tok Major masuk ke dalam perkhidmatan Kerajaan Johor bermula sebagai juruwang di Pejabat Perbendaharaan yang bertempat di Istana Besar Johor. Disanalah kerjaya beliau dalam kerajaan Johor di bawah permerhatian DYMM Sultan Johor serta interaksinya dengan para pembesar-pembesar Johor. Disamping tugasnya sebagai juruwang, Tok Major juga menjadi pembantu dan penyelidik bagi pegawai lain di dalam pejabatnya tentang hal-hal kerajaan dan persuratan Melayu. Beliau juga berkesempatan untuk bertukar fikiran dengan tokoh persuratan Melayu pada masa itu seperti Dato Bentara Dalam Muhammad Ibrahim Munsyi dan Dato’ Abdullah Bin Abdul Rahman. Dari Pejabat Perbendaharaan, beliau berkhidmat pula di Pejabat Pos Besar sehingga menjadi Ketua Pejabat Pos Besar. Pada tahun 1910, beliau telah dilantik oleh DYMM Sultan Ibrahim sebagai Setiausaha Sulit baginda, stu jawatan yang disandang selama 42 tahun hingga 1952 dan merupakan satu rekod perkhidmatan yang lama. Beliau kembali daripada persaraannya apabila baginda Sultan memintanya menyambung perkhidmatan hinggalah beliau meninggal dunia.

Timbalan Setia Negeri Johor

Selat Tebrau tenang airnya
Nampak dari Bukit Setulang
Bukit Timbalan medan khidmatnya
Meninggalkan jasa penuh cemerlang

Tok Major melibatkan diri dalam Angkatan Tentera Johor (Johore Military Forces) pada tahun 1914 sebagai Staff Officer.Beliau turut bergerak cergas dan ketika menjawat jawatan Setiausaha Sulit Sultan, Tok Major telah pun berpangkat Leftenan.Beliau banyak memberi sumbangan terhadap kemajuan Timbalan Setia Negeri.Di atas sumbangan-sumbangan itu beliau telah dikurnia pangkat ‘Major’ yang merupakan satu penghormatan yang tinggi.Nama beliau juga tercatat didalam London Gazette Mac 1918 kerana jasa-jasanya membantu pihak Inggeris dalam peperangan dunia pertama 1914-1918.Kecergasan Tok Major bukan sahaja terhad kepada Timbalan Setia Negeri malah lebih jauh dari itu.

Sebagai seorang penulis dan ahli sejarah, Tok Major sentiasa merakamkan aktiviti-aktiviti Timbalan Setia Negeri bagi tatapan generasi akan datang.

Lagu Bangsa Johor atau Lagu Selamat Johor

Lagu Bangsa Johor telah dikarang oleh bandmaster Gliston dan digunakan untuk beberapa tahun dengan iringan pancaragam.Ia dicipta berinspirasikan dari lagu dondang sayang Melayu kemudian dipinda dan ditambah hingga cukup segak, bagus dan sedap didengar.Ia digunakan sebagai ganti Tubuh DiRaja sama ada dibunyikan separuhnya atau penuh sebagaimana seperti aturan British National Anthem (lagu Selamat King) tetapi Lagu Bangsa Johor itu tidak ada bunyian seperti lagu kerajaan lain sama ada dinyanyikan sendiri atau dengan iringan pancaragam.

Tok Major Mohd Said menjadi Staff Officer JMF dan sudah bertahun-tahun beliau cuba berikhtiar bagaimana nyanyian itu patut dicipta terutama sekali dalam Inggeris.Pada tahun 1910, ketika Duli Yang Maha Mulia Tuanku berbicara dengan seorang pegawai Inggeris bernama Tuan H.A Courtney yang menjadi sub-agent bagi Hong Kong & Shanghai Bank cawangan Johor Bahru tentang Lagu Bangsa Johor, beliau menyatakan kesanggupan mencuba dan mengubahnya.Ini adalah kerana beliau pandai bermain piano.Berbekalkan sedikit kepandaian yang ada, dengan dilakukan beberapa pengubahan dan pindaan sedikit sebanyak lagu dapat dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris dan disaingkan dengan pancaragam.Tetapi terpulang kepada Tok Major bagaimana hendak dimelayukan akan ia.Hasil kerjasama Tok Major bersama Dram Mejar Abdul Rahim Bin Haji Abdul Karim dengan beberapa kali pengubahan lirik akhirnya lagu tersebut berjaya disiapkan .Setelah siap Tok Major memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Y.B Dato Mohamed Bin Mahbob dan General Advisor Tuan D.G Campbell untuk diperdengarkan.

Pada hari yang ditetapkan Y.B Dato Mohamed Bin Mahbob bersama Tuan D.G Campbell telah datang ke pejabat Bandmaster Timbalan Setia Negeri untuk memperdengarkan lagu yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu dengan iringan pancaragam.Kedua-dua mereka menyatakan ia cukup bagus dan boleh diaku pakai.Kemudian ia dinyanyikan pula dalam Bahasa Inggeris tanpa iringan pancaragam dan dengan iringan pancaragam.Dato Mohamed dan DG Campbell amat menyukainya seraya berkata ‘Beruntung betul Johor, lagu boleh dinyanyikan dalam dua bahasa.Maka moleklah diajar kanak-kanak Sekolah Melayu dan Sekolah Inggeris Bukit Zaharah supaya boleh menyanyikannya’.Seperti yang disyorkan seorang Drum Major bersama dua orang ahli pancaragam telah dihantar ke sekolah-sekolah itu untuk melatih kanak-kanak sekolah sehingga berjaya.

God Save The Sultan by H.A Courtney

God preserve the Sultan
Grant that honour, health and happiness
May be with him evermore
Long may his hand
Protect our kand
And lead his people on
Through years to be
In freedom and in unity
God bless Johore
God save the Sultan

Lagu Bangsa Johor (diMelayukan) oleh Major Dato Mohd Said Bin Sulaiman

Allah peliharakan Sultan
Anugerahkan dia segala kehormatan
Sihat dan ria kekal dan makmur
Luaskan kuasa menaungkan kami
Rakyat dipimpini berzaman lagi
Dengan merdeka bersatu hati
Allah berkati Johor
Allah selamatkan Sultan

~Penulisan dan Persuratan~

Apabila mengkaji sejarah perkembangan persuratan bahasa Melayu, Tok Mejar Dato’ Haji Mohd Said merupakan pengembang bahasa Melayu yang telah menjadi penyambung antara zaman kebangkitan persuratan Melayu di bawah era Dato Bentara Dalam Muhammad Ibrahim Munsyi dan Dato’ Abdullah Bin Abdul Rahman dan zaman pemodenan persuratan Melayu di bawah Pendita Za’ba (Zainal Abidin bin Ahmad). Dalam kesibukannya sebagai Setiausaha Peribadi kepada Almarhum Sultan lbrahim Johor, Tok Mejar merupakan seorang penulis yang prolifik dan produktif.Beliau telah menghasilkan kira-kira 90 karya yang merangkumi bidang bahasa, sastera, sejarah, keagamaan dan lain-lain karya umum. Beliau juga telah dianugerahi gelaran ‘Pendita Johor’ sebagai penghormatan di atas sumbangan beliau dalam bidang persuratan Bahasa Melayu.

Kesibukannya dalam perkhidmatan kerajaan Johor dan di bawah DYMM Sultan Ibrahim tidak menghalang Tok Major dari berkecimpung dalam bidang persuratan Melayu. Semasa beliau berkhidmat di Pejabat Besar Pos,Tok Major telah menghasilkan dua karya bercorak sejarah, Hikayat Queen Victoria dan Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar. Tok Major juga telah menulis makalah untuk jurnal ‘Malayan Branch of the Royal Asiatic Society’ dan pernah menerbitkan majalahnya sendiri yang bertahuk Peredar pada tahun 1926 yang diterbitkan hanya setahun pada mulanya.

Sumbangan Tok Major kepada dunia persuratan Melayu terserlah melalui Pakatan bahasa Melayu Persuratan Buku Di Raja Johor. Pakatan yang ditubuhkan pada tahun 1888 sebagai Pakatan Belajar Mengajar Bahasa Melayu oleh bapa saudaranya, Dato Seri Amar Di Raja Abdul Rahman Bin Dato Wan Andak telah diberi nafas baru oleh Tok Major pada tahun 1934 dengan nama barunya dan dianugerahi status DiRaja oleh DYMM Sultan Johor pada tahun 1935. Dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu, Pakatan bermatlamat untuk memelihara, melengkap dan memodenkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi melalui penyeragaman ejaan dan perkataan, mencipta perkataan baru. Pakatan juga mengembangkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan tentang persuratan Melayu melalui ceramah, penyelidikan, jurnal (Peredar) dan mengadakan perpustakaan.

Selaku Naib Yang DiPertua, Tok Major memainkan peranan besar dalam perjalanan harian dan penyusunan rancangan dan penerbitan untuk menyebarkan maklumat mengenai bahasa dan sastera. Beliau serta ahli jawatankuasanya telah menyusun dalam penghasilan buku antara lain dalam bidang sejarah, adat istiadat Melayu, catatan perjalanan ke luar negeri, pengetahuan umum, kamus dan peristilahan. Antara 1936 hingga 1947, sebanyak 16 buku bahasa telan diterbitkan oleh Pakatan.ToK Major telah mengarang dan menyusun sebanyak 25 siri Peredar antara tahun 1935 hingga 1940.

Selain daripada siri Peredar, karya Tok Major juga merangkumi pelbagai bidang termasuk buku perkataan (kamus Melayu dari huruf Alif ke Nya), buku ketetapan ejaan Melayu, buku syair dan berzanji, buku sejarah, buku gama dan lain-lain. Sebagai seorang sejarawan, Tok Major telan mengarang Hikayat Johor dan Tawarikh Al-Marhum Sultan Abu Bakar dan Tawarikh Al-Marhum Sultan Ibrahim. Semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim, adalah menjadi tradisi bagi pembesar Johor seperti Tok Major untuk melawat keluar negeri mengiringi baginda sultan. Maka terhasillah antaranya Rengkasan Tawarikh Nippon dan Tawarikh England yang berinspirasikan oleh lawatannya ke Timur, Eropah dan Timur Jauh serta beberapa makalah dalam Peredar. Beliau juga telah menerbitkan Majallah Tawarikh sebanyak enam penggal yang memuatkan sejarah Islam melalui Riwayat Nabi Adam hinggalah ke Nabi Muhammad SAW. Tok Major juga telah mengarang Permaknaan Mengaji Al- Quran al-Karim dan Permaknaan Surah Yassin. Terdapat juga beberapa karya beliau dalam bahasa Inggeris yang membincangkan isu keagamaan seperti Moslem Prayers and Fasting dan Mohamedan Calendar.

Penglibatan dan sumbangan Tok Major dalam dunia sastera Melayu amat meluas sekali. Untuk menyebarkan ilmu tentang sastera Melayu kepada masyarakat umum, beliau telah menulis Kesah Sejarah Melayu yang diringkaskan melalui Peredar. Sumbangan Tok Major dalam bidang kesusasteraan merangkumi sastera prosa seperti hikayat (Hikayat Johor dan Pahang), cerpen (Begitu Dia) dan beberapa bentuk puisi Melayu asli seperti Perihal Pengucapan, gurindam dan seumpamanya seperti Peribahasa. Beliau juga telah mempelopori warisan sastera Islam seperti syair, rubai’, nazam dan zanji. Karya beliau banyak berbentuk syair seperti Syaer Melayu dan Syaer Riwayat YAM Tengku Ampuan Besar Pahang serta syair keagamaan seperti Syaer Keadaan Tuhan dan Manusia, Dunia dan Akhirat Juga dan Syaer Simpulan Iman. Tok Major juga telah menterjemahkan rubai’ karya Omar Khayyam ke dalam bahasa Melayu iaitu Rangkaian Syaer Robeah Omar Khayyam. Beliau juga telah menulis tentang prosa berirama seperti Berzanji Narhar serta tahlilnya, bahasa Melayu berpantun dan Surat Timbalan bagi Berzanji Narhar serta Nazam Abda’ dalam Bahasa Melayu.

Pendeta Johor, Tok Mejar Dato Haji Mohd Said merupakan seorang tokoh persuratan, sasterawan, dan sejarawan Melayu yang tiada tandingannya pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua. Kerjayanya sebagai seorang pegawai kanan kerajaan dan pembesar Johor mungkin tiada memberi kesempatan untuknya mengembangkan kecintaan terhadap dunia sastera dan persuratan Melayu, tetapi hasil karyanya yang multi-disiplin dan merentasi ilmu duniawi dan akhirat menjadi bukti betapa prolifik dan produktifnya Pendita Johor tersebut. Legasi karya Tok Mejar Dato Haji Mohd Said Haji Sulaiman yang kini tersimpan dalam koleksi Universiti Malaya, Perpustakaan Negara Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan Arkib Negeri Johor yang hampir keseluruhannya dalam tulisan Jawi perlu dirumikan dan diketengahkan untuk pengkajian dan penghayatan ahli sastera, ahli agama, para akademik dan pencinta sastera dan persuratan Melayu.

Tok Major Dato Mohd Said Bin Sulaiman telah meninggal dunia pada 27 August , 1955 ketika berusia 78 tahun.Tok Major telah dikebumikan di Makam Mahmoodiah (Kota Raja/kawasan DatoDatin) berhampiran dengan ibubapa mertuanya. Al-Fatihah…
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞
مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞
آمــــــــــــــــــينَُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن…
Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang² yang beriman dan semoga rohnya dicucuri rahmat..
آمــــــــــــــــــينَُْ

Dang Ku Puteri – Gen 8 TAR

SUMBER RUJUKAN:

Riwayat Hidup Mejar Dato’ Haji Mohd Said bin Haji Sulaiman, Johor. Pulau Pinang, Nanyang Press (tiada tarikh).

Mejar Dato’ Haji Mohd Said bin Haji Sulaiman dalam kenangan. Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur 1984.

Tayah Ah. Rahman, Mengenal Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Senarai Kumpulan Dato Haji Mohd Said, Arkib Negara Malaysia.

Kumpulan Buku-buku Major Datuk Hj. Mohd Said, Arkib Negeri Johor.

Dr. Zainal Ariffin Ahmad, USM, P. Pinang

Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Ibrahim

Buku Kenangan 100 Tahun Perayaan Johore Military Forces

Salahsilah Family Of Tok Abdul Jabbar

Salahsilah Wan Nong Yahya Bin Wan Abu Talib Bin Temenggong Abdul Rahman.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.