Moving Forward As One

Pendirian Pro-Palestin Green Brigade Peminat Celtic

2,159

PayLater by Grab

Liga Perdana Scotland (Scotland Premiership) bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Dan untuk perlawanan terakhir Celtic di Celtic Park, penyokong meletakkan pelbagai kain rentang sebagai cara mengucapkan selamat tinggal kepada kapten mereka Scott Brown yang akan berpindah pada akhir musim. Tetapi bagi kumpulan penyokong tegar Hoops yang dikenali sebagai Green Brigade (Briged Hijau), mereka memilih meletakkan bendera Palestin dan mesej sokongan kepada negara Arab itu.

Rajah 1: Bendera Palestin yang dipasang Green Brigade di Parkhead. Sumber: Green Brigade

Bagaimanapun, tidak lama selepas ditinggalkan di Celtic Park, kelab memilih menanggalkan semua bendera Palestin dan kain rentang milik kumpulan itu dari ruang stadium. Pengurusan kelab dalam satu kenyataan menyelar tindakan mereka sebagai tidak boleh diterima dan mengeksploitasi perlawanan perpisahan Brown sebagai cara mengenengahkan mesej politik mereka dalam perlawanan bola sepak.

Tetapi kenyataan keras Hoops itu dibalas dengan kecaman pedas Green Brigade. Dalam satu kenyataan balas, mereka menegaskan tidak pernah mengeksploitasi perlawanan Celtic untuk mengetengahkan mesej politik. Malah, salah satu kain rentang yang dipasang membawa mesej Brown 8 iaitu jualan amal yang dilaksanakan oleh North Curve Celtic dengan hasil jualan didermakan kepada Hospital for Children di Glasgow.

Green Brigade turut menyatakan pendirian mereka membantah tindakan ga.n.as Israel terhadap Palestin dan ketidakadilan yang menimpa mereka. Bagi mereka, apa yang diperjuangkan warga Palestin sama seperti nilai perjuangan yang menjadi asas penubuhan kelab pada tahun 1887. Dengan memilih bersikap neutral dalam isu ini, kelab yang dimiliki pemegang saham majoriti Dermot Desmond dianggap sudah terpesong daripada matlamat asal kelab.

Dalam kenyataan sama, Green Brigade turut menyatakan bendera Palestin dan mesej pro-Palestin diletakkan sebagai tanda penghormatan kepada seorang penyokong Celtic bernama Salah Ajarma. Ajarma yang berdarah Palestin mengunjungi Celtic Park pada 2012 bersama sekumpulan pelarian Palestin dan berkesempatan bertemu dengan Brown selepas perlawanan. Bagaimanapun, Pengarah Pusat Lajee di Kem Pelarian Aida, Baitulaham itu kembali ke hadrat Ilahi pada 15 April lepas.

Jadi, mengapa Green Brigade amat tegas dalam isu Palestin? Jawapannya mudah, Krisis Kebuluran Ireland. Krisis yang tercetus dari 1845 hingga 1852 menyaksikan Ireland kehilangan sejuta penduduk akibat kebuluran dengan 2.1 juta penduduk lain memilih berhijrah ke Eropah dan Amerika Utara.

Salah satu lokasi yang dituju ialah Glasgow, Scotland. Bagaimanapun, kehadiran mereka dipandang sepi penduduk ketika itu kerana dari segi bangsa, budaya dan keyakinan Roman Katolik, mereka dianggap penduduk kelas kedua. Justeru, tidak hairanlah ramai orang Ireland ketika itu bergelut dengan isu kemiskinan dan perebutan hak milik tanah dan perumahan.

Bagi membantu mengurangkan isu kemiskinan terutama aspek kekurangan makanan, seorang pendeta Katolik bernama Brother Walfrid mengambil inisiatif tersendiri. Pada tahun 1887, kelab bola sepak Celtic ditubuhkan dengan tujuan menjana pendapatan agar dapat menyumbang makanan kepada pendatang-pendatang Ireland dan meringankan beban kemiskinan mereka. Dari situ, ia perlahan-lahan menjadi sumber harapan dan kebanggaan mereka sehingga hari ini.

Ini bukan kali pertama Green Brigade mengetengahkan mesej pro-Palestin di Parkhead. Pada akhir musim 2011-2012, Green Brigade mengibarkan bendera Palestin secara beramai-ramai sambil membawa sepanduk yang berbunyi “Maruah Lebih Berharga Daripada Makanan”. Ia sebagai tanda sokongan kepada ban.du.an-ban.du.an Palestin yang mengadakan mogok lapar sebagai bantahan terhadap pemen.ja.raan mereka oleh Israel.

Pada perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah 2016-2017 pula, Green Brigade menayangkan bendera Palestin semasa perlawanan Celtic-Hapoel Beer Sheva. Walaupun berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 5-2, Hoops didenda UEFA £8,615 kerana membenarkan sepanduk haram dibawa masuk ke stadium.

Rajah 2: Green Brigade mengibarkan bendera Palestin. Sumber: Russell Cheyne/Reuters.

Sebagai tindak balas, Green Brigade melancarkan derma kilat untuk membayar denda yang dikenakan terhadap Celtic. Dan hasilnya, mereka berjaya meraih £176,000 dengan baki derma didermakan kepada badan-badan kebajikan Palestin yang terpilih.

RUJUKAN

McFadyen, A. (2012). A Celtic Message to Palestine. Al-Jazeera.

Cooney, D. (2021). Green Brigade deck out Celtic Ultras section with Palestine flags ahead of final game of the season. Daily Record.

Pirie, M. (2021). Green Brigade in scathing Celtic blast as club accused of ‘cowardice’ in Palestine flag protest row. Daily Record.

Conaghan, M.P. (2016). Football and flags: Why Celtic fans back the Palestinian cause. Middle East Eye.

Salt, N. (2021). Celtic left furious at ‘unacceptable’ Palestine flag display made by fan group who ‘exploited the opportunity’ after supporters were invited into Parkhead to lay out tributes for captain Scott Brown’s final home game. Daily Mail.

Ruangan komen telah ditutup.