Pendekar Bujang Lapok Dicedok Daripada Filem Jepun?

2565
views

Pengarah berketurunan India, L. Krishnan pernah berkata di dalam sebuah temubual “P. Ramlee was very good at borrowing ideas. Number one fellow and nobody can see it”. Perkara itu merujuk kepada kehebatan P. Ramlee mencedok idea daripada filem luar dan menjadikannya sesuatu yang diingati hingga ke hari ini.

P. Ramlee gemar mengambil idea daripada filem-filem Hindi, Barat dan juga Jepun. Untuk filem Pendekar Bujang Lapok (1959), beliau dipercayai telah mencedok idea daripada filem Sanshiro Sugata (1943) yang diarahkan oleh Akira Kurosawa.

Ini bukanlah kali pertama P. Ramlee mencedok karya Akira Kurosawa. Ketika mengarahkan filem Semerah Padi (1956), P. Ramlee telah “meniru” beberapa syot yang menyerupai filem Rashomon (1950). Walau bagaimanapun, P. Ramlee bijak mengolahnya dan ramai yang tidak menyedari kerjanya itu. Hasilnya, filem Semerah Padi telah menjadi salah satu filem Melayu yang teragung dalam sejarah perfileman kita.

Sanshiro Sugata mengisahkan tentang pengembaraan seorang pemuda bernama Sanshiro (lakonan Susumu Fujita) untuk mempelajari seni mempertahankan diri iaitu judo. Ia diadaptasi daripada sebuah novel terkenal Sanshiro Sugata yang ditulis oleh Tsuneo Tomita.

Kegeniusan P. Ramlee di sini ialah beliau mengolahnya kepada pengembaraan tiga bujang lapok untuk mempelajari silat dengan seorang guru yang bernama Pendekar Mustar. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa persamaan di antara kedua-dua buah filem ini.

Antara persamaan ketara yang dapat dilihat di dalam kedua-dua filem ini ialah:

1. Pengembaraan watak utama untuk mempelajari seni mempertahankan diri;
2. Penampilan watak Ramlee seiras dengan Sanshiro;
3. Penampilan kedua-dua watak antagonis di dalam filem memakai pakaian ala barat;
4. Babak pertarungan di penambang menyerupai aksi pergaduhan di dalam Sanshiro Sugata di mana beberapa orang jahat telah dilemparkan ke dalam sungai.

Perbandingan rupa Susumu Fujita dan P. Ramlee
Babak pertarungan di penambang dalam Pendekar Bujang Lapok
Sumber foto: sgfilmlocations.com

Penulis dan pengkritik filem, Fadli al-Akiti di dalam kertas kerjanya, “Pendekar Bujang Lapok dan Sanshiro Sugata: Suatu Homaj P. Ramlee terhadap Karya Awal Akira Kurosawa?” mengatakan bahawa P. Ramlee sebenarnya memberi penghormatan (paying homage) kepada Akira Kurosawa kerana beliau sangat menyanjungi kewibawaan serta ketokohan Akira Kurosawa dalam dunia perfileman.

Filem Pendekar Bujang Lapok telah memenangi anugerah Filem Komedi Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-6 di Kuala Lumpur pada tahun 1959. Kemenangan itu juga telah mendapat pujian daripada cendekiawan Melayu terulung Pendeta Za’ba pada festival tersebut. Akira Kurosawa pula menjadi salah seorang legenda dalam dunia perfileman dan banyak filem-filem arahannya menjadi inspirasi kepada pembikin-pembikin filem di seluruh dunia.

Ternyata P. Ramlee dan Akira Kurosawa berjaya menonjolkan sesuatu yang dapat dibanggakan oleh bangsa sendiri dan karya mereka terus dikenang sepanjang zaman.

Sumber:

• Sesi pembentangan esei oleh Fadli al-Akiti: “Pendekar Bujang Lapok dan Sanshiro Sugata: Suatu Homaj P. Ramlee terhadap Karya Awal Akira Kurosawa” pada 27 Januari 2018
• Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
• Filem-Filem P. Ramlee oleh Mustafar A.R. dan Aziz Sattar
• The Films of Akira Kurosawa by Donald Ritchie
• akirakurosawa.info/sanshiro-sugata