Pencuci Mulut Yang Berupa Najis

441

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Thailand merupakan sebuah negara di benua Asia Tenggara yang bersempadan dengan negara Malaysia, India, Myanmar, Laos dan Kemboja. Negara seluas 513 120 kilometer persegi (km2) itu mempunyai penduduk hampir 70 juta orang.

Untuk pengetahuan semua, negara tersebut mempunyai 76 wilayah ataupun “Changwat (จังหวัด)” dan sebuah Kawasan Pentadbiran Istimewa yang bernama “Bangkok”. Setiap wilayah diketuai oleh seorang gabenor yang dilantik oleh kerajaan pusat.

Dalam banyak-banyak tempat di negara Gajah Putih itu, terdapat satu Changwat yang berjaya menarik perhatian penulis artikel ini. Changwat yang dimaksudkan adalah Pathum Thani.

DI MANAKAH TERLETAKNYA PATHUM THANI?

Pathum Thani (ปทุมธานี) adalah sebuah changwat yang terletak di kawasan tengah negara itu. Changwat seluas 1 526 km2 itu mempunyai penduduk seramai lebih 1.14 juta orang.
Di sekitar utara Pathum Thani, terdapat sebuah premis perniagaan yang pernah tular dalam pelbagai media. Premis tersebut menjual makanan pencuci mulut.

Premis tersebut adalah bernama Kedai Pencuci Mulut Thai Wilaiwan ataupun nama asalnya “K̄hnm thịy b̂ān wilịwrrṇ (ขนมไทยบ้านวิไลวรรณ)”. Kedai tersebut masing-masing terletak 1.8 km dari Bangkok, Thailand dan 1464.5 km dari Kuala Lumpur, Malaysia.

KEDAI PENCUCI MULUT THAI WILAIWAN

Sekitar tahun 2017, kedai tersebut pernah tular dalam pelbagai media. Hal ini kerana, pemiliknya iaitu Wilaiwan Mee Nguen telah mengeluarkan hidangan pencuci mulut yang baharu.

Pencuci mulut ciptaan beliau bukanlah seperti pencuci mulut yang biasa. Jika kita melihatnya, barangkali kita akan berasa sedikit tidak selesa. Hal ini kerana, rekabentuk pencuci mulut itu adalah seperti bentuk sisa buangan haiwan ataupun manusia.

PUDING NAJIS

Sebelum ini, kedai tersebut tular dengan pencuci mulut yang berbentuk janin anjing. Kali ini, puding yang berbentuk najis. Puding tersebut kelihatannya berlendir. Pencuci mulut  berkenaan mempunyai banyak pilihan warna iaitu warna kuning sehinggalah perang gelap.
Riuh-rendah mengenai kewujudan Puding Najis itu telah ditenangkan oleh pemilik sendiri.
Di halaman Facebook, beliau yang berusia 30 tahun itu telah mendakwa sebanyak 56 puding telah terjual sejak kali pertama diumumkan.

“Sangat pelik, tiada orang lain yang membuat bentuk najis. Orang ramai sangat menyukai ini!” kata Wilaiwan Mee Nguen dalam sebuah media tempatan di dapur rumahnya.
Di sebalik bentuk yang memberi perasaan ketidakselesaan kepada orang ramai, puding tersebut diperbuat daripada santan, gelatin dan pewarna makanan.

ILHAM PENGHASILAN PUDING NAJIS

Wilaiwan berkata, idea dalam membuat Puding Najis tersebut adalah dari pelanggannya. Salah seorang pelanggannya meminta bentuk pencuci yang luar biasa. Beliau yang menerima permintaan pelanggannya telah membuat keputusan untuk membuat bentuk yang menarik perhatian.

Pemiliknya menjelaskan, mereka berkemungkinan besar telah biasa melihat puding yang berbentuk pelbagai jenis bunga. Jadi, kewujudan puding ini dianggap kelakar kepada orang Thailand.

ALAMAT KEDAI PENCUCI MULUT

Kepada pembaca yang ingin ke Thailand selepas segalanya reda, anda boleh ke sana dengan menggunakan alamat di bawah.

“8 Soi Mu Ban Mueang Pracha 8, Bang Khu Wat, Mueang Pathum Thani District, Pathum Thani 12000, Thailand”

Anda boleh merasai kelazatan pencuci mulut Puding Najis ini dengan harga 25 Bhatt sahaja ataupun bersamaan dengan RM 3.38. Penukaran kepada matawang Malaysia itu adalah pada saat artikel ini ditulis.

Kesimpulannya, itu adalah maklumat ringkas tentang kewujudan pencuci mulut yang berbentuk sisa buangan manusia ataupun haiwan. Soalan penulis kepada para pembaca, adakah anda ingin merasai kelazatan pencuci mulut itu? Harap berikan maklumbalas anda kepada kami di dalam ruangan komen di bawah.

Selain itu, adakah anda pernah mendengar tentang apa-apa makanan yang berbentuk sisa buangan manusia ataupun haiwan? Harap berikan juga maklumbalas anda kepada kami di dalam ruangan komen di bawah.

RUJUKAN:

Poop Pudding: Thai people go crazy for crap-shaped snack https://coconuts.co/bangkok/news/poop-pudding-thai-people-go-crazy-crap-shaped-snack-photos/?fbclid=IwAR14BZRiRU6v8I9aQ1jwCx3N-I_S6BM1qMKQdxP2o2ByqvOW2ylhjVEAtl

In Thailand, A Dessert-Maker Is Flooded With Poop-Shaped Sweet Orders. https://www.outlookindia.com/newswire/story/in-thailand-poop-shaped-desserts-are-in-huge-demand/971097

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.