Pencetus Jihad – “Dahagi” 1915 Tumpahnya Darah Pejuang

Apakah kejadian yang mencetuskan Jihad Dato’ Bahaman, Tuk Gajah (Imam Perang Rasul), Mat Kilau, Tuk Janggut dan Tuk Ku Paloh? Ada peristiwa-peristiwa yang amat terkesan di hati Melayu Islam pada waktu itu. Penjajahan British dan kesan perang dunia pertama merupakan intipati penting dalam kebangkitan Jihad ini.

1-Aktivis hak asasi Islam, pemilik kedai kopi Kasim Mansur dan pendakwah Nur Alum Shah telah melaungkan untuk menumpasan empayar British sebagai perang jihad kerana kerajaan Uthmaniyah Turki memerangi Britain dan Perancis. Kasim dan Nur Alum telah terlibat dalam apa yang dikenali sebagai peristiwa berdarah di Singapura pada tahun 1915. Mereka ditangkap, dibicarakan dan dihukum tembak bersama pejuang lain yang dianggap sebagai pemberontak.

2-Pada mulanya mereka itu terdiri daripada askar Muslim dari India yang ditempatkan di Singapura untuk dihantar ke medan pertempuran di Eropah. Tetapi mereka telah menyertai umat Islam tempatan di Singapura dan Johor. Umat Islam yang lain, seperti bekas editor Neracha, K. Anang, telah diusir keluar ke Jawa.

3-Pelbagai perlakuan penjajah British yang tidak diketahui ramai. Pihak British, khuatir umat Islam bersimpati dengan Turki, atau Khalifah Uthmaniyyah, sekutu kuasa-kuasa Tengah dan dengan itu telah mengharamkan berita dari agensi berita asing bebas yang melaporkan kemajuan Turki semasa perang, seperti kegagalan serangan British di Gallipoli, Turki pada tahun 1915. Malahan penulisan mengenai hak orang Melayu dan umat Islam diharamkan dari penerbitan manakala usaha mengumpul dana melalui akhbar dan sembahyang hajat untuk mendoakan kemenangan bagi empayar Uthmaniyyah diharamkan.

4-Penyekatan berita dan penapisan telah menjejas beberapa akhbar seperti surat berita Melayu popular Neracha, yang telah menimbulkan kesedaran di kalangan orang Melayu mengenai tuntutan kemerdekaan secara terang-terangan. Penutupan Neracha merupakan satu tamparan hebat kepada ramai orang Melayu yang tidak mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan berita.Namun demikian kawalan ketat itu tidak dapat menyekat kekaguman orang Melayu terhadap empayar Uthmaniyyah dan khalifahnya.

5-Khalifah Uthmaniyyah dilihat sebagai pemimpin empayar terbesar Islam dan sumber kebanggaan bagi umat Islam di seluruh dunia. Ini mencetuskan beberapa kebangkitan dan rusuhan yang melibatkan orang Islam hingga ia ditumpaskan dengan kejam oleh British. Tindakan British itu adalah penindasan terhadap gerakan kemerdekaan awal dengan mereka yang terlibat dikenakan hukuman kejam sebagai ‘pengkhianat’ dan dalang.

6-Walaupun peperangan tidak berlaku di Malaya, tanah jajahan British semasa Perang Dunia pertama antara 1914-1918, rakyat biasanya mengalami penderitaan ekonomi, pergolakan sosial serta penindasan terhadap hak asasi mereka. Tonggak ekonomi Malaya ketika itu, getah dan timah, terjejas teruk akibat peperangan sehingga membawa kepada penderitaan teruk terhadap pekerja dalam industri itu terutamanya pekebun kecil Melayu dan pekerja lombong timah.

7-Penjajahan British juga mengenakan sekatan akhbar ketika itu selain menyekat eksport getah kepada musuhnya Jerman, Austria dan Turki. Larangan eksport itu dikenakan di seluruh dunia untuk menghalang musuhnya daripada mengimport bahan itu melalui negara-negara berkecuali. Malah Amerika Syarikat, yang ketika itu tidak memihak kepada mana-mana negara, juga tidak terkecuali dari sekatan itu. Bagaimanapun Amerika diberikan kelonggaran apabila ia menyertai peperangan memihak ke Britain pada tahun 1917. Industri motor Amerika amat bergantung kepada import getah daripada empayar British.

8-Ekonomi menjadi lebih buruk akibat kemerosotan industri getah berikutan lebihan pengeluaran dan kejatuhan harga. Ladang-ladang besar milik British mengurangkan tenaga kerja yang kebanyakannya pekerja tempatan. Mereka yang dibuang kerja tidak mendapat ganti rugi, walau pun London kemudiannya membayar pampasan kepada estet milik Eropah selepas berakhirnya perang.

9-Untuk membiayai perang di Eropah, penjajah British telah mengenakan cukai yang lebih berat yang tidak dapat diterima oleh orang Melayu miskin hingga  menimbulkan sentimen anti-British. Dengan kedudukan kewangan yang ketat dan ekonomi merosot, pihak berkuasa British hanya membenarkan ladang membayar pekerja dengan barangan keperluan dan tidak lagi secara tunai. Dasar British itu bukan sahaja membawa kepada kemerosotan ekonomi, tetapi juga menimbulkan kemelut sosial dan penindasan, terutama di kalangan orang Melayu.

10-Satu lagi peristiwa berdarah yang menyedihkan yang turut disebut adalah apa yang dikenali sebagai Pemberontakan Petani di Pasir Putih, Kelantan yang dipimpin oleh Haji Mat Hassan atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut.Tok Janggut yang dipengaruhi oleh gerakan jihad terhadap empayar British sedih melihat orang Melayu miskin dibebani dengan cukai, di diskriminasi selain rakyat Melayu Kelantan diberi layanan buruk oleh British. Tok Janggut kemudiannya ditangkap, ditembak oleh skuad penembak dengan mayatnya yang ditelanjangkan digantung terbalik untuk tontonan umum. Al- fatihah.

11-Pengkaji Sejarah menyimpulkan bahawa Perang Dunia Pertama adalah konflik global antara kuasa-kuasa besar Eropah yang mahu melindungi kepentingan jajahan mereka tetapi telah menyebabkan kesengsaraan di wilayah yang tidak terbabit secara langsung dengan peperangan itu.

12-Bagaimana pun orang Melayu melihatnya sebagai suatu serangan ke atas umat Islam hingga meninggalkan kesan mendalam kepada mereka dan membentuk kesedaran politik Melayu terhadap penjajahan Barat yang kemudiannya membawa kepada kebangkitan gerakan kebangsaan di wilayah Nusantara.

Serangan ke atas umat Islam masih berlaku dan dilakukan dengan cara yang halus lagi tertib. Bukan sahaja kekuasaan dalam Ekonomi itu penting, tetapi jua kekuasaan dalam politik yang boleh terlepas dari kalangan umat Islam boleh mengakibatkan kedudukan Islam itu terancam.

Jihad dalam Islam merangkumi pelbagai keadaan semasa. Siapkan diri anda wahai Melayu Islam.

Rujukan:

1- Pakar Sosiologi: Perang Dunia Pertama Mengakibatkan Penderitaan Ekonomi Dan Pergolakan Sosial Di Malaya. http://www.ukm.my/news/arkib-berita/year-2014/ogos-2014/pakar-sosiologi-perang-dunia-pertama-mengakibatkan-penderitaan-ekonomi-dan-pergolakan-sosial-di-malaya/

2- Perjuangan Tok Janggut: Satu Realiti kepada Kebangkitan Nasionalisme.
http://www.arkib.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=115cb5dd-a719-4fd3-ab73-c088fca16d4d&groupId=10157