Penceraian Ibu Mengandung: Moral Dan Perundangan

209

Apabila berbicara tentang undang-undang keluarga Islam, adalah hampir mustahil untuk anda mengelak dari membaca dan merujuk kes artis dan selebriti di Malaysia. Ini kerana artis dan selebriti adalah antara golongan yang sering terlibat dalam masalah undang-undang keluarga Islam yang menyebabkan kes-kes mereka menjadi rujuk pandang dalam perundangan.

Kamu bukalah isu penceraian, isu nafkah, isu gantung tidak bertali dan pelbagai lagi isu undang-undang keluarga dan saya berani jamin kamu akan jumpa kes artis sekurangnya satu. Saya berkata sedemikian kerana ada yang memandang serong kami yang mengulas kes artis dari sudut undang-undang.

Ini penulisan mudah. Saya sekadar ingin menerangkan pada orang awam. Kerana saya melihat sudah ada cubaan mencemuh undang-undang syariah dan ada pihak yang cuba meneguk di air keruh memburukkan Islam di Malaysia.

Pandangan Islam mengenai menceraikan isteri sewaktu mengandung ada dua.

Bagi Mazhab Shafie ianya ialah harus. Harus dalam Bahasa Inggerisnya bermaksud permissible/it is allowed to be done. Ia dibolehkan. Ingin buat tidak apa tidak ingin buat tidak apa. Ia tidak bermakna “mesti dibuat” seperti mana maksud terjemahan Bahasa Melayu Harian. Bukan terjemahan Bahasa Melayu undang-undang.

Sejujurnya kamus dewan juga menggunakan terjemahan Bahasa Melayu undang-undang bagi maksud “harus” iaitu “boleh dilakukan dan boleh juga ditinggalkan”. Persepsi yang “harus” itu bermaksud “mesti dilakukan” sahaja datang dari kesalahan penggunaan vokab Bahasa Melayu bagi perkataan “harus” sehingga ianya menimbulkan persepsi buruk.

Konsep ini sama dengan perkataan “damage” dalam Bahasa Inggeris. Dalam terjemahan Bahasa Inggeris harian biasa “damage” bermaksud kerosakan atau kecederaan. Namun dalam Bahasa Inggeris perundangan ia membawa maksud “pampasan”.

Bagi Mazhab Maliki pula ianya ialah “haram”. Haram dalam Bahasa Inggeris bermaksud “illegal” dan dalam Bahasa melayunya ialah “salah”.Malaysia dalam perundangan Islam secara majoritinya berpegang pada pandangan Mazhab Shafie. Maka dalam isu menceraikan isteri sewaktu mengandung Malaysia memegang hukum harus.

Setelah anda memahami konsep di atas disini saya ingin menceritakan satu perkara.

“UNDANG-UNDANG SIVIL JUGA MEMBENARKAN BERCERAI DENGAN ISTERI SEWAKTU MENGANDUNG”

Malah hampir kesemua undang-undang sivil di negara-negara lain juga membenarkan perkara ini dilakukan. Sama seperti syariah. Ini sekali gus bermakna tidak ada undang-undang di Malaysia, baik sivil atau syariah yang menghalang untuk bercerai dengan isteri sewaktu mengandung.

Namun kedua mahkamah sivil dan juga mahkamah syariah mempunyai cara prosedur tersendiri bagi menguruskan isu perceraian sewaktu mengandung ini. Mahkamah sivil seperti mahkamah di US mungkin mencadangkan agar penceraian ditangguhkan sehingga anak tersebut lahir terlebih dahulu.

Manakala mahkamah syariah pula memanjangkan tempoh edah (tempoh dimana wanita islam yang bercerai tidak dibenarkan kahwin selagi belum selesai tempoh) sehingga anak itu lahir. Tujuan kedua mahkamah adalah sama. Demi memastikan kesihatan ibu terjaga dan menggalakkan penceraian tersebut tidak diteruskan demi masa depan anak dalam kandungan.

Jadi mengapakah begitu ramai yang marah jika perkara ini tidak salah dalam mana-mana undang-undang?

Ia kerana persepsi moral. Sebelum saya pergi lebih jauh ingin saya katakan anda tidak perlu risau jika anda merasa marah membaca isu ini. Anda tidak semestinya salah. Persepsi moral juga alat yang penting dalam menelaah isu perundangan. Cuma anda harus fahami apa yang saya katakan dibawah:

Apa yang salah pada moral, tidak semestinya salah dalam undang-undang.

What is morally wrong, can be legally right.

Antara contoh yang paling popular bagi isu legally right namun morally wrong ini ialah isu manifesto. Tahukah anda, di Malaysia dan di seluruh dunia, adalah tidak salah dalam mana-mana undang-undang, untuk ahli politik melanggar manifesto mereka. Biarpun ini bermakna mereka mungkir janji atau menipu pengundi mereka. Ia hanya salah dari segi moral bukan salah dari segi perundangan.

Ramai manusia dalam dunia, merasakan moral harus diselarikan dengan perundangan. Pada pandangan saya sendiri saya berada di titik tengah. Biarpun elemen moral adalah penting dalam perundangan namun isu moral adalah perkara yang menghampiri perdebatan falsafah yang boleh lari dari perdebatan undang-undang.

Ini kerana moral setiap individu berbeza-beza. Jika dalam Islam ini kerana tahap keimanan manusia adalah berbeza-beza hatta manusia itu anak dan bapa sekalipun. Dalam dua manusia yang beriman sekalipun, satu pihak boleh menerima sesuatu perkara namun satu pihak lagi mengangap perkara tersebut adalah salah. Seperti pandangan mazhab Shafie dan mazhab Maliki berbeza dalam isu penceraian sewaktu isteri mengandung ini.

Namun pandangan Mazhab Shafie yang meletakkan hukum harus itu juga bersebab. Dan sebab itu tidak lari jauh dari jauh juga dengan pandangan Mazhab Maliki. Ini kerana hukum harus dalam Islam boleh bertukar kepada haram. Proses pertukaran hukum ini bergantung pada fakta kes di mahkamah. Jika fakta kes tersebut mendapati bahawa terdapat bukti penganiayaan terhadap wanita maka mahkamah boleh mengubah hukum kepada haram dan menerima pendapat mazhab Maliki pula.

Punca mengapa Mazhab Shafie meletakkan hukum harus juga kerana terdapat beberapa kes lain yang mana kandungan wanita tersebut bukan dari benih suami. Ini bermakna wanita tersebut mengandung kerana curang. Dalam situasi tersebut adalah tidak adil bagi suami jika beliau tidak boleh menceraikan isteri yang sedang mengandung kerana kandungan tersebut bukan anak beliau.

Malah ia boleh menjurus kepada dosa lain pula iaitu dosa dayus. Maka Mazhab Shafie meletakkan hukum harus. Perlu anda ketahui biarpun Mazhab Shafie meletakkan hukum harus dan Mazhab Maliki meletakkan hukum haram, kedua mazhab tersebut sepakat mengangap talak telah sah jatuh dalam situasi ini.

Adalah sukar untuk menentukan standard moral mana yang perlu diikuti. Jika kesemua standard moral diterima maka kecelaruan undang-undang boleh menjadi serius dan mahkamah kita menjadi seperti sarkas. Maka di sinilah hakim mahkamah akan memainkan peranan mereka sebagai hakim demi memberi keadilan yang sewajarnya pada semua pihak.

Begitulah perundangan. Baik sivil dan baik syariah. Kita tidak boleh mengangap undang-undang itu hanya untuk satu pihak saja. Kedua undang-undang dan moral adalah penting dalam proses keadilan.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.