Pencarian Makam Genghis Khan

331

“A grieving army carried his body home, killing anyone it met to hide the route. When the emperor was finally laid to rest, his soldiers rode 1,000 horses over his grave to destroy any remaining trace”. (History of Mongol, 1240).

Tugu Genghis Khan yang dibangunkan oleh pihak kerajaan Mongol di tebing sungai Tuul (54 km dari ibukota negara Mongol, Ulaanbatar). Dibawah tugu ini merupakan muzium yang menyimpan pelbagai khazanah penting yang menghubungkaitkan dengan sejarah empayar Mongol dibawah pemerintahan Genghis Khan.

Selesai membaca tentang kajian dan penulisan para pemburu makam Genghis Khan. Ada yang mengambil masa selama 40-60 tahun hidupnya diabadikan kepada pencarian makam pengasas empayar Mongol dan pra-Dinasti Yuan ini, tetapi hasilnya tetap nihil.

Ada pelbagai kisah yang mengaitkan kematian penguasa yang berjaya merobohkan Tembok Besar China iaitu seperti di dalam catatan pengembara terkenal Marco Polo, ketika mengunjungi tanah besar China pada zaman pemerintahan Kublai Khan (Dinasti Yuan), mengisahkan bahawasanya Gengis Khan meninggal dunia daripada luka panahan di lutut ketika dalam pengepungan ke atas istana Caaju.

Catatan dari Galician-Volhynian Chronicle pula mengisahkan Genghis Khan meninggal dunia ketika dalam ekspedisi perluasan kuasa ke atas kerajaan Xi Xia di selatan Xia. Dan catatan kuno yang ditulis setelah kematian Genghis Khan iaitu Secret History of the Mongols, merekodkan yang Genghis Khan meninggal dunia apabila jatuh daripada kuda ketika mana baginda sedang berburu di hutan.

Tetapi daripada semua catatan di atas, hanya satu catatan yang dikenalpasti sebagai kisah sebenar bagaimana Genghis Khan meninggal dunia.

Dalam buku ‘In the Footsteps of Genghis Khan’ oleh John de Francis, yang menulis kisah ini daripada cerita yang diturunkan turun temurun oleh puak-puak yang tinggal di Mongol iaitu ketika mana baginda dalam kempen penaklukan ke atas Dinasti Xi Xia di Xia selatan. Setelah memenangi pertempuran ini, Genghis Khan menangkap puteri Dinasti Xi Xia, Khatun Gol sebagai tebusan perang. Ada dua versi dalam catatan ini, iaitu puteri Khatun Gol membunuh Genghis Khan ketika baginda ingin merogol beliau dengan sebilah belati yang disisipkan di dalam lengan bajunya.

Versi kedua pula, puteri Khatun Gol membunuh Genghis Khan ketika baginda sedang tidur. Setelah membunuh Genghis Khan, puteri Khatun Gol melarikan diri lalu terjun ke dalam sungai Kuning dan pada masa sekarang sungai tersebut dikenali sebagai sungai Kuning Khatun Gol.

Tetapi setelah diselidiki, kisah ini berkemungkinan hanya diciptakan oleh musuh ketat Genghis Khan sendiri, iaitu puak Oirat. Puak Oirat atau Mongol Selatan ini sememangnya dikenali dalam sejarah Mongol sebagai seteru paling kuat Genghis Khan kerana puak ini pernah berjuang di bawah bendera Jamukha sebelum Genghis Khan berjaya menyatukan puak-puak di tanah Mongol. Setelah kematian Genghis Khan, maka puak Oirat menciptakan gosip murahan sebegini untuk merendahkan martabat agung seorang Khan.

Hanya ada satu sumber yang disokong oleh majoriti sejarawan penyebab kematian Genghis Khan iaitu ketika dalam ekspedisi penaklukan Dinasti Xi Xian. Setelah kejatuhkan ibu kota Dinasti Xi Xian, Yinchuan, Genghis Khan dibunuh (tiada catatan bagaimana baginda dibunuh) pada tanggal 18 Ogos 1227 M.

Baik, setelah kematian Genghis Khan ini, para jeneral dan anaknya berbincang dimana lokasi yang tepat untuk menguburkan jasad pemimpin yang dihormati ini. Di dalam buku ‘History of the Mongols’ (catatan yang ditulis pada tahun 1240 M) mencatatkan yang Genghis Khan pernah berkata:

“Kuburkan aku di sini ketika aku sudah meninggal dunia”.

Di sini di dalam catatan ini merujuk kepada sebuah tempat bernama Kheenti Aimag iaitu tempat di mana Genghis Khan dilahirkan, menghancurkan para musuhnya dan mengakui kesucian Gunung Burkhan Khaldun (Gunung Kheenti) sendiri. Kawasan di sinilah yang dianggap majoriti sejarawan sebagai tapak pemakaman Genghis Khan.

Tetapi dakwaan ini ditolak oleh Alan Nichols, Presiden ke-42 Explorers Club yang juga menghabiskan masa selama 60 tahun mempelajari dan mengeksplorasi gunung Burkhan Khaldun.

Kawasan pergunungan Khentii yang dipercayai sebagai tempat istirahat terakhir Genghis Khan

Alan mengatakan yang makam Genghis Khan tidak terdapat dikawasan tersebut, malahan ia ada di lokasi yang jauh atau tertentu, ianya amatlah rahsia. Itu sebab mengapa pemakaman Genghis Khan teramat ketat sehinggakan rombongan yang membawa jasad Genghis Khan untuk ditanam melakukan tiga pembunuhan, iaitu:

1. Membunuh sesiapapun (penduduk, pedagang) yang terserempak dengan rombongan ini.

2. Para penggali yang ditugaskan untuk menyiapkan makam Genghis Khan dibunuh oleh tentera yang mendampingi rombongan tersebut.

3. Para tentera yang membunuh para penggali juga dibunuh oleh orang-orang kepercayaan jeneral yang dilantik oleh Genghis Khan. Dianggarkan seramai 1000 orang tentera Mongol dibunuh sebagai tanda taat setia kepada Khan Agung.

Punyalah rahsia sampaikan peristiwa ini membawa maksud: “Let my body die, but let my nation live”.

Rute perjalanan rombongan pemakaman Genghis Khan, yang didakwa oleh Alan Nichols sebagai lokasi yang berkemungkinan terletaknya jasad Genghis Khan mengikut pada rekod catatan sejarah dan ianya merupakan laluan yang paling singkat untuk dicapai ke daratan Mongol dari pergunungan Liupan, China.

Selain itu, rute perjalanan ahli rombongan tersebut turut dikaji oleh Alan iaitu dibawah nama ‘Alan Nichols’ route’. Daripada kajian ini juga, memungkinkan Alan untuk menjejak lokasi-lokasi yang ditempuhi oleh ahli rombongan tersebut, kerana dipercayai rute yang digunakan ahli rombongan terbabit merupakan rute perjalanan yang mengambil masa singkat dari gunung Liupan ke tempat pemakaman tersebut. Tempat tersebut ditandai oleh Alan sebagai Gunung X. Alan mendakwa bahawasanya kemungkinan kawasan ini sebagai tempat istirahat terakhir Genghis Khan.

Tetapi walaupun pelbagai kawasan yang diterokai, berapa lama masa yang diambil untuk menemui makam Genghis Khan, Alan tetap menyatakan seberapa lama pun mencarinya, sehebat mana pun menyelesaikan teka-teki ini, misteri lokasi makam Genghis Khan tidak akan ditemui buat selama-lamanya.

Kenapa perlu dicari jikalau saat pemakamnya juga ramai manusia dibunuh hanya semata-mata untuk sebuah jasad yang tidak bernyawa?

Walaupun banyak ekspedisi yang dilancarkan oleh ahli arkeologi dan sejarah dalam membawa misi menemui makam Genghis Khan, tetapi ekspedisi ini dipandang oleh masyarakat Mongol tempatan sebagai perbuatan yang tidak baik.

Masyarakat Mongol menginginkan makam moyang mereka ini tidak ditemui walau apa pun caranya kerana beranggapan yang makamnya adalah sebuah sumpahan, kerana sesiapa yang berani menganggu tempat istirahatnya akan mati dalam keadaan mengerikan ataupun dunia akan menjadi kacau bilau.

Kisah ini sama seperti peristiwa penemuan makam Temur Lenk (cicit Genghis Khan) oleh Soviet Union dan keesokan harinya, terjadinya Perang Dunia Kedua. Kemungkinan penemuan makam Genghis Khan akan menyebabkan meledaknya Perang Dunia Ketiga? Itulah persoalan yang sering ditakuti oleh masyarakat Mongol tempatan sehingga kini.

Sebarkanlah berita sumpahan atau menemui kegagalan banyak kali, tetapi ekspedisi memburu makam Genghis Khan tidak pernah berakhir, malahan teka-tekinya akan terus digali buat selama-lamanya. Beruntunglah kepada sesiapa yang menemui makam Genghis Khan, kerana dikatakan di dalam makamnya terdapat harta benda berharga dari seluruh jajahan takluknya, harta karun yang tidak terbayangkan oleh akal dan tidak mampu diungkapkan oleh kata-kata.

Misteri makam Qinshihuang yang dipenuhi oleh merkuri tak boleh kalahkan misteri makam Genghis Khan ni. Imbasan dari satelit pun tak dapat jumpa tanda-tanda makam ini berada di atas muka bumi.

Bahan bacaan yang berkaitan:

1. https://www.thepatriots.asia/genghis-khan-pengasas-kepada-…/

2. https://www.thepatriots.asia/genghis-khan-dan-kehancuran-k…/

3. https://www.thepatriots.asia/maharaja-babur-pengasas-empay…/

RUJUKAN:

1. Search to Find Tomb of Genghis Khan Picks up Pace oleh Dhwty (Ancient Origin).

2. Genghis Khan oleh Brenda Lange.

3. Genghis Khan and the Making of the Modern World oleh Jack Weatherford.

4. Genghis Khan: Life, Death, and Resurrection oleh John Man.

5. Genghis Khan’s Tomb oleh Alan Nichols.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.