Pencairan Global Membebaskan Penyakit Berbahaya

798

Kebanyakkan daripada kita pasti pernah mendengar mengenai risiko pemanasan global yang akan meningkatkan paras laut dan menenggelamkan sebahagian besar daripada beberapa tempat yang terletak di pesisiran pantai. Namun, kini para saintis mulai mendapat tahu mengenai kesan-kesan lain yang lebih menakutkan apabila lapisan-lapisan ais ini mulai mencair.

Pada tahun 2016, kita digemparkan oleh kematian seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun di sebuah kawasan di Siberia. Para doktor terkejut apabila mendapati pesakit tersebut maut disebabkan oleh kuman Anthrax. Bukan itu sahaja, orang ramai yang tinggal berdekatan dengan kawasan tempat tinggal pesakit juga dimasukkan ke hospital setelah para doktor mendapati mereka dijangkiti oleh kuman yang dikatakan langsung tidak patut wujud di kawasan tersebut.

Namun, apa perkaitan jangkitan kuman ini dengan pemanasan global? Sebelum itu, kita perlu mengetahui sedikit terminologi asas untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas mengenai perkara ini, iaitu permafrost.

Permafrost adalah air yang membeku dan menjadi sebahagian daripada tanah (frozen ground). Air yang membeku ini layak digelar permafrost sekiranya ianya kekal beku selama 2 tahun berturut-turut tanpa mencair tidak kira pada musim apa sekalipun. Lapisan ini sebenarnya mengandungi lebih kurang 70 peratus simpanan air tawar (fresh water reserve) di muka bumi ini.

Lapisan ini mulai terbentuk selapis demi selapis mengikut peredaran masa dan suhu, memerangkap segala jenis hidupan yang terdiri daripada haiwan, tumbuhan dan segala mikroorganisma di dalamnya. Lapisan baru di atasnya muncul kemudian, memerangkap segalanya, dan proses ini berulang-ulang menjadikan lapisan permafrost ini kadangkala mencapai sehingga 1500 meter kedalamannya.

Proses sebegini menjadikan semakin dalam lapisan itu, semakin zaman dahululah hidupan yang terperangkap di dalamnya. Pada kedalaman beberapa meter, kehidupan yang terperangkap boleh menjadi kehidupan yang wujud berdekah-dekad tahun dahulu. Proses ini dikatakan bermula ribuan tahun dahulu sejak zaman ice age semasa Sabretooth tiger dan wooly mammoth masih wujud lagi.

Namun, sejak zaman moden ini, manusia membebaskan bertan-tan gas karbon dioksida yang bertanggungjawab dalam meningkatkan suhu muka bumi ini dan menyebabkan kesan rumah hijau yang terjadi iaitu pemerangkapan haba yang menyebabkan pemanasan global, khususnya di Antartika di mana suhunya meningkat tiga kali ganda lebih cepat berbanding kawasan lain.

Bakteria anthrax yang menjangkit pesakit di Siberia dikatakan berasal daripada rusa yang mati akibat jangkitan ini, yang menjadi satu wabak pada masa itu. Para saintis tahu, jangkitan tersebut hanyalah ‘tip of the iceberg’ sahaja, kerana jumlah biomass Bakteria yang terperangkap di dalam lapisan permafrost dianggarkan 1000 kali ganda lebih tinggi daripada jumlah biomass seluruh manusia yang hidup di dunia pada waktu ini.

Pencairan Permafrost sekiranya tidak dibendung dengan cepat akan mendedahkan lebih banyak bakteria dan virus yang berbahaya seperti kubur mangsa jangkitan smallpox mahupun bubonic plague. Walau bagaimanapun, kebanyakan bakteria yang boleh terselamat dan mempunyai kebolehan untuk hidup kembali setelah beribu tahun berada di dalam keadaan yang dipanggil sebagai cryogenic stasis ini mempunyai kebarangkalian yang rendah untuk menjangkiti manusia yang berdarah panas, namun, disebabkan oleh jutaan jenis bakteria yang terperangkap itu, maka, kita tidak boleh ambil mudah mengenai risikonya terhadap manusia.

Kedua, apabila lapisan permafrost ini mula mencair, isinya akan terbebas ke dalam laut. Disebabkan isinya yang mengandungi bakteria yang banyak, maka, ais yang mencair ini akan meningkatkan kadar nutrien ke dalam air laut. Apa pula kesannya?

Ya, kesan planktonic bloom akan berlaku di mana pertumbuhan plankton akan meningkat dengan tinggi, dan menggunakan oksigen yang banyak yang terkandung di dalam laut. Hal ini akan menyebabkan mana-mana hidupan laut yang memerlukan oksigen mati atau tidak dpat membesar dengan sempurna. Penangkapan ikan secara berleluasa juga hanya akan memburukkan lagi keadaan yang sememangnya telah pun buruk setakat ini.

Jadi, ini adalah 2 kesan lain yang dibawa oleh pemanasan global. Sekiranya tiada kawalan dilaksanakan, dan pembebasan gas karbon dioksida dibebaskan oleh negara-negara besar sesuka hati tanpa boleh dikawal, maka bersedialah kita semua umat manusia untuk menghadapi kesan-kesan yang mempunyai potensi membunuh jutaan manusia dan haiwan lain di dunia ini.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.