Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “pemurnian” telah ditakrifkan sebagai “perihal atau perbuatan memurnikan”. Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia, “bahasa” telah ditakrifkan sebagai “sistem lambang bunyi yang digunakan untuk mengidentifikasikan diri”.
Anglish Moot adalah pemurnian Bahasa Inggeris. Menurut Merriam Webster, “Moot” telah ditakrifkan sebagai “untuk memulakan perbincangan”. Istilah “Anglish Moot” berasal daripada Proto-Jermanik, *angulaz (Cangkuk) dan *mōtą (Mesyuarat).
Béka Melayu adalah pemurnian Bahasa Melayu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “Beka” telah ditakrifkan sebagai “cakap”. Perkataan “Beka” sepadan dengan “bigkas” (sebutan) dalam Tagalog. Istilah “Melayu” dipercayai berkaitan dengan “layar”.
Apakah persamaan dan perbezaan antara Anglish Moot dengan Béka Melayu? Barangkali artikel ini dapat menjawab sedikit persoalan kita. Harap kita dapat membaca artikel ini dengan hati yang terbuka.
PEMURNIAN BAHASA
Antara persamaan yang terdapat dalam Anglish Moot dan Béka Melayu ialah pemurnian bahasa. Kedua-dua projek tersebut membersihkan bahasa masing-masing daripada unsur luar. Unsur luar tersebut digantikan dengan inovasi jati daripada unsur serumpun.
SUMBER PEMURNIAN BAHASA
Antara perbezaan yang terdapat dalam Anglish Moot dan Béka Melayu ialah sumber pemurnian bahasa. Anglish Moot terhad kepada unsur-unsur Jermanik, manakala Béka Melayu menerima kesemua unsur jati Austronesia. Unsur jati Austroasiatik yang sedia ada masih dikekalkan.
Ini bermakna, Anglish Moot hanya menerima unsur Inggeris Jati, Jerman, Belanda, Sweden, Denmark, Gothik, dan sebagainya. Béka Melayu pula menerima unsur jati Melayu, Minangkabau, Temuan, Jakun, Iban, Kadazan, Jawa, Malagasy, Hawaii, Samoa, Amis, dan sebagainya.
Justeru “Anglish Moot” secara teknikalnya ialah penjermanikan Bahasa Inggeris, manakala “Béka Melayu” ialah pengaustronesiaan Bahasa Melayu. Kedua-dua projek tersebut barangkali masing-masing dikenali sebagai “Germanicised English” dan “Austronesianised Malay”.
PENGGUNAAN SEHARIAN
Antara persamaan yang terdapat dalam Anglish Moot dan Béka Melayu ialah penggunaan seharian. Tiada orang yang menggunakan kedua-dua pemurnian bahasa tersebut di dalam dunia nyata. Walaubagaimanapun, unsur tertentu dalam pemurnian tersebut wujud dalam dunia nyata.
Anglish Moot menggunakan “Sourstuff” untuk menggantikan perkataan “Oxygen” yang berasal daripada Perancis, “oxygène”. Perkataan “sourstuff” adalah sepadan dengan “Sauerstoff” dalam Bahasa Jerman. Perkataan tersebut berasal daripada Proto-Jermanik, *sūraz dan *stuppōną.
Béka Melayu menggunakan “Keratuan” untuk menggantikan perkataan “Istana” yang berasal daripada Sanskrit, “Asthana (आस्थान)”. Perkataan “Keratuan” adalah sepadan dengan “Kraton” dalam Bahasa Jawa. Perkataan “ratu” berasal daripada Proto-Malayo-Polinesia, *datu.
SISTEM TULISAN
Antara perbezaan yang terdapat dalam Anglish Moot dan Béka Melayu ialah sistem tulisan. Ketika artikel ini ditulis, pengikut Anglish Moot belum lagi menetapkan tulisan rasmi. Untuk Béka Melayu, mereka telah memilih satu tulisan rasmi.
Untuk pengetahuan semua, Béka Melayu telah memilih “Surat Beringin” sebagai tulisan rasmi mereka. Surat Beringin telah diubahsuai daripada “Aksara Beringin”. Mereka memilih “Surat Beringin” kerana tidak dipengaruhi oleh unsur luar, di samping kebenaran pemilik asal “Aksara Beringin”.
TATABAHASA
Antara perbezaan yang terdapat dalam Anglish Moot dan Béka Melayu ialah tatabahasa. Anglish Moot mengikuti sistem “English Language”. Ketika artikel ini ditulis, terdapat sedikit perselisihan pendapat tentang tatabahasa Béka Melayu.
Ada segelintir memilih untuk mengekalkan tatabahasa Béka Melayu sepertimana tatabahasa Bahasa Melayu. Ada segelintir mereka yang memilih untuk mengikuti tatabahasa Proto-Austronesia (PAN) iaitu bermula dengan Kata Kerja (Verb-Initial). Tatabahasa PAN ialah VSO ataupun VOS.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2023 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
ANALISIS AYAT ENGLISH DAN ANGLISH
Pertimbangkan ayat Bahasa Inggeris (English) berikut. Untuk pengetahuan semua, banyak unsur bukan Jermanik dalam ayat tersebut. Ayat tersebut berbunyi:
“The tsunami was in fact sufficient to destroy this fantasy city.”
Perkataan “tsunami”, “fact”, “sufficient”, “destroy”, “fantasy”, dan “city” masing-masing berasal daripada bahasa Jepun, Perancis Kuno, Perancis Kuno, Perancis Kuno, Perancis Kuno, dan Perancis Kuno.
Jika diterjemahkan ke dalam Anglish Moot, ia barangkali menjadi:
“The bigwave was in truth enough to shatter this dreamworld borough.”
Untuk pengetahuan semua, kesemua perkataan dalam ayat Anglish Moot tersebut dapat dijejaki sehingga Proto-Jermanik.
ANALISIS AYAT BAHASA MELAYU – Béka MELAYU
Pertimbangkan ayat Bahasa Melayu berikut. Untuk pengetahuan semua, banyak unsur bukan Austronesia dalam ayat tersebut. Ayat tersebut berbunyi:
“Tsunami itu hakikatnya cukup untuk membinasakan kota fantasi ini.”
Perkataan “tsunami”, “hakikat”, “cukup”, “binasa”, “kota”, dan “fantasi” masing-masing berasal daripada bahasa Jepun, Arab, Mandarin, Sanskrit, Tamil, dan Inggeris.
Jika diterjemahkan ke dalam Béka Melayu, ia barangkali menjadi:
“Sebenarnya pada untuk menghancurkan semung itu benteng impian ini.”
Perkataan “pada” yang bermaksud “cukup” (sufficient) berasal daripada Proto-Malayo-Polinesia-Barat (PWMP), *pada.
Perkataan “semung” diambil daripada Bahasa Simeulue, “smong”. Setakat ini tiada bukti kukuh yang mendakwa perkataan “smong” itu bukan unsur Austronesia.
AKHIR KATA
Kesimpulannya, itu adalah perbandingan antara Anglish Moot dengan Béka Melayu. Untuk pengetahuan semua, kedua-dua bahasa tersebut mempunyai jalan yang berbeza untuk menuju ke jalan yang sama yakni pemurnian.
Apakah pendapat anda tentang Anglish Moot dan Béka Melayu? Harap berikan ulasan anda di dalam ruang ulasan di bawah. Kepada sesiapa yang berminat untuk belajar tentang Anglish Moot atau/dan Béka Melayu, tuan-tuan dan puan-puan boleh layari laman sesawang berikut.
Untuk Anglish Moot, tuan-tuan dan puan-puan boleh layari laman sesawang https://youtu.be/IIo-17SIkws, https://anglish.fandom.com/wiki/Main_leaf, dan https://youtu.be/K9VYsl9QiCY.
Untuk Béka Melayu, tuan-tuan dan puan-puan boleh layari laman sesawang twitter.com/BekaMelayu, https://youtu.be/QoA1y20tyOw, twitter.com/Békamelayu, dan https://m.youtube.com/channel/UCpD__fDrstaumIOcvah1xjA.
Semoga artikel ini memberikan seribu satu kebaikan buat semua pihak baik secara langsung ataupun sebaliknya.
Sekian, terima kasih.
Bahasa Melayu: Tamat
Bahasa Indonesia: Tamat
Béka Melayu: Habis
Anglish Moot: End
English Language: Finish
RUJUKAN
Dewan Bahasa dan Pustaka: Pemurnian. Dicapai pada 13hb Ogos 2021 dari https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pemurnian
Kamus Besar Bahasa Indonesia: Bahasa. Dicapai pada 13hb Ogos 2021 dari https://kbbi.kemdikbud.go.id/entri/bahasa
The Sound of the Anglish / Pure English (UDHR, Numbers, Words, Story, & Sample Text). Dicapai pada 13hb Ogos 2021 dari https://youtu.be/K9VYsl9QiCY
The Anglish Moot. Dicapai pada 13hb Ogos 2021 dari https://anglish.fandom.com/wiki/Main_leaf
Merriam Webster: Moot. Dicapai pada 13hb Ogos 2021 dari https://www.merriam-webster.com/dictionary/moo
Anglish – What if English were 100% Germanic? Dicapai pada 13hb Ogos 2021 dari https://youtu.be/IIo-17SIkws
Dewan Bahasa dan Pustaka: Béka. Dicapai pada 13hb Ogos 2021 dari https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=Béka
Bagaimana orang Melayu mendapat namanya? Dicapai pada 13hb Ogos 2021 dari https://www.thepatriots.asia/bagaimana-orang-melayu-mendapat-namanya/
Twitter: Beka Melayu. Dicapai pada 13hb Ogos 2021 dari https://twitter.com/Bekamelayu/status/1262219053516468224…
The origin and evolution of word order. Dicapai pada 13hb Ogos 2021 dari https://www.pnas.org/content/108/42/17290
Austronesian Comparative Dictionary (ACD): pada. Dicapai pada 13hb Ogos 2021 dari https://www.trussel2.com/acd/acd-s_p.htm#10855
Smong, Cerita Leluhur Simeulue tentang Tsunami yang Jadi Nyata. Dicapai pada 13hb Ogos 2021 dari https://news.detik.com/…/smong-cerita-leluhur-simeulue…