1. EMMANUEL MACRON (PERANCIS)

Kisah Emmanuel Macron boleh dikatakan luar biasa seperti perkahwinan beliau dengan isterinya, Brigitte sehingga ke tahap menulis sebuah novel erotik yang diinspirasikan dari hubungannya semasa di alam remaja. Pernah berkhidmat sebagai Inspektor Kewangan untuk Kementerian Kewangan Perancis dan eksekutif perbankan Rothschild & Cie Banque, beliau kemudian berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi semasa pemerintahan Presiden Francois Hollande. Selepas memutuskan untuk keluar dari kerajaan pada bulan Ogos 2016, Macron membentuk partinya sendiri dipanggil En Marche (On the Move/Sedang Mara).

Semasa berkempen untuk kempen presidennya, beliau menjanjikan reformasi yang boleh mengembalikan semula kedudukan Perancis sebagai sebuah negara yang dihormati. Dan tidak seperti parti lain yang menunjukkan kiblat masing-masing seperti sosialis atau konservatif, En Marche memilih jalannya sendiri dalam arena politik. Hasilnya, pada pusingan pertama pilihan raya presiden, En Marche mengatasi parti-parti pilihan. Dan pada pusingan kedua pilihan raya presiden tahun itu juga, Macron mengatasi pesaingnya yang anti-EU, Marine Le Pen. Kejayaan beliau ini juga turut menandakan perubahan menolak gelombang anti-EU yang tercetus gara-gara kebangkitan parti-parti berhaluan kanan di Eropah dan peristiwa Brexit.

Selain berjaya menjadi presiden, En Marche juga berjaya mendapat majoriti dalam Dewan Kebangsaan Perancis, sekaligus memudahkan usaha reformasi Macron. Bagaimanapun, reformasi-reformasi yang dibawa ini juga mengakibatkan populariti beliau merosot terutama membabitkan undang-undang buruh tetapi itu tidak menghalangnya daripada terus melakukan yang terbaik demi masa depan Perancis.

2. MATTEO FIORINI (SAN MARINO)

Bagi yang meminati sukan Formula Satu (F1), pasti anda akan teringat litar Imola, San Marino yang menjadi lokasi perlumbaan sukan permotoran itu. Tetapi San Marino juga patut berbangga kerana mereka mempunyai pemimpin termuda yang mengetuai negara tersebut. San Marino merupakan sebuah negara kecil yang dikelilingi oleh Itali dengan populasi seramai 33,562 orang. Dan selalunya bagi memilih ketua negara mereka yang dipanggil Captain Regent, dua individu dipilih dari badan perundangan Marino iaitu Majlis Umum dan Majlis Agung seramai 60 orang. Dua individu yang layak dari kedua-dua dewan akan diangkat sebagai Captains Regent dan akan berkhidmat selama enam bulan. Untuk rekod, Fiorini pernah berkhidmat sebagai Captain Regent dari Oktober 2011 hingga April 2012. Kini, beliau menyandang jawatan itu buat kali kedua bersama seorang lagi Captain Regent, Enrico Carratoni dari Oktober 2017 hingga April 2018.

3. JURI RATAS (ESTONIA)

Bintang Juri Ratas mula bersinar semasa berkhidmat sebagai Datuk Bandar Talinn antara tahun 2005 hingga 2007. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan speaker Parlimen Estonia dari tahun 2007 hingga 2016. Ratas menjadi Perdana Menteri negara tersebut berikutan runtuhnya kabinet penyandang sebelumnya, Taavi Rooivas. Kabinet Rooivas tumbang berikutan wujud pertelingkahan dalaman antara parti-parti komponen Estonia dengan beliau. Selepas parti-parti terlibat bersetuju membentuk satu kerajaan baru, mereka memilih Ratas sebagai ketua kerajaan Estonia. Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baru pada 23 November 2016.

4. LEO VARADKAR (IRELAND)

Semasa Leo Varadkar mengambil alih jawatan Perdana Menteri, perlantikan beliau turut menandakan angin perubahan liberal yang melanda Ireland. Siapa sangka negara yang dahulunya dikenali sebagai sosial konservatif kini turut terkena tempias perubahan liberalisme. Mempunyai darah campuran India-Ireland, Varadkar mulanya mengikut jejak langkah bapanya, Ashok yang berkhidmat sebagai doktor perubatan. Dan pada usia 24 tahun, beliau dipilih sebagai ahli parlimen Ireland pada tahun 2007. Semasa dalam kerajaan, Varadkar pernah berkhidmat sebagai menteri pengangkutan, pelancongan dan sukan serta sebagai menteri kesihatan.

Selepas perletakan jawatan penyandang sebelumnya, Enda Kenny, penyokong Varadkar melancarkan kempen mengejut untuk mendapatkan sokongan majoriti partinya, Fine Gael. Hasilnya, majoriti ahli parlimen Fine Gael mengisytiharkan sokongan kepada beliau dalam tempoh 48 jam. Varadkar merupakan Perdana Menteri Ireland paling muda pada usia 38 tahun. Dan beliau juga mencatat sejarah sebagai pemimpin gay pertama yang mengetuai kerajaan Ireland.

5. JIGME KHESAR NAMGYEL WANGCHUCK (BHUTAN)

Semasa baginda menaiki takhta pada November 2008, Jigme Khesar Namgyel Wangchuck tidaklah dicampakkan ke posisi begitu dalam keadaan tidak bersedia. Sebaliknya, baginda sudah didedahkan dengan pelbagai ilmu pentadbiran dan sedikit pengalaman ayahandanya, Jigme Singye Wangchuck. Jigme Singye sendiri menaiki takhta semasa berusia 16 tahun sebelum turun takhta pada November 2008.

Selepas menaiki takhta, Jigme Khesar berusaha meneruskan legasi ayahandanya memelihara graf kegembiraan kebangsaan dan terus memastikan amalan demokrasi di Bhutan terus subur. Buktinya, baginda meneruskan usaha Jigme Singye yang menukar sistem monarki berkuasa mutlak kepada sistem monarki berperlembagaan walaupun ramai enggan melihat kuasa raja berkurangan. Ini kerana Jigme Singye tidak mahu melihat pisang berbuah dua kali melanda Bhutan seperti mana yang menimpa sistem monarki Nepal.

Berikutan sikap baginda yang berdiplomasi dan rupa paras yang tampan, Jigme Khesar amat disayangi rakyat jelatanya. Buktinya, Perdana Menteri Bhutan, Jigmi Thinley menyifatkan baginda sebagai sauh yang memastikan Bhutan terus kekal berada di laluan yang tepat. Sementara pemimpin pembangkang, Tshering Tobgay pula menyifatkan perkahwinan Jigme Khesar dengan isterinya, Jetsun Prema meneruskan kesinambungan sistem monarki Bhutan dan mengukuhkan lagi amalan demokrasi di negara tersebut.

6. JACINDA ARDERN (NEW ZEALAND)

Apabila nama Jacinda Ardern dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri New Zealand oleh parti New Zealand First, beliau sebenarnya mencatat banyak rekod dalam catatan sejarah negara tersebut. Ardern merupakan Perdana Menteri kedua termuda dalam sejarah selepas Edward Stafford dan perdana menteri wanita ketiga selepas Jenny Shipley (1997-1999) dan Helen Clark (1999-2008). Bintang beliau dalam arena politik naik mendadak sehingga berjaya menduduki jawatan tertinggi kerajaan, kurang setahun selepas dilantik sebagai Ahli Parlimen Mount Albert menerusi satu pilihan raya kecil yang diadakan pada Februari 2017.

Pada bulan Ogos tahun sama, Ardern dilantik sebagai Pengerusi Parti Buruh dan mengetuai kempen pilihan raya tak lama selepas itu. Walaupun tidak mendapat majoriti, beliau berjaya membentuk kerajaan dengan dua parti lagi iaitu New Zealand First dan Parti Hijau. Selain itu, Ardern juga pernah berkhidmat sebagai antara 80 penasihat polisi Tony Blair semasa beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri Great Britain dan pernah diminta membantu Pejabat Kementerian Dalam Negeri Britain menilai situasi polis di England dan Wales.

7. SHEIKH TAMIM BIN HAMAD AL-THANI (QATAR)]

Selepas mengambil alih takhta sebagai Emir Qatar pada Jun 2013, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani sebenarnya mencatat satu sejarah tersendiri bagi dirinya. Ini kerana baginda merupakan pemerintah pertama dari kalangan keluarga Al-Thani yang menaiki takhta tanpa bergantung kepada rampasan kuasa. Dan ini disebabkan oleh personaliti baginda yang tegas dan kuat dalam keluarga pemerintah walaupun bukanlah pilihan pertama yang menaiki takhta. Ini kerana jawatan tersebut disandang oleh abangnya, Sheikh Jassim. Menurut sumber diplomat, Jassim yang menjadi putera mahkota selama lapan tahun berharap dapat mengembangkan lagi kuasa politiknya tetapi tidak berhasil kerana tiada sekutu dari kalangan anggota tentera atau polis rahsia. Sheikh Tamim turut mencatat sejarah sebagai pemerintah paling muda dalam kalangan pemerintah negara-negara Teluk.

Baginda dikenali kerana mempunyai minat mendalam terhadap bidang sukan termasuk sukan bola sepak. Di bawah bimbingan baginda, Doha berjaya mendapatkan hak penganjuran Piala Dunia 2022. Selain itu, Sheikh Tamim turut mengetuai Lembaga Pelaburan Qatar dan mempunyai pegangan majoriti dalam Barclay Banks, Harrods dan Sainsbury’s. Cabaran baginda hari ini ialah krisis diplomatik yang membawa kepada sekatan laut dan udara ke atas Doha. Ini berlaku berikutan tindakan Arab Saudi yang menuduh Qatar menyokong pergerakan pengganas seperti Daish, Ikhwanul Muslimin dan pemberontak rejim Bashar al-Assad.

8. KIM JONG-UN (KOREA UTARA)

Lahir pada tahun 1982 (tahun rasmi mengikut rekod Korea Utara) atau 1984 (tahun rasmi mengikut rekod Jabatan Perbendaharaan Amerika), Jong-un sudah didedahkan dengan latihan pentadbiran sejak dari kecil. Mendapat pendidikan di Switzerland dan Universiti Tentera Kim Il-sung, Jong-un diketahui amat meminati bola keranjang dan Michael Jordan. Selepas kematian bapanya, Kim Jong-il, Jong-un dipilih menggantikan tempatnya mengatasi abang-abangnya, Kim Jong-chol dan Kim Jong-nam. Jong-chol ditolak oleh Jong-il kerana dianggap lemah sementara Jong-nam pula dibunuh di Malaysia pada tahun lepas sehingga mencetuskan ketegangan Kuala Lumpur-Pyongyang. Bagi menonjolkan kewibawaannya sebagai pemimpin Korea Utara, beliau juga tidak segan silu menggunakan senjata nuklear sehingga mengancam kestabilan di Semenanjung Korea dan meningkatkan potensi perang di situ.

9. SEBASTIAN KURZ (AUSTRIA)

Sebastian Kurz merupakan ketua kerajaan paling muda di dunia setelah menjawat jawatan Cancelor Austria pada usia 31 tahun. Pemilihan Kurz bukanlah satu kejutan kerana beliau dilihat lebih cenderung ke arah pemimpin-pemimpin populis seperti Viktor Orban (Hungary) dan Andrzej Duda (Poland). Tetapi Kurz turut menegaskan Austria boleh berpotensi sebagai jambatan antara negara-negara Barat dan Eropah Tengah di bawah pimpinannya. Dan jika melihat rekodnya semasa berkhidmat sebagai Menteri Luar Austria, ianya boleh dianggap memberangsangkan. Beliau bertanggungjawab menganjurkan Persidangan Impak Senjata Nuklear di Vienna pada akhir tahun 2014, sekaligus membawa kepada perjanjian program nuklear Iran pada tahun berikutnya. Kurz turut mengutarakan pelbagai idea berkenaan krisis pelarian yang melanda Eropah dan pernah mencadangkan satu undang-undang menghadkan peruntukan luar bagi kegiatan agama Islam bagi mengekang ancaman radikalisme. Semasa tempoh itu juga, Kurz turut mencatat sejarah sebagai menteri luar paling muda di dunia dan menteri Austria yang paling muda sejak penubuhan negara itu sebagai sebuah republik.

SUMBER

  1. Lawson, Alastair. (2011). BBC. Profile: Jigme Khesar Namgyel Wangchuck. http://www.bbc.com/news/world-south-asia-15287281
  2. Page, Chris. (2017). BBC. Leo Varadkar profile: Ireland’s youngest PM. http://www.bbc.com/news/world-europe-40134140
  3. Corcoran, Kieran. (2017). Business Insider. The youngest national leaders in the world, ranked by age. http://www.businessinsider.my/the-youngest-national-leaders-in-the-world-ranked-by-age-2017-10/?r=UK&IR=T
  4. Walt, Vivienne. (2017). Time. AT 39, FRENCH PRESIDENT EMMANUEL MACRON IS JUST GETTING STARTED. http://time.com/emmanuel-macron-president-france-interview/

5. Business Insider. (2018). How North Korean leader Kim Jong Un became one of the world’s scariest dictators at 34. http://www.businessinsider.my/kim-jong-un-life-2017-8/?_ga=2.76136150.239557957.1521896456-269708023.1521896456&r=UK&IR=T

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.