Pemikir Islam Tersohor Meletakkan Tanda Aras Tersendiri Dalam Mempersembahkan Sebuah Kisah Cinta

0
5050
views

Tenggelamnya Kapal van der Wijck merupakan karya penulisan Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) dalam bentuk novel dan diterbitkan pada tahun 1938 iaitu ketika beliau berusia 30 tahun. Sebagai penghargaan atas mutu dan kualiti karya beliau ini, pelbagai usaha dilakukan untuk terus menghidupkannya, antaranya melalui pementasan teater dan kemuncaknya ialah filem yang ditayangkan pada akhir tahun 2013.

Menerusi karya unggul ini, dapat dikesan gaya pemikiran Hamka melalui pendekatan yang berbeza dalam menyentuh kisah cinta. Berbeza dengan para penulis sezamannya, Hamka lebih suka menyentuh perihal dalaman yang telah menjadi akar umbi, bagi mencetus persepsi baharu masyarakat terhadap perkara yang sering dipandang enteng.

Oleh itu, novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck adalah contoh terbaik diberikan oleh Hamka sebagai tanda aras bagi karya-karya seni yang muncul selepasnya. Berikut antara kebijaksaan Hamka dalam karya unggul beliau ini.

1. Mengangkat isu yang dekat dengan masyarakat dan sering berulang sepanjang zaman.

– Adat, darjat, dan bangsa keturunan merupakan isu yang diketengahkan oleh Hamka bagi mengajak khalayak menyelami sendiri keperitan jiwa dalam menghadapi sikap melampau segelintir masyarakat terhadap isu ini.

– Menggunakan pendekatan selami jiwa iaitu melalui kisah cinta sepasang kekasih, kerana setiap manusia pasti menyelami pahit manis bercinta. Ini merupakan khalayak sasaran.

2. Menanam rasa cinta pada budaya tanah air dan berwaspada terhadap ancaman luar yang sangat licik.

– Secara halus mengkhabarkan bahawa budaya luar khususnya barat adalah tidak sesuai dicampur aduk dalam budaya timur yang penuh tatasusila. Maka secara tidak langsung mampu menanam semangat kepada khalayak untuk menolak sebarang bentuk penjahahan ke atas tanah air tercinta.

Waqaf Saham

3. Mengajak khalayak untuk mengenali dan medalami sejarah tanah air melalui kisah yang terselit padanya.

– Menggunakan unsur sejarah sedia ada sebagai latar masa dan tempat, khususnya dalam kisah ini ialah kapal Belanda Van der Wijck yang benar-benar wujud dalam lipatan sejarah. Setiap perincian latar tempat dan masa juga dititik beratkan. Ini mencetuskan tanda tanya kepada khalayak, sekiranya kisah yang disajikan ini adalah kisah benar ataupun tidak. Persoalan sedemikian akhirnya akan membawa natijah kepada usaha pencarian maklumat tentangnya. Tambahan ilmu ini sangat menguntungkan.

– Idea seperti ini juga akhirnya diguna pakai oleh sutradara James Cameron dalam filem pecah panggungnya, Titanic (1997). Ia juga mengundang persepsi yang sama, “adakah filem ini berdasarkan kisah benar?”. Pertanyaan yang sama akan terus berlangsung sehingga kepada generasi baharu yang akan menonton. Akhirnya wujud generasi celik sejarah dan cinta padanya. Taktik yang hebat.

– Juga Penggunaan bahasa yang tersusun dan puitis menggambarkan suasana zaman dan susunan budaya agar khalayak berterusan mengenali identiti bangsa dan tanah air.

4. Cetusan idea yang membakar semangat sebagai jalan keluar daripada isu permasalahan yang telah diangkat dalam karya.

– Gambaran memperlihatkan bahawa masyarakat masih mudah terbuai dengan tipuan harta benda dalam menilai baik buruk keturunan bangsa dan darjat. Maka idea untuk membina legasi kejayaan diri, adalah solusi bijak kerana bangsa diri yang dimiliki akan terus dimuliakan walau dasarnya hanya anak merempat. Ini akan menguatkan lagi jati diri, iaitu tidak sekadar mahu menikmati kemuliaan bangsa atas jasa yang telah dikecapi oleh leluhur sebelumnya.

– Menjadikan kekecewaan dalam percintaan sebagai kekuatan untuk memulakan kehidupan yang lebih baik dan berjaya sebagai bukti diri tidak wajar ditinggalkan dan dihinakan. Malah setelah menggapai kejayaan, sudi pula memaafkan kepada yang menghinakan.

5. Memahamkan tentang jiwa manusia yang belainan kedudukan darjat, jantina, dan kemahsyuran.

– Hamka cuba mendidik khalayak agar cuba memahami sifat semula jadi wanita, yang diumpamakan lalang kerana lemah pada pegangan prinsip. Maka pelengkapnya ialah lelaki yang mampu menegakkan prinsip bagi wanita. Jika lemah penegaknya, maka lemahlah pegangan prinsip wanita itu.

– Begitu juga dengan perilaku orang yang mempunyai darjat yang tinggi, keturunan yang mulia, dan berharta, digambarkan sebagai golongan yang mudah menerima ancaman buta mata hati, maka haruslah berwaspada daripada peyakit hati itu.

FILEM | Begitu hebat gaya pemikiran Hamka, sehingga karya beliau dapat dimanfaatkan melalui terjemahan versi visual dengan jayanya. Tahniah bagi sutradara Sunil Soraya atas keberhasilan dalam membikin filem adaptasi novel dengan begitu cermat sehingga mengekalkan nilai-nilai manfaat yang halus yang cuba disampaikan oleh Hamka. Sehingga kini, filem yang menelan belanja RM20 juta ini telah berjaya menjadi fenomena kerana dekatnya pengisian dalam filem ini dengan masyarakat, walau setelah tiga tahun ditayangkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.