Pemerintah-Pemerintah Palestine Selepas Herod Yang Agung

0
714
views

Pada Tahun 4 SM, Herod Yang Agung jatuh sakit. Dalam masa yang sama, terdapat dua orang guru Yahudi (mungkin Nabi) iaitu Judas dan Matthias telah bersama-sama murid mereka menurunkan simbol helang emas Rom dari Haikal Agung atau Haikal Herod kerana menyangka Herod Yang Agung telah mangkat dan mahu membersihkan Rumah Allah daripada berhala pagan Rom.

Atas tindakan mereka itu, Judas dan Matthias ditangkap dan dibawa ke Jericho, sebelum dibakar hidup-hidup pada malam hari. Dalam masa yang sama, berlakulah gerhana bulan yang Panjang. Gerhana yang berlaku pada 14 Mac itu menandakan akan berakhirnya pemerintahan kejam Herod dan akan lahirlah penyelamat bagi orang Yahudi di Jerusalem (mengikut kisah Israiliat).

Dalam masa yang sama, Herod Yang Agung didatangi oleh tiga orang Magi (Nabi Parsi) dari Timur yang datang kerana melihat tanda-tanda kelahiran seorang Rasul iaitu Nabi Isa a.s. Mereka berjumpa dengan Herod terlebih dahulu, sebelum berjumpa dengan Nabi Isa a.s. yang baru lahir di Bethlehem. Selepas berjumpa dengan Nabi Isa a.s., ibunya Maryam dan bapa angkatnya Yusuf si pembuat perabot (yang dikahwini oleh Maryam selepas kelahiran Nabi Isa, namun terdapat juga pendapat sarjana yahudi yang mengatakan Nabi Isa adalah anak Maryam dan Yusuf yang dikahwininya.

Maryam melanggar syarat sebagai biarawati kerana berkahwin, merujuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh pendita agung), Magi tersebut terus berlalu ke Parsi tanpa mengadap semula ke Herod kerana tahu niat jahat Herod untuk membunuh Nabi Isa yang masih kecil itu. Herod berang dengan tindakan tiga orang Magi tersebut dan mengarahkan tenteranya membunuh kanak-kanak yang berusia dua tahun dan ke bawah. Namun, Allah s.w.t menyelamatkan mereka dengan perpindahan keluarga Nabi Isa ke Mesir.

Kesakitan Herod bertambah teruk. Sakit yang berlarutan di bahagian perut menyebabkan Herod mahu menikam perutnya sendiri dengan pisau, tetapi berjaya dihalang oleh anak saudaranya, Achiabus. Anak terakhir dalam jalur Hasmonean yang masih terselamat dari dibunuh, Antipater II yang telah dipenjarakan sebelum ini cuba berkomplot dengan penjaga penjara. Penjaga penjara tersebut bukan sahaja tidak mahu bersetongkol dengan Antipater II, malahan mengadu kepada Herod dan menyebabkan Herod yang sedang kesakitan itu mengarahkan Antipater II dibunuh tanpa bertangguh lagi.

Semasa Herod jatuh sakit, baginda meletakkan Herod Antipas sebagai penggantinya, menyebabkan anak-anak yang lebih tua (Herod Archelaus dan Herod Philip) tidak senang hati. Namun begitu, sebelum mangkat, Herod mengubah wasiatnya. Baginda membuat wasiat untuk membahagikan Kerajaan Judah kepada anak-anaknya. Raja Judah diberikan kepada Herod Archelaus yang akan memerintah Negara Judah sebagai Etnarch. Herod Antipas akan memerintah Galilee dan Perea sebagai Tetrarch. Herod Philip pula akan memerintah Gaulonitis, Trachonitis dan Paneas sebagai Tetrarch. Adik perempuannya, Salome dikurniakan wilayah Jarnnia, Ashdod dan Phasaelis.

Herod juga mengumpulkan seramai lebh kurang 3,000 orang Yahudi di Hyppodrome Jericho untuk dibunuh pada hari kemangkatannya, supaya orang Yahudi tidak bergembira semasa kemangkatannya, malahan akan berkabung dengan pemergiannya. Namun begitu, selepas kemangkatannya, Salome dan suaminya, Alexas melepaskan sahaja mereka semua. Herod mangkat di antara Tahun 4 SM – 1 SM dan disemadikan di Kubu Istana Herodium.

Rajah 1: Kawasan Pentadbiran Herod Archelaus, Herod Antipas dan Herod Philip. Gambar diambil daripada: biblestudy.org

Kini, nasib kaum Yahudi diserahkan kepada Herod Archelaus. Pada awalnya, Herod Archelaus kelihatan baik dan sopan. Orang Yahudi berharap agar cukai yang tinggi dan pesalah-pesalah di zaman Herod dapat dilepaskan oleh Herod Archelaus.  Namun, Archelaus juga saling tidak tumpah seperti bapanya.

Orang-orang Yahudi menuntut pembelaan terhadap Judas dan Matthias yang dibakar hidup-hidup dengan menukarkan Pendita Agung (High Priest) dengan orang lain selain yang dilantik oleh Herod. Archelaus bersetuju untuk menukarkan Pendita Agung ini.

Semasa perayaan “passover” untuk memperingati Hari Pembebasan mereka daripada Mesir (dikejar oleh Firaun), ramai kaum Yahudi yang berada di Haikal Kedua untuk meraikannya serta melakukan ibadat korban dengan menyembelih banyak haiwan-haiwan ternakan. Archelaus bimbang dengan kebangkitan murid-murid Judas dan Matthias, telah mengarahkan satu battalion tenteranya ke Rumah Ibadat Yahudi itu dan menyembelih lebih kurang 3,000 orang Yahudi yang sedang menyambut perayaan mereka itu. Peristiwa sedih ini merupakan pembunuhan yang sangat-sangat tidak bermoral daripada raja mereka hanya untuk meredamkan pemberontakan di Jerusalem.

Herod Archelaus kemudiannya meninggalkan Palestin ke Rom untuk mendapatkan restu pemerintahannya daripada Caesar Augustus. Semasa pemergiannya, ibu Archelaus mangkat dan berlakulah pemberontakan di Jerusalem yang diketuai oleh Judas Si Penyamun, Simon Hamba Raja dan Athronges Sang Pengembala. Pemberontakan ini terjadi kerana penentangan orang-orang Yahudi terhadap Sabinus, Procurator Rom di Judae yang melakukan kekerasan kepada mereka.

Tentera-tentera Herod Archelaus tidak dapat bertahan menentang kekuatan pemberontak ini menyebabkan Gabenor Rom di Syria, Publius Quinctilius Varus (Varus) menghantarkan suatu ketumbukan tentera yang besar dari Syria untuk menghapuskan pemberontakan. Akhirnya, tentera Rom berjaya menghapuskan pemberontakan dan memusnahkan Kota Sepphoris dan Kota Emmaus, serta 2,000 orang pemberontak Yahudi disalib.

Caesar Augustus melantik Herod Archelaus sebagai ethnarch (bukan raja sepenuhnya) yang menguasai Judae dan Samaria, Galilee dan Perea diberikan kepada Herod Antipas sebagai Tetrarch, Herod Philip pula dilantik sebagai Tetrarch di Batanea, Trachonitis dan Auranitis. Adik Herod Yang Agung, Salome pula menjadi penguasa Wilayah Jarnnia, Ashdod dan Phasaelis.

Pelantikan ini memenuhi hajat terakhir Herod Yang Agung. Herod Archelaus kembali ke Judah dan memerintah dengan kejamnya. Baginda menukarkan Pendita Agung, Joazar dengan adiknya Eleazar atas tuduhan membantu pemberontakan. Archelaus membina semula istana yang lebih besar dan menyalurkan sebahagian air untuk mengairi  pepohonan kurma miliknya dan membina sebuah perkampungan yang dinamakan Archelais. Archelaus juga mengahwini bekas isteri abangnya yang mempunyai anak. Peraturan keagamaan Yahudi tidak membenarkan perkahwinan dengan bekas isteri adik-beradik jika mereka ada anak bersama.

Setelah sepuluh tahun memerintah, rakyat Judah dan Samaria sudah tidak tahan lagi dengan kekejaman yang dilakukan oleh Herod Archelaus. Rakyat Judah dan Samaria menghantar bantahan kepada Augustus kerana Herod Archelaus juga telah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Rom. Augustus berang dengan tindakan Archelaus dan menghantarkannya ke Vienna, di mana baginda hidup sehingga ke penghujung nyawanya.

Setelah Archelaus dibuang ke Vienna, wilayah Judah dimasukkan ke dalam Wilayah Syria dengan ditadbir oleh Senator yang bernama Cyrenius. Bersama-samanya, Coponius diarahkan menguruskan Judah. Namun begitu, Coponius mengenakan cukai yang tinggi kepada penduduk Judah. Judas dari Galilee, mengajak Sadduc, seorang penganut Pharisee untuk membentuk pasukan pelampau (zealot) bagi menentang kekejaman Rom.

Umumnya, terdapat tiga sekta keagamaan dalam agama Yahudi iaitu Pharisee, Sadducee dan Essene. Pharisee merupakan sekte yang paling utama dan berpengaruh. Mereka lebih kepada pelbagai upacara keagamaan dan percaya kepada perkara-perkara yang ghaib. Pharisee dikatakan korup dengan menunggang agama demi kekayaan dunia. Sadducee pula satu sekta agama yang tidak percaya kepada perkara-perkara ghaib dan terdapat unsur-unsur Rom dalam kepercayaannya.

Justeru itu, Sadducee ramai yang dilantik menjadi Sanhedrin (Majlis Para Pendita) kerana dekatnya mereka dengan Rom. Essene pula sekta yang mempunyai kepercayaan seperti Pharisee, tetapi mereka tidak membuat ibadah korban di Haikal kerana menentang korupsi yang dilakukan oleh Pendita-pendita Pharisee dan Sadducee.

Judas dari Galilee telah mewujudkan sekta keempat iaitu golongan pelampau (zealot). Golongan ini bertindak menentang pemerasan cukai daripada pihak Rom. Mereka bertindak memberontak terhadap Rom tanpa sebab yang nyata. Mereka menghalang orang Yahudi daripada mendaftar percukaian. Sesiapa yang mendaftar, rumah mereka akan dibakar dan ternakan mereka dicuri. Flavius Josephus tidak menyukai golongan ini dan menganggap mereka adalah punca peperangan antara Yahudi dan Rom pada zaman Titus Yang Agung.

Waqaf Saham

Percukaian yang diperkenalkan oleh Cyrenius bersama-sama dengan Coponius telahpun dilaksanakan. Cyrenius juga melucutkan jawatan Pendita Agung Joazar dan melantik Ananus untuk menggantikan tempatnya. Selepas Cyrenius, Marcus Ambivius pula dilantik sebagai procurator di Judah dan diteruskan pula oleh Annius Rufus.

Dalam pada itu, orang-orang Yahudi semakin hanyut dengan kesesatan. Allah s.w.t. mengutuskan Nabi Zakaria a.s. kepada mereka dan baginda dilantik menjadi pendita di sebuah rumah ibadat. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Nabi-nabi di zaman itu (Zakaria, Yahya dan Isa) mempelopori Sekta Essene dan menggunakan syariat Nabi Musa dan Nabi Sha’ya  (Isaiah) dalam keagamaan.

Pada Tahun 14 M, Caesar Augustus mangkat dan digantikan dengan Tiberius Nero sebagai Kaisar Rom yang ketiga. Valerius Gratus pula dilantik sebagai procurator Rom di Judah. Gratus melantik pula dan memecat tiga Pendita Agung (High Priest) sebelum melantik Joseph Caiaphas sebagai Pendita Agung. Caiaphas digemari oleh Rom disebabkan beliau lunak dengan dasar-dasar Rom. Pada Tahun 26 M, Pontius Pilate pula yang dilantik menjadi procurator Rom di Judah dan berlakulah peristiwa penangkapan dan penyaliban Nabi Isa a.s. di sana.

Herod Antipas, Tetrarch Galilee dan Perea.

Selepas kemangkatan Herod Yang Agung, Herod Antipas dilantik menjadi Tetrarch (Pemimpin Wilayah) di Galilee dan Perea. Herod Antipas adalah anakanda Herod Yang Agung yang paling muda dan masih hidup. Herod pada asalnya mahu menurunkan takhtanya kepada Herod Antipas. Namun, sejurus sebelum kemangkatannya, Herod Yang Agung meukar fikiran dan mengurniakan takhta kepada Herod Archelaus, memberikan Herod Antipas Wilayah Galilee yang terletak di Barat Laut Mati dan Utara Judah. Baginda juga dikurniakan Wilayah Perea yang terletak di Sebelah Timur Judah, bersempadanan dengan Wilayah Dekapolis, yang dijadikan sebahagian daripada Wiayah Rom.

Rajah 2: Gambaran Kota Tiberias. Gambar kredit kepada www.archaelogyillustrated.com

Herod Antipas perlu memenangi hati Rom dan dalam masa yang sama baginda perlu membuatkan rakyatnya gembira. Oleh itu, Herod Antipas membina semula Kota Beth-Haran di Selatan Perea dan menamakannya sebagai Livias, sempena nama permasuri Augustus. Seterusnya, Herod Antipas membina semula Bandar Sepphoris yang musnah akibat pemberontakan dan memperbesarkan lagi bandar tersebut. Seterusnya, baginda mengubahsuai kubu pertahanan Machareus serta membina istananya di sana. Machareus menjadi kubu istana yang hebat di tangan Herod Antipas. Pada pemerintahan Tiberius Nero, Herod Antipas membina Kota Tiberias di pinggir Tasik Gennesaret di Galilee. Kota tersebut merupakan kota bercirikan Rom dan menjadi ibukota Negara Galilee.

Walaupun Herod Antipas telah membangunkan Galilee dan Perea dengan baik, baginda merupakan raja yang kejam dan suka bertindak melulu. Herod Antipas telah berkahwin dengan puteri kepada Raja Areta IV, Raja Arab Petra. Pada suatu hari, Herod Antipas telah belayar ke Rom dan bermalam di rumah abangnya, Herod Philip (II). Herod Antipas terjumpa dengan Herodias, isteri terakhir abangnya dan mereka jatuh cinta lalu merancang untuk berkahwin. Sekembali mereka daripada Rom, Herod Antipas menceraikan isterinya supaya dia boleh berkahwin dengan Herodias..

Rajah 3: Kota Tiberias di pinggir Tasik Gennesaret pada Tahun 1920-an. Gambar diambil daripada Wikimedia.

Herodias merupakan anak kepada Aristobulus IV dan cucu Herod Yang Agung. Beliau juga merupakan kakak kepada Raja Herod Agrippa. Perkahwinan ini ditentang oleh Nabi Yahya a.s. Nabi Yahya a.s. yang telah diangkat menjadi rasul telah berdakwah di Galilee. Pengikutnya semakin ramai dan mereka mengikuti syariat sebenar Nabi Musa a.s, Berita perkahwinan Herod Antipas dan Herodias mendapat tentangan daripada Nabi Yahya a.s. kerana Herodias merupakan anak saudara Herod Antipas.

Tambahan pula, suami Herodias masih hidup, walaupun telah bercerai. Agama mereka pada masa itu tidak membenarkan perkahwinan ini. Herod Antipas berang dengan tindakan Nabi Yahya a.s. menentangnya. Namun, baginda juga gusar dengan pengikut Nabi Yahya a.s. yang semakin berkembang di Galilee. Herod Antipas telah memenjarakan Nabi Yahya a.s. dan meneruskan perkahwinan mereka.

Salome, anak Herodias tertarik dengan ketampanan Nabi Yahya a.s. Dia cuba menggoda baginda di dalam penjara. Namun, Nabi Yahya a.s. tidak memandang pun kepada Salome. Salome menjadi berang dengan tindakan Nabi Yahya a.s. dan mahu menghukumnya. Semasa sambutan Hari Lahir Herod Antipas, dalam berpesta arak yang sangat memabukkan, Salome telah membuat tarian yang mengasyikkan sehingga menyebabkan Herod Antipas tidak dapat menahan berahi.

Baginda bersetuju untuk memberikan apa sahaja kehendak Salome, lantas Salome meminta kepala Nabi Yahya a.s. di dalam talam. Dalam keadaan mabuk dan didesak berkali-kali oleh Salome, akhirnya Herod Antipas mengarahkan kepala Nabi Yahya dipancung dan diletakkan di dalam talam. Maka berakhirlah riwayat Nabi Yahya a.s. sebagai Nabi yang soleh walaupun masih muda.

Setelah Nabi Yahya a.s. dibunuh, Nabi Zakaria a.s. juga menerima nasib yang sama kerana sebagai pendita, baginda juga menentang perkahwinan tersebut dan baginda turut dibunuh di rumah ibadatnya. Seterusnya, zaman dakwah Nabi Isa a.s. pun tiba. Nabi Isa a.s. juga dikenali sebagai Nazareth, tempat di mana Nabi Isa a.s. dibesarkan. Baginda berdakwah di Galilee dan pengikutnya semakin ramai.

Kemudian, baginda berdakwah ke Jerusalem bersama sahabat baginda yang dipanggil Hawariyyun dan menentang penyelewengan golongan Pharisee dan Sanhedrin di Haikal Kedua. Pendita Agung Caiaphas yang berang dengan tindakan Nabi Isa a.s. telah mengadu kepada Pontius Pilate bahawa Nabi Isa adalah golongan ekstrim yang perlu ditangkap dan dibicarakan. Kisah dibuat-buat oleh Sanhedrin mengatakan Nabi Isa a.s. adalah warisan Raja Daud a.s. dan ingin memberontak.

Nabi Isa a.s. pada awalnya tidak dapat ditangkap oleh pihak Sanhedrin. Namun begitu, baginda akhirmya berjaya diberkas setelah dikhianati oleh Judas Iskariot, seroang anak muridnya yang mengkhianatinya. Judas Iskariot memberitahu lokasi Nabi Isa a.s. kepada Sanhedrin. Sanhedrin dan Pendita Agung Caiaphas menghantar ke Pilate untuk hukuman mati kerana Sanhedrin tidak mempunyai autoriti menjatuhkan hukuman bunuh.

Setelah Pilate mengetahui bahawa Nabi Isa a.s. ialah penduduk Galilee, baginda diserahkan kepada Herod Antipas yang kebetulan turut berada di Jerusalem. Herod Antipas tidak mahu menjadikan penghakiman Nabi Isa a.s. sebagai liabiliti kepadanya kerana pengikut Nabi Isa a.s. yang ramai.

Tambahan pula, pengikut Nabi Yahya a.s. hampir-hampir memberontak selepas mengetahui kematian Nabi Yahya a.s. Herod Antipas menghantar semula Nabi Isa a.s. kepada Pilate dan akhirnya Pilate menjatuhkan hukuman dengan menyalib Nabi Isa a.s. setelah orang Yahudi yang dipengaruhi oleh Sanhedrin mahu Nabi Isa a.s. disalib dan bukannya penjenayah lain yang dicadangkan oleh Pontius Pilate.

Namun begitu, perancangan Allah s.w.t. melebihi segala-galanya. Semasa hukuman hendak dijatuhkan, Nabi Isa a.s. diselamatkan oleh Allah dan ditukarkan kepada Judas Iskariot yang mengkhianati Nabi Isa a.s. mengikut kepercayaan islam. Dalam kepercayaan agama kristian, penyaliban Nabi Isa a.s. adalah untuk membersihkan dosa kaum mereka. Kezaliman golongan Sanhedrin dan kaum Yahudi ini dibalas dengan peperangan yang sangat kejam antara Tentera Herod Antipas dan tentera Arab Petra, pimpinan Raja Aretas IV.

Pada Tahun 36 M, Raja Aretas IV yang berang dengan tindakan Herod Antipas menceraikan puterinya telah datang ke Galilee dengan tenteranya yang besar. Dalam peperangan tersebut, hampir semua ketenteraan dan pertahanan Herod Antipas dilumpuhkan. Kaisar Tiberias mengarahkan Vitellius, procurator Rom di Syria untuk membantu Herod Antipas, namun Kaisar Tiberias mangkat pada masa yang sama menyebabkan Vitellius dan tenteranya tidak membantu tentera Herod Antipas. Ketika kemusnahan besar di Galilee dan Perea, Allah menggerakkan hati Aretas IV untuk kembali ke Petra. Herod Antipas tidak dibunuh, tetapi nasibnya lebih malang daripada mati. Dia dihalau daripada tanahnya oleh Kaisar Caligula yang menaiki takhta Rom pada Tahun 39 M dan melantik Herod Agrippa I sebagai Raja di sana.

Herod Philip, Tetrarch di Gaulanitis, Trachonitis, Batanea dan Paneas

Wilayah yang diberikan kepada Herod Philip lebih kecil berbanding Herod Antipas ataupun Herod Archelaus. Namun begitu, kerajaannya lebih aman dan stabil berbanding kedua-dua kerajaan saudaranya. Kawasan yang dikurniakan kepada Herod Philip terletak di Timur Tasik Gennesaret. Kaisar Augustus mengurniakan Kawasan Auranitis kepadanya, selain daripada wilayah yang diwasiatkan kepadanya.

Wilayah lain dimasukkan ke dalam Wilayah Rom Syria yang dinamakan Dekapolis. Herod Philip juga merupakan seorang pemimpin yang mesra Rom. Baginda memperbesarkan Kota Panias dii Utara Tasik Gennesaret dan menamakannya sebagai Caesarea Phillipi sebagai menghargai Kekaisaran Rom. Baginda juga menaiktaraf Kota Bethsaida di Tasik Gennesaret dan menamakannya sebagai Kota Julias, memperingati nama anak Kaisar Augustus.

Rajah 4: Kawasan peninggalan Kota Caesarea Phillipi, gambar daripada http://www.land-of-the-bible.com/Caesarea_Philippi.

Herop Philip mengahwini anakanda Herodias, Salome tetapi tidak dikurniakan anak. Herod Philip mangkat pada Tahun 34 M dan dikebumikan dalam makam yang digalinya sendiri. Selepas kemangkatannya, wilayahnya diserap ke dalam Wilayah Rom Syria. Namun begitu, Herod Agrippa, anakanda Aristobulus IV dan Berenice (cucunda Herod Yang Agung) dinaikkan takhta di kawasan pemerintahan Herop Philip pada Tahun 37 M.

Rujukan:

Kisah Nabi Isa Dalam Al Quran Dan Hadits (2017), diambil daripada http://pemudaislamsatu.blogspot.com/2017/01/kisah-nabi-isa-dalam-al-quran-dan-hadits.html, dilayari pada 5 November 2018.

Kisah Nabi Yahya AS dalam Al-Qur’an Lengkap (2017), diambil daripada http://keponihya.blogspot.com/2017/10/kisah-nabi-yahya-as-dalam-al-quran.html, dilayari pada 5 November 2018.

Josephus, F. (Kemaskini 2017), Antiquities of The Jews, Translated by William Whiston, Project Gutenberg (kemaskini terakhir pada 9 Ogos 2017), Utah, Project Gutenberg Literary Archive Foundation

http://www.jewishencyclopedia.com, The unedited full-text of the 1906 Jewish Encyclopedia, dilayari pada 5 November 2018.

Josephus, F. (Terjemahan Matt Curtin, Kemaskini 1998), The Jews Fight A Great Battle With Sabinus’s Soldiers, And A Great Destruction Is Made At Jerusalem, dalam makalah War of Jews, Book II, Chapter 3.