Moving Forward As One

Pemegang Kunci Gereja Paling Suci Kristian Adalah Orang Islam

14,828

Nabi Isa (as) amat disayangi populasi Yahudi marhaen di Jerusalem. Namun kerja dakwah baginda telah mengundang kebencian dalam kalangan agamawan, terutamanya pembesar yang menganggotai sebuah majlis dipanggil Sanhedrin.

Jerusalem pada ketika itu berada dibawah kedaulatan Rom. Bidangkuasa pentadbiran empayar memberikan autonomi undang-undang dalam hal ehwal keagamaan. Jadi Sanhedrin terketar-ketar tangan mahu merejam Isa (as) sampai mati. Bukannya mereka tidak cuba.

Berkali-kali mereka cuba, tetapi baginda terlepas. Namun Sanhedrin tahu, jika apa-apa terjadi barangkali rakyat marhaen akan marah. Jadi mereka meminta bantuan pentadbiran Rom yang dipimpin Pontius Pilate.

Kisahnya senang saja. Sanhedrin mendakwa Isa (as) mencabuli hukum Sabbath, cuba memusnahkan Kuil Yahudi, mengamalkan sihir, menghalau hantu dengan bantuan syaitan dan mendakwa diri sebagai al-Masih.

Tetapi semua dakwaan ini tidak relevan dalam pancaindera Rom… melainkan satu-satunya justifikasi iatu apabila Isa (as) mendakwa diri baginda Raja Yahudi.

Apabila dibicarakan, Pilate memang mahu membebaskan baginda (Klein, 2019). Tetapi para Yahudi (barangkali perkakas Sanhedrin) menjerkah, “kalau kau bebaskan dia, kau bukan sahabat Caesar: sesungguhnya barangsiapa yang melantik diri sebagai raja telah belot terhadap Caesar.”

Pilate dengan lukisan menyerupai baginda dikaburkan.

Jadi Pilate pun tiada pilihan selain menjatuhi hukuman salib. Sanhedrin dapat apa yang mereka impikan. Mereka baling batu dan menyembunyikan tangan.

Dan Isa (as) menurut agama Kristian wafat di tiang salib, kemudian dikebumikan dan bangkit semula daripada kewafatan untuk berangkat ke syurga. Itulah naratif keagamaan di sisi Kristian yang penting untuk difahami sebagai mukadimah.

Minggu Yang Sangat Suci (Perspektif Kristian)

Baginda (as) dibawa ke sebuah tempat yang dipanggil Golgotha dalam perkarangan Jerusalem. Dan di sini baginda (as) ditambat sebelum menjalani hukuman selama enam jam di hadapan ibundanya sendiri.

Sepanjang perjalanan, baginda (as) dipukul begitu zalim. Dan selepas wafat, setitis air daripada langit membawa laknat begitu dahsyat dalam bentuk gempa yang menghancurkan banyak bangunan di Jerusalem sampai Sang Iblis sendiri dilaporkan melolong dalam ketakutan.

Akibat kehancuran ini (dan siri kehancuran angkara peperangan yang berterusan), lokasi Golgotha hilang selama beberapa dekad. Apabila Constantine the Great memeluk agama Kristian, pentadbiran Rom bergegas menjejak Golgotha.

Perjalanan ke Golgotha.

Dan mereka terjumpa sebuah makam dengan salib usang. Mereka berpendapat bahawa baginda (as) pernah dikebumikan di sini (sebelum kebangkitan untuk berangkat ke Syurga).

Lalu Constantine menghancurkan semua unsur keagamaan Jupiter (terutamanya sebuah kuil besar) untuk membina sebuah gereja yang menjadi Gereja Makam Suci (Romey, 2016).

Pemegang Kunci Sebuah Gereja Suci

Enam bulan Ayahanda Sophronius cuba mempertahan Jerusalem yang dikepung Abu Ubaidah. Namun pada April 637, beliau menerima kenyataan dan bersetuju untuk menyerahkan Jerusalem.

Namun beliau menetapkan satu syarat: hanya akan menyerahkan keapda Khalifah Umar sahaja. Sebaik sahaja berita sampai, Umar tidak membuang masa. Beliau terus bergerak ke Jerusalem untuk menerima kota tersebut.

Bagi sesetengah pihak, ia merupakan tautan hormat antara dua pemimpin. Bagi satu lagi pihak, Umar tidak mahu melengahkan tanda kiamat.

Berjaya menakluki Jerusalem, beliau berdepan dengan satu kesukaran: amanah Gereja Makam Suci. Setelah mempertimbang, Umar bersetuju untuk menyerahkan kunci ini kepada Keluarga al-Nusaibah yang dikatakan mempunyai pertalian kekeluargaan dengan baginda nabi sendiri. Al-Nusaibah tidak melacurkan amanah ini.

Mereka menjaga Gereja Makam Suci sampailah Jerusalem jatuh pada tangan Angkatan Salib. Apabila Salah ad-Din mengambil Jerusalem, amanah ini dikembalikan kepada keluarga sama.

Dan legasi ini dibiar berterusan sampai Uthmaniyah pula berkuasa di bumi ini. Katanya Keluarga Judeh pernah menerima pelantikan daripada Salah ad-Din.

Lalu enggan mencemarkan keadaan, Uthmaniyah menyerahkan kunci kepada al-Judeh pula (tetapi satu-satunya pihak akan menggunakan kunci ini adalah al-Nusaibah sahaja). Bermakna al-Judeh sekadar memegang kunci tanpa perlu berbuat apa-apa.

Dalam zaman moden ini, pemegang kunci ini menjadi suatu simbol kebudayaan. Mereka akan menyerahkan kunci kepada semua gereja sedia ada… tetapi kunci wajib dikembalikan kepada mereka.

Walaupun Israel sudah mengambil alih Jerusalem secara de facto, amanah kunci masih dipegang dua keluarga ini… dan takkan sesekali boleh diusik, sesungguhnya ada kontrak yang menokhtahkan hak mereka sehingga kiamat (Liebermann, 2016).

RUJUKAN:

Klein, C. (2019, Mac 6). Why Did Pontius Pilate Have Jesus (ditapiskan)? History.

Liebermann, O. (2016, Mac 27). Two Muslim families entrusted with care of holy Christian site for centuries. CNN.

Romey, K. (2016, Oktober 31). Unsealing of Christ’s Reputed Tomb Turns Up New Revelations. National Geographic.

Ruangan komen telah ditutup.