Pembunuhan Tragis Khashoggi: Bidang Kuasa Turki atau Arab Saudi?

0
749
views
Sumber Gambar: Kayhan Ozer/Anadolu Agency/Getty Images

Pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi telah menggemparkan dunia termasuk kuasa besar seperti Amerika, Jerman, UK dan Australia yang telah memberikan ‘amaran’ supaya Arab Saudi telus dalam menegakkan keadilan. Pasukan siasatan Turki telah melabel pembunuhan Khashoggi sebagai ‘premeditated murder’ atau pembunuhan terancang oleh ‘assasination squad’ yang diterbangkan khas dari Arab Saudi pada hari kejadian.  Sehingga kini, Riyadh telah menolak permintaan ekstradisi 18 suspek warganegara Arab Saudi oleh Ankara. Malah, Riyadh menegaskan bahawa proses siasatan dan pendakwaan perlu dilakukan di Arab Saudi.

Jadi timbul persoalan siapakah yang mempunyai bidang kuasa untuk melakukan siasatan dan pendakwaan jenayah menurut undang-undang antarabangsa kerana kes ini melibatkan dua negara secara langsung. Yang mana pembunuhan tersebut dipercayai dilakukan di dalam premis konsulat Arab Saudi dan di negara tuan rumah, Turki?

Konvensyen Vienna

Konsep ‘inviolability’ dalam Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsulat (VCCR 1963) memberikan perlindungan atau imuniti kepada premis konsulat termasuk kenderaan, dokumen dan komunikasi dari diceroboh atau digeledah melainkan dengan persetujuan. Pasukan siasatan Turki melalui kerjasama dengan kerajaan Arab Saudi telah memperoleh kebenaran untuk memasuki premis konsulat untuk melakukan siasatan awal. Manakala, kediaman konsulat tidak tersenarai antara premis yang dilindungi. Ini memudahkan siasatan kerana sebahagian dari anggota tubuh Khashoggi yang dikerat telah dijumpai di taman berhampiran dengan kediaman konsulat Arab Saudi dan sebahagian lagi dipercayai telah dilupuskan menggunakan asid yang paling menghakis.

Konvensyen yang sama juga memberikan perlindungan kepada pegawai konsulat dari tangkapan dan tahanan pihak berkuasa. Namun, perlindungan ini hanya terpakai jika ia berkaitan dengan tugas-tugas rasmi konsulat. Ia tidak terpakai dalam kes jenayah berat seperti pembunuhan dan penculikan. Jadi, pihak berkuasa Turki boleh berbuat demikian dengan pemberitahuan diplomatik kepada kerajaan Arab Saudi. Selain itu, pegawai konsulat Arab Saudi boleh dipanggil untuk menjadi saksi kes mahkamah selagi tidak berkaitan dengan tugas rasmi mereka. Namun, sehingga kini masih tiada tindakan ke atas pegawai konsulat Arab Saudi yang disyaki terlibat terutamanya selepas permintaan ekstradisi mereka ditolak.

Tambahan lagi, Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik (VCDR 1961) memberikan perlindungan berasingan. ‘Assasination squad’ yang diterbangkan ke Turki pada hari kejadian tidak layak mendapat perlindungan tersebut kerana kehadiran mereka ke negara tuan rumah dilaporkan tidak dimaklumkan secara rasmi kepada kerajaan Turki dan bukan atas dasar tugasan rasmi.

Pihak berkuasa kompeten

Dalam menentukan bidang kuasa mana yang lebih terpakai, ia perlu dilihat kepada bidang kuasa yang lebih kompeten seperti yang ditegaskan oleh Konvensyen Vienna. Ia termaktub bahawa, negara yang menghantar wakil konsulat perlu menghormati undang-undang berdaulat negara tuan rumah. Pihak berkuasa Turki juga secara de jure telah pun membuahkan hasil melalui beberapa siri siasatan dan kerjasama awal. Jelas, Konvensyen Vienna memberikan kelebihan undang-undang kepada negara tuan rumah berbanding negara konsulat yang tidak dilindungi dalam kes pembunuhan.

Waqaf Saham

Relevan untuk membuat perbandingan mengenai keberkesanan sistem siasatan dan kehakiman antara dua buah negara ini. Arab Saudi tidak asing tersenarai dalam rekod merah pencabulan hak asasi manusia. Pemerintah akan mendakwa dan menghukum rakyat yang lantang bersuara mencabar pemerintahan  monarki mutlak tersebut. Terutamanya di bawah Putera Muhammad Bin Salman atau ‘Putera MBS’. Dua Ulama sunni tersohor Syeikh Salman al-Ouda dan Syeikh Awad al-Qarn antara yang telah didakwa dengan hukuman mati termasuk seorang lagi aktivis feminis wanita Sayyidah Israa al-Ghomgham yang telah disabitkan dengan hukuman mati kerana lantang mengkritik polisi pemerintah de facto itu. Motif yang sama telah dibangkitkan oleh media dan penganalisis politik antarabangsa bahawa Khashoggi telah dibunuh kerana rangkaian beliau dengan kumpulan politik Islamis, ikhwan al-Muslimin, yang lantang mengkritik dasar-dasar Putera MBS.

Kemudian hadir persoalan tentang keberkesanan sistem siasatan dan kehakiman Turki di bawah Presiden Erdogan. Selepas cubaan coup d’état pada tahun 2016, beribu wartawan, hakim mahkamah dan pendakwa telah digugurkan sewenang-wenangnya, sebahagiannya dipenjara, kerana dituduh bersekongkol dengan gerakan ‘anti-kerajaan’ dipercayai didalangi oleh Fethullah Gülen. Walaupun ada yang telah dibebaskan, kebebasan bersuara bukanlah sesuatu yang diterima di negara sekular di bawah pentadbiran Erdogan. Namun, Turki dilihat lebih ‘neutral’ untuk mengendalikan kes ini tanpa tuduhan berkomplot dan kepentingan politik seperti apa yang menyelubungi Arab Saudi.

Kemudian, pembunuhan Khashoggi telah melibatkan dua buah negara monarki dan republik yang telah lama ‘bersengketa’ terutamanya sejak perang proksi di Syria dan krisis diplomatik Qatar. Oleh itu, kerjasama untuk menyelesaikan kes ini pada masa yang singkat amat sukar untuk dicapai. Arab Saudi dilihat tidak akan menyerah secara bulat, malah akan menggunakan pengaruhnya selaku sekutu kuat timur tengah bersama Barat dalam menguatkan naratif ‘innocence’ mereka. Akan tetapi, kes ini telah menjadi tamparan buat Putera MBS. Kepimpinan dan keputusannya telah mula diragui yang akan memberi kesan kepada politik keluarga monarki Arab Saudi.

Erdogan pula dilihat melalui karakter populis dan oportunisnya, akan konsisten menegakkan bidang kuasa Turki. Erdogan mempunyai pilihan untuk menggunakan remedi yang lebih bersifat ‘politik’ dalam VCDR 1961 dan VCCR 1963 seperti mengisytiharkan persona non grata ke atas beberapa pegawai konsulat terlibat atau menutup premis konsulat mahupun kedutaan Arab Saudi jika keengganan untuk bekerjasama dalam siasatan terus berpanjangan.

Malaysia juga pernah mengambil tindakan sama ke atas duta Korea Utara berkuatkuasa dalam tempoh 48 jam berikutan kegagalan kerjasama dalam pembunuhan Kim Jong-nam. Kini, proses pendakwaan sedang berjalan di muka pengadilan Malaysia terhadap dua tertuduh. Dari sudut lain, Erdogan akan mengambil kesempatan ini untuk mengembalikan kepercayaan rakan Barat kepadanya. Di mana, sistem kehakiman dan keluhuran undang-undang mereka mampu untuk menegakkan keadilan untuk seorang sosok bernama Jamal Khashoggi dan keluarganya termasuk bekas tunangnya yang berwarganegara Turki.

Aizat Shamsuddin

LL.B & Sharia (USIM)

Fellow, Institute for Cultural Affairs, Germany 2017

Visiting Researcher, Berkley Center for Religion, Peace, and World Affairs 2018