Sebagai sebuah negara berdaulat dan menjadi anggota kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia merupakan antara negara yang turut menyumbangkan sumber dan tenaga kepada pertubuhan tersebut dalam melaksanakan misi-misi pengaman di seluruh dunia. Dalam hal ini, Malaysia melalui sumbangan yang ditaburkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amatlah tersohor di seantero dunia.

Dalam hal ini, sudah tentu kita tidak akan terlepas daripada membicarakan mengenai penglibatan ATM di dalam misi pengaman PBB di Mogadishu, Somalia di bawah panji-panji UNOSOM II (United Nations Operations In Somalia II). Penglibatan askar Malaysia di dalam misi tersebut telah melakarkan sejarah tersendiri dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia secara amnya dan 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) secara khususnya.

19 RAMD Mekanis dengan kekuatan 870 orang telah dipilih untuk ditempatkan di bawah panji-panji UNOSOM II sebagai Malaysian Battalion (MALBATT).  Mejar Abdul Latiff Ahmad (bersara Brigadier Jeneral) telah dipilih untuk mengetuai pasukan tersebut untuk operasi di Somalia.  Sepanjang pengoperasian pasukan tersebut di bumi Mogadishu, unit tersebut telah bertindak dengan cemerlang dan melaksanakan tugas yang mengharumkan nama negara.

Detik-detik yang membawa kepada pasukan tersebut melakarkan tempat mereka di sejarah dunia dan negara berlaku pada tarikh 3 Oktober 1993.  Pasukan US Ranger dan Delta Force telah melaksanakan operasi khusus untuk menahan 3 orang individu yang dipercayai merupakan orang kanan kepada panglima perang Somalia, Lt Jen Mohamad Farrah Aidid.  Aidid yang juga merupakan seorang ketua dalam puak Habar Gidir telah menjadi duri dalam daging kepada operasi UNOSOM II.  Selepas 24 orang anggota tentera pengaman dari Pakistan terbunuh dalam satu serangan hendap oleh pengikut Aidid, Amerika Syarikat telah mengumumkan bahawa dia adalah ancaman kepada proses pendamaian di Somalia dan telah menghantar Task Force Ranger yang terdiri daripada US Ranger, Delta Force dan 160th Special Operations Aviation Regiment untuk membawa Aidid ke muka pengadilan.

Serbuan yang dilaksanakan oleh Task Force Ranger itu di kawasan sekitar Hotel Olimpik di dalam Pasar Bakara telah dilaksanakan oleh Pasukan Task Force Ranger itu tanpa memberitahu pasukan UNOSOM II terlebih dahulu dan ini kemudiannya membawa padah.

Serbuan itu kemudiannya berhadapan dengan masalah apabila tiga buah helikopter pelbagai guna jenis Sikorsky S-60 Black Hawk telah berjaya ditembak jatuh oleh pengikut Aidid, dengan dua buah helikopter tersebut terhempas di tengah-tengah Pasar Bakara. Sebuah helikopter berjaya membuat pendaratan kecemasan tidak jauh daripada lapangan terbang Mogadishu yang digunakan sebagai pengkalan udara kepada tentera AS.

Apabila tentera pasukan khas Amerika Syarikat itu mendapati bahawa mereka terperangkap di dalam Pasar Bakara, barulah mereka terfikir untuk memohon bantuan daripada pasukan-pasukan tentera di bawah UNOSOM II, antaranya adalah Malaysia dan Pakistan.  Itupun setelah 4 kali mereka mencuba dan semua digagalkan kerana ketiadaan kereta perisai di pihak Task Force Ranger.  Malahan, ketika itulah baru mereka terfikir untuk memohon bantuan daripada pasukan-pasukan US lain yang beroperasi di Somalia ketika itu, antaranya pasukan 10th Mountain Division.

Pasukan MALBATT yang diketuai oleh Mejar Abdul Latiff Ahmad telah dipanggil untuk memberi bantuan kepada pasukan AS untuk menyelamatkan anggota Task Force Ranger yang terperangkap di dalam Pasar Bakara. Disebabkan oleh kegagalan Task Force Ranger dalam memaklumkan pasukan-pasukan di bawah UNOSOM II akan serbuan tersebut, maka ini secara tidak langsung menyebabkan timbulnya masalah koordinasi antara Task Force Ranger, 10th Mountain Division, MALBATT dan Pakistan.

Sebanyak dua kompeni berkekuatan 32 buah kenderaan perisai Radpanzer Condor buatan Jerman telah digerakkan bagi membantu operasi menyelamat tersebut.  Seramai 123 orang pegawai dan anggota dari kedua-dua kompeni itu telah digerakkan bersama bagi operasi tersebut.

Operasi menyelamat hanya dapat dilaksanakan agak lewat kerana pada peringkat awal, Tentera AS berkehendakkan untuk sekadar meminjam kenderaan Radpanzer Condor.  Ini tidak termasuk lagi isu logistik serta semboyan yang perlu diselesaikan sebelum operasi dilaksanakan.

Isu koordinasi operasi sekali lagi mengganggu kelancaran operasi menyelamat apabila Pasukan Tentera Pakistan yang dilengkapkan dengan kereta kebal jenis M48 Patton berhenti di kawasan sekitar Bulatan K4 dan enggan meneruskan perjalanan, memberi alasan bahawa kereta kebal mereka tidak dilengkapkan dengan alatan pandangan malam. Ini memaksa operasi tersebut dilaksanakan oleh MALBATT dan Amerika Syarikat semata-mata.

Enam jam seterusnya menyaksikan pertempuran yang amat sengit antara militia Somalia dengan pasukan penyelamat. Militia-militia dari puak lain, termasuklah puak-puak yang bermusuhan dengan Aidid turut serta menyerang pasukan penyelamat, mengetepikan permusuhan mereka untuk menghadapi ancaman bersama kepada mereka.

Di pihak Malaysia, pertempuran selama 6 jam itu menjadi rekod sebagai pertempuran paling sengit yang dihadapi oleh mana-mana unit Angkatan Tentera Malaysia semenjak Perang Dunia Kedua.  Dalam pertempuran itu, seorang anggota tentera, Lans Korporal Mat Aznan Awang telah mengalami kecederaan parah di dada akibat terkena serpihan daripada tembakan daripada pelancar grenad yang mengenai cermin Radpanzer Condor yang dipandu beliau.  Beliau kemudiannya menghembuskan nafas terakhir. Seramai lapan anggota lain turut mengalami kecederaan.

Sebanyak 4 buah kenderaan Radpanzer Condor turut musnah dalam pertempuran tersebut.  Kenderaan tersebut terpaksa ditinggalkan kerana telah berjaya dirosakkan oleh militia.  Bagi mengelakkan aset-aset tersebut jatuh ke tangan musuh, kenderaan-kenderaan tersebut telah dimusnahkan oleh helikopter MH-6 Little Bird.

Kemusnahan 4 buah kenderaan Radpanzer Condor itu secara tidak langsung turut menyumbang kepada salah faham kerana ini telah mengurangkan bilangan kenderaan yang boleh mengangkut anggota keluar daripada kawasan dengan cepat dan selamat.  Sekali lagi, kesilapan koordinasi antara Tentera AS dan MALBATT menyaksikan satu skuad tentera AS terpaksa berlari dari kawasan operasi sehingga ke kawasan selamat di Stadium Mogadishu yang berada di bawah kawalan Tentera Pakistan.

Tentera Amerika Syarikat gagal membawa Aidid ke muka pengadilan.  Dia kemudiannya menghembuskan nafas terakhir pada 1 Ogos 1996. Tempatnya dalam puak Habar Gidir digantikan oleh anaknya, yang ironinya merupakan seorang bekas anggota Pasukan Marin Amerika Syarikat yang turut dikerah ke Mogadishu.

Sebaliknya, kisah kegagalan Task Force Ranger itu telah dibukukan oleh wartawan Mark Bowden.  Buku tersebut kemudiannya menjadi inspirasi kepada filem Black Hawk Down yang diarahkan oleh Ridley Scott.  Peranan dan pengorbanan MALBATT tidak ditonjolkan langsung di dalam filem tersebut.

Lans Korporal Mat Aznan Awang kemudiannya dinaikkan pangkat kepada Korporal serta telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP).

Mejar Abdul Latiff Ahmad bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia dengan pangkat Brigadier Jeneral.  Beliau juga telah dianugerahkan dengan pangkat Datuk di atas sumbangan beliau semasa dalam perkhidmatan.  Hari ini, beliau turut melibatkan diri dalam usaha untuk mengingatkan rakyat Malaysia akan sumbangan Angkatan Tentera Malaysia kepada negara kita dan dunia.

Postscript oleh Penulis

Saya masih ingat lagi ketika saya menonton televisyen di rumah, sebagai seorang kanak-kanak, melihat siaran berita mengenai peristiwa ini.  Berita tersebut menanam minat saya mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai penglibatan tentera kita di Somalia.  Hasilnya, saya telah menulis kisah ini dalam sebuah rencana yang dimuatnaikkan dalam blog saya.  Kisah ini kemudiannya dimasukkan ke dalam buku Malaysia Military Power yang ditulis bersama saudara seperjuangan saya, saudara Faris Jamaluddin dan diterbitkan oleh The Patriots Publication.

Tanpa saya sedari, saya telah memasukkan banyak fakta terpesong dalam rencana tersebut. Fakta terpesong itu diperoleh daripada pelbagai sumber yang saya tak akan namakan. Tetapi cukuplah bagi saya sebutkan sepintas lalu, kerana saya perlu bertanggungjawab memastikan apa yang saya tulis adalah fakta, dan saya telah gagal di situ. Bagi membetulkan kesilapan ini, di bahagian seterusnya saya akan memasukkan senarai kesilapan dalam rencana terdahulu bagi memperjelaskan dan memperbetulkan pandangan serong yang telah terhasil daripada rencana terdahulu.

Apapun, saya amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk memperbetulkan kesilapan ini. Begitu juga dengan rakan-rakan seperjuangan dalam The Patriots Publication yang senantiasa membantu dalam memberi peluang bagi saya memperbetulkan kesilapan yang cukup besar ini.

Kepada Brigadier Jeneral Datuk Abdul Latiff Ahmad serta pasukan di Somalia, saya mengucapkan terima kasih di atas sumbangan anda semua kepada negara.

PEMBETULAN FAKTA ARTIKEL ‘PERTEMPURAN MOGADISHU: PERSPEKTIF MALAYSIA’ DI DALAM BUKU MALAYSIA MILITARY POWER.

Oleh: Brigadier Jeneral Datuk Abdul Latif Ahmad dan Patriots Publishing Sdn Bhd.

  1. Halaman 135, Perenggan 1.

“123 orang pegawai dan anggota telah menyahut seruan untuk membantu menyelamatkan”

Fakta sebenar:

Bilangan sebenar adalah seramai 114 orang pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi itu.

  1. Halaman 135, Perenggan 3.

“Walaupun tidak dimaklumkan terlebih dahulu oleh Tentera A.S, Kolonel Abdul Latiff, Pegawai Pemerintah MALBATT 1 segera mengarahkan pasukan MALBATT 1 bersiap sedia”

Fakta sebenar:

MALBATT 1 sentiasa bersiap sedia sepanjang masa di Pangkalan.

  1. Halaman 135, Perenggan 4.

“Naluri beliau ternyata betul kerana US Task Force Rangers telah menghubungi MALBATT 1 untuk memohon bantuan.”

Fakta sebenar:

Keadaan sebenar adalah Markas ketenteraan UNOSOM II – Force HQ telah meminta.bantuan MALBATT 1 membantu di dalam operasi menyelamatkan pihak tenteta Rangers Amerika yang terperangkap. Pihak Rangers tidak sesekali berhubung terus menerus kepada MALBATT 1 untuk meminta bantuan. Kenyataan asal adalah rekaan daripada penulis.

  1. Halaman 136, Perenggan 5.

“Dengan serta merta, Kol Abdul Latiff telah menghubungi Kuala Lumpur untuk memohon kebenaran tetapi telah dinafikan.  Walau bagaimanapun apabila melihat keadaan amat terdesak Kol Abdul Latiff bertegas agar Kuala Lumpur memberikan kebenaran.”

Fakta sebenar:

Di dalam keadaan mencemaskan sebagai seorang Komander, Kolonel Abdul Latif perlu mengambil keputusan serta-merta bersesuaian dengan keadaan terutama semasa berperang. Ini adalah tanggungjawab sebagai seorang Komander di medan semata-mata. Keputusan perlu dibuat dan diambil serta-merta tanpa merujuk kepada sesiapa. Kenyataan asal di perenggan ini adalah bayangan dan rekaan penulis semata-mata dan terpesong dari fakta sebenar.

  1. Halaman 136, Perenggan 6 dan 7.

“Mungkin juga dalam fikiran Kol Abdul Latiff  dia terbayangkan peristiwa hitam yang pernah mencemari maruah Tentera Darat dalam satu operasi lain PBB dalam pertempuran Kindu, Kongo, melihat bahawa Kol Abd Latiff beria-ria untuk membantu, Kuala Lumpur mengalah.”

Fakta sebenar:

Seperti di atas, kenyataan ini tiada berasas dan hanya rekaan dan bayangan penulis semata-mata. Perkara ini tidak releven dengan operasi yang dijalankan di UNOSOM II di Somalia. Penulis tidak pernah bertemu bual dengan Kolonel Abdul Latif.

  1. Halaman 137, Perenggan 9 dan 10.

“Beliau telah memilih utuk memberi kepercayaan kepada anggota yang masih bujang kerana sedar akan bahawa akan berlaku kemungkinan ada di antara mereka akan terkorban.”

“Walau bagaimanapun, dia telah membuat pengecualian terhadap Prebet Mat Aznan Awang.  Berkahwin dan mempunyai keluarga, beliau merupakan pemandu terbaik.”

Fakta sebenar:

Seramai 114 orang pegawai dan anggota telah menjalankan operasi ini. Komander MALBATT 1 telah mengawal keadaan dari Markas Taktikal di Pengkalan. Semua anggota bersedia untuk menjalankan tugas tidak mengira sudah berkahwin ataupun bujang. Tiada arahan dikeluarkan oleh Kolonel Abdul Latif untuk memilih hanya orang bujang untuk menyertai operasi ini, dan tidak juga membuat pengecualian terhadap Prebet Mat Azman Awang kerana telah berkahwin dan merupakan pemandu yang terbaik. Apa yang dikatakan di perenggan asal adalah rekaan penulis semata-mata.

  1. Halaman 138, Perenggan 14.

“Sebuah elemen Kompeni A terdiri daripada 4 buah kenderaan telah membuat pusingan yang salah akibat kelewatan menerima maklum balas daripada Pusat Kawalan.”

Fakta sebenar:

Kenyataan ini tidak betul. Sebenarnya, apabila Sub Unit/Elemen yang menjalankan operasi seperti begini, mereka bertanggungjawab untuk mendapatkan sebarang maklumat di tempat kejadian berkenaan. Pusat kawalan/Markas Taktikal tidak dapat memberi maklumat semasa kepada mereka.

  1. Halaman 138, Perenggan 17

“Hari ini satu-satunya kenangan yang dimiliki oleh Allahyarham Pbt Mat Aznan yang dipulangkan kepada keluarganya adalah pelindung mata atau goggle yang dipakai malam itu.  Goggle itu yang masih berlumuran dengan darah beliau, seperti diceritakan oleh jiran keluarganya.”

Fakta sebenar:

Kenyataan ini tidak benar. Pihak MALBATT 1 semasa itu tidak pernah membuat sebarang penghantaran balik google yang masih berdarah kepunyaan arwah Prebet Mat Azman kepada keluarganya. Penulis telah memberi cerita yang salah dan membuat rekaannya sendiri.

  1. Halaman 139, Perenggan 21.

“Amerika Syarikat mengalami 17 kematian, dipercayai kira-kira 2,000 Somali meninggal dunia pada malam itu.”

Fakta sebenar:

Fakta sebenar adalah pihak Amerika Syarikat mengalami 18 anggota kematian/terkorban dan 77 anggota tercedera. Dianggarkan seramai 300-400 militia Somali telah mati dan bukan seramai 2000 orang.

  1. Halaman 139, Perenggan 23.

“Kol Abdul Latiff kemudian mendapat jemputan rasmi ke Amerika Syarikat.  Dalam lawatannya ke Pentagon, beliau telah diberikan penghormatan tertinggi, secara dengan seorang Jeneral melawat.”

Fakta sebenar:

Kenyataan yang dibuat oleh penulis adalah tidak benar. Kolonel Abdul Latif tidak pernah mendapat sebarang undangan untuk melawat Pentagon, Amerika Syarikat.

  1. Halaman 140, Perenggan 25.

“Lt Gen Farah Aided terus memerintah Somalia untuk suatu jangka masa.”

Fakta sebenar:

Maklumat ini tidak tepat. Pangkat yang disandang oleh Farah Aideed dan gelaran yang diberi ke atas beliau adalah General, bukan Lt. General. General Farah Aideed tidak memerintah Somalia. Pada masa itu, Somalia berada di bawah pimpinan Presiden sementara Ali Mahadi.

  1. Halaman 140, Perenggan 26.

“Lt Jen Dato’ Aboo Samah dari Malaysia telah dilantik sebagai Komander PBB, dan dapat mengenali Lt Gen Farah Aided yang merupakan junior beliau di sebuah kolej ketenteraan.”

Fakta sebenar:

Kenyataan ini tidak benar. General Farah Aideed bukan junior Lt. General Dato’ Aboo Samah di mana-mana kolej Tentera.

TAMAT.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pemalas dari Sarawak. Royalist, Federalis, pemerhati dunia pertahanan, ekonomi dan geopolitik. Seorang pengumpul buku. Memiliki PHD (permanent head damage) selepas kepalanya jatuh terhantuk di atas jalan raya. Memegang ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Sains Malaysia serta merupakan seorang Akauntan Bertauliah dari Institut Perakaunan Malaysia.

Comments are closed.