Bagi kebanyakan orang, kebersihan jarang ditekankan walaupun ia mempunyai banyak faedah dari segi kesihatan dan amat digalakkan dalam agama. Bahkan, ada beberapa hadis Nabi s.a.w yang menitikberatkan soal kebersihan seperti, “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Malik al-Ashari r.a) Dan melihat kepada kesungguhan penyokong pasukan kebangsaan Jepun membersihkan stadium selepas tamat perlawanan Piala Dunia tahun lepas, dedikasi kepada perkara ini seharusnya dicontohi.

Mungkin bagi sesetengah pihak, ia dianggap remeh-temeh. Tetapi perkara ini seharusnya dipuji kerana secara tidak langsung, ia mengharumkan nama negara Matahari Terbit itu dari segi tingkah laku penyokong. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas dalam perlawanan pertama kumpulan H menentang pasukan Colombia. Pasukan yang diberi jolokan Samurai Biru (Blue Samurai) ini berjaya mengatasi pasukan gergasi Amerika Selatan itu dengan keputusan 2-1 hasil jaringan pemain tengah Borussia Dortmund Shinji Kagawa dan penyerang Werder Bremen Yuya Osako.

Tipikal bagi mana-mana penyokong untuk bersorak dan bergembira selepas tamat perlawanan bagi meraikan kemenangan pasukan masing-masing tanpa mengira pasukan kebangsaan atau kelab. Tetapi berbeza dengan penyokong Jepun, mereka memilih membersihkan barisan tempat duduk mereka dan mengutip sampah bagi memastikan ia bersih sebelum dan selepas kedatangan mereka. Walaupun perkara sebegini bukan sesuatu yang baru bagi mereka, tetapi ia dianggap sesuatu yang aneh tapi baik dalam kalangan penyokong dan wartawan.

Wartawan bola sepak berpangkalan di Jepun Scott McIntyre melihat ia bukan sekadar sebahagian daripada budaya bola sepak tetapi juga sebahagian daripada budaya Jepun itu sendiri. Dan bagi Sheila Smith, seorang pakar Jepun dari Majlis Hubungan Luar, warga Jepun amat mengambil berat soal kebersihan terutama ruangan awam. Dan pada masa sama, mereka melihat diri mereka sebagai tetamu dan mereka harus memuliakan tuan rumah (penganjur Piala Dunia 2018 ialah Rusia) dengan menunjukkan contoh yang baik seperti mengutip sampah selepas perlawanan.

Perkara ini tidak hanya terpakai pada acara sukan sahaja tetapi meliputi pelbagai insiden sedih yang melanda negara berkenaan. Michael Green, seorang pakar dari Pusat Strategik dan Hubungan Antarabangsa masih ingat pengalaman seorang rakan dari Tentera Laut Amerika Syarikat yang datang menghulurkan bantuan kemanusiaan pasca-musibah gempa bumi 2011. Tragedi tersebut mengorbankan lebih 22,000 orang dan memaksa 120,000 orang meninggalkan kediaman masing-masing untuk berlindung di tempat yang selamat. Satu perkara yang menjentik perhatian rakan Green ialah apabila helikopter mereka tiba, penduduk beratur dengan cermat dan tunduk hormat bila mereka mengeluarkan bantuan makanan dan minuman. Ini sama sekali berbeza di tempat-tempat lain di mana penduduk berpusu-pusu ke helikopter dan berebut-rebut mendapatkan bantuan yang dihulurkan.

Disiplin sebegini sudah diterapkan dalam rakyat Jepun sejak dari kecil lagi. Di sekolah, kanak-kanak diajar membersihkan bilik darjah dengan tujuan mengajarkan mereka kemahiran hidup, mendedahkan mereka terhadap kepentingan alam sekitar dan menunjukkan rasa hormat terhadap orang lain. Bila perkara ini sudah sebati dalam diri dan menjadi sebahagian daripada tabiat mereka, ianya mudah diamalkan dan tidak dianggap satu beban pun.

Jika ada yang melawat Jepun, pasti anda perasan tidak banyak tong sampah disediakan di bandar-bandar. Ini kerana penduduk diterapkan idea membawa sampah kembali ke kediaman masing-masing sama ada untuk dibuang atau dikitar semula. Dan kalau anda menghadiri festival-festival muzik Jepun, barisan orang yang beratur panjang itu bukannya beratur untuk membeli minuman atau cenderamata artis pujaan. Sebaliknya, itu merupakan barisan orang yang beratur untuk pengumpulan sampah dan mendapatkan mata percuma dari aktiviti kitar semula.

Selain itu, masyarakat Jepun juga dilihat sebagai satu komuniti yang kolektif di mana penduduknya sentiasa ditekankan bahawa mereka merupakan sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar dan kepentingan orang awam lebih besar berbanding kepentingan diri sendiri. Dan ini diterjemahkan dalam perilaku mereka bukan saja dalam tetapi juga di luar negara. Ini dinyatakan seorang penterjemah dari Osaka bernama Makiko Takahashi.

Dia melihat tindakan penyokong Samurai Biru ini sebagai satu perilaku yang elok kerana bagi mereka, lebih elok meninggalkan sesebuah tempat dalam keadaan bersih dan cantik. Jika seseorang itu meninggalkan sesuatu tempat dalam keadaan kotor dan tak terurus, ini sudah tentu menimbulkan rasa kurang senang pengguna yang menggunakan kemudahan itu kemudian. Takahashi menambah dalam budaya Jepun sendiri, lebih baik mengakhiri sesuatu perbuatan itu dengan kebaikan berbanding keburukan.

Kerajaan Jepun turut memuji perilaku pasukan bukan saja di atas padang tetapi juga di tepi padang. Dan siapa sangka perilaku mereka itu turut diikuti oleh penyokong pasukan lain. Selepas Senegal membuat kejutan mengalahkan Poland yang diterajui ayam tambatan Bayern Munich Robert Lewandowski dengan keputusan 2-1, penyokong Senegal juga memilih mengutip sampah dan membersihkan stadium selepas tamat perlawanan. Dan ini menimbulkan reaksi positif dalam kalangan penyokong.

Tetapi amalan ini bukan hanya dilakukan semasa menang tetapi juga bila kalah. Selepas Samurai Biru tewas di tangan Belgium pada perlawanan pusingan kedua, ia merupakan satu keputusan yang mengecewakan. Tetapi di sebalik semua itu, penyokong Jepun meneruskan rutin kutipan sampah seperti biasa dan terus mendapat pujian pengguna laman media sosial. Pasukan kebangsaan Jepun juga tidak ketinggalan membersihkan bilik persalinan mereka sebelum meninggalkan stadium dan meninggalkan nota terima kasih kepada Rusia.

Gelagat dua set individu ini sebenarnya menunjukkan kebanggaan mereka terhadap gaya hidup mereka dan seharusnya dikongsi nilai-nilai ini dengan orang lain. McIntyre melihat di sebalik semua ini, keghairahan semasa bermain atau menyokong tidak seharusnya menjejaskan standard perilaku individu sebagai manusia yang bertanggungjawab. Ini kerana bila kita melakukan perkara yang dianggap terhormat, ia sebenarnya menambah lagi prestij sesebuah pasukan dan para penyokong.

Justeru, tatkala kita memuji gelagat penyokong Jepun ini, renunglah juga usaha kebersihan yang dibuat. Jika usaha yang dibuat bersifat cukup makan saja, makanya sampai ke sudah tak selesai isu kebersihan yang menghantui masyarakat kita hari ini. Dan bila disuruh menjaga kebersihan, beban tanggungjawab seharusnya ditanggung oleh semua pihak bukan diletakkan 100% di tangan pihak berkuasa.

Bila itu dapat digalas semua pihak, segala agenda berkenaan kebersihan dan penjagaan alam sekitar dapat direalisasikan dengan jayanya. Jika tidak, ia sekadar satu lagi bentuk angan-angan Mat Jenin dan kita terus malu dengan perilaku diri sendiri.

SUMBER

1. Illmer, Andreas. (2018). BBC. World Cup: Japan fans impress by cleaning up stadium. https://www.bbc.com/news/world-asia-44492611

2. Ward, Alex. (2018). Vox. Japanese World Cup fans cleaned up the stadium after they won. Now others are doing it. https://www.vox.com/2018/6/20/17483158/world-cup-2018-japan-clean-senegal-colombia

3. Daily Mail. (2018). Japanese fans STILL clean up the stadium after their match… despite the heartbreak of seeing their side lose 3-2 in the last minute. https://www.dailymail.co.uk/news/article-5912349/Japanese-fans-clean-stadium-match-despite-heartbreaking-defeat-Belgium.html

4. Gates, James. (2018). CultureTrip.com. Why Were Japanese Fans Cleaning Up After Themselves at the World Cup? https://theculturetrip.com/asia/japan/articles/why-were-japanese-fans-cleaning-up-after-themselves-at-the-world-cup/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.