Semasa Rom menjadi kuasa dunia dan menewaskan Yunani dalam Perang Makaduniah, kuasa Dinasti Seleucid merosot. Setelah tewas dalam Pertempuran Magnesia pada tahun 190 SM, Antiochus III terpaksa menandatangani perjanjian damai yang dipanggil sebagai perjanjian Apamea dan kehilangan seluruh Anatolia. Seleucid hanya menguasai wilayah Syria sahaja. Setelah kemangkatan Antiochus III, Seleucus IV melantik Heliodorus sebagai wakil Seleucid untuk mengumpulkan kekayaan dari Jerusalem dan Heliodorus mengaut semua sekali termasuklah relik-relik suci yang menyebabkan orang-orang yahudi marah, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa tindakan di atas kebiadapan Heliodorus.

Namun, selepas Seleucus IV dibunuh oleh Heliodorus, Heliodorus mengangkat dirinya menjadi Raja Syria (Seleucid). Pemerintahannya tidak lama kerana berjaya dirampas semula oleh Antiochus IV Epiphanes. Antiochus IV ini mahu mengembalikan kegemilangan nenek moyang mereka, tetapi tidak boleh menyerang Anatolia yang dikuasai oleh Kerajaan Pergamum yang membantu mereka mendapatkan semula takhta Greek Syria. Dinasti Ptolemy di Mesir pula mengarahkan Antiochus IV untuk menyerahkan kembali Ceole-Syria kepada mereka. Keadaan ini menyebabkan Antiochus IV memerangi Mesir dan menakluk seluruh Mesir, namun merajakan semula Ptolemy semula sebagai Raja Boneka mereka.

Tidak lama selepas peristiwa itu, Antiochus IV kembali menyerang Mesir. Dalam perjalanan ke Mesir, Antiochus IV singgah di Jerusalem dan melantik Menelaus sebagai Paderi Agung Yahudi yang baharu, dengan pengaruh agama Hellen yang jelas menyimpang dari ajaran Taurat. Orang Yahudi dipaksa untuk mengakui Zeus sebagai Tuhan Maha Agung mereka dan patung Zeus dibina di atas Bukit Al-Aqsa. Usaha baginda memerangi Mesir terhalang kerana Rom tidak membenarkan negara-negara berhampirannya berperang sesama sendiri. Antiochus IV kembali semula ke Syria. Sementara itu, khabar angin mengatakan bahawa Antiochus IV telah terbunuh di Mesir menyebabkan orang Yahudi bangkit menyerang Jerusalem dan menghalau keluar Menelaus dari Jerusalem. Sejurus tiba di Jerusalem, Antiochus IV telah membantu Menelaus di Jerusalem dan menghukum bunuh ramai orang yahudi. Keadaan ini menyebabkan Orang Yahudi bangkit menentang pengaruh Hellenistik dan Pagan dalam agama samawi mereka. Pemberontakan ini dikenali sebagai Pemberontakan Maccabean.

Belum reda hal di Jerusalem, Parthia pula menyerang Timur Syria dan memaksa Antiochus IV bersama bala tenteranya berarak ke perbatasan Seleucid untuk berperang dengan Parthia. Urusan di Palestin pula diserahkan kepada seorang jeneralnya. Antiochus IV terbunuh dalam perang dengan Parthia menyebabkan Empayar Seleucid menjadi tidak stabil serta pemberontakan Maccabean berjaya dimenangi oleh pemberontak Yahudi.

Mereka menubuhkan Kerajaan Hasmonean, kerajaan orang Yahudi kedua selepas kekalahan mereka kepada Kerajaan Babylon. Walaubagaimanapun, Hasmonean lebih kepada penguasaan Semi-Autonomi sahaja terhadap Empayar Seleucid, menunjukkan mereka bukanlah sebuah negara merdeka. Selepas pemberontakan Maccabeen pertama di bawah pimpinan Judah Maccabee, wilayah Palestin kekal di bawah hegemoni Seleucid dengan peperangan demi peperangan yang terpaksa dihadapi oleh orang Yahudi di Jerusalem dengan pertukaran Paderi Agung mereka mengikut kehendak Seleucid.

Perang saudara yang berlaku dan ketidakstabilan  Empayar Seleucid menyebabkan Orang Yahudi berjaya membina kerajaan yang merdeka. Selepas kematian Jonathan, Paderi Agung merangkap Ketua Yahudi (Hellenistik) di Jerusalem kerana perang saudara di antara Alexander Balas dengan General Diodotus Tryphon, Simon Maccabee dilantik menjadi Ketua dan Paderi Agung Yahudi serta-merta demi menghadapi kemaraan tentera Diodotus. Simon Maccabee berjaya menjadikan Hasmonean sebagai sebuah Negara Semi-Autonomi dalam Empayar Seleucid bermula dari Tahuun 141 SM sehinggalah dia dibunuh 6 tahun kemudian. Sebagai kesinambungan daripada perjuangan Simon Maccabee, anak ketiganya, John Hycranus pula menjadi Raja Hasmonean. Kerajaan Yahudi tersebut kekal aman selepas baginda menerima budaya Hellenistik dalam pentadbiran Hasmonean dan mengakui diri sebagai Gabenor di Jerusalem serta membayar ufti kepada Seleucid.

Setelah 2 dekad berlalu dengan aman, Kuasa Seleucid merosot teruk dengan kekalahan Seleucid kepada Parthia dan melenyapkan pengaruh Seleucid di Timur Sungai Furat. Emperor Antiochus VII mangkat dalam peperangan tersebut menyebabkan berlakunya perebutan kuasa di antara Antiochus VIII dan Antiochus IX. Keadaan ini memberi peluang kepada Hycranus untuk memberontak terhadap Seleucid, dan menubuhkan Kerajaan Hasmonean yang merdeka pada tahun 110 SM. Selepas mengisytiharkan kerajaannya sebagai sebuah kerajaan yang merdeka,  John Hycranus dengan bala tenteranya menakluk seluruh Palestin dan Transjordan.

Selepas kemangkatan Hycranus, isterinya mendapat hak sebagai pemerintah dan anaknya menjadi Paderi Agung. Namun, anaknya, Aristobulus memenjarakan ibunya sendiri dan abang-abangnya, lalu memerintah selama setahun sebelum kematian mengejut pada tahun 106 SM. Abangnya, Alexander Janneus dibebaskan dan mengambil takhta Hasmonean. Pada tahun 93 SM, Tentera Arab Nabatea berjaya mengalahkan Alexander Janneus dan memiliki semua wilayah di Transjordan.

Seleucid yang bimbang dengan kebangkitan Nabatea di Jordan pergi memerangi mereka pada tahun 87 SM di Gadara, namun Antiochus XII dan Alexander Janneus terbunuh dalam peperangan tersebut. Kekalahan Seleucid dan Hasmonean ini mengukuhkan kedudukan Arab Nabatea di Transjordan, Negev dan Gaza. Perang Nabatea ini sebenarnya adalah perang balas terhadap kekejaman Janneus menakluk Gaza dan membunuh semua orang yang ada di dalamnya serta kejadian tersebut telah menggugat jalur perdagangan Nabatea ke utara kerajaan mereka.

Selepas kemangkatan Alexander Janneus dan Antiochus XII, permaisuri Alexander Salome menaiki takhta sebagai Ratu Regnal kepada Hycranus II. Selepas kemangkatannya, berlaku perang saudara antara Hycranus II dengan adiknya Aristobulus II. Aristobulus II menang dan menaiki takhta Hasmonean. Keadaan ini memberi peluang kepada Antipater, Gabenor Hasmonean di Edom (Berbangsa Edom dan isterinya Arab) untuk meyakinkan Hycranus II bagi memohon pertolongan Aretas, Raja Arab Nabatea dalam perang saudara.

Sebagai ganjarannya,  Hycranus II menjanjikan wilayah-wilayah Arab kepada Aretas. Berlakulah perang saudara antara Hycranus II dengan Aristobulus II untuk merebut takhta Hasmonean yang ditakluki oleh adiknya itu dengan menggunakan bantuan daripada tentera Arab. Belum pun reda hal ini, Emperor Pompei Yang Agung dari Kerajaan Rom bertindak menakluk Seleucid dan menjadikan Judea sebagai Negara Lindungan Rom dengan melantik Marcus Aemilius Scaurus sebagai penguasa Seleucid Syria. Aristobulus II dan Hycranus II, masing-masing mengantar wakil kepada Scaurus untuk membantu mereka.

Oleh sebab Aristobulus memberikan lebih hadiah, beliau memihak kepada Aristobulus II dan menyuruh Aretas mengundurkan tenteranya. Semasa 50,000 tentera Aretas itu mengundurkan diri, tentera Yahudi menyerang dan mengakibatkan ramai bangsa Arab Nabatea terkorban. Setelah itu, Pompei melawat Syria pada tahun 63 SM. Baginda lebih menggemari Hycranus II sebagai penguasa Kerajaan Judah serta menangkap Aristobulus dan anakandanya Antigonus II.

Walaubagaimanapun, baginda melantik Hycranus II sebagai Paderi Agung bangsa Yahudi (Ethnarch) sahaja dan melantik Antipater, bekas gabenor berbangsa Edom kepada Hycranus II sebagai Gabenor. Antigonus II berjaya melarikan diri pada tahun 57 SM dan kembali ke Judah. Sepuluh tahun kemudian, Antigonus II berjumpa dengan Julius Caesar yang melawat Syria ketika itu untuk menaikkannya sebagai raja Hasmonean kerana Hycranus II hanyalah raja boneka kepada Antipater. Antigonus II tidak berjaya meyakinkan Caesar untuk membantunya, lalu dia menyerang kota suci pada tahun 42 SM, tetapi tewas kepada Herod I.

Pada Tahun 40 SM, empayar Parthia berjaya menawan Wilayah Syria dan Palestin. Parthia melantik Antigonus II sebagai Raja dan Paderi Agung di Judah. Herod berjaya melarikan diri ke Rom, di mana Herod dilantik menjadi Raja Judah oleh Marc Anthony, Senat Rom yang menjadi pemerintah autoratik di Rom. Pada tahun 39 SM, Herod memulakan kempennya menakluki Jerusalem dari tangan Antigonus II namun tidak berjaya menembusi kekebalan tembok kota Jerusalem. Setahun kemudian, Herod menyerang wilayah-wilayah Judah dalam Palestin dan tentera Rom yang diketuai oleh Marc Anthony berjaya menghalau keluar Parthia dari Syria serta berjaya menewaskan Kota Jerusalem. Antigonus II ditangkap dan dibunuh di Antioch. Kematiannya mengakhiri jurai keturunan Hasmonean dan Dinasti Herod pula yang berkuasa di Judah.

Sejarah yang berlaku di Bait Suci ini jelas menunjukkan Hasmonean tidak pernah aman daripada pertumpahan darah. Orang-orang Yahudi sering berperang sesama sendiri dan tidak menghormati Jerusalem sebagai kota suci mereka. Rakyat kerajaan ini menjadi liar dan suka berperang. Jawatan ketua negara dan ketua agama sering menjadi perebutan kerana kekayaan dan status jawatan tersebut kepada bangsa Yahudi. Perang saudara dan campurtangan Rom juga membawa kepada kemusnahan Kerajaan Hasmonean dan kebangkitan Kerajaan Herod yang menjadi Kerajaan Taklukan Rom.

Kebangkitan Hasmonean ini sering menjadi inspirasi kepada kebangkitan Nasionalisme Yahudi atau Zionis kerana mereka berjaya menjadi Kerajaan Yang Merdeka walaupun hanya beberapa puluh tahun sahaja kemerdekaan tersebut. Namun, legasi Hasmonean telah terputus secara menyeluruh selepas kebangkitan kerajaan Herod dan tuntutan Hasmonean terhadap Palestin juga tidak lagi sah dari segi sejarah setelah Herod dijadikan Raja Agung di Judea oleh Mark Antony, Jeneral Rom yang sangat terkenal dan berpengaruh. Kisah Kerajaan Herod juga sangat menyedihkan kerana berlaku beberapa peristiwa yang melibatkan pembunuhan beberapa orang Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t untuk menyeru kembali umat Yahudi kembali ke jalan yang benar.



Rujukan:

1) Norris, S. T. (2015, November 29). PROVINCIA SYRIA PALAESTINA – THE FORMATION OF TODAY’S MIDDLE EAST. Retrieved 17 October 2018 from http://www.romeacrosseurope.com/?p=3525#sthash.UHMGwh9I.dpbs

2) Haas, J. D. (1934). History Of Palestine – The Last Two Thousand Years. London: Macmillan.

3) Simonin, A. (2011, April 28). Seleucid Empire. Retrieved 17 October 2018 from https://www.ancient.eu/Seleucid_Empire/

4) Josephus, F. (2016). Antiquities of The Jew. (W. Whiston, Trans.). Retrieved 17 October 2018 from Project Gutenberg eBook database.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.