Pemberontakan Tani Yang Terkenal Di Terengganu

1,169

Ini adalah kisah penentangan rakyat di Hulu Terengganu yang tercetus akibat pertembungan antara nilai-nilai baru yang dibawa masuk oleh penjajah British dengan adat serta nilai-nilai tempatan yang telah sebati dalam kalangan masyarakat Terengganu.

Kebangkitan ini adalah kemuncak kepada rasa ketidakpuasan hati rakyat Terengganu terhadap tindakan yang dilakukan oleh penjajah British dan perlaksanaan undang-undang baru terhadap rakyat. Penentangan ini dianggap antara kebangkitan yang diingati dalam sejarah Terengganu kerana ia telah dipimpin oleh ramai tokoh agama ketika itu, dan

Kebangkitan 1928 ini telah diketuai oleh Haji Abdul Rahman Limbong, iaitu seorang ahli agama yang begitu dihormati dan disegani di Terengganu pada waktu itu. Artikel ini akan membawa kita kembali ke lebih 90 tahun yang lalu, dan mengenang semula perjuangan anak Terengganu dalam mempertahankan negeri mereka.

Pentadbiran Terengganu Sebelum Kedatangan British

Sebelum berlakunya campur tangan pihak British terhadap kerajaan dan pentabiran Terengganu, kuasa tertinggi bagi negeri adalah Sultan, yang dibantu oleh Jemaah Menteri, para pembesar negeri serta Majlis Mesyuarat Negeri.

Ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, baginda telah dibantu oleh pembesar negeri. Ahli dalam Majlis Mesyuarat Negeri adalah tidak tetap, dan uniknya, persidangan lazimnya berlangsung pada waktu malam dan mesyuarat negeri ini akan dipengerusikan sendiri oleh Sultan. Secara keseluruhannya, pentadbiran negeri ini adalah berasaskan kepada ajaran agama Islam.

Corak pentadbiran negeri Terengganu pada waktu itu adalah mementingkan kepentingan rakyat negeri. Kerajaan Terengganu tidak mengambil hasil atau mengenakan cukai ke atas tanah negeri yang diduduki atau diambil terus oleh rakyat Terengganu. Malah, kerajaan negeri juga tidak mengenakan cukai terhadap hasil tanaman atau tanah hutan, dan cukai hanya akan dikenakan apabila hasil tanaman tersebut dieksport. Para pembeli dan pemilik tanah baru akan memiliki surat hakmilik yang telah mendapat perkenan Sultan dan surat ini hanya sah apabila cap rasmi Sultan telah diturun di atasnya.

Kebanyakan penduduk Terengganu pada zaman itu bekerja sebagai petani dan mengusahakan pelbagai tanaman. Antaranya ialah tanaman padi sawah, tenggala dan huma. Namun, hasil tani padi ini kebiasaannya hanya mencukupi bagi menampung keperluan bagi keluarga petani sahaja dan kekurangan berasa dalam negeri ditangani dengan import beras dari Kelantan dan Siam.

Bagi urusan perniagaan, istimewanya Terengganu kerana selain daripada menggunakan duit Negeri-Negeri Selat, negeri Terengganu juga menggunakan matawang sendiri yang dinamakan pitis. Pitis Terengganu ini diperbuat daripada campuran plumbum dan timah yang dipajakkan kepada masyarakat Cina tempatan.

Campur Tangan British di Terengganu

Meskipun British telah mencuba sedaya upaya untuk memperluaskan pengaruhnya terhadap Terengganu, namun Terengganu dengan tegas telah menolak semua perjanjian yang ditandatangi antara British dengan Siam yang mengakui bahawa negeri Terengganu berada di bawah naungan Siam.

Malah, Sultan Zainal Abidin III juga telah menolak usul Frank Swettenham yang datang ke Terengganu bagi mendapatkan pengesahan bagi Perjanjian 1902. Ini menunjukkan bahawa Sultan Zainal Abidin III sedar bahawa negeri baginda ini adalah bebas dan tidak berada di bawah naungan kerajaan Siam.

Pada sekitar Julai 1909, rombongan yang terdiri daripada W.L. Conlay (Penasihat British yang dilantik untuk berada di Terengganu), J.S. Mason (Penasihat British Kelantan) dan Phya Rajvinichai (wakil Siam untuk berunding dengan Terengganu) tiba di Terengganu bagi menghadap Sultan Zainal Abidin III. Tujuan rombongan ini adalah untuk menyerahkan surat yang menyatakan bahawa Kerajaan Siam telah menyerahkan kedaulatan Terengganu kepada pihak British.

Sultan Zainal Abidin III telah naik murka dengan kandungan surat berkenaan dan menolak sebarang kehadiran wakil British ke Terengganu. Baginda menyatakan bahawa, meskipun Terengganu ada menghantar bunga emas kepada Siam, namun tidak ada seorang pun Residen Siam di Terengganu.

Dan dengan itu jugalah, tiada sebarang alasan untuk baginda menerima kedatangan wakil British untuk menjadi Penasihat di Terengganu. Rombongan W.L. Conlay ini telah gagal untuk mendapatkan persetujuan dan pengiktirafan daripada Sultan Zainal Abidin III mengenai penyerahan kedaulatan Terengganu.

Selepas peristiwa ini, terdapat beberapa lagi siri perbincangan antara Sultan Zainal Abidin III dan W.L. Conlay berkaitan dengan perjanjian baharu dan syarat-syarat yang dikenakan ke atas British bagi Terengganu menerima kehadiran pegawai British dan kuasa yang akan mereka miliki.

Terengganu akhirnya telah menandatangani perjanjian dengan pihak British pada April 1910, dan Terengganu menerima kehadiran Ejen British. Tugas Ejen British ini adalah seperti konsul, namun beliau tidak boleh melibatkan diri dalam hal pentadbiran negeri.

Pada tahun 1911, bagi menunjukkan kedaulatan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III telah mengisytiharkan Undang-Undang Tubuh Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang menyatakan bahawa kuasa tertinggi dalam negeri adalah Sultan.

Walaupun telah berjaya menempatkan Ejen British di Terengganu, namun pihak British masih tidak berpuas hati kerana mereka tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran negeri. British telah menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat perjalanan pentadbiran beberapa buah pejabat di Terengganu. Tujuannya adalah untuk mencari kelemahan yang ada dalam Terengganu dan menjadi senjata untuk mereka berkuasa dalam pentadbiran negeri.

Dalam satu insiden yang melibatkan kes rogol di Terengganu, sebuah suruhanjaya penyiasat telah ditubuhkan bagi menyiasat Pentadbiran Daerah Kemaman, Pentadbiran Penjara dan Kematian Orang-Orang Salah Dalam Penjara serta Tindakan Polis dan Mahkamah Terengganu terhadap kes tersebut. Suruhanjaya ini telah mendapat kebenaran Sultan Zainal Abidin III untuk menjalankan siasatan.

Beberapa siri siasatan telah dijalankan di pejabat-pejabat pentadbiran yang berkaitan dengan kes berkenaan. Dalam laporan Suruhanjaya ini, mereka membuat beberapa kesimpulan penting. Antaranya ialah pentadbiran dalam negeri Terengganu yang tidak cekap dan bidang tugas Ejen British yang tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran negeri. Malah, Suruhanjaya ini juga mengakui bahawa setiap nasihat yang diberikan oleh kerajaan British melalui pegawaunya harus diikuti oleh kerajaan negeri Terengganu.

Pada November 1918, Sultan Zainal Abidin III telah mangkat dan baginda telah digantikan oleh Tengku Muhammad dengan gelaran Sultan Muhammad. Akhirnya pada Mei 1919, di bawah pemerintahan Sultan Muhammad ini, Terengganu telah menandatangani perjanjian dengan pihak British dan menerima kehadiran Penasihat British. Pihak kerajaan British berjaya campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri Terengganu dan Sultan terpaksa meminta nasihat daripada Penasihat British dalam semua perkara, kecuali yang berkaitan dengan adat Melayu dan agama Islam.

Dengan adanya campur tangan daripada pihak British dalam pentadbiran negeri ini, segala urusan pentadbiran negeri akan dikemukakan oleh Penasihat British dan Pesuruhjaya Tanah dan akan diajukan kepada Setiausaha Kerajaan untuk tindakan.

Cadangan ini seterusnya akan dikemukakan oleh Setiausaha Kerajaan kepada Menteri Besar. Pihak British juga telah memperkenalkan banyak peraturan baru dalam pentadbiran negeri, yang akhirnya memulakan bibit-bibit penentangan daripada rakyat, terutamanya daripada penduduk Hulu Terengganu.

Kronologi Penentangan Rakyat

Terdapat tiga fasa peraturan baru yang telah diperkenalkan oleh British, iaitu Peraturan Baru pada sekitar tahun 1919 hingga 1922, Peraturan Baru pada tahun 1923 hingga 1925 dan Peraturan Baru pada tahun 1926 hingga 1928.

Dalam Peraturan Baru yang diperkenalkan antara tahun 1919 hingga 1922, British telah memperkenalkan peraturan melarang penduduk Terengganu membuka tanah, menebas hutan dan mengambil kayu hutan tanpa surat kebenaran. Surat kebenaran ini boleh didapati secara percuma daripada pejabat kerajaan.

Namun, ia sebenarnya menyusahkan dan menyukarkan penduduk kampung, terutamanya yang tinggal di kawasan terpencil. Malah, peraturan ini juga adalah bercanggah dengan peraturan Terengganu sebelumnya yang tidak menghalang penduduk untuk membuka tanah dan mengambil hasilnya.

Pada tahun 1921, pindaan terhadap peraturan hasil tanah telah dilaksanakan. Peraturan ini yang dinamakan Peraturan Baru Bagi Mengambil Hasil Tanah telah menyebabkan penduduk Telemong, Hulu Terengganu tidak berpuas hati. Tengku Seri Utama Raja, iaitu saudara ipar kepada Sultan Badrul Alam Shah telah terlibat dalam menggalakkan rakyat untuk bangkit menentang peraturan baru ini. 

Pada sekitar Jun 1924, Pesuruhjaya Tanah telah membuat cadangan kepada Setiausaha Kerajaan untuk menarik balik Cop Kuasa yang membenarkan seseorang untuk berkuasa ke atas sesuatu kawasan tanah yang tertentu. Orang yang memiliki Cop Kuasa ini mempunyai kuasa untuk mengarahkan sesiapa sahaja dari kalangan rakyat Terengganu untuk mengerjakan tanah itu. Oleh itu, tindakan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka yang telah lama memegang Cop Kuasa tersebut dan mengurangkan kuasa mereka.

Selain itu, Undang-Undang Penempatan turut diperkenalkan. Undang-undang baru ini mewajibkan rakyat untuk membayar hasil tanah, mengambil pas untuk menjalankan kerja membuka tanah baru, mengambil kayu atau hasil hutan. Dalam hal ini, penduduk Telemong telah berdegil dan tidak mematuhi peraturan baru yang telah ditetapkan. Kerajaan British kemudiannya melantik seorang Penghulu di Sungai Telemong bagi menjaga keamanan dan menangkap mereka yang melanggar undang-undang.

Penentangan 1922

Kerajaan British telah mengambil tindakan terhadap sekumpulan penduduk Telemong yang telah menebang dan membersihkan hutan tanpa surat kebenaran. Mereka telah dihadapkan ke Mahkamah dan dibicarakan. Dalam insiden ini, Haji Abdul Rahman Limbong telah memohon kebenaran daripada kerajaan untuk menjadi wakil bagi petani yang dituduh di dalam perbicaraan tersebut.

Hakim yang membicarakan kes ini merupakan anak murid kepada Haji Abdul Rahman Limbong. Dalam perbicaraan ini, Haji Abdul Rahman Limbong telah berhujah dan menyatakan bahawa tanah itu adalah milik Allah dan pihak negeri tidak mempunyai hak untuk mengenakan cukai ke atasnya.

Hakim meminta pihak Renjer/Pengawal Hutan untuk membuktikan bahawa tanah itu adalah milik negeri, namun ia tidak dapat membuktikannya. Akhirnya, perbicaraan ini telah memberi kemenangan buat Haji Abdul Rahman Limbong. British membuat permohonan untuk rayuan terhadap kes ini.

Penglibatan Haji Abdul Rahman Limbong sebagai wakil petani dalam perbicaraan ini telah membimbangkan pihak British, kerana sokongan kuat yang diberikan oleh para  penduduk. Pihak British mahu Haji Abdul Rahman Limbong untuk disiasat sebelum perbicaraan berlangsung. Pada November 1922, seorang mata-mata telah dihantar untuk menjemput beliau datang ke pejabat bagi menyiasat mereka yang terlibat dalam perbicaraan. Namun, Haji Abdul Rahman Limbong menolak jemputan ini.

Pegawai British yang datang ke rumahnya, A. Cheers menyatakan bahawa jika beliau enggan, maka dia akan menangkap beliau. Haji Abdul Rahman Limbong bangun bersilat dan menyebabkan A. Cheers semakin marah dan cuba menangkapnya. Namun, tindakannya dihalang oleh Sub Inspektor Sayyid Harun yang tidak ingin sebarang pertumpahan darah berlaku jika dia cuba menangkapnya.

Setelah pelbagai cara gagal dilakukan bagi mendakwa Haji Abdul Rahman Limbong, akhirnya British cuba untuk menyaman beliau melalui Sheikhul Islam (Ketua Jabatan Agama). Haji Abdul Rahman Limbong hadir dalam pertemuan tersebut, dan beliau menafikan tuduhan yang menyatakan bahawa beliau mengarahkan penduduk untuk datang beramai-ramai bagi menghadiri perbicaraan. Siasatan demi siasatan dilakukan, hinggalah ia ditangguhkan dan Haji Abdul Rahman Limbong diberi amaran supaya menggunakan pengaruhnya untuk menyekat orang ramai daripada hadir ke mahkamah untuk kes rayuan tersebut.

Bagi memenangi kes ini, British melakukan pelbagai cara. Antaranya ialah dengan menghalang Haji Abdul Rahman Limbong daripada menjadi wakil petani dalam perbicaraan itu. Syor untuk menarik balik Lesen Wakil yang diberi kepada beliau telah dibuat.

Pada November 1922, Lesen Wakilnya telah dibatalkan dengan alasan tugas kerajaan adalah untuk mengelakkan kekacauan dalam kalangan penduduk, dan Haji Abdul Rahman Limbong tidak dibenarkan lagi menghadiri perbicaraan di mahkamah. Haji Abdul Rahman Limbong tidak membantah keputusan tersebut, dan menjelaskan bahawa penglibatannya adalah bagi membantu penduduk yang tertindas.  

Penentangan 1925

Pada Mei 1925, berlaku suatu peristiwa di Telemong yang membabitkan penduduk kampung yang mana sekitar 300 hingga 500 orang penduduk keluar untuk membersihkan tanah Tengku Nik Maimunah. Beliau merupakan saudara kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Surat kerahan untuk sama-sama turun ini dinyatakan telah ditulis oleh Tengku Nik dan Haji Abdul Rahman Limbong.

Namun sebenarnya surat ini telah ditulis dan diedarkan oleh Wok bin Mamat. Nama Haji Abdul Rahman Limbong telah digunakan bagi penduduk mematuhi arahan tersebut. Malah, ada seorang wakil daripada Haji Abdul Rahman Limbong yang turut serta dalam pembersihan ini untuk mengawal penduduk kampung.

Apa yang terjadi di Telemong ini sebenarnya bukanlah suatu pemberontakan, dan penduduk kampung yang keluar ketika itu hanyalah untuk membersihkan tanah tersebut yang akan digunakan untuk bercucuk tanam.

Namun, ia dilihat seperti melawan pihak kerajaan kerana mereka membersihkan tanah tersebut tanpa kebenaran daripada pihak kerajaan.  Khabar angin mula tersebar yang menyatakan bahawa perhimpunan ini adalah permulaan kepada penentangan terhadap peraturan yang dikenakan oleh British.

Khabar angin akhirnya didengari oleh pihak British , dan Haji Abdul Rahman Limbong disyaki bertanggungjawab mengumpulkan penduduk tersebut. Setelah beberapa lama, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mengeluarkan perintah agar penduduk yang berkumpul untuk bersurai. Arahan ini telah dipatuhi oleh mereka.

Pihak British menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan adalah salah dan Haji Abdul Rahman Limbong telah dilarang memanggil atau memerintahkan rakyat untuk melakukan sebarang kerja bagi Tengku Nik Maimunah kerana ia belum diputuskan menjadi hakmiliknya.

Penentangan Tani 1928

British terus menerus mencari jalan untuk menghalang sokongan penduduk kampung terhadap Haji Abdul Rahman. Dalalm satu perbicaraan pada sekitar Mac 1928, Haji Abdul Rahman Limbong didapati bersalah dalam memberi arahan kepada penduduk kampung untuk membersihkan tanah dan bercucuk tanam.

Haji Abdul Rahman Limbong telah membayar kesemua denda yang dikenakan pada April 1928, dan 30 orang penduduk telah dilepaskan tanpa sebarang tindakan. Tindakannya ini telah menyelamatkan orang-orang kampung daripada dipenjarakan di Kuala Terengganu.

Satu kebangkitan besar akibat rasa ketidakpuasan hati penduduk telah berlaku pada Mei 1928. Pada sekitar 20 April 1928, Pengawal Hutan yang ditemani Penolong Penghulu telah datang ke Kampung Pasir Nyior untuk menyiasat penduduk kampung yang menebang hutan tanpa kebenaran. Setibanya di rumah Penghulu Pasir Nyior, mereka mendapati bahawa terdapat lebih 500 orang penduduk telah berkumpul yang lengkap bersenjata golok panjang, keris dan lembing sambil menyebut perkataan sabil.

Hal ini telah disampaikan kepada Penasihat British, dan pegawai Melayu telah diarahkan untuk menyelesaikannya. Penasihat British menuduh dan mengesyaki bahawa tindakan ini diarahkan oleh Haji Abdul Rahman Limbong dan Persatuan Sulit dalam masyarakat kampung. Namun, sebenarnya apa yang berlaku, sokongan yang diberikan oleh penduduk kampung terhadap seruan Haji Abdul Rahman Limbong adalah akibat rasa sakit hati dan marah mereka terhadap apa yang dilakukan oleh pihak British.

Pada  21 April 1928, seorang mata-mata telah diperintahkan oleh seorang Sarjan untuk menghantar waran ke Kampung Kuala Menjing dan Penih. Mereka akhirnya bertemu dengan dua orang penduduk, iaitu Abdullah Jurukaka dan Lebai Hassan bin Mahmud di sebuah kawasan bangsal.

Kedua-dua mereka terus bangkit, naik marah apabila melihat kedatangan mata-mata tersebut, sambil mencabut pisau dan keris dan menerkam ke arahnya. Tidak lama kemudian, datang pula hampir 200 orang kampung berteriak dan melaung agar dibunuh semua orang yang menyebelahi pihak kafir, iaitu pihak British. Kedatangan mereka menyebabkan mata-mata tersebut bersama dua lagi orang bersamanya berundur dan meninggalkan tempat itu.

Siasatan demi siasatan dijalankan, dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah memerintahkan Dato’ Lela dan Tengku Nara Wangsa ke Kuala Berang untuk menyiasat kumpulan gerakan di Kuala Berang ini. Apa yang menarik mengenai gerakan di Kuala Berang ini adalah dalam setiap kampung, terdapat ketua kumpulan mereka yang tersendiri.

Antaranya ketua kumpulan tersebut ialah Penghulu Salleh bagi Kampung Pasir Nyior, Abdullah Jurukaka dan Lebai Hassan bin Mahmud bagi Kampung Kuala Menjing, Bilal Sulaiman bin Deraman bagi Kampung Hulu Penih, Mat Tuk Pitas bagi Kampung Chinting, Encik Deraman bin Haji Dayd bagi Kampung Dalam Sungai Berang, Penghulu Ali Bakar bagi Kampung Kuala Mia dan Haji Tahir Mat Din bagi Kampung Menerong hingga ke hulu.

Pada 4 Mei 1928, para ketua kumpulan ini, antaranya Penghulu Salleh, Mat Tuk Pitas, Abdullah Jurukaka dan Encik Deraman bin Haji Daud telah datang menemui Haji Abdul Rahman Limbong dan Sayyid Sagof bagi mendapatkan nasihat daripada mereka.

Dalam pertemuan ini, kedua-dua mereka telah memberi jaminan kepada para ketua kumpulan gerakan untuk melindungi dan membantu penduduk kampung di Hulu Terengganu atas nama saudara sesama Islam. Namun, para penduduk kampung serta ketua tersebut diingatkan untuk tidak menggunakan nama Haji Abdul Rahman Limbong dengan sewenangnya dalam apa yang mereka jalankan.

Pada 6 Mei 1928, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah berangkat hadir ke Kuala Berang bagi bertemu sendiri dengan para penduduk di situ. Dianggarkan antara 2500 hingga 3000 orang penduduk telah hadir dan membuat aduan mengenai masalah masing-masing. Ketua dalam setiap kampung juga telah menceritakan kesukaran yang mereka hadapi dan mengakui bahawa mereka sesekali tidak akan menderhaka terhadap Sultan dan kerajaan negeri.

Kehadiran Sultan ini telah berjaya menenangkan perasaan marah penduduk kampung buat sementara waktu terhadap perlaksanaan peraturan baru oleh British. Namun, pihak pemungut hasil cukai terus menjalankan tugas mereka dan mengeluarkan surat kebenaran kepada mana-mana penduduk yang memohon untuk menebang hutan. Sekiranya ada yang tidak mematuhi, maka mereka akan ditangkap oleh mata-mata di Kuala Berang dan dihukum.

Kemuncak kepada segala rasa marah dan tidak puas hati ini berlaku pada 22 Mei 1928, yang diketuai oleh Haji Abdul Rahman Limbong, dengan dibantu oleh ketua kumpulan bagi setiap kampung seperti Abdullah Jurukaka, Penghulu Salleh Pasir Nyior, Lebai Hassan dan Lebai Deraman. Mereka telah disokong oleh hampir 500 orang penduduk Kuala Berang. Kumpulan ini telah bergerak ke Kuala Telemong untuk bergabung dengan kumpulan Haji Mat Zin di Kampung Pelam. Seramai 25 orang pegawai polis telah diarahkan untuk bergerak ke Kuala Telemong.

Berdasarkan maklumat rahsia yang diperoleh, kumpulan perhimpunan ini akan disertai oleh penduduk hulu Kuala Berang, Dungun dan Marang. Sebahagian mereka akan ke Kuala Berang, manakala sebahagian lagi akan terus bergerak ke Kuala Terengganu. Dan mereka yang berada di Kuala Berang dijangka berkumpul sehingga 2 Jun 1928 bagi menanti kedatangan Sayyid Sagof. Malah, Penghulu Salleh juga telah menghantar surat kepada penduduk Dungun untuk menanti arahan seterusnya sebelum berkumpul di Kuala Berang.

Rancangan ini telah bermula pada 21 Mei 1928, di mana penduduk hulu yang berkumpul telah bercadang untuk menyerang pejabat Kuala Berang. Berita ini telah diketahui oleh Sarjan dan beberapa pegawai lain di pejabat Kuala Berang.

Pada malam itu, penduduk hulu yang berkumpul telah menyeberangi sungai untuk ke Kuala Berang dan keadaan mula menjadi kelam kabut bagi pegawai di situ. Kakitangan kerajaan yang bimbang telah menaiki motorbot dan berhanyut ke Kuala Terengganu. Ketika berhanyut inilah, penduduk kampung yang berkumpul telah melepaskan dua das tembakan.

Sementara itu, penduduk hulu yang berada berhampiran pejabat Kuala Berang mula melaungkan kalimah Lailahaillah dan mara mengepung pejabat berkenaan. Mereka telah menyerang kediaman Wan Mahmud (pegawai daerah) dan balai polis.

Seorang ketua kumpulan, iaitu Penghulu Omar ingin membakar pejabat kerajaan, namun telah dihalang oleh seorang lagi ketua kumpulan yang lain. Bangunan kerajaan dan kediaman Wan Mahmud langsung tidak dirosakkan oleh penduduk kampung. Mereka turut mengambil senapang yang berada dalam balai polis dan sekotak peluru bagi melindungi diri mereka.

Pada 23 Mei, pihak polis telah mendirikan sebuah kem di Padang Kachong. Mereka menanti kehadiran kumpulan tersebut yang dijangka datang dari Kuala Berang. Kumpulan Telemong yang hanya membawa parang, pedang, keris dan badik terus merentasi dusun dan memasuki Padang Kachong. Mereka akhirnya diterjah oleh kumpulan kerajaan dan diberi amaran untuk berundur.

Namun, kumpulan itu masih mara ke hadapan. Kemaraan penduduk ini adalah akibat tindakan kasar yang dilakukan oleh Sarjan Hassan ke atas mereka. Tembakan dilepaskan dan akhirnya Tok Janggut yang merupakan ketua salah satu kumpulan telah gugur ke bumi. Para penduduk yang lain, ada yang terus melarikan diri, manakala ada yang terus ditembak.

Dalam pertempuran berdarah ini, seramai 12 orang penduduk telah kehilangan nyawa mereka. Pasukan kerajaan telah pulang ke Kuala Terengganu tanpa menghiraukan mayat yang berada di Padang Kachong. Akhirnya, Dato’ Seri Amar Diraja telah memberi arahan untuk menguruskan mayat-mayat tersebut. Para penduduk, yang turut dibantu oleh seorang Cina yang dipanggil Baba oleh penduduk kampung telah sama-sama menguruskan dan mengebumikan jenazah tersebut dalam satu lubang kubur.

Para ketua kumpulan telah ditangkap dan dibicarakan pada 11 Jun 1928 di Istana Maziah. Antara yang dihukum ialah Muhammad Zain (15 tahun penjara), Ismail bin Saleh (10 tahun penjara), Abdullah Jurukaka (10 tahun penjara), Abu Bakar bin Abdul Rahman (10 tahun penjara), Haji Zakaria bin Mat Hassan (7 tahun penjara) dan Penghulu Omar (6 tahun penjara). Haji Abdul Rahman Limbong telah ditangkap di rumahnya di Kampung Beladau atas tuduhan terlibat dengan pemberontakan ini. Beliau telah dibawa ke Istana Maziah dan disoal siasat pada 28 Mei 1928. Haji Abdul Rahman Limbong akhirnya telah dibuang negeri ke Mekah dengan elaun hidup sebanyak $30 setiap bulan.

Kesimpulan

Pemberontakan dan perjuangan para penduduk kampung ini adalah akibat rasa marah yang sudah cukup lama dipendam oleh mereka. Penindasan yang dilakukan melalui pungutan cukai dan banyak lagi peraturan lain telah menimbulkan bibit-bibit penentangan terhadap British. Berdasarkan rasa yakin mereka terhadap ketua dan agama Islam, perjuangan ini didasari atas niat untuk melindungi kepentingan rakyat dan adat istiadat Melayu.

Meskipun pemberontakan ini hanya bermula dengan protes masyarakat kampung, namun dengan kepercayaan, disiplin dan semangat persaudaraan sesama Islam telah menjadikan mereka sebuah pergerakan yang kuat dan fokus kepada tujuan mereka.

Perjuangan para ahli agama dan rakyat dalam memerdekakan negeri serta negara ini haruslah terus dikenang dan diambil iktibar oleh seluruh anak bangsa. Semoga perjuangan mereka terus membangkitkan semangat untuk kita melindungi negara, bangsa dan agama kita. 

RUJUKAN:

Abdul Qayyum, M. S., & Mohd Roslan, M. (2011). Haji Abdul Rahman Limbong dan Kebangkitan Rakyat di Terengganu 1928. Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara, (November), 25–26.

Abdullah Zakaria Ghazali. (2000). Kebangkitan Terengganu: Gerakan Menentang British 1922- 1928. Kuala Terengganu: Jawatankuasa Koleksi Terengganu, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu.

Berhanundin, A., Kamaruzzaman, Y., Mansoureh, E., & Ruzaini, S. (2015). Haji Abdul Rahman Limbong (1868-1928) Fighter Against The Colonialist. Mediterranean Journal of Social Sciences, 6(6), 281–289.

Mohd Roslan, M. N., Mohamad Fauzi, Z., & Noorzahidah, M. Z. (2011). Keterlibatan Ulama ’ dalam Perjuangan Kemerdekaan di Terengganu. Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara, (November), 25–26.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.