Sepanjang pendudukan Rom di Jerusalem sejak zaman Pompei Yang Agung pada Tahun 63 SM, orang-orang Yahudi rasa didiskriminasikan oleh orang-orang Rom. Orang Yahudi rasa sangat teruk didiskriminasi selepas kemangkatan Raja Herod Agrippa I. Pemerintah Wilayah Rom Iudaea memerintah dengan kuku besi dan sering menindas mereka. Keadaan berat sebelah ini berikutan daripada sikap orang Yahudi yang menganggap mereka adalah kaum yang terbaik dan orang-orang Rom tidak dibenarkan memasuki kawasan suci orang Yahudi.

Pada zaman procurator Rom memerintah, orang-orang Rom dibawa masuk ke Kawasan Judah. Situasi ini menimbulkan kemarahan dan kebencian orang Yahudi terhadap bangsa Rom, namun sikap Yahudi yang pengecut itu tidak berani untuk menentang mereka secara terus. Orang Rom yang menjajah Yahudi pula beranggapan bahawa Yahudi merupakan kaum yang lebih rendah taraf berbanding bangsa mereka. Keadaan ini menyebabkan Yahudi dijadikan penduduk kelas kedua di Wilayah Iudaea, terutamanya di Caesarea Maritima. Raja Yahudi yang dilantik oleh Rom daripada dinasti Herod pula sangat berat kepada Rom. Malahan, mereka bukanlah orang yang berdarah tulen Yahudi. Yang teruknya pasal Yahudi ini, Rajanya juga tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke dalam Haikal Herod, Haikal kedua yang dibina oleh Raja Herod Yang Agung.

Semasa kelahiran Agama Kristian pula, orang-orang Yahudi tidak mahu menerima ajaran baharu yang membetulkan penyelewengan yang dilakukan oleh Pihak Sanhedrin. Malahan, mereka menjadi dalang kepada pembunuhan golongan Hawari, anak-anak murid Nabi Isa a.s. Orang Yahudi juga menuduh orang Kristian melakukan kekufuran agama. Dengan diketuai oleh Pendita Agung Ananus, orang beragama Kristian direjam semasa ketiadaan procurator Rom hanya beberapa bulan kerana procurator itu meninggal dunia. Sikap orang Yahudi yang berani hanya kepada bangsanya sahaja dan berlakunya peperangan dengan bangsa Samarita menyebabkan mereka pula yang didiskriminasi oleh Bangsa Rom.

Semasa zaman Albinus dan Florus menjadi procurator, kemarahan orang Yahudi semakin memuncak apabila Florus menghukum ketua-ketua Yahudi. Florus merupakan seorang procurator yang tidak bijak dalam menenangkan orang Yahudi yang sememangnya suka memberontak. Josephus mengatakan bahawa Florus bukanlah seorang pemimpin yang kompeten.

Menurut Josephus, dua sebab utama Orang Yahudi memberontak ialah kekejaman pemimpin-pemimpin Rom yang korup dan tindakan Nasionalis Keagamaan Yahudi yang mahu membebaskan tanah suci daripada kuasa Rom. Walaubagaimanapun, faktor lain ialah kesusahan golongan petani Yahudi, yang marah dengan pendita-pendita yang korup dan dipengaruhi oleh Rom serta ketegangan agama antara orang Yahudi dan Penduduk Yunani yang mendapat lebih banyak kelebihan oleh pemerintah di Wilayah Iudaea.

Gessius Florus, Procurator Yang Mencetuskan Pemberontakan

Gessius Florus yang dilantik sebagai Procurator Iudaea pada Tahun 64M merupakan seorang procurator yang bersifat kejam dan memerintah dengan kuku besi. Beliau sangat mendiskriminasi orang Yahudi disebabkan sikap orang Yahudi yang menjengkelkan bagi pandangan Orang-orang Barat. Krisis bertambah buruk pada tahun 66M di Caesarea Maritima. Kota yang dibina oleh Herod Yang Agung ini menjadi rebutan antara orang Yahudi dan orang Yunani yang mendiaminya dan mengawal kota pelabuhan tersebut.

Walaupun kota tersebut dibina bercirikan sepenuhnya budaya Hellenistik, orang Yahudi tetap bersungguh untuk menuntut kota tersebut sebagai kota mereka. Florus yang ibu pejabatnya berada di Caesarea Maritima lebih menyebelahi orang-orang Yunani. Dalam polisinya, orang Yahudi menjadi warganegara kelas kedua di Caesarea. Kaisar Nero pula mencipta undang-undang provokatif yang menyebelahi orang-orang Barat (Gentile).

Selain itu, insiden kebakaran besar di ibukota Rom pada Tahun 64M dijadikan alasan untuk Kaisar Nero menghukum bunuh orang-orang Kristian dan Yahudi di Rom kerana mereka dituduh memulakan kebakaran. Orang-orang Yahudi dan Kristian juga dilemparkan ke dalam kandang haiwan-haiwan buas untuk dihukum ataupun sebagai sukan. Tindakan ini mencetuskan api kemarahan orang Yahudi yang lebih membara.

Pada Hari Sabbath, semasa orang Yahudi sedang beribadat dalam sinagog mereka di Caesarea Maritima, orang-orang Yunani telah mengorbankan burung-burung dan meletakkannya dalam bekas seramik di pintu masuk sinagog. Orang Yahudi terkejut dengan tindakan biadap dan provokasi orang-orang Yunani. Orang-orang Yahudi telah berjumpa dengan Gessius Florus dan memberikan rasuah sebanyak 8 talent wang syiling (1 talent lebih kurang 30kg).

Gessius Florus mengambil rasuah tersebut tetapi tidak berbuat apa-apa, malahan utusan yang dihantar kepadanya dipenjarakan. Tindakan Florus telah menimbulkan kemarahan kepada orang-orang Yahudi. Pihak autoriti Yahudi mengugut untuk mengakhirkan pengorbanan kepada orang bukan Yahudi di Baitul Maqdis termasuklah satu daripadanya kepada Kaisar Nero sendiri.

Tindakan ini menyebabkan Florus dan tenteranya berarak ke Baitul Maqdis. Florus menuntut 17 talent wang emas daripada perbendaharaan Haikal Agung. Gessius mahu mendirikan kuil pagan Rom dan membina patung-patung Kaisar Nero dengan duit yang dimintanya itu. Bagi Yahudi, Haikal Agung bukan sekadar pusat keagamaan, malahan ia lambang kewujudan Tuhan di Kota Suci itu. Apabila Florus mahu menjarah Haikal Agung (Kedua) dan menyeru penduduk Yahudi untuk mengikuti agama Pagan Rom, tindakannya merupakan penghinaan terbesar

Orang Rom terhadap Bangsa Yahudi. Eleazar ben Anania, anak pendita Agung Anania memberhentikan upacara sembahyang dan korban kepada Kaisar Nero dan mereka menyerang tentera Rom yang berkubu di luar Haikal Agung. Tindakan ini dibalas oleh tentera Rom dengan tindakan yang sangat kejam. Mereka membunuh lebih kurang 3,600 Yahudi, menjarah kedai-kedai, menceroboh kediaman Yahudi dan menangkap ketua-ketua kaum Yahudi. Ketua-ketua Yahudi ini disebat dan disalib di khalayak ramai. Harta benda daripada Haikal Agung dijarah sewenang-wenangnya. Esoknya, tentera pemberontak semakin ramai berhimpun dan peperangan tidak dapat dielakkan lagi.

Bilangan kumpulan pelampau yang memberontak bertambah ramai apabila Golongan Pharisee juga bangkit mengangkat senjata menentang tentera Rom tersebut. Dalam sekelip mata, tentera Florus mengalami kekalahan dalam menentang bilangan perusuh yang terlampau ramai. Perusuh berjaya mengambil alih kubu Antonia yang terletak di Utara Haikal Agung. Tentera Rom yang berkawal di seluruh Baitul Maqdis terpaksa berundur. Tentera Pemberontak mengisytiharkan peperangan terhadap Rom di tangga Haikal Herod.

Tindakan mereka menyebabkan Yahudi berpecah kepada dua, pro-pemberontakan dan anti-pemberontakan. Masing-masing mengangkat senjata berlawan satu sama lain dan akhirnya pihak pemberontak yang diketuai oleh Ananus ben Ananus, bekas pendita Agung menang perang saudara tersebut. Kemenangan mereka diraikan dengan membakar Kediaman Sanhedrin, Istana Herod, kawasan petempatan Rom dan sebagainya.

Mereka juga membakar arkib dan rekod-rekod hutang supaya Yahudi tidak perlu membayar hutang. Pergerakan Kumpulan Pelampau yang tidak dijangkakan ini mengejutkan tentera Rom. Dalam sekelip mata, kumpulan pemberontak berjaya merampas Kubu Istana Masada, pertahanan yang sangat ampuh dan berjaya menjarah banyak kelengkapan perang, baju zirah dan senjata Rom dari Kubu Istana Masada tersebut.

Dengan persenjataan Rom yang dirampas, orang Yahudi dengan cepat menewaskan kedudukan tentera Rom di Kota-kota penting, terutamanya Kota-kota di utara Judah seperti Kota Narbata. Yahudi juga membunuh penduduk Yunani dan Rom yang melintasi di hadapan mereka tanpa belas ihsan. Hari pembalasan terhadap ‘gentiles’ telahpun tiba bagi Puak Pemberontak Yahudi ini. Ketua Pemberontak menghantar 60 orang utusan ke serata Empayar Rom untuk berjumpa dengan penduduk Yahudi di sana dan mengatakan ‘Aturan Baharu’ telah dicipta.

Pemberontakan ini dipanggil pemberontakan besar Yahudi. Kebanyakan kota-kota telah berjaya dikuasai oleh Yahudi. Raja Herod Agrippa II dan Procurator Gessius Florus berjaya melarikan diri keluar daripada Baitul Maqdis. Orang Yahudi terbelah kepada dua golongan. Golongan Sicarii dan Pelampau mahu berperang sehingga ke titisan darah terakhir, manakala kumpulan satu lagi mahukan perdamaian dicapai dengan Rom.

Semasa peperangan, debat antara mahu terus berperang atau mahukan kedamaian diteruskan. Golongan yang mahukan kedamaian diketuai oleh Yohanan ben Zakai, seorang Rabbai Yahudi yang sangat berpengaruh dan mengatakan perjuangan tersebut adalah perjuangan yang sia-sia. Golongan Sicarii dan Pelampau pula sangat yakin dengan kekebalan pertahanan Baitulmaqdis yang mempunyai tiga lapisan tembok kota yang sangat ampuh. Justeru itu, mereka mahu terus berjuang membebaskan Palestin daripada penjajahan Rom.

Gestius Gallus, Pemimpin Tentera Rom Syria Yang Menyerang Pemberontakan di Iudaea

Menyedari keadaan di Wilayah Iudaea yang tidak terkawal, Gestius Gallus, Legate Rom di Syria diarahkan oleh Kaisar Nero untuk menyerbu ke Wilayah Iudaea dengan satu batalion tentera Rom dari Legio XII Fulminata dan Tentera Bantuan Syria untuk mendapatkan semula Wilayah Iudaea daripada pemberontak. Tentera Gallus berkampung di Acre dan berarak ke Baitul Maqdis. Sepanjang perarakan mereka, ramai pemberontak yang ditemui dibunuh. Setibanya di Jaffa, tentera Gallus berjaya menewaskan pemberontak, mengambil alih kota tersebut dan membunuh lebih kurang 8,400 Yahudi dalam kota tersebut. Pelarian Yahudi yang dapat melarikan diri daripada kota tersebut bergabung dengan perompak dan penjahat di kota tersebut untuk menyerang tentera Gallus.

Keadaan ini menyebabkan Tentera Gallus memenangi perang kedua dan seramai 2,400 orang Yahudi lagi dibunuh dan kota tersebut musnah dalam peperangan tersebut. Tentera Gallus meneruskan kemaraan ke Tembok Kota Baitul Maqdis. Mereka tidak dapat menembusi kekebalan tembok kota tersebut dan berundur. Dengan tidak semena-mena, mereka diserang dengan serangan mengejut berhampiran kawasan pergunungan Beth Horon. Tentera Rom Syria mengalami kekalahan.

Seramai lebih kurang 6,000 tentera Rom Syria mengalami kekalahan dan ketumbukan tentera tersebut lumpuh sama sekali. Golongan pemberontak dapat merampas banyak kelengkapan perang dan persenjataan Rom. Mereka semakin yakin dengan kemenangan tersebut. Pemberontak sangat yakin dengan kemenangan terhadap ketumbukan tentera Rom Syria itu, Yahudi akhirnya berjaya merdeka dan dapat membentuk negara sendiri.

Kerajaan Judah Baharu Yang Merdeka Ditubuhkan

Pada penghujung Tahun 66M, Negara Judah Yang Merdeka daripada Procurator Rom berjaya dibentuk. Golongan Sanhedrin terpaksa mengikut telunjuk pemberontak yang diketuai oleh bekas Pendita Agung, Ananus ben Ananus. Ananus pernah memberontak sebelum ini dengan membunuh James, adik kepada Nabi Isa a.s. semasa kematian Procurator Festus pada Tahun 62M. Beliau dilantik menjadi pemerintah Baitul Maqdis bersama-sama dengan Joseph anak Gorion, seorang saudagar Yahudi yang kaya-raya setelah Ananus membunuh Menahem, cucu pengasas kepada kumpulan pelampau, Judas dari Galilee.

Pemerintahan ini dinamakan Kerajaan Judah Baharu. Buat pertama kalinya selepas Pemerintahan Herod Yang Agung (Tahun 43 SM), Judah ditadbir oleh golongan pendita. Mereka melantik komander-komander dalam kalangan pendita atau anak-anak pendita sebagai pentadbir wilayah-wilayah. Wilayah Edom (Selatan Judah) ditadbir oleh Yeshua anak Pendita Agung Sapphas dan Eleazar anak Pendita Agung Ananias. Kawasan Jericho, Manasseh ke Perea (Timur Judah) ditadbir oleh Joseph anak Simon. Wilayah Thamna, Lydda, Joppa dan Emmaus (Barat Laut Judah) ditadbir oleh John si Essene. Wilayah Gophna dan Acrabetene (Timur Laut Judah) ditadbir oleh John anak Ananias dan Wilatah Galilee dan Gamala di Gaulanitis (Paling Utara Judah) ditadbir oleh Josephus anak Matthias. Pemberontak juga menguasai kubu-kubu istana seperti Masada, Cypros dan Machareus.

Pemberontakan dan Penghapusan Etnik

Apabila tersebarnya cerita berkenaan dengan pemberontakan Yahudi di Baitul Maqdis, penduduk Rom dan Yunani di Caesarea Maritima membalas dengan membunuh orang-orang Yahudi di kota itu, tidak kiralah lelaki, perempuan, kanak-kanak, orang tua juga tidak terlepas daripada dibunuh dengan kejamnya. Penghapusan etnik Yahudi ini mencapai angka 20,000 jiwa yang terkorban di Caesarea Maritima. Pogrom (penghapusan etnik) ini berlarutan ke seluruh Wilayah Rom seperti Alexandria, Damascus, Ashdod, Ashkalon, Tyre, Hippo, Ptoleimais dan sebagainya. Pembunuhan Yahudi di Alexandria sahaja mencapai angka 50,000 orang. Mayat-mayat Yahudi bergelimpangan di seluruh empayar. Suasana aman selama ini bertukar menjadi mengerikan. Pembunuhan tidak mengenal usia mahupun jantina. Sementara kaum-kaum Rom dan Syria dibunuh di Judah, Kaum Yahudi disembelih di seluruh empayar Rom.

Di Damascus, 10,000 Yahudi dihimpunkan di Stadium dan dibunuh semuanya. Setelah tentera pemberontak menang perang, Sejarawan Josephus dan dua orang pendita dihantar ke Galilee untuk mengumpulkan senjata dan kelengkapan perang serta menyatukan pemberontak di Galilee dengan Kerajaan Pusat. Pada Disember 66M, Kota Pelabuhan Askalon yang dikuasai oleh Rom diserang oleh Tentera Yahudi. Tentera Yahudi diketuai oleh Niger dari Perea, Silas dari Babylon dan John Si Essene. Namun begitu, tentera Yahudi dikalahkan dan 10,000 Yahudi mati dibunuh termasuklah komander mereka Silas dan John. Tentera Yahudi kurang kemahiran dan pengalaman berbanding tentera Rom. Kekalahan mereka tidak mematahkan semangat tentera Yahudi. Pada Bulan Januari 67M, Tentera Yahudi melancarkan serangan kedua kepada Askalon, diketuai oleh Niger dari Perea. Namun begitu Yahudi tetap kalah dengan kehilangan 8,000 jiwa. Niger terselamat daripada dibunuh oleh tentera Askalon.

Menyedari kekurangan ketenteraan mereka berbanding Tentera Rom, Pendita Agung Ananus mengarahkan tembok kota Baitul Maqdis diperbaiki dan diperkukuhkan. Mereka membina jentera peperangan, misil dan pertahanan di seluruh kota serta melatih anak-anak muda berperang. Rakyat kebanyakan Yahudi melihat penentangan terhadap Rom merupakan suatu bencana besar yang akan berlaku. Yohanan ben Zakai mengingatkan akan sumpahan yang bakal dihadapi jika perdamaian tidak dicapai antara Yahudi dan Rom. Namun begitu, kumpulan Pelampau yang dinamakan sebagai Golongan Zealots tidak mahu mengalah. Mereka sangat yakin dengan kerajaan merdeka tersebut.

Vespasian dan Anaknya Titus, Dewa Perang Rom dan Pertempuran di Galilee

Kempen Vespasian di Galilee.

Menyedari kekalahan Gessius Gallus dan kerisauan pemberontakan wilayah lain seperti Samaria, Kaisar Nero menitahkan komander hebat dan berpengalaman untuk menghadapi peperangan di Wilayah Iudaea. Vespasian adalah Jeneral Rom yang hebat. Beliau yang berusia 57 tahun ketika itu berjaya menakluk Britain untuk Kaisar Claudius dan berjaya menumpaskan pemberontakan di Wilayah Rhine. Vespasian dan ketumbukan tenteranya berarak dari Itali ke Antioch, ibukota Wilayah Syria. Sementara itu, anaknya Titus belayar ke Alexandria untuk mengumpulkan tentera terbaik Rom untuk peperangan ini.

Pada musim bunga Tahun 67M, Vespasian tiba ke Antioch. Beliau disambut oleh Herod Agrippa II dan tenteranya untuk menyertai perang tersebut. Mereka berarak ke Ptoleimais. Di sana, Vespasian disambut oleh duta Kota Sepphoris. Kota Sepphoris adalah kota terbesar di Galilee dan penghuninya pro kepada Rom. Vespasian menghantar Placidus bersama 8,000 tentera untuk menguatkan Sepphoris.

Sementara itu, Josephus telah menjadi satu-satunya komander di Galilee setelah dua pendita yang datang bersamanya pulang je Baitul Maqdis. Josephus merupakan seorang pemimpin yang baik. Beliau tidak mengambil rasuah, tidak mengambi harta tanpa sebab dan tidak mengganggu wanita di tempat peperangannya. Namun begitu, terdapat beberapa komplot untuk membunuhnya dan sifat baiknya dalam perang terhadap Agrippa II yang memihak kepada Rom ketika ini tidak disenangi oleh segelintir masyarakat. Namun begitu, Josephus berjaya menangkis beberapa cubaan untuk membunuhnya. Malahan, Josephus berjaya menghentikan pemberontakan di Tiberias terhadap pemerintahannya dan beliau juga berjaya membina dan memperkuatkan tembok-tembok kota di sekitar Galilee. Di Bukit Golan, Josephus berjaya membina tembok di Gamala, Seleucia dan Sogane. Di Galilee, Josephus berjaya membina tembok kota di Kota Jamnia, Ameroth, Acharabe, Tarichaeae, Tiberias, Sepphoris (walaupun pro-Rom), Perkampung di Gua Arbela, Beersubae, Selame, Jotapata, Kapharath, KOmus, Soganae, Papha dan Gunung Tabor. Josephus juga meletakkan ketenteraan dan bijiran di setiap kita dalam menghadapi perang dengan Rom. Sebelum kehadiran Vespasian, Josephus dan tenteranya yang terdiri daripada rakyat Galilee dan Levi berjaya memenangi perang terhadap Cestius Gallus dan Herod Agrippa II. Malahan, Josephus juga berjaya menduduki Kota Sepphoris seketika sebelum dirampas semula oleh Cestius Gallus.

Tugas Vespasian di Galilee sebenarnya menjadi lebih mudah dengan perselisihan faham antara Penduduk Galilee yang mahukan Josephus mentadbir dengan Pendita Agung Ananus yang mahukan Josephus pulang ke Baitul Maqdis. Berlaku sedikit rusuhan di Kota Tarichaeae dan Tiberias serta komplot untuk membunuh Josephus yang dihantar daripada Baitul Maqdis menyebabkan hubungan antara orang-orang Galilee dan Baitul Maqdis menjadi renggang. Josephus dan tenteranya juga terpaksa mengangkat senjata untuk menakluk kota seperti Tiberias dan Sepphoris, serta membuat konfrontasi terhadap pemimpin-pemimpin kota supaya rakyat Galilee boleh bersatu dalam menghadapi serangan Rom.

Placidus dengan tentera yang dihantar oleh Vespasian telahpun tiba dan merampas Kota Sepphoris. Beliau memperkukuhkan kota Sepphoris. Setelah itu, Galilee bertukar menjadi padang jarak padang terkukur. Sementara Vespasian dan Titus mengumpulkan tentera di Kota Ptoleimais, Placidus cuba menyerang Jotapata. Jospehus berjaya mengalahkan tentera Placidus di Jotapata yang memiliki tembok kota dan pertahanan yang paling kental di Galilee. Pada bulan May 67M, Vespasian telah tiba di sempadan Galilee. Mendengar ketibaan komander hebat itu, tentera Yahudi yang berhimpun di Garis (hanya beberapa stadia daripada sempadan Galilee) cabut lari dan meninggalkan Garis tanpa seorang pun tentera yang tinggal. Vespasian dan tenteranya berarak dan menakluk Kota Gabara. Semua lelaki dan kanak-kanak lelaki dibunuh. Tentera Rom sangat benci dan geram dengan Yahudi yang pernah menewaskan Cestius Gallus beberapa kali. Namun begitu, menjadi kebiasaan bagi Tentera Rom untuk membunuh semua lelaki dan kanak-kanak lelaki supaya musuh tidak boleh membiak lagi. Semua kota yang berhampiran Gabara dimusnahkan, dijarah dan penduduknya dijadikan hamba.

Josephus yang berundur ke Tiberias sebelumnya, berarak ke Jotapata, kota yang paling kukuh dalam semua kota di Galilee. Setelah Vespasian mengetahui Josephus bertahan di Jotapata, Vespasian dan tenteranya terus ke Jotapata dengan pelbagai jentera peperangan yang canggih pada zaman tersebut. Vespasian juga mengarahkan Placidus dan Aebutius untuk mengepung Jotapata supaya Josephus tidak boleh lari. Setelah Vespasian tiba pada Bulan Jun 67M, beberapa siri pertempuran yang kompleks berlaku demi menumpaskan kekebalan tembok kota Jotapata. Akibat tidak dapat merobohkan tembok kota tersebut, Vespasian merancang untuk menjadikan penduduk kota tersebut kebuluran. Josephus yang pada mulanya mahu meninggalkan Jotapata, tetapi membatalkan hasratnya. Walaupun tiada pengalaman perang seperti Vespasian, Josephus berjaya mengaturkan tenteranya dalam bertahan dalam kota tersebut. Pada Bulan Julai, tembok kota berjaya dirobohkan, namun tentera Rom masih tidak dapat memasuki kota Jotapata yang dikawal dengan sangat baik daripada pihak Yahudi.

Penduduk Japha yang pro-Rom merusuh. Peluang ini diambil oleh Vespasian dengan menghantar Komander Legion ke-10, Komander Trajan untuk menakluki kota tersebut. Setelah kejayaan dalam serangan pertama, Titus dijemput untuk menyempurnakan serangan tersebut. Lebih kurang 15,000 Yahudi disembelih dalam kota tersebut. Namun berbeza dengan Gabara, kanak-kanak tidak dibunuh, malahan bersama perempuan dijual sebagai hamba kepada penduduk berbangsa Yunani dan Rom. Di Gunung Gerizim pula, penduduk Samarita mula memberontak. Vespasian menghantar Cerealius, Komander Legion ke-5 untuk menakluki mereka. Disebabkan gelombang haba dan ketiadaan bekalan air, mereka menyerah kalah dengan cepat dan tentera Rom menyembelih lebih kurang 11,600 orang Samarita.

Perisik Vespasian memberitahu bahawa pengawal kota Jotapata sering terlelap semasa hampir Subuh. Oleh itu, Titus dan beberapa tentera Legion ke-15 memanjat tembok kota pada waktu hampir Subuh dan membunuh semua pengawal yang mengawal tembok kota. Tindakan mereka diikuti oleh tentera Rom yang lain dan semasa matahari meninggi, tentera Rom berjaya menakluk Citadel Jotapata. 40,000 orang Yahudi dibunuh pada 20 Julai 67M (1 Panemus). Kejayaan ini menyebabkan Josephus dan 40 orang lelaki yang terselamat berjaya melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah gua. Nasib mereka malang apabila seorang perempuan yang mengikuti mereka ditangkap oleh Pihak Rom. Kawasan persembunyian tersebut diketahui. Orang-orang Yahudi yang terkepung di dalam gua itu merancang untuk membunuh diri. Namun, membunuh diri adalah terlarang dalam Agama Yahudi. Akhirnya, mereka cuba menipu Tuhan dengan memutuskan untuk mengambil nyawa rakan mereka antara satu sama lain. Josephus dan seorang rakannya sahaja yang masih tinggal. Josephus berjaya meyakinkan rakannnya itu untuk teruskan hidup dan mereka ditawan oleh Nicanor.

Setelah Josephus dibawa ke Vespasian, Vespasian bercadang untuk menghantar Jossphus ke Kaisar Nero untuk dihukum. Namun begitu, Josephus meramalkan bahawa Vespasian akan dilantik menjadi Kaisar Rom yang baharu. Vespasian tidak jadi untuk menghantar Jospehus kepada Nero, malahan dia membawa Josephus bersamanya ke Ptoleimais dan Caesarea Maritima untuk dihukum olehnya sendiri. Orang Yahudi di Galilee tidak mengalah. Mereka membina semula pelabuhan Joppa dan membina kapal-kapal lanun serta melanun di sepanjang Pheonicia ke Mesir. Vespasian menghantar tenteranya ke Joppa dan mengambil kota tersebut pada waktu malam. Tentera Lanun Yahudi yang sempat menaiki kapal pula dipukul ribut kembali ke pantai dan mereka dibunuh oleh tentera Rom di pantai tersebut. Seramai 2,400 lanun dibunuh. Vespasian meninggalkan tenteranya di Joppa untuk menghalang kebangkitan semula lanun Yahudi.

Berita kejatuhan Jotapata sampai ke pengetahuan Ananus ben Ananus di Baitul Maqdis. Josephus juga berkabung selama 30 hari di atas kekalahannya itu. Di Baitul Maqdis, para pendita mengutuk Josephus dan Roman serta bertekad untuk membalas dendam. Mereka tidak belajar daripada kekalahan tersebut, malahan orang-orang Yahudi yakin untuk mengalahkan Rom.

Vespasian bergerak ke Caesarea Phillipi dan bertemu dengan Agrippa II. Dari sana, Vespasian mengarahkan anaknya, Titus bersama dua legion tentera ke Scythopolis, bergabung dengan satu ketumbukan tentera yang dihantar sebelumnya ke sana dan mereka berarak ke Tiberias, sebelum sampai dan berkhemah di Senabbris, 3 batu dari Tiberias. Titus menghantar Valerianus dan 50 tentera berkuda ke Tiberias untuk memeterai perjanjian damai dan Rom menakluk mereka dengan aman. Namun begitu, Valerianus diperdaya oleh Jesus ben Shapat dan kuda mereka dirampas. Penduduk asal Tiberias pergi ke Philippi dan memohon sokongan daripada Agrippa II agar mereka tidak diserang. Mereka berjanji akan memberikan sokongan kepada Rom. Penduduk asal Tiberias berjaya mengalahkan kumpulan pelampau (Zealots). Jesus ben Shapat dan tenteranya berundur ke Tarichaea. Apabila tentera Rom sampai ke Tiberias, mereka disambut oleh penduduk yang telah menang terhadap pemberontak dan Rom tidak menyerang dan memusnahkan kota tersebut.

Titus dan 600 orang dihantar ke Tarichaea. Dengan ketokohan Titus dan ucapannya yang hebat, tentera Rom seperti dirasuk hantu dalam peperangan di Tarichaea. Komander Trajan pula menyokong dengan 400 tentera berkudanya serta Vespasian menghantar 2,000 pemanah ke atas bukit. Mereka memanah api ke kota Tarichaea. Kota Tarichaea terbakar dan pemberontak semakin lemah. Golongan moderat yang tidak bersetuju dengan peperangan ini bangkit menentang pemberontak. Sementara yahudi moderat berperang dengan pemberontak, Titus berjaya membolosi kota tersebut dan menyembelih pemberontak dan sesiapa yang menentang mereka. Jesus bin Shapat dan tenteranya lari merentasi negara manakala pemberontak yang lain sempat lari menaiki bot ke tasik Gennesaret. Titus bersimpati dengan penduduk yang telah menyokong Rom serta mengarahkan pembunuhan di Tarichaea dihentikan. Vespasian mengarahkan agar Rom membina kapal perang mereka dan mengejar pemberontak yang lari di tasik Gennesaret. Pertempuran yang sangat dahsyat di tasik Gennesaret pun berlangsung dan hampir kesemua pemberontak Yahudi mati dibunuh di tasik tersebut.

Pemberontak yang masih tinggal di Kota Tarichaea dihantar ke Tiberias. 1200 orang-orang tua dibunuh. 6,000 pemuda dihantar ke Ibukota Rom manakala 30,400 yang lain dijual menjadi hamba. Melihatkan situasi di Tarichaea, banyak kota-kota di Galilee menyerah kepada Rom kecuali tiga; Gunung Tabor, Gamla dan Gischala. Gamla ialah kota dalam wilayah Agrippa II yang ditadbir oleh Joseph dan Chares. Mereka tidak menyerah kalah dengan mudah. Vespasian dan tentera Rom menyerang kubu Kota Gamla dengan jentera perang. Dalam masa yang sama, Titus dihantar ke Syria untuk bertemu dengan Legate Syria yang baharu, Mucianus.

Tentera Rom berjaya merobohkan tembok kota Gamla. Pemberontak melarikan diri ke bahagian yang lebih tinggi. Vespasian bersama tentera Rom masuk ke dalam kota Gamla dan mereka berjaya diperangkap oleh pemberontak di Gamla dengan serangan dari atas. Apabila Tentera Rom berlindung dalam rumah-rumah di kota tersebut, rumah-rumah itu dirobohkan dan ramai tentera Rom yang mati. Vespasian dan tentera Rom terperangkap dalam kota tersebut sebelum berjaya melarikan diri pada waktu malam.

Serangan menggunakan jentera perang diteruskan pada keesokan harinya. Dalam masa yang sama, Placidus dihantar ke Gunung Tabor dan berjaya menakluk Gunung tersebut setelah pemberontak yang menyerang mereka berjaya dikalahkan dan penduduk asal menyerah dengan aman. Sementara itu, tentera Rom di Gamla berjaya menakluk menara dan pengawal melarikan diri. Joseph dan pemberontak cuba melawan Rom tetapi mereka semua mati dalam pertempuran tersebut. Chares pula mati dalam tidur kerana sakit tua. Tentera Rom berjaya menawan Gamla. Ramai orang Yahudi di Gamla yang ketakutan terjun ke dalam gaung, termasuklah wanita dan kanak-kanak. 4000 pemberontak dibunuh dan 5,000 yang lain terjun dari tebing tinggi. Kota Gamla yang terletak di tanah tinggi itu jatuh ke tangan Rom meninggalkan hanya Gischala sahaja yang masih belum ditakluk oleh Rom.

Vespasian menghantar Titus dan 1000 tentera berkuda ke Gischala. Legion ke-10 dihantar ke Scythopolis manakala Vespasian dan dua legion yang lain berarak ke Caesarea Maritima untuk persediaan serangan ke Baitul Maqdis. Titus menawarkan kepada penduduk Kota Gischala untuk menyerah dengan aman dan menerangkan nasib malang yang menimpa kota-kota lain yang lebih kuat daripada mereka kerana menentang Rom. John anak Levi, ketua pemberontak di Gischala memohon untuk memberikan jawapan pada keesokan harinya, selepas Hari Sabbath. Titus bersetuju dan mengundurkan tenteranya. John bersama tentera pemberontak dan keluarga mereka mengambil kesempatan untuk melarikan diri pada waktu malam. Titus bengang dengan orang Yahudi yang mungkir janji dan mengejar mereka. Titus berjaya membunuh 6,000 orang Yahudi manakala 3,000 wanita dan kanak-kanak ditawan. John berjaya meloloskan diri. Titus memasuki Kota Gischala dan meletakkan tentera Rom untuk mengawal kota tersebut.

Kempen Penaklukan Vespasian di Judah

 

Gambar kempen Vespasian di Judah

Pada musim luruh Tahun 67 M, bermulalah kempen ketenteraan di Judah. Titus bergerak daripada Gischala ke Caesarea Maritima manakala Vespasian berarak bersama tenteranya ke Jamnia dan Azotus untuk menawan kedua-dua kota tersebut. Setelah berjaya menakluk dua kota tersebut, Vespasian kembali ke Caesarea bersama sejumlah besar tawanan yang menyerah kalah di bawah perjanjian. Sementara itu, John dari Gischala dan pemberontak yang mandiri telah tiba ke Baitul Maqdis. Ketibaan mereka di Baitul Maqdis meningkatkan lagi perpecahan dalam kalangan pemberontak di Baitul Maqdis. Mereka berperang sama sendiri dalam kota Baitul Maqdis. Puak pelampau berperang sesama sendiri. Mereka saling membakar bekalan makanan yang boleh bertahan bertahun-tahun dalam kepungan Rom tersebut. Keadaan ini menyebabkan suasana dalam Kota Baitul Maqdis menjadi kucar-kacir dan huru-hara. Orang Yahudi juga tidak dibenarkan meninggalkan kota tersebut. Sesiapa yang didapati cuba melarikan diri akan dihukum.

Namun begitu, terdapat juga puak-puak Yahudi yang berjaya melarikan diri daripada kota Baitul Maqdis. Mereka berjumpa dengan Vespasian dan memohon pertolongannya untuk membebaskan Baitul Maqdis daripada cengkaman Puak Pelampau. Vespasian masih menangguhkan tenteranya daripada menyerbu Kota Baitul Maqdis. Mereka berarak ke Gadara, ibukota Perea Pada Bulan Mac Tahun 68M untuk menawan kota-kota lain di sekeliling Baitul Maqdis, menewaskan pemberontak Yahudi di sekeliling Baitul Maqdis dan seterusnya mengepung Baitul Maqdis dari semua arah. Tentera Rom menghantar utusan ke Gadara menggesa mereka menyerah secara aman, berikutan penduduk Gadara ramai yang kaya-raya. Pemimpin puak pelampau di Gadara membunuh ketua kota Gadara bernama Dolesus. Puak pelampau meninggalkan Gadara dan berkubu di Bethennabris bersama pejuang-pejuang lainnya. Setelah Vespasian tiba, Gadara menyerah secara aman.

Vespasian menghantar Placidus bersama 300 tentera berkuda dan 3000 tentera berjalan kaki untuk menewaskan pemberontak di Perea, sementara itu Vespasian kembali ke Caesarea Maritima. Placidus bertempur dengan tentera pelampau di Bethennabris dan berjaya menewaskan mereka, membakar kampung tersebut dan membunuh penduduk kampung. Puak pelampau bertebaran melarikan diri ke kampung-kampung berhampiran. Placidus dan tentera Rom mengejar dan menjarah setiap kampung yang dilalui dan akhirnya memerangkap puak pelampau di tebing Sungai Jordan dan membunuh 15,000 orang Yahudi, menangkap 2,200 wanita dan kanak-kanak serta merampas pelbagai ternakan dan makanan. Pada saat itu, mayat-mayat bergelimpangan memenuhi Laut Mati. Placidus meneruskan kemaraan dengan menawan kota-kota di sepanjang Laut Mati dan menempatkan Yahudi yang menyebelahi Rom di kampung-kampung dan bandar-bandar yang telah ditawannya. Hampir kesemua kawasan Perea telah jatuh ke tangan Rom.

Dalam masa yang sama, pemberontakan berlaku di Gaul. Komander Vindex memberontak terhadap Kaisar Nero. Menyedari keadaan itu, Vespasian mahu mengakhiri peperangan ini dengan cepat, namun musim salju melambatkannya. Vespasian juga menempatkan decurion-decurion Rom di setiap kampung dan bandar yang ditakluknya serta membina kawasan-kawasan lainnya. Seterusnya, Vespasian bergerak ke selatan menerusi Barat Judah serta menakluk pelbagai kota di sepanjang perjalanan mereka. Antara kota yang telah jatuh ke tangannya ialah Kota Antipatris, Thamna, Lydda dan Jamnia. Mereka berarak dan menawan Kota Ammaus serta meninggalkan Legion ke-5 di situ. Vespasian meneruskan kemaraan ke Beth-Leptenpha dan musnahkan kota tersebut, sebelum menawan Betabris dan Caphartoba di Idumea. Beliau membunuh 10,000 orang, menawan 1,000 orang dan menghalau penduduk-penduduk yang lainnya serta merehatkan tenteranya di situ.

Pada Bulan Jun 68M, Vespasian berarak kembali ke Ammaus dan bergerak Jericho. Di Jericho, beliau bergabung semula dengan tentera Placidus dari Perea. Ketika itu, ketumbukan tentera tersebut diketuai oleh Jeneral Trajan. Penduduk Jericho telahpun melarikan diri ke kawasan pergunungan berhampiran Baitul Maqdis.

Vespasian membina kubu di Jericho dan Adida. Beliau menghantar Lucius Annius untuk menawan Gerasa. Annius membunuh 1,000 pemuda, menangkap wanita dan kanak-kanak, membakar rumah-rumah di Gerasa dan menyerang kawasan sekitarnya. Baitul Maqdis telah terkepung dari semua arah dan Vespasian kembali ke Caesarea Maritima. Beliau mengumpulkan tentera dan mahu menyerang Baitul Maqdis dengan sepenuh kekuatan tenteranya. Namun begitu, berita kematian Kaisar Nero sampai ke pengetahuan Vespasian dan beliau menangguhkan serangan ke Baitul Maqdis.

Tempoh Pemerintahan Empat Maharaja Rom dan Pertabalan Vespasian Sebagai Maharaja Rom

Vespasian menghantar anaknya Titus dan Raja Agrippa II untuk berjumpa dengan Maharaja baharu Rom, menyatakan kesetiaan mereka dan bersedia menerima arahan selanjutnya. Namun begitu, Galba mati dibunuh sebelum mereka tiba ke Rom dan digantikan dengan Maharaja Otho. Keadaan ini menyebabkan Titus tidak ke Rom dan belayar kembali Caesarea Maritima. Mereka menangguhkan peperangan selama 6 bulan sebelum Vespasian menakluk lebih banyak kawasan di Judah dan tentera Legion ke-5 di bawah arahan Caeralius menakluk Idumea atasan dan Hebron. Hanya kubu istana Herodion, Machairos dan Masada sahaja yang masih dibawah taklukan Puak Pelampau, selain Baitul Maqdis yang masih utuh di bawah kepimpinan baharu iaitu Simon anak Gioras.

Pada bulan April 69M, Maharaja Otho dibunuh dan Vitellius menaiki takhta. Setelah berita pembunuhan tersebut tersebar ke Caesarea, Vespasian menjadi berang dengan keadaan di Ibukota Rom. Tenteranya di Caesarea mengisytiharkan Vespasian sebagai Maharaja dan memaksa Vespasian untuk menerimanya dan menyelamatkan empayar tersebut. Vespasian memulakan kempennya ke Mesir. Di Mesir, Tiberius Alexander menyatakan kesetiaan kepada Vespasian. Berita kemaharajaan Vespasian tersebar. Legion-legion tentera di Eropah semakin ramai yang menyatakan kesetiaan kepada Vespasian. Mucianus, gabenor Syria juga menyokong Vespasian. Vespasian berarak ke Beirut dan berjumpa dengan pelbagai duta-duta yang menyokongnya. Vespasian membebaskan Josephus di atas ramalannya yang menjadi kenyataan.

Vespasian menghantar Mucianus dan tentera yang sangat besar ke Itali menerusi laluan darat (Cappadocia) pada musim sejuk. Di Itali, berlaku perang saudara di antara dua kumpulan, satu kumpulan menyokong Vitellius manakala satu kumpulan lagi menyokong Vespasian. Pihak yang menyokong Vespasian sedang memenangi perang saudara tersebut. Pada 21 Disember 69M, Vitellius didera dan dibunuh oleh pemberontak. Mucianus yang tiba ke Itali menabalkan Domitian, anak saudara Vespasian sebagai raja sementara dan Vespasian ditabalkan menjadi Maharaja Rom apabila baginda tiba di Rom selepas berakhirnya musim sejuk. Setelah itu, Maharaja Vespasian menghantar anaknya, Titus ke Baitul Maqdis untuk menakluknya.

Rujukan:

Josephus, F. (Kemaskini 2001), The War of The Jews, Translated by William Whiston, Project Gutenberg, Utah, Project Gutenberg Literary Archive Foundation

Tacitus (Edisi Kemaskini 1978), The Histories, Collection of the Loeb Classical Library edition of Tacitus, 1931, Harvard University Press, US.

Ray, V.L. (2018) The Jewish Revolts, diambil daripada https://www.thattheworldmayknow.com/the-jewish-revolts, dilayari pada 1 Disember 2018.

Martin Goodman (2015), Documentary: Rome and Jerusalem at War (66 – 70 AD), dimuatnaik ke laman youtube: https://www.youtube.com/watch?v=GTxDcif-XT4 oleh Julianus Hammurabi

Webb, J.B. (1841), Naomi: or, The last days of Jerusalem, London, Harvey and Darton


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.