Pemakaian Bangsa Korea Zaman Dinasti Joseon

788
views

Fesyen pada zaman Dinasti Joseon? Pasti ramai yang tertanya-tanya, benarkah sudah wujud suatu perkembangan fesyen pada Dinasti Joseon ini? Dan, apakah pula yang dimaksudkan dengan fesyen tersebut? Artikel ini akan mengupas serba sedikit mengenai fesyen lelaki dan wanita pada zaman Dinasti Joseon, yang merangkumi hiasan kepala dan fesyen rambut, pakaian serta perhiasan yang digayakan pada waktu tersebut serta simbolik yang terselindung di sebaliknya.

Era Dinasti Joseon ini merupakan suatu era yang mengaplikasikan fahaman Neo-Confucianism sebagai agama dan ideologi rasmi mereka. Nae-oe, iaitu salah satu prinsip dalam Confucian yang menyentuh aspek kesederhanaan, telah menekankan suatu perbezaan yang jelas antara peranan golongan lelaki dan wanita, yang membawa kepada suatu gaya hidup wanita yang hanya dilingkungi oleh kehidupan mereka di sekitar kawasan rumah mereka sahaja.

Berpegang kepada prinsip inilah, maka fesyen yang digayakan oleh lelaki dan wanita pada zaman Dinasti Joseon mempunyai perbezaan yang cukup jelas, yang mana pada waktu itu, golongan lelaki adalah bebas untuk keluar dan bergerak ke mana sahaja, manakala golongan wanita pula tidak mempunyai kebebasan untuk bergerak sebegitu. Atas sebab inilah, asas bagi pakaian golongan lelaki yang dihasilkan pada waktu itu adalah sebagai pakaian luar (outdoor) yang terdiri daripada topi rasmi, kot atau baju serta kasut. Sementara itu, bagi pakaian wanita pula, ia dihasilkan dengan menggunakan lebih banyak indoor items, contohnya seperti jeogori (upper garments) dan chima (skirt).  Kebiasaannya, jeogori dan chima yang dihasilkan bagi wanita yang lebih banyak duduk di rumah mereka ini akan dihiasi dengan pelbagai material serta warna yang menarik.

Melihat kepada peranan pakaian serta perkembangan fesyen pada Dinasti Joseon, apa yang jelas ialah pakaian golongan wanita berfungsi dalam melindungi diri mereka daripada leelaki asing. Contohnya, seperti hiasan kepala (headgear) yang dikenakan oleh wanita pada waktu itu, ia bukanlah dikenakan semata-mata kerana cuaca yang sejuk ataupun sebagai hiasan untuk kecantikan mereka, namun ia sebenarnya bagi melindungi wajah mereka apabila keluar daripada rumah. Antara hiasan kepala yang dikenakan bagi melindungi wajah wanita ini ialah sseugaechima atau jangot, yang merupakan sejenis veil.

Hiasan Kepala (headgears/headdresses)

Kebanyakan hiasan kepala yang digayakan pada Dinasti Joseon ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh dinasti sebelumnya seperti Zaman Tiga Kerajaan dan Dinasti Goryeo, serta turut dipengaruhi oleh dinasti dari China. Berikut merupakan antara hiasan kepala yang dikenakan oleh golongan wanita dan lelaki pada Dinasti Joseon, merangkumi semua kelas sosial yang ada pada waktu itu.

  • Jangot

Jangot ini merupakan sejenis kain yang digunakan bagi menutupi kepala golongan wanita pada Dinasti Joseon. Perkataan jangot ini yang bermaksud kain yang panjang (long cloth), merupakan gabungan daripada perkataan Cina, iaitu jang yang bererti panjang dan perkataan Korea, iaitu ot yang bererti kain. Jangot pada asalnya ialah kain yang digunakan oleh lelaki iaitu dipanggil sebagai jang-eui, tetapi wanita mula menggunakannya sebagai pakaian luar pada awal zaman Dinasti Joseon.

Jang-eui yang digayakan ini mula menjadi suatu item fesyen yang popular dalam kalangan wanita atasan, sehinggalah Yang Seongji (1415–1482), iaitu seorang sarjana dan penulis telah mengemukakan bantahannya kepada Raja Sejo bagi menghalang golongan wanita daripada menggunakan jang-eui kerana ia adalah bertentangan dengan prinsip Confucian yang telah menggariskan perbezaan ketara antara pakaian wanita dan lelaki. Ini adalah kerana jang-eui ini pada asalnya ialah pakaian untuk golongan lelaki pada waktu itu. Meskipun undang-undang cuba untuk menghalang amalan penggunaan jangot ini, namun ia tetap menjadi pakaian luar (overcoat) yang popular dalam kalangan wanita Joseon sehingga abad ke-17, dan akhirnya bertukar menjadi pakaian yang menutupi kepala (headdress) para wanita pada pertengahan abad ke-18 yang berfungsi bagi melindungi badan serta wajah mereka.

Bagi wanita muda, warna jangot yang biasa mereka gunakan ialah biru atau hijau bagi fabrik luar, dan ungu untuk garisan bagi kain tersebut. Manakala, bagi wanita yang lebih tua, jangot yang mereka gayakan kebiasaannya diperbuat daripada kain linen berwarna putih yang khusus untuk musim panas, serta sutera asli untuk musim sejuk.

Jangot yang digayakan oleh wanita Joseon
  • Jeonmo

Jeonmo merupakan sejenis topi yang kebiasaannya dipakai oleh golongan gisaeng iaitu penghibur wanita. Kerangka bagi topi ini diperbuat daripada buluh, dan ia ditutupi dengan kain atau kertas yang dihiasi dengan pelbagai corak dan motif. Jeonmo ini jarang sekali digayakan oleh golongan wanita terhormat atau kelas atasan kerana ia adalah simbolik kepada fesyen yang ditonjolkan oleh golongan wanita kelas bawahan yang biasanya bekerja sebagai penghibur.

Jeonmo bagi golongan wanita kelas bawahan
  • Gat

Gat adalah istilah rasmi bagi topi yang dipakai oleh lelaki Joseon. Kebiasaannya, gat ini diperbuat daripada bulu kuda yang mana kerangka bagi topi ini diperbuat daripada buluh, dan mempunyai bentuk yang bulat. Warna gat biasanya adalah hitam, kecuali bagi baekrip, iaitu topi khas berwarna putih yang dipakai untuk majlis berkabung akibat kematian dan sebagainya.

Bagi golongan lelaki kelas atasan dan terhormat (noblemen), gat yang digayakan oleh mereka dipanggil sebagai heungnip, yang dipakai pada setiap hari untuk pelbagai urusan yang mereka jalankan.  Saiz heungnip yang digayakan oleh golongan lelaki terhormat ini adalah lebih besar berbanding heungnip yang digayakan oleh lelaki kelas pertengahan Dinasti Joseon. Sementara itu, bagi golongan lelaki kelas bawahan yang kebanyakannya bekerja sebagai petani atau penjaja biasa, topi atau gat yang mereka gunakan dipanggil sebaga paeraengi, iaitu sejenis topi yang diperbuat daripada buluh.

Gat bagi lelaki Joseon
  • Samo

Samo merupakan sejenis topi yang dipakai khusus oleh golongan menteri serta para pegawai kerajaan yang berkhidmat di istana Joseon. Samo ini boleh dikatakan sebagai topi rasmi yang harus mereka gayakan apabila berada di istana untuk bertemu raja dan membuat perbincangan bersama menteri yang lain. Jika berada di luar dan tidak bertugas, maka para pegawai ini akan mengenakan heungnip seperti yang digayakan oleh golongan atasan yang lain.

Samo yang khusus untuk pegawai di istana

Pakaian

Secara dasarnya, apabila menyebut mengenai pakaian Joseon atau pakaian Korea, hanbok merupakan simbol utama yang mewakili kesemua fesyen pakaian di Joseon, dan Korea pada masa kini. Malah, ramai sarjana menganggap hanbok sebagai suatu item yang menggambarkan gaya serta semangat kebangsaan masyarakat Korea. Hanbok adalah salah satu asas dalam pembentukan masyarakat Korea pada hari ini yang menunjukkan kesinambungan budaya mereka sejak beribu-ribu tahun yang lalu.

Dalam Dinasti Joseon, komponen asas kepada hanbok tradisional adalah baju bahagian atas (jeogori) dan kain bahagian bawah (chima bagi wanita dan baji bagi lelaki). Jeogori (top) ini adalah terma asas yang digunakan bagi menunjukkan pakaian bahagian atas bagi lelaki dan wanita. Secara tipikalnya, jeogori ini terdiri daripada pakaian seperti blouse atau jaket dengan bahagian hadapan yang longgar dan terbuka, serta berlengan panjang.

Bagi bahagian bawah, ia dipanggil sebagai chima bagi skirt yang dipakai oleh golongan wanita. Chima ini adalah skirt panjang, yang beralun dan longgar, manakala pada bahagian atas chima ini terdapat waistband atau kain panjang dan lebar yang digunakan untuk menutup bahagian dada wanita. Sementara itu, bagi golongan lelaki pula, pakaian bawahnya dipanggil sebagai baji yang bermaksud seluar. Baji ini adalah seluar yang longgar dan besar bertujuan untuk memberi keselesaan bagi lelaki sewaktu mereka duduk dan berjalan. Baji ini akan diikat untuk mengetatkan bahagian buku lali dan pinggang.

Komponen tambahan bagi hanbok ini adalah pemakaian jubah luar atau kot luar yang dipanggil sebagai po yang mana ia boleh digayakan oleh lelaki dan wanita bergantung kepada cuaca serta majlis atau acara yang mereka hadiri. Bentuk asas bagi po untuk lelaki dan wanita ini adalah sama seperti jeogori, namun, po ini adalah lebih panjang sehingga ada yang mencecah ke lutut. Jenis fabrik serta warna po yang digunakan adalah pelbagai bergantung kepada kelas sosial masyarakat Joseon pada waktu itu.

Hanbok tradisional bagi wanita Joseon
Sumber: (Cho, 2016)
Hanbok tradisional bagi lelaki Joseon
Sumber: (Cho, 2016)

Dinasti Joseon telah menyaksikan banyak perubahan yang dilakukan dalam menggayakan hanbok, yang mana pada pertengahan zaman Joseon, jeogori yang dipakai adalah lebih tinggi daripada paras pinggang, dan pada akhir abad ke-19, jeogori yang dipakai ini semakin pendek dengan mencecah paras dada. Pada zaman pemerintahan Jepun, golongan wanita Joseon cuba untuk mengadaptasikan gaya hanbok yang baru, dengan lebih moden, di mana mereka menggayakan chima (skirt) yang lebih pendek dengan jeogori berwarna putih. Dan sejajar dengan peralihan zaman inilah, pemakaian hanbok semakin dilupakan oleh masyarakat, dan kini hanya dipakai untuk perayaan tertentu serta bagi menghadiri majlis dan keramaian yang khas sahaja.

Perhiasan

Umumnya, pada era Joseon ini, pemakaian perhiasan seperti cincin dan aksesori lain hanyalah dibenarkan untuk golongan atasan sahaja dan wanita kebanyakan hanya dibenarkan memakai perhiasan jika mereka melangsungkan perkahwinan sahaja. Ini kerana falsafah dan fahaman Confucian telah melarang penggunaan aksesori seperti subang, rantai leher dan gelang tangan yang begitu popular pada dinasti sebelumnya (Goryeo dan Zaman Tiga Kerajaan). Oleh sebab inilah, maka perhiasan yang lebih popular pada zaman Dinasti Joseon ialah cincin serta norigae iaitu sejenis hiasan yang dipakai pada hanbok.

Perhiasan yang paling popular pada zaman Dinasti Joseon ini ialah cincin, di mana ia biasanya dipanggil sebagai jihwan. Secara asasnya, terdapat dua jenis cincin yang biasa digunakan pada era Joseon ini, iaitu panji dan garakji. Cincin jenis panji kebiasaannya dipakai oleh wanita bujang yang mana mereka memakainya bertujuan menunjukkan bahawa mereka masih belum berkahwin.

Garakji pula membawa erti ‘sepasang cincin besar’ yang mana ia terdiri daripada sepasang cincin yang diperbuat daripada besi dan batu permata, bergantung kepada kelas sosial masing-masing. Garakji ini hanya digunakan oleh wanita yang telah berkahwin sahaja, di mana secara simboliknya ia membawa makna keharmonian bagi pasangan suami isteri dalam sesebuah ikatan perkahwinan berdasarkan fahaman Confucian. Apabila seseorang suami meninggal dunia, salah satu daripada cincin tersebut akan dikebumikan bersama suami, manakala sebentuk lagi cincin akan disimpan oleh isteri, sehinggalah dia meninggal dunia, sebagai suatu tanda kesetiaan antara mereka.

Jenis-jenis cincin pada zaman Dinasti Joseon ini juga turut dipengaruhi oleh musim, di mana cincin emas adalah untuk musim sejuk, cincin perak untuk musim panas dan cincin jed untuk musim luruh. Bagi musim bunga, dikatakan bahawa para wanita akan memakai cincin yang tercantik yang mereka miliki kerana ia adalah musim di mana bunga-bunga sedang berkembang dengan cantik.  

Norigae ialah sejenis aksesori yang digunakan bagi mencantikkan atau menyerlahkan lagi pemakaian hanbok bagi golongan wanita Joseon. Meskipun tujuan asalnya ialah sebagai penyeri bagi hanbok, namun, norigae ini sebenarnya mempunyai fungsi lain dalam kehidupan seharian, di mana ia juga boleh digunakan sebagai pouch, bekas jarum akupunktur dan lain-lain lagi. Corak dan bentuk yang ditonjolkan melalui norigae ini secara simboliknya menunjukkan kegembiraan, harapan serta kehidupan yang dilalui oleh pemakainya.

Kesimpulan

Perkembangan fesyen Dinasti Joseon yang meliputi pakaian, hiasan kepala serta perhiasan masyarakatnya adalah bukti kepada identiti kebangsaan mereka yang sekaligus membentuk budaya pemakaian sehingga ke hari ini. Meskipun era Joseon ini banyak dipengaruhi oleh fahaman Confucian yang turut merangkumi etika pemakaian dalam kehidupan mereka, namun, ia tidak menjadi penghalang bagi golongan lelaki dan wanita pada zaman itu untuk menggayakan pelbagai jenis hiasan dan hanbok dengan fabrik dan warna menarik sesuai dengan kelas sosial masing-masing.

Rujukan

Cho, S. (2016). The Ideology of Korean Women’s Headdresses during the Choson Dynasty. Fashion Theory, 7419, 1–19.

Kwon, Y. J., & Lee, Y. Y. (2015). Traditional Aesthetic Characteristics Traced in South Korean Contemporary Fashion Practice. Fashion Practice, 7(2), 153–174.

Lynn, H. G. (2004). Fashioning Modernity: Changing Meanings of Clothing in Colonial Korea. Journal of International and Area Studies, 11(3), 75–93.

Park, G. Y. (2014). Androgyny of Sword Dance Costumes in the Joseon Dynasty of Human Ecology. International Journal of Human Ecology, 15(2), 23–31.