https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Pelajar MRSM Menang Emas Iro 2019

582

Beberapa hari lepas, empat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) telah mengharumkan nama negara apabila merangkul dua pingat emas dalam pertandingan International Robot Olympiad (IRO) 2019 di Chiang Mai, Thailand yang berlangsung pada 15 hingga 20 Dis lalu.

Menerusi kenyataan Majlis Amanah Rakyat (MARA), pingat emas pertama dimenangi dua pelajar MRSM Bentong iaitu Ahmad Muqry Hasni dan Nur Ain Balqis Mohd Razuan menerusi acara kreatif bertemakan Robot: Agricultural Revolution (Robot: Revolusi Pertanian). Robot binaan mereka yang diberi nama Dr Plant berfungsi mengenalpasti pokok perosak dan menghapuskan pokok perosak tersebut dengan menggunakan semburan racun.

Sementara  Ziyad Azhar dan Hana Humaira Wan Hasnan daripada MRSM Kota Putra pula merangkul pingat emas bagi acara Robot in Movie (Robot Dalam Filem). Mereka menghasilkan video dengan sub tema Vital Monitoring (Pemantauan Penting) kepada tema utama. Video tersebut memerlukan para peserta merangka jalan cerita, menggunakan robot dan peralatan serta menguji kepakaran peserta dalam proses suntingan dan kesan khas. Dalam kenyataan yang sama, MARA turut mengumumkan mereka berjaya meraih satu pingat perak, satu pingat gangsa dan satu anugerah teknikal.

IRO menyaksikan wakil Mara bersaing dengan pelajar dari 14 negara seperti Korea Selatan, China, Singapura, Filipina, New Zealand, Mesir, Indonesia dan Thailand. Keseluruhan penyertaan dalam pertandingan itu berjumlah lebih 800 orang.

Malaysia menghantar kontinjen seramai 66 orang terdiri daripada 51 pelajar, 14 guru dan seorang pegawai merangkap ketua kontinjen daripada Bahagian Pendidikan Menengah. Dalam kenyataan itu, Mara menyifatkan penyertaan mereka sebagai komitmen penghasilan modal insan dalam bidang robotik dan teknologi kepintaran buatan seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Kemenangan sebegini seharusnya menjadi inspirasi kepada anak-anak muda Melayu dan Islam untuk berfikir di luar kebiasaan dan menghasilkan lebih banyak inovasi yang memberi manfaat kepada manusia sejagat. Dan dengan kemenangan ini juga, ia diharap dapat memberi kekuatan kepada orang Melayu dan Islam bahawa mereka juga mampu menjadi hebat walaupun dipandang serong sesetengah pihak.

RUJUKAN:

Bernama. (2019). Pelajar MRSM menang emas IRO 2019. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/utama/2019/12/529267/pelajar-mrsm-menang-emas-iro-2019

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.