Pekerjaan Mengharapkan Kematian

0
443
views

“Batu nisan, kematian dan kubur, tiga benda yang tidak dapat dipisahkan.”

Itulah luahan hati si tua yang lebih dikenali sebagai Pak Lang. Batu nisan sebagai tanda ingatan kepada mereka yang telah meninggalkan kita. Kebanyakkan Batu nisan ini datang dari pelbagai bentuk, saiz dan jenis,ianya bergantung kepada kemampuan waris si mati.

Meskipun batu nisan ini dikaitkan dengan budaya dan adat orang Melayu yang beragama Islam, hakikatnya perniagaan ini dahulunya dikuasai oleh kaum cina di Malaysia. Sama seperti proses mengukir nama si mati pada batu nisan, juga turut dikuasai oleh kaum Cina sendiri.

Kini kesedaran telah timbul dalam kalangan masyarakat Melayu itu sendiri untuk menceburi diri dalam perniagaan membekalkan batu nisan. Lebih menarik lagi apabila tangan si tua seperti Pak Lang sendiri melakukannya secara tradisional.

Osman Abdul Wahab, 50, merupakan individu pertama yang berjaya dalam menjalankan perniagaan batu nisan di kawasan tempat tinggal beliau. Malahan, perniagaan itu masih beroperasi sehingga kini.

Selain itu, Pak Lang juga mempunyai sebuah bengkel, ‘Othman Abdul Wahab Entreprise’ yang terletak di Lot 1143, Jalan Jaya Taman Jaya, Padang Serai, Kedah. Berpeluang bertemu dengan pengusaha batu nisan itu sendiri di kediamannya di Kampung Sg Seluang Bawah, Lunas Kedah, baru-baru ini membuktikan perniagaan yang diusahakan sejak tahun 2008 kini mendapat permintaan dari seluruh negeri.

Sentuhan batu nisan dalam konteks Islam

Dilabelkan sebagai perniagaan yang, ‘mengharapkan kematian’ merupakan satu-satunya sumber pendapatan Pak Lang untuk menyara hidup sekeluarga selain menyedari hakikat bahawa ia adalah satu dasar yang diharuskan dalam Islam sebagai Fardhu Kifayah.

Dalam pembuatan batu nisan ini, sedikit sebanyak memberi kesan serta mengingatkan dirinya bahawa kematian itu pasti bagi setiap makhluk yang bernyawa. Sewajarnya manusia perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian.

“Bagi umat Islam terdapat perbezaan diantara batu nisan seorang lelaki dan perempuan. Bagi nisan lelaki biasanya ia berbentuk bulat, manakala bagi perempuan berbentuk leper,” tegas pengusaha bengkel itu.

Kematian pertama dalam keluarga.

Ditanya mengenai kisah sepanjang mengendalikan perniagaan ini, Pak Lang menceritakan peristiwa sedih apabila berlakunya kematian yang pertama dalam keluarganya.

“Perasaan tentunya sukar digambarkan apabila, Pak Lang sendiri yang membuat, mengukir nama arwah yang merupakan salah seorang keluarga terdekat Pak Lang selain merupakan kematian pertama di dalam keluarga Paklang. Perasaan yang bercampur sedih, menginsafkan yang sukar digambarkan oleh Paklang sendiri,” luahnya tentang pekerjaan ini mengingatkannya tentang kematian.

Penulis bersama encik Othman

Perniagaan di atas permintaan.

Pada mulanya, Paklang hanya menjalankan perniagaan membekalkan barang-barang binaan sahaja seperti membekalkan tiang roman dan kerusi-meja batu. Tetapi sering mendapat permintaan dan tempahan dalam pembekalan batu nisan. Sehingga kini, perniagaan batu nisannya terus berkembang.

Menurut Pak Lang, pelanggan hari ini bukan sahaja inginkan kualiti dan kecantikan sesebuah batu nisan itu malah, turut menekankan soal harga bagi setiap jenis yang ditempah.

“Di bengkel, Paklang ada menyediakan pelbagai jenis batu, saiz dan corak pada batu nisan.

Pelanggan-pelangan hanya perlu membuat pilihan mana satu yang mereka suka.

“Kebanyakkan batu nisan yang dihasilkan di sini diperbuat daripada beberapa jenis batu seperti marmar dan campuran batu kapur dengan simen yang dikenali sebagai Terrazo. Malah, batu sungai juga mendapat permintaan yang tinggi,” jelasnya.

Ujar bapa kepada dua orang anak itu lagi, di bengkelnya turut menawarkan batu nisan yang pelbagai bentuk seperti leper, bulat, kecil ataupun besar. Malahan ianya turut dijual pada harga serendah RM 200 dan yang paling tinggi mencecah RM 800 sahaja.

Batu nisan dijual online.

Menurut Pak Lang, pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada masyarakat sekitar Kedah, bahkan turut menerima tempahan luar dari Kedah.

Selain itu, Pak Lang juga bijak mengambil peluang melalui teknologi dengan menjalankan perniagaannya menerusi applikasi Whatsapp dan dibantu anak lelakinya, Ammar, 22 tahun.

Tambah anak jati Kedah itu, tempoh untuk menyiapkan sesebuah batu nisan bergantung kepada corak dan saiz yang dipilih. Selalunya setiap tempahan diambil dalam satu ke dua minggu sahaja.

Menurut Pak Lang, tumpuan akan diberi sepenuhnya ketika proses mengukir nama dan butir si mati pada batu nisan tersebut bagi mengelak kesilapan.

“Sekiranya berlaku kesilapan daripada pihak kami, kami akan mengantikannya semula dan akan menanggung kos kerugian,” katanya. Pak Lang juga menegaskan sebagai manusia, dia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan.

Harapan meneruskan legasi perniagaan.

Apabila ditanya mengenai pewaris legasi untuk perniagaan ini pada hadapan. Pak Lang menaruh harapan agar Ammar dapat meneruskan legasi ini agar perniagaan keluarganya tidak mati begitu sahaja bak kata perpatah, “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

“Pak Lang berharap semoga Ammar dapat terus mengusahakan perniagaan ini sebagai salah satu fardhu kifayah. ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’ seperti di batu nisan ini,” tegas Paklang tentang tanggungjawab yang akan diberikan kepada anak lelakinya, Ammar.