Bagi setiap pahlawan, pasti ada senjata khas khusus untuk mereka. Senjata sebegini bukan saja melambangkan identiti kepahlawanan sesebuah bangsa atau tamadun tetapi juga menaikkan status pahlawan-pahlawan yang menggunakannya sebagai legenda. Di Jepun, pedang samurai atau lebih tepat pedang katana menjadi igauan ngeri musuh-musuh mereka kerana ketajaman bilahnya dan kepantasannya sama ada di medan pertempuran atau perlawanan sesama samurai. Hari ini, ia dianggap sebagai sebagai sebahagian daripada khazanah nasional Jepun yang tidak ternilai harganya. Tetapi bagaimana ia bermula?

Amakuni dan pedang samurai pertama

Pada era awal Jepun, pahlawan-pahlawan masih menggunakan pedang biasa menggunakan reka bentuk pedang China. Pedang ini memang berguna di medan perang tetapi ia mudah rosak atau lebih tepat sentiasa patah bila cuba digunakan ke atas perisai atau topi pelindung tentera musuh. Dan ini menjadi masalah besar kepada tentera Jepun terutama bila berhadapan dengan tentera penceroboh asing semasa tempoh Asuka. Kualiti pedang sebegini bukan saja mencetuskan kehampaan dalam kalangan tentera tetapi juga menimbulkan kemurkaan maharaja ketika itu Mommu yang memerintah antara 683 hingga 707 Masihi.

Pasukan pembuat pedang untuk pihak tentera diketuai Bapa Pedang Samurai Amakuni Yasutsuna. Seperti biasa, beliau dan anaknya Amakura memerhatikan pasukan tentera maharaja pulang dari medan pertempuran dari bengkel mereka dan jika kelibat mereka disedari Mommu, baginda akan memberi tanda pengenalan. Tetapi kali ini, sesuatu yang berbeza berlaku. Mommu enggan memberi isyarat pengenalan biasa yang dikenali oleh Amakuni dan ini menimbulkan tanda tanya dalam dirinya. Selepas melihat separuh daripada tentera baginda membawa pedang yang patah, beliau sedar Mommu sebenarnya murka dengan kualiti pedang yang dihasilkan sekaligus menambah rasa gundah dalam dirinya.

Semua pedang yang patah itu dibawa balik ke bengkelnya untuk dikaji dan menurut legenda, Amakuni tidak makan dan minum selama seminggu sebelum mengenalpasti punca pedang-pedang itu patah dan memikirkan cara menghasilkan pedang yang berkualiti. Ilham untuk menghasilkan pedang yang lebih berkualiti ini datang dalam bentuk semangat yang bernama Kami. Kami datang dalam bentuk sebilah pedang melengkung dengan satu mata yang tajam dan itu sudah cukup mendorong dua beranak itu memulakan asas penghasilan pedang yang akan membentuk sejarah Jepun untuk abad-abad seterusnya.

Menurut legenda, Amakuni dan Amakura berkurung dalam bengkel tempa mereka selama sebulan dan amat berhati-hati dalam proses pembuatan pedang baru ini. Beliau memilih bijih besi yang terbaik mutunya untuk dikerjakan dalam bentuk besi atau tamahagane yang berkualiti sebelum ia dibentuk menjadi pedang berdasarkan imej mimpinya. Walaupun cubaan ini dianggap mustahil dan gila oleh pembuat pedang lain, itu tidak mematahkan semangat dua beranak ini untuk menghasilkan pedang-pedang berkualiti khusus untuk tentera maharaja.

Tidak lama selepas itu, angkatan perang Mommu sekali lagi terlibat dalam satu peperangan pada musim bunga. Dan seperti biasa, rutin Amakuni untuk memerhatikan tentera-tentera samurai yang pulang. Bezanya kali ini, tiada satu pun pedang daripada 31 bilah pedang yang dihasilkannya patah di medan peperangan. Dan apabila Mommu melepasi dua beranak itu, baginda bertitah, “Kamu merupakan pembuat pedang yang handal. Tiada satu pun pedang yang kamu hasilkan patah dalam pertempuran itu.” Titah baginda nyata menggembirakan Amakuni dan kehidupan mereka sekali lagi penuh dengan keceriaan. Tidak diketahui bila Amakuni meninggal dunia tetapi legenda ada menyebut bahawa beliau meraih kehidupan abadi dari sejumlah besar darah yang ditumpahkan dari bilah pedang yang dihasilkannya.

Proses penghasilan pedang

Yang pasti, pembuatan pedang samurai bukan sesuatu yang mudah seperti didedahkan oleh pembuat pedang paling hebat dalam sejarah Jepun, Masamune. Masamune atau nama sebenarnya Goro Nyudo Masamune sedar seseorang samurai memerlukan pedang yang bukan saja tajam tetapi juga mampu bertahan semasa dalam peperangan. Bagi mengatasi cabaran metalurgi ini, pembuat-pembuat pedang seperti Masamune menggunakan empat jenis batang besi. Besi pertama ialah besi lembut yang melindungi bilah dari patah, dua besi keras untuk melindunginya dari bengkok dan sebatang keluli untuk ditajamkan.

Semua batang besi ini dipanaskan sehingga mencecah 2,500 darjah Fahrenheit (1371.1 darjah Celsius) dan diketuk sehingga menjadi sebatang besi berbentuk segi empat tepat untuk menghasilkan bilah besi tamahagane yang terkenal. Pembuat pedang menarik keluar bilah katana daripada api dan dimasukkan sekejap dalam air untuk penyejukan pantas. Memandangkan teras dalam pedang mengandungi sedikit amaun karbon, ia akan mengecut sekaligus membentuk lengkungannya yang terkenal. Dari situ, bilah akan diasah sehingga menjadi tajam dan besi lembut yang terkandung di dalamnya menjadikan ia tidak mudah patah bila digunakan. Proses tempaan yang istimewa ini membentuk Hamon atau garis perbezaan pada bilah pedang yang teguh.

Proses pembuatan pedang amat penting sehinggakan sami-sami Shinto dipanggil untuk merestui sesebuah proses termasuk proses penyucian secara spiritual si pembuat pedang. Pembuat pedang katana ini dianggap artisan yang mahir dalam bidang mereka dan seperti mana samurai, pelbagai mitos turut menyelubungi mereka. Untuk menguji sama ada pedang yang dihasilkan benar-benar berkualiti, ia akan diuji melalui satu proses yang dipanggil tameshigiri (ujian memotong). Ujian ini dilakukan oleh seorang samurai yang mahir di mana mereka akan memotong mayat atau banduan penjenayah hidup. Hari ini, ia digantikan oleh tikar tatami yang mempunyai isi padu sama dengan mayat. Atau dalam sesetengah kes, bagi menguji sama ada ia mampu bertahan atau tidak bila bila terkena peluru.

Boleh rujuk dua jenis ujian pedang katana yang dilakukan dalam rancangan History, Forged in Fire:

1. Ujian membelah peluru: https://www.youtube.com/watch?v=6Hasi-giZck

2. Ujian patung gel dan tatami: https://www.youtube.com/watch?v=3cxygMy4ajI

Perkembangan pedang samurai

Pedang samurai mempunyai keperluan berbeza-beza mengikut tempoh era yang berlaku di Jepun. Semasa era Kamakura (1185-1333) dan Muromachi (1336-1573) merupakan satu tempoh yang penting kerana menyaksikan Jepun diserang oleh pihak asing termasuk tentera Mongol. Bagi membolehkan para samurai dapat mempertahankan tanah air mereka dengan jayanya, mereka memerlukan pedang yang bukan saja berkualiti tetapi juga berfungsi di medan peperangan. Pada abad ke-15, terdapat 3,550 orang pembuat pedang yang menghasilkan pedang yang berkualiti dan artistik untuk kegunaan samurai.

Satu kerisauan timbul bagi tentera berkuda ialah kesukaran mereka mengeluarkan pedang dari sarungnya semasa menunggang kuda. Bagi mengatasi masalah itu, sesetengah pembuat pedang menghasilkan pedang yang boleh digunakan tentera berkuda yang dipanggil tachi. Tachi amat digeruni oleh pihak musuh kerana reka bentuk dan keberkesanan sudut potongannya membolehkan tentera berkuda menyerang musuh dengan satu tangan sahaja walaupun dalam keadaan menunggang kuda. Tetapi selepas dua tempoh ini, populariti senjata api dan ketiadaan konflik besar mula mengurangkan keperluan memiliki pedang samurai.

Tetapi semasa era Hideyoshi Toyotomi dan Keshogunan Tokugawa, pedang samurai kembali menjadi popular. Semasa era Toyotomi, samurai dibenarkan membawa pedang mereka bersesuaian dengan statusnya sebagai individu kelas atasan dalam hierarki masyarakat ketika itu. Sebelumnya, semua orang boleh memiliki pedang samurai tapi selepas dua era itu, hanya samurai sahaja yang dibenarkan membawanya. Manakala semasa era Edo/Tokugawa, mereka mula menggubal peraturan berkenaan jenis pedang yang berbeza dan panjang bilah pedang yang dibenarkan. Selain katana, samurai juga membawa sebilah pedang lain bernama wakizashi sebagai pedang tambahan mereka. Wakizashi digunakan untuk pertempuran jarak dekat, pemenggalan kepala dan upacara seppuku (ritual bunuh diri). Berbeza dengan katana, wakizashi boleh dibawa anggota kelas masyarakat lain termasuk golongan pedagang sebagai alat perlindungan dari serangan perompak.

Lambang agama tersembunyi

Selain sebagai alat mempertahankan diri, siapa sangka pedang samurai yang dibawa para samurai turut membawa konotasi berbeza: simbol pilihan agama mereka. Pada abad ke-16, mubaligh-mubaligh Kristian mula menyebarkan ajaran agama itu di Timur Jauh dari Melaka hingga ke Jepun. Apabila ia diperkenalkan kepada penduduk tempatan terutama di Jepun, ia mendapat sambutan baik termasuk dari golongan samurai. Tetapi itu tidak bertahan lama apabila Toyotomi mengharamkan ajaran Roman Katolik pada tahun 1587 sebelum disusuli oleh arahan pengusiran keluar yang dilaksanakan semasa era Hidetada Tokugawa.

Ini memaksa komuniti Kristian Jepun mengamalkan ajaran agama mereka secara rahsia. Ketika itu, terdapat 300,000 orang Jepun yang mengamalkan ajaran itu. Mereka yang enggan tunduk kepada arahan yang dikeluarkan akan diseksa dan dibunuh. Ada juga yang diusir keluar ke Manila atau Macau tetapi kebanyakannya dipaksa untuk meninggalkan Jepun secara sukarela. Mana yang masih tinggal mengamalkannya secara rahsia termasuk golongan samurai. Sebagai bukti mereka tunduk tetapi pada masa sama mengamalkan ajaran Kristian, penghadang pedang mereka diukir dengan simbol-simbol salib tersembunyi. Ini berdasarkan penemuan 48 bilah pedang milik samurai Kristian dan lebih 10 daripadanya dihasilkan semasa era Sengoku.

Perang Dunia Kedua (WWII)

Selepas berlakunya era Pemulihan Meiji yang turut menyaksikan penamatan pemerintahan Keshogunan Tokugawa, itu juga turut menandakan pengakhiran era samurai. Samurai kini digantikan oleh tentera-tentera Jepun yang moden di mana baju perisai samurai digantikan dengan uniform tentera Barat dan pedang digantikan dengan senjata api moden. Bagi para pembuat pedang, tempoh tersebut dianggap satu bencana kepada mereka dan ramai menyangka era pedang samurai sudah berakhir.

Tetapi semua itu berubah semasa era Showa dan WWII. Pedang murata yang menjadi gantian pedang samurai tradisional mengalami proses transformasi kepada Kyu Gunto, dengan mengambil gaya pedang lengkung Amerika Syarikat dan hulu pedang yang diikat. Namun antara 1935 hingga 1945, pedang Shin Gunto pula menjadi simbol pangkat ketenteraan anggota Tentera Maharaja Jepun (IJA). Pedang ini meminjam reka bentuk pedang tachi yang dibawa para samurai dan kelihatan seperti pedang katana kecil. Tidak seperti pedang katana dan tachi yang menjadi igauan ngeri musuh-musuh samurai, ia hanya berperanan sebagai alat kehormatan tentera.

Selepas tamat perang, pemilikan pedang samurai diharamkan sehingga tahun 1953. Mana-mana pedang samurai yang ada dalam pemilikan harus diserahkan kepada pihak tentera Amerika, satu tindakan yang nyata menimbulkan kemarahan rakyat Jepun terutama golongan bangsawan. Bagi rakyat Jepun terutama golongan bangsawan, penyerahan pedang samurai seolah-olah merosakkan legasi sejarah keluarga mereka terutama bagi yang memiliki pedang buatan Masamune. Malah, Tokyo sendiri menyifatkan Honjo Masamune sebagai satu warisan negara yang tidak ternilai harganya. Bagi pihak Amerika, ia hanya sekadar senjata tajam yang boleh digunakan dan harus dilupuskan. Sebagai tanda kerjasama dan contoh kepada orang lain, Iemasa Tokugawa membawa pedang samurai buatan Masamune terkenal yang dipanggil Honjo Masamune pada Disember 1945 ke seberang Atlantik. Tetapi sejak itu, nasib pedang berkenaan tidak diketahui dan hilang dari peredaran masa.

Sebut pasal pedang Masamune, ia masih ada di beberapa tempat termasuk Muzium Negara Kyoto. Tetapi di Missouri atau lebih tepat Perpustakaan Harry Truman pernah menempatkan salah satu pedang pembuat pedang paling hebat dalam sejarah Jepun. Pedang Masamune itu berusia 700 tahun dan dalam keadaan hampir sempurna ini merupakan hadiah Jeneral Walter Krueger kepada Truman yang didapati daripada sebuah keluarga Jepun sebagai sebahagian daripada syarat penyerahan kalah Jepun. Tetapi beranganlah untuk melihat kelibat pedang ini dalam pameran perpustakaan tersebut. Ini kerana pada tahun 1978, pedang tersebut dicuri oleh sekumpulan pencuri dan masih tidak dijumpai sehingga hari ini.

Sementara pedang Shimazu Masamune pula yang dikatakan hilang selama 150 tahun kini menjadi salah satu bahan pameran Muzium Negara Kyoto. Pedang ini pada asalnya merupakan hadiah kepada kerabat Maharaja Komei pada tahun 1862 sebagai hadiah perkahwinan. Pedang ini kemudiannya dimiliki oleh keluarga Kenoe, sebuah keluarga aristokrat yang mempunyai hubungan rapat dengan keluarga diraja selama beberapa generasi. Selepas seorang penderma berjaya mendapatkan pedang tersebut, pedang buatan Masamune ini didermakan kepada Muzium Negara Kyoto dan terus kekal di situ sehingga hari ini.

Pada tahun 1960, Persatuan Pemuliharaan Pedang Jepun ditubuhkan dengan tujuan memelihara dan memulihara tradisi pembuatan pedang samurai termasuk penghasilan besi tamahagane yang diperlukan untuk menghasilkan pedang katana yang asli. Hari ini, pembuat pedang yang berlesen mesti menghasilkan pedang katana menggunakan kaedah pembuatan sama yang dilakukan satu milenia yang lalu. Dan bagi memastikan tiada lagi pedang samurai dibawa ke luar negara, pedang katana diisytiharkan sebagai satu warisan negara dan sebarang cubaan membawa keluar adalah dilarang sama sekali.

Dalam budaya popular, pedang katana menjadi senjata tajam yang popular dalam filem dan televisyen. Bagi peminat Akira Kurosawa, sudah pasti ramai yang masak dengan filem Seven Samurai. Seven Samurai bukan saja menampilkan koreografi pertarungan pedang yang menarik tetapi juga memperlihatkan ia sebahagian daripada perwatakan samurai itu sendiri bersesuaian dengan falsafah Bushido mereka. Sesetengah watak fiksyen terus mempopularkan penggunaan senjata ini dari Michonne (The Walking Dead) hinggalah Deadpool (Marvel), Snake Eyes dan Storm Shadow (francais G.I Joe).

SUMBER

1. Sutherland, A. (2017). Many Samurai Had Swords With Secret Crucifixes And Hidden Christian Symbols To Avoid Persecution. AncientPages.com. http://www.ancientpages.com/2017/01/10/many-samurai-swords-secret-crucifixes-hidden-christian-symbols-avoid-persecution/

2. Sutherland, A. (2018). Katana ‘Soul Of The Samurai’ – Most Famous Japanese Sword With Long Tradition. AncientPages.com. http://www.ancientpages.com/2018/04/12/katana-soul-of-the-samurai-most-famous-japanese-sword-with-long-tradition/

3. Sutherland, A. (2019). Amakuni – Legendary Japanese Blacksmith And Father Of The Samurai Sword. AncientPages.com. http://www.ancientpages.com/2019/01/23/amakuni-legendary-japanese-blacksmith-and-father-of-the-samurai-sword/

4. Bitanga, Mike. (2018). The Complete History Of The Japanese Samurai Sword. HiConsumption.com. https://hiconsumption.com/2018/09/history-of-the-japanese-samurai-sword/

5. DeLong, William. (2018). Masamune, The 13th-Century Japanese Swordsmith Who Was The Stuff Of Legends. AllThatsInteresting.com. https://allthatsinteresting.com/masamune-sword


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.