Pada 7 Disember 1941, Jepun melancarkan Operasi Hawaii iaitu mengebom Pearl Harbor dengan tujuan melumpuhkan armada tentera laut Amerika Syarikat. Jepun berpandangan sekiranya armada mereka dapat dilumpuhkan, Tokyo boleh meneruskan perluasan empayar mereka di Asia Pasifik tanpa perlu risau akan gangguan Washington. Namun siapa sangka, melalui serangan tersebut, Tokyo bukan saja memprovokasi Washington untuk berperang tetapi juga pada masa sama, mendedahkan kedangkalan taktik mereka yang membawa kepada kejatuhan mereka pada Ogos 1945. Apakah kesilapan yang dilakukan mereka ini?

1. BERANGGAPAN PERANG DENGAN AMERIKA SYARIKAT AKAN BERLANGSUNG DALAM TEMPOH SINGKAT

Kesilapan Jepun di sini ialah terlalu memandang tinggi keupayaan tentera lautnya. Kalau melihat rekod sejarah sendiri, sesiapapun pasti merasa gerun berhadapan dengan mereka. Sejak peralihan abad ke-20, Tokyo sudah menghapuskan kekuatan tentera laut China melalui satu perang singkat pada tahun 1895. Ini disusuli pula dengan kejayaan mereka menghapuskan kekuatan tentera laut Rusia semasa Perang Rusia-Jepun meletus pada tahun 1905. Maka, logiknya musuh terbaru Jepun selepas kedua-dua negara ini ialah Amerika Syarikat. Selepas Amerika tumbang, maka Jepun akan menjadi satu-satunya kuasa tunggal yang mengawal perairan Asia Pasifik.

Dalam satu pertemuan dengan kepimpinan tertinggi tentera, Laksamana Isoroku Yamamoto menyifatkan melawan Amerika Syarikat seperti melawan seluruh dunia. Ini kerana sekiranya Amerika memfokuskan tenaganya kepada usaha perang, pasti industri Amerika akan membekalkan bahan mentah yang diperlukan untuk usaha perang, sekaligus membolehkan pihak tentera berperang dengan pihak musuh untuk tempoh yang lama. Maka atas sebab itu, Yamamoto mahu Tokyo menyokong usaha armada tentera lautnya dengan siri operasi ke atas armada dan kemudahan tentera laut dalam tempoh separuh tahun atau setahun penuh. Beliau turut memberi amaran sekiranya perang berterusan untuk tahun kedua dan ketiga, maka Tokyo telah menggali kuburnya sendiri. Dan apa yang dibimbangi Yamamoto menjadi kenyataan apabila perang berterusan selama beberapa tahun berikutnya antara tahun 1942-1945.

Figure 1: Yamamoto menyifatkan sebarang pertempuran dengan Amerika Syarikat harus berlangsung selama enam bulan atau setahun. Jika ia berterusan, maka mustahil bagi Jepun mengalahkan tentera Amerika Syarikat dalam WWII.

2. TERPAKSA BERPERANG DI DUA MEDAN

Apabila Tokyo menyerang Pearl Harbor, secara tidak langsung, Jepun sebenarnya mengulangi kesilapan sekutu mereka, Adolf Hitler. Ini kerana tatkala Hitler mengisytiharkan perang terhadap Washington, ia sebenarnya menambah tekanan pada sumber mereka kerana ia perlu diagihkan pada beberapa medan iaitu melawan pihak Bersekutu diketuai Amerika Syarikat di sebelah barat dan melawan Kesatuan Soviet di sebelah timur. Pada dekad 30-an, Jepun menyerang Manchuria, Semenanjung Korea dan China dan ini satu usaha yang besar. Dan bila perang berakhir pada tahun 1945, 1.8 juta tentera Jepun masih berada di China, Semenanjung Korea dan Manchuria. Ini menunjukkan berapa banyak sumber manusia dihabiskan Jepun untuk perang darat berbanding perang laut.

Bagi menambah lagi tekanan, selepas mereka mula memfokuskan serangan ke atas Asia Tenggara dan pulau-pulau Pasifik, ia sebenarnya menyukarkan lagi usaha tentera laut Jepun meronda kawasan yang dikawal mereka. Ketamakan Jepun mahu meluaskan kawasan mereka sehingga ke Guadalcanal dan Australia akhirnya memakan diri menjelang pertengahan tahun 1942. Selain sukar mengawal kawasan perairan yang luas, Tokyo turut berhadapan kesukaran mempertahankan garisan pertahanan mereka. James Holmes, seorang penganalisis ketenteraan berpandangan dalam situasi perang, pihak yang bertahan seharusnya lebih kuat dari pihak yang menyerang. Sekiranya pertahanan mereka lemah, maka mudah pihak yang menyerang untuk menceroboh. Maka inilah kesilapan Jepun seperti yang dibimbangi Yamamoto kerana disebabkan sumber yang terhad dan terpaksa mengawal kawasan perairan yang luas, armada mereka tidak berupaya mengekang asakan armada tentera laut Amerika dan ini membawa kepada kejayaan negara Uncle Sam itu memaksa mereka berundur kembali ke Jepun.

3. SALAH SASARAN BAHAGIAN I

Yamamoto menegaskan sekiranya mereka salah percaturan dalam menyerang Pearl Harbor, pasti kesilapan ini akan menghantui mereka dan mengakibatkan kejatuhan empayar diraja Jepun. Dan ini seharusnya difikirkan perancang-perancang strategi Jepun semasa merancang serangan ke atas Pearl Harbor. Daripada mengundang kemarahan Washington dan mendorong mereka berperang melalui Pearl Harbor, Tokyo boleh saja memfokuskan serangan ke atas sasaran bernilai mereka tetapi tidak di mata pentadbiran dan warga Amerika Syarikat, Filipina.

Pada awal abad ke-20, tidak ramai tahu akan lokasi negara ini dan ramai meragui serangan ke atas Filipina akan mendorong pentadbiran Franklin Delano Roosevelt untuk berperang dengan Jepun. Jika ada reaksi sekalipun dari pihak pentadbiran dan mendapat kelulusan Kongres, Washington tidak akan bertindak sepenuh hati untuk membalas tindakan Jepun dan boleh mempertimbang kemungkinan menyerahkan Filipina di bawah kawalan sepenuhnya Jepun. Perlu diingat, Kongres Amerika Syarikat pada ketika itu memilih dasar pemencilan sebagai dasar luar mereka dan enggan membenarkan Amerika kembali ke kancah perang seperti mana yang berlaku pada Perang Dunia Pertama (WWI). Jika Tokyo mempertimbang aspek ini dalam strategi mereka, mereka pasti tidak akan berhadapan dengan tentangan sengit pihak Amerika yang membawa kepada beberapa pertempuran paling berdarah dalam Perang Dunia Kedua (WWII) seperti Guadalcanal dan mendapat akses kepada bahagian barat Pasifik tanpa sebarang tentangan.

4. SALAH SASARAN BAHAGIAN II

Semasa Laksamana Chester Nimitz tiba di Oahu, Hawaii untuk meninjau kerosakan akibat serangan berani Jepun, beliau mendapati walaupun pihak tentera laut kehilangan enam kapal termasuk empat kapal perang, mereka tidak menyerang kemudahan penting seperti tangki minyak dan dok kering. Sekiranya mereka menyerang kemudahan-kemudahan ini, ini pasti menyukarkan pihak tentera untuk bangkit semula. Dan ini juga memberi ruang masa yang diperlukan Jepun bukan saja untuk meluaskan kawasan pengaruhnya tetapi juga mengukuhkan cengkaman mereka di Asia Pasifik.

Figure 2: Nimitz menyifatkan Jepun melakukan kesilapan besar tidak menyerang kemudahan logistik tentera laut semasa insiden Pearl Harbor.

Nimitz menyifatkan objektif serangan Jepun iaitu menyerang armada kapal pengangkut pesawat milik tentera laut Amerika satu kesilapan besar. Bagi Nimitz, sekiranya kapal-kapal ini diserang, ia pasti satu tamparan hebat kepada Washington. Tetapi pada masa sama, serangan ke atas kemudahan logistik memberi kesan lebih buruk kepada persiapan Amerika sekiranya ia mahu mengisytiharkan perang ke atas Tokyo. Dan ini diakui sendiri Perdana Menteri Jepun, Hideki Tojo yang menyifatkan keupayaan tentera laut Amerika untuk mendapat bekalan yang diperlukan membantunya sentiasa beroperasi di laut sebagai faktor utama kejayaan Amerika di teater Pasifik. Tojo menyatakannya sebelum beliau dihukum mati atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan semasa WWII.

5. KEGELOJOHAN MENGEJAR GANJARAN AWAL

Perancang-perancang strategi Jepun seharusnya membiarkan saja Amerika Syarikat berperang dengan rejim Nazi Jerman yang dipimpin Adolf Hitler. Jepun harus ingat, medan Pasifik bukanlah satu-satunya medan pertempuran yang dihadapi Washington. Perang ke atas Hitler pastinya akan mendorong fokus mereka lebih ke arah Jerman berbanding Jepun. Apabila itu berlaku, medan Pasifik hanya menjadi fokus apabila peperangan di Eropah sudah selesai. Apabila itu berlaku, Jepun sudah mengukuhkan cengkaman ke atas Asia Pasifik dan sebarang campur tangan untuk menghentikan pendudukan Jepun di rantau tersebut sudah terlambat.

Jika pihak Amerika menghantar tentera mereka ke sebelah Pasifik, pihak Jepun pasti sudah bersedia jika tidak kerana kegelojohan mereka. Kegelojohan mereka ini mengakibatkan mereka berhadapan dengan tentera yang pasti mahu membalas dendam insiden Pearl Harbor, bukannya tentera yang keletihan dan bosan selepas bertempur di Eropah. Dan mereka boleh mengukuhkan pertahanan di pulau-pulau yang dikuasai mereka dan melindungi kawasan perairan yang lebih pendek. Akibatnya, pihak Amerika akan menanggung kehilangan nyawa yang ramai, mungkin jauh lebih ramai dari bilangan tentera yang terbunuh di Guadalcanal, Saipan, Okinawa dan Filipina. Dari situ, Washington boleh saja berunding untuk mengakhiri perang ini sekaligus menjadikan Jepun sebagai kuasa ulung di Asia Pasifik. Namun, kegelojohan Jepun ini akhirnya memakan diri dan cita-cita besar ini berkubur pada Ogos 1945.

SUMBER

Holmes, James. (2017). National Interest. Pearl Harbor: Why Japan Attacked (And Why It Was Such A Big Mistake). http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/pearl-harbor-why-japan-attacked-why-it-was-such-big-mistake-23541?page=show


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply