Tanpa pawagam, pembikinan sesebuah filem itu tiada ertinya kerana tidak dapat dinikmati oleh penonton. Walaupun pada tahun 2020 ini kita mempunyai pilihan untuk menonton filem dalam pelbagai aplikasi penstriman, pengalaman menonton filem di pawagam masih relevan serta mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Bapa Perfileman Malaysia, P. Ramlee telah lama melihat akan kepentingan sebuah pawagam dalam dunia perfileman khususnya di tanah airnya sendiri. Sepanjang beliau berkecimpung dalam dunia perfileman, tayangan filem-filem Melayu dimonopoli oleh dua buah syarikat gergasi iaitu Shaw Brothers dan Cathay Keris.

Kedua syarikat ini dimiliki oleh hartawan yang bukan bumiputera. Setelah keringat para penggiat seni perfileman kita diperah, hampir kesemua hasil keuntungan telah dibawa pulang ke tanah asal mereka sehingga mereka mampu menjadi empayar filem di Asia.

Untuk memecahkan monopoli ini serta menyemarakkan kegiatan ekonomi kaum bumiputera, P. Ramlee mengambil inisiatif untuk mendirikan pawagamnya sendiri. Setelah keluar daripada syarikat Perusahaan Filem Nasional (PERFIMA) pada awal tahun 1973, P. Ramlee bersama-sama H.M. Shah dan Salleh Ghani telah menubuhkan syarikat perfileman Rumpun Melayu. Mereka bertiga merancang untuk menerbit, mengedar dan menayangkan filem-filem melalui penubuhan syarikat baharu ini.

Usaha pertama Rumpun Melayu yang diketuai oleh penghibur serba boleh ini ialah menyewa sebuah panggung wayang lama bernama Queen Cinema yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Pada asalnya ia merupakan sebuah panggung wayang lama milik seorang ceti yang bekerja di pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur. Pawagam tersebut kemudiannya disewakan kepada Rumpun Melayu di mana P. Ramlee adalah pengarah urusannya, manakala H.M. Shah bertindak sebagai pengerusi.

Walau bagaimanapun, keadaan panggung wayang ini terlalu usang dan memerlukan wang yang banyak untuk dibaiki. P. Ramlee sangat bertuah kerana segala perbelanjaan untuk memperbaiki panggung wayang usang ini telah dibiayai oleh H.M. Shah. Beliau mengeluarkan wang sebanyak $100, 000 untuk membuat penambahbaikan di panggung wayang tersebut.

Dalam satu temubual, P. Ramlee menyatakan bahawa panggung wayang yang tidak sepertinya ini adalah usaha permulaan syarikat Rumpun Melayu bagi mendorong kaum bumiputera untuk lebih bergiat dalam industri filem di Malaysia.

Beliau mensifatkan panggung wayang itu sebagai detik permulaan perkembangan industri filem bumiputera dia negara ini. Beliau juga menyatakan harapannya agar ada pihak yang tampil ke hadapan untuk menyalurkan segala tenaga dan bantuan yang diperlukan bagi mencapai maklumat tersebut.

Pada awalnya, P. Ramlee menamakan panggung wayang itu sebagai ­Pawagam Rumpun. “Pawagam” merupakan akronim yang dicipta oleh P. Ramlee untuk menggantikan perkataan panggung wayang gambar yang panjang.

  1. Ramlee merancang dengan bersungguh-sungguh supaya Pawagam Rumpun akan menjadi sebuah pawagam bumiputera yang berjaya di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Dengan bantuan kewangan daripada H.M. Shah dan kelancaran urusan pentadbiran daripada Salleh Ghani dan Ramli Ismail memberi sinar baharu kepada P. Ramlee untuk terus berjuang di medan seni yang amat dicintainya. Mereka bertiga adalah insan yang banyak memberi dorongan semangat kepada P. Ramlee demi mencapai cita-citanya ketika itu.
  2. Ramlee mengawasi sendiri pengubahsuaian panggung wayang tersebut. Setiap hari beliau akan melihat tukang bernama Lee Pho Kok membuat kerja. Dalam kesibukan itu, P. Ramlee telah meninggal dunia pada 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun akibat serangan jantung.

H.M. Shah bersama Salleh Ghani dan Ramli Ismail meneruskan juga usaha untuk mendirikan Pawagam Rumpun. Setelah perbincangan dibuat, tempat P. Ramlee telah digantikan dengan balunya, Saloma. Nama Pawagam Rumpun telah ditukar menjadi Pawagam P. Ramlee sebagai satu penghormatan serta untuk mengenang jasanya yang besar dalam dunia perfileman Melayu.

Kemudahan fasiliti di Pawagam P. Ramlee tidaklah seperti pawagam GSC, TGV atau MBO pada hari ini. Pawagam P. Ramlee hanya beratapkan zink dan berdindingkan papan. Ia hanya menggunakan kipas siling dan tidak mempunyai penghawa dingin. Kerusi tempat duduk penonton yang digunakan pula ialah kerusi kayu.

Pawagam ini  boleh menampung seramai 600 orang penonton dalam satu masa. Insan yang pernah menjadi projectionist di pawagam tersebut ialah Zulkiflee Salleh, anak kepada Salleh Ghani. Salleh Ghani sendiri pernah menjaga kaunter tiket sebelum diserahkan tugas tersebut kepada pelakon crook, Osman Botak. Osman Botak sering muncul di dalam filem-filem arahan P. Ramlee di Merdeka Film Studio.

Pawagam P. Ramlee telah dirasmikan oleh Dato’ Harun Idris, Menteri Besar Selangor pada 15 Ogos 1973. Pada hari perasmian itu juga sebuah filem dari Indonesia yang berjudul …Dan Bunga-Bunga Berguguran (1970) arahan Wim Umboh telah diberi keistimewaan dalam persembahan sulung Pawagam P. Ramlee.

Hasil kutipan pada majlis perasmian tersebut telah diserahkan kepada Yayasan Pelajaran Selangor untuk tujuan amal. Pawagam P. Ramlee kemudiannya beroperasi dengan menayangkan filem-filem yang diimport dari luar seperti filem Indonesia, Hindi dan Inggeris. Jadual tayangan filem di Pawagam P. Ramlee ialah pada jam 3:15 petang, 6:45 petang dan 9:15 malam setiap hari.

Dari jauh pawagam ini boleh dilihat dengan jelas kerana terpampang dengan simbol ‘Rumpun Melayu’ yang berlambangkan serumpun padi berpecah lima. Lambang itu mempunyai tulisan ‘Bersatu, Berpakat, Berjimat, Bersefahaman dan Berdikari’. Di puncak bangunan ini pula terdapat serumpun padi yang tertulis ‘SR’. Menurut H.M. Shah, ‘SR’ itu bermaksud Shah-Ramlee. Ia juga boleh dimaknakan dengan Saloma-Ramlee.

Pada awal November 1982, kewujudan pawagam ini menjadi satu isu apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menarik lesen perniagaan Pawagam P. Ramlee kerana pemiliknya gagal membaiki kerosakan di dalam dan luar kawasan pawagam yang mampu membahayakan keselamatan orang ramai. Sebulan selepas itu, Pawagam P. Ramlee telah dirobohkan oleh DBKL kerana tiada tindakan susulan yang diambil oleh pemilik.

Kini, tapak Pawagam P. Ramlee sudah bertukar menjadi tempat letak kereta di ibu kota Kuala Lumpur. Segala harapan dan impian P. Ramlee juga turut roboh bersama sisa runtuhan pawagam ini. Apa yang tinggal hanyalah kenangan penonton yang pernah menonton filem di pawagam bersejarah ini.

RUJUKAN:

Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik (KFMMK)

Ramli Ismail, 1998. Kenangan Abadi P. Ramlee. Kuala Lumpur: Penerbit Adichipta Sdn. Bhd.

Ahmad Sarji, 1999. P. Ramlee: Erti Yang Sakti. Subang Jaya: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd.

Hidir Ali Razali, 2018. Di Sebalik Tirai Layar. Ampang: Patriots Publication


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Comments are closed.