Patutkah Anda Pinjamkan Wang Pada Kawan dan Ahli Keluarga?

599

Sekiranya rakan ataupun ahli keluarga anda memerlukan duit, adakah anda akan memberikan pinjaman kepada mereka?

Apabila kejadian ini berlaku, tentu anda akan pertimbangkan beberapa perkara sebelum anda memberikan pinjam wang anda. Untuk apa wang itu digunakan? Adakah keperluannya mendesak? Adakah keperluannya berada di luar kawalannya? Mungkin, perkara paling serius yang perlu anda pertimbangkan ialah bagaimana kekerapan seseorang itu meminjam wang dengan anda?

Kalau anda menghadapi seseorang yang sangat jarang meminjam wang dengan anda, mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk meminjamkan wang kepadanya. Tetapi sekiranya seseorang itu kerap meminjam, memberikan pinjaman kepadanya bukanlah langkah yang baik kerana wang pinjaman tersebut mungkin tidak dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Malah, bantuan kewangan yang anda berikan kepadanya membantu dan mendorong dirinya untuk menghadapi lebih kerap masalah yang sama. Kadangkala, bantuan anda boleh membuatkan dia terus berada pada masalah yang sama.

Sebelum anda memberikan pinjaman wang kepada sesiapa, perlulah anda pertimbangkan beberapa perkara yang kritikal.

Pertama, apabila anda memberikan pinjaman wang kepada rakan ataupun ahli keluarga, anda sedang mengambil risiko yang besar. Hal ini terpakai sekiranya anda memberikan sejumlah wang yang besar. Apakah risiko tersebut? Risiko besar tersebut adalah anda sedang memperjudikan hubungan antara anda dengan rakan atau ahli keluarga anda. Apabila anda memberikan pinjam, anda bukan setakat kawan ataupun ahli keluarga. Tetapi peminjam dan pemberi pinjam.

Anda kena fikirkan, setelah anda memberi pinjam, apakah perasaan anda sekiranya dia tidak mampu membayarnya balik? Tentu anda akan berasa sangat marah dan menyesal. Tentu anda sudah tidak mampu fikir peminjam sebagai orang yang rapat dengan anda. Bagaimana pula perasaan peminjam sekiranya dia tidak mampu membayar balik hutang anda? Dia akan rasa bersalah. Mungkin juga tidak. Paling penting, mungkin mereka akan mula menjauhkan diri daripada anda, putuskan hubungan dengan anda. Maka, berhati-hati apabila anda membuat keputusan untuk memberi pinjam.

Kedua, dicadangkan anda menyediakan beberapa syarat sebelum memberi pinjam seperti tempoh pinjaman, cara bayaran seperti ansuran ataupun bayar terus dan menyediakan perjanjian hitam putih. Kalau anda serius, anda boleh membawa hal ini ke peringkat pihak berkuasa sekiranya anda mahu menuntut wang anda.

Ketiga, pertimbangkan kemampuan anda. Kalau anda benar-benar perlukan wang, jangan berani-berani pinjamkan wang anda kepada orang lain. Peminjam akan sentiasa beranggapan bahawa anda mampu untuk memberikan pinjam. Maka, sekiranya anda tidak mampu, katakan tidak mampu. Orang yang menyayangi anda, akan memahami situasi anda.

Keempat, pastikan anda tidak menentukan apa yang perlu peminjam perlu buat dengan wang yang anda pinjamkan. Katakanlah anda berikan pinjam kepada rakan anda sejumlah wang untuk dia membayar yuran pengajian, kemudian anda ternampak dia makan mahal-mahal, mungkin anda akan berasa marah dan kecewa dengan keadaan itu. Kalau anda rasa macam itu, anda tidak patut berikan pinjam melainkan anda telah bersedia untuk tidak menghakimi apa yang perlu peminjam buat dengan wang yang anda beri pinjam.

RUJUKAN:

  1. https://www.psychologytoday.com/intl/blog/mind-over-money/201909/should-you-loan-money-friend-or-family-member

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.