Ahli-ahli arkeologi yang menjalankan kerja-kerja ekskavasi di sebuah petempatan prasejarah di Poland telah menemukan dua buah patung khinzir bersaiz kecil dalam keadaan sempurna, dipercayai berusia kira-kira 3500 tahun. Relik purba ini dijangka dapat membantu pakar untuk memahami dengan lebih lanjut perihal masyarakat prasejarah yang hidup di rantau itu pada pertengahan milenium kedua Sebelum Masihi.

Patung-patung ini ditemui di Maszkowice (Malopolska), tepatnya di sebuah gunung yang dikenali sebagai ‘Gunung Zyndram’ yang terletak di Carpathians, wilayah tenggara Poland. Menurut Heritage Daily, relik ini ditemui ketika pasukan arkeologi berkenaan sedang memeriksa tembok batu di petempatan berbukit di Maszkowice, yang diperkirakan sebagai salah sebuah monumen batu tertua di Eropah dan paling tua di Poland.

Ahli-ahli arkeologi sedang menjalankan penyelidikan di ‘Gunung Zyndram’ yang terletak di Maszkowice, Poland

KEBUDAYAAN DARI ZAMAN GANGSA

Bukti arkeologi mengisyaratkan bahawa tapak prasejarah itu dihuni buat kali pertama oleh Otomani, sebuah kebudayaan pada zaman gangsa. Mereka mendominasi kebanyakan tamadun Zaman Gangsa di Eropah Timur dan mempunyai pengaruh yang besar dalam laluan perdagangan penting yang menghubungkan antara Laut Baltik dan Mediterranean. Kebudayaan ini secara khusus masyhur dengan perdagangan batu ambar, selain monumen-monumen batunya yang besar belaka.

Tapak ini dihuni pada 1750SM hingga 50SM, namun ia pernah ditinggalkan buat beberapa tempoh sekitar tahun 1500SM. Kemudian, tapak tersebut dihuni semula dan kediaman baru yang lebih besar dibina dan dikelilingi oleh tembok batu. Besar kemungkinan, penghunian kali kedua ini melibatkan kumpulan masyarakat lain yang menggantikan Otomani, iaitu La Tene.

Patung-patung khinzir ini secara spesifiknya ditemui dalam runtuhan sebuah pondok yang berukuran 20 kaki (6 meter) panjang dan lebar, berusia kira-kira 3500 tahun. Dalam lapisan tanah liat yang dahulunya berfungsi sebagai lantai pondok, ahli arkeologi menemukan dua buah patung tanah liat bersaiz kecil yang berjarak 3 kaki (1 meter) antara satu sama lain.

Tapak arkeologi di Maszkowice

PATUNG-PATUNG KHINZIR PRASEJARAH

Memetik Dr Marcin S. Przybyla dari Universiti Jagiellonian, “Ini merupakan penemuan patung zoomorfik pertama yang benar-benar mirip seperti bentuk haiwan sebenar.” Panjang patung ini anya seinci lebih sahaja, namun ukirannya sangat realistik. Walaupun saiznya kecil, perincian seperti puting dan jongornya dihasilkan dengan penuh teliti. Ketelitian dalam penghasilan patung ini mengisyaratkan bahawa penghuni kawasan tersebut merupakan artisan yang mahir, atau setidak-tidaknya, mereka berinteraksi dengan sebuah komuniti yang cukup mahir.

Persoalan seterusnya yang cuba dirungkai oleh ahli arkeologi adalah sama ada patung khinzir itu merujuk kepada khinzir jinak ataupun khinzir liar. Patung ini mempunyai tanda di bahagian belakang badannya yang mirip seperti khinzir liar. Namun, Dr Przybylia menyatakan bahawa, “Khinzir pada masa itu lebih cenderung seperti khinzir liar berbanding khinzir jinak di zaman moden.”

Seni ukiran pada kedua-dua patung ini juga kelihatan berbeza, justeru pakar mengandaikan bahawa ia dihasilkan oleh dua orang yang berbeza.

Sebahagian daripada tembok batu di perkubuan Maszkowice

PERSOALAN YANG BELUM TERUNGKAI

“Jawapan kepada persoalan tentang kefungsian patung ini sukar untuk mencapai kata muktamad,” tulis laman sesawang Nauwka Polsce. Kebiasaannya, patung-patung sebegini dianggap sebagai mainan kanak-kanak ataupun barang keagamaan. Namun dalam penemuan kali ini, tiada petunjuk yang boleh memastikannya.

Apa yang nyata, relik ini ditemui di dalam sebuah pondoj yang turut menyimpan banyak tulang haiwan, termasuklah tulang khinzir. Patung khinzir bersaiz kecil dan tulang-belulang haiwan itu menunjukkan betapa signifikannya ia bagi masyarakat yang hidup di situ.

Kerja-kerja pemulihan di tapak berkenaan terus dilanjutkan. Pada tempoh kebelakangan, semakin banyak penemuan dilakukan di tapak ini. Memetik Dr. Marcin, “Dapat dilihat dengan jelas betapa petempatan berkubu ini dibina dengan sangat terancang dan jurubinanya pula mempunyai kemahiran yang begitu tinggi.”

Tambahnya lagi, berkemungkinan kemahiran tersebut diperolehi daripada imigran yang datang dari daerah Adriatik atau wilayah-wilayah yang lebih jauh di selatan. Walau bagaimanapun, apa yang pasti, penemuan patung ini membuktikan kemajuan tamadun yang hidup di situ pada 3500 tahun yang lalu.

TERJEMAHAN:

Ed Whelan. (16 Ogos 2020). 3500-Year-Old Pig Figurines Found in Ancient Polish Stronghold. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/pig-figurines-0014130


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.