Pasukan Bola Sepak Nazi Jerman

0
525
views

Bagi mana-mana rejim, mana-mana acara atau temasya sukan akan dipergunakan sebaik mungkin atas nama propaganda dan menunjukkan sisi baik mereka di mata dunia. Di Itali misalnya semasa pemerintahan rejim Benito Mussolini, mereka sanggup menggunakan pelbagai cara untuk menang Piala Dunia 1934 termasuk rasuah dan mengatur perlawanan. Dan bagi rakan sekutunya, Adolf Hitler itulah juga cara yang perlu diambil untuk menaikkan prestij rejimnya. Namun Piala Dunia 1938 merupakan insiden paling memalukan bagi Nazi Jerman kerana mereka tersingkir awal dari kejohanan di Perancis itu.

Hitler mengharapkan pentas Piala Dunia 1938 ini sebagai peluang memenangi semula perang propaganda selepas gagal dalam Sukan Olimpik 1936. Sesiapa yang menonton filem biografi Jesse Owens bertajuk Race (2016) pasti sedia maklum kejayaan Owens memenangi empat pingat emas Olimpik dalam temasya berkenaan. Bagi Hitler, pentas itu seharusnya menonjolkan kehebatan bangsa Aryan tetapi harapannya ranap selepas melihat kejayaan Owens dan kekalahan pasukan bola sepak Jerman di tangan Norway.

Justeru untuk Piala Dunia 1938, beliau mengharapkan pengakhiran berbeza untuk Nazi Jerman dan mengikut jejak langkah Mussolini memenangi Piala Dunia empat tahun sebelumnya. Dan satu cara untuk melakukannya ialah menyerap semua pemain Austria dalam pasukan kebangsaan Jerman. Perlu diingat, beberapa bulan sebelumnya, rejim Nazi Jerman memasuki Austria dan mengilhaknya menjadi sebahagian daripada empayar mereka yang semakin membesar. Selepas itu, mana-mana pemain, jurulatih atau staf pengurusan Austria beragama Yahudi dihalau keluar dan pemain kebangsaan mereka diserap sebagai tonggak utama pasukan Nazi Jerman.

Justeru tidak hairanlah lima pemain yang menjadi sebahagian daripada kesebelasan utama bimbingan Sepp Herberger ini merasa serba-salah sambil memikirkan keputusan akhir perlawanan. Mereka berlima ini merupakan sebahagian daripada pasukan ajaib atau ‘Wunderteam’ pada tahun 1930-an. Pada dekad tersebut, Austria beberapa kali menjadikan Jerman sebagai pasukan belasahan. Malah pada temasya Piala Dunia 1934, mereka sebenarnya dapat mara hingga ke peringkat separuh akhir sebelum disingkirkan pasukan tuan rumah Itali. Bagaimanapun ramai menyifatkan kejayaan Itali itu dibantu oleh aspek pengadilan yang berat sebelah dan gejala mengatur perlawanan yang dilakukan oleh Mussolini sendiri. Namun pasukan Nazi Jerman ini tidak mendapat sentuhan penyerang berbisa ketika itu, Matthias Sindelar. Sindelar enggan bermain untuk mereka atas alasan faktor usia dan kecederaan memandangkan umurnya ketika itu sudah mencecah 35 tahun.

Figure 2: Matthias Sindelar

Memandangkan Piala Dunia ketika itu tidak mempunyai peringkat kumpulan, semua pasukan memasuki pusingan kedua kejohanan. Dengan Nazi Jerman dan Switzerland seri pada perlawanan mereka, mereka perlu bertemu semula untuk perlawanan ulangan bagi menentukan siapa bakal layak ke pusingan suku akhir. Ini bukan sesuatu yang patut dipandang enteng kerana dunia berada di ambang perang akibat tindakan rejim pimpinan Hitler itu.

Waqaf Saham

Perlawanan pada 8 Jun ini menyaksikan Jerman mendahului menerusi penyerang muda Austria, William Hahnemann. Dan apa yang diidamkan Hitler nampaknya bakal menjadi kenyataan apabila Switzerland menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan Nazi Jerman 2-0 semasa rehat separuh masa. Bagaimanapun pada separuh masa kedua, Switzerland mengganas dengan menjaringkan empat gol sekaligus menyingkirkan pasukan itu dari Piala Dunia 1938. Jurulatih pasukan, Herberger yang berang menuduh pemain-pemain Austria sengaja kalah dengan niat memalukan rejim. Sikap sebegini bukan satu kejutan kerana Herberger merupakan ahli Nazi dan sudah menyertai pergerakan tersebut sejak tahun 1933. Kekalahan ini merupakan penyingkiran paling awal Jerman dari Piala Dunia sejak dianjurkan pada tahun 1930. Selepas 16 tahun, Jerman Barat yang dipimpin beliau memenangi Piala Dunia di Switzerland selepas mengatasi pasukan Generasi Emas Hungary diketuai legenda Real Madrid, mendiang Ferenc Puskas.

Figure 3: Sepp Herberger

Jika Hitler merasa kecewa dengan kekalahan pasukannya, Mussolini pula tersenyum ceria kerana Itali sekali lagi menjadi juara pada temasya 1938 itu. Pada Piala Dunia empat tahun sebelumnya, kejayaan Azzurri dibantu oleh ugutan ke atas pengadil, rasuah dan pengaturan perlawanan. Tetapi kali ini, Itali menang kerana mereka memang pasukan yang hebat dan tidak perlukan campur tangan luar untuk menang. Menurut Stanislao Pugliesse, profesor sejarah dari Universiti Hofstra melihat kemenangan dan kekalahan dua pasukan ini sebenarnya menjadi pantulan kepada dua rejim berkenaan dan tidak terhad kepada pemain di atas padang. Beliau berkata, “Rejim-rejim totalitarian melihat acara-acara sukan dengan cara berbeza. Semuanya mesti di bawah perlindungan kerajaan dan ini turut berlaku kepada sukan.” Pugliesse turut menambah, “Sukan tidak akan bebas dari politik. Kita ada satu fantasi bersifat idealistik di mana ia mesti seronok kedua-duanya dapat dipisahkan tetapi ia tidak akan berlaku.”

Bagi Sindelar pula, lelaki yang digelar Mozart dalam pasukan Austria atau Der Papierene (Lelaki Kertas) mati akibat keracunan karbon monoksida di apartmen bersama teman wanitanya, Camilla Castagnola. Terdapat pelbagai teori yang menyatakan punca kematiannya. Punca rasmi kematian ialah akibat kemalangan berikutan kerosakan pada serobong asap. Bagaimanapun, menurut keterangan Egon Ulbrich, seorang teman rapat Sindelar dalam satu dokumentari BBC bertajuk Fascism and Football mendedahkan, pegawai berkenaan dirasuah untuk merekodkan kematiannya sebagai satu kemalangan. Ini kerana menurut undang-undang rejim, individu yang dibunuh atau membunuh diri tidak seharusnya diberikan penghormatan penguburan. Ini menimbulkan spekulasi Sindelar sebenarnya dibunuh polis rahsia Jerman atau Gestapo kerana menentang pengilhakan Ausria kepada Jerman. Gestapo dikatakan turut menyimpan fail berkenaan beliau dan meletakkan kedai kopinya di bawah pemerhatian mereka.

SUMBER

Niller, Eric. (2018). History.com. Nazi Germany Forced Austrians to Play For Them—And Lost. https://www.history.com/news/world-cup-nazi-germany-forced-austrian-players-lost

Previous articleJati Diri Melayu Adalah Jawi
Next articleSains Disebalik Mobile Suit Gundam
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE