Pasargadae merupakan antara penempatan tertua empayar Achaemenid, sebahagian dari empayar Parsi. Kota ini diasaskan oleh Cyrus The Great, maharaja pertama empayar Achaemenid. Taman-taman dan kawasan nan hijau, sejauh mata memandang memainkan peranan penting dalam sejarah dan kebudayaan Iran. Kesemua elemen tersebut disatukan dalam penstrukturan Pasargadae, kota yang menghimpunkan beberapa buah taman yang luas dan masih boleh dilihat tinggalannya sehingga hari ini (Mahmoudi Farahani et al., 2016).

Kota ini sangat strategik dan bertuah kerana terletak betul-betul di pertengahan tanah lapang yang subur dan dikelilingi bukit-bukau dan gunung-ganang pula sekitarnya. Jika merujuk kepada peta moden, Pasargadae bertempat di daratan tanah tinggi Selatan Iran. Dari pandangan udara, Pasargadae berbentuk segi empat tepat-lebar 10-12km dan panjang pula dianggarkan sepanjang 25km. Kawasan utama kota ini mempunyai Makam Cyrus,  Tall-e Takht, istana kediaman, dewan umum dan taman-taman yang indah.

Pandangan Udara Sebahagian Kawasan Pasargadae (Wikimedia)

Jika kita lihat rajah di atas, ada satu bahagian yang agak terasing dari kelompok kawasan utama tersebut, iaitu Tall-e Takht. Apa itu Tall-e Takht? Tall-e Takht yang bermaksud “bukit takhta”, merupakan sebuah kubu kota dan monumen tertua yang dijumpai di tapak kota tersebut. Kubu ini terletak di salah satu bukit-bukau yang ada di lembah tersebut dan ya, sering kali terlepas pandang oleh para pengunjung.

Menurut ahli geografi Rom, Strabo of Amasia, Istana Pasargadae dibina di atas tapak terbunVhnya pemimpin kerajaan Medes, iaitu Astyages dan Cyrus The Great merupakan individu yang bertangjungjawab terhadap peristiwa ini, pada 550 Sebelum Masihi. Pertempuran ini memang benar terjadi dan ada dicatatkan dalam Nabonidus Chronicle.

Namun, mengenai peristiwa pembVnuhan tersebut, kemungkinan terdapat kesalahan konteks yang timbul. Maka, untuk meyakini bahawa peristiwa pembVnuhan tersebut benar-benar berlaku, itu terpulang kepada para pembaca. Sekiranya, Cyrus tidak membina kota ini untuk meraikan kemenangan perangnya, maka, apakah kemungkinan yang ada mengenai tujuan pembinaan Pasargadae?

Dalam pembinaan kota ini, Cyrus ada juga mengambil ilham dari elemen budaya luar. Misalnya, arca dari Istana Assyria dijadikan sebagai rujukan atau model untuk pembuatan arca di kota ini. Tukang batu pula diupah dari Ionia, Yunani kerana pada ketika itu masyarakat tersebut terkenal dengan kemahiran dan kesenian pertukangan.

Kota Suci Empayar Parsi

Kota Pasargadae dijadikan sebagai bumi pertabalan maharaja dan pelbagai lagi aktiviti keagamaan. Hal ini demikian menurut  pendapat Sir K. Porter, “Pasargadae berkemungkinan merupakan sebuah kota suci berbanding fungsinya sebagai kawasan penempatan maharaja”.

Menurut Rollins pula, wujudnya upacara dan perayaan keagamaan dalam proses pertabalan maharaja di Pasargadae. Upacara ini dilaksanakan oleh para paderi Parsi. Kota ini memiliki sebuah kuil (api), di mana pertabalan ini berlangsung.

Putera yang bakal ditabal, akan memakai jubah sama seperti yang pernah di pakai oleh Cyrus The Great semasa pertabalannya dahulu. Seterusnya, maharaja baru ini akan memakan buah-buah ara yang kering, mengunyah daun-daun dari pokok turpentin dan minum minuman campuran susu dan cuka.

Pasargadae ini juga dikenali kerana mempunyai banyaknya taman-taman yang luas lagikan indah. Perkara ini disahkan oleh ahli Tapak Warisan Dunia UNESCO Iran yang mendapati, terdapat 9 buah taman yang berjaya dikenalpasti di Pasargadae. Antaranya ialah Taman Eram yang juga digelar sebagai ‘Garden of Eden’.  Taman-taman tersebut dikatakan kepunyaan golongan elit masyarakat Parsi.

Dalam bahasa Parsi, taman-taman ini disebut sebagai pardis, juga bermaksud syurga. Selain itu, terdapat juga nama lainyang semaksud dengannya, iaitu Bagh. Sebagai contoh, nama Baghdad. Nama ini merupakan gabungan dua suku kata yang bermaksud “Taman Keadilan”-Bagh ialah taman manakala Dad ialah keadilan.

Seiring dengan zaman, susun atur , estetik dan kegunaan taman ini, turut berubah-ubah. Pasargadae kekal menjadi milik empayar Achaemenid hingga ke penghujung hayat empayar ini.  Apabila Alexander The Great menakluk sebahagian kawasan empayar Parsi pada 334 S.M, beliau telah membawa pelbagai spesies pokok dan tumbuh-tumbuhan baru ke kawasan taklukannya (Bowe, 2004). Semasa pemerintahan Empayar Sasanid pula, sekitar abad ke-3 hingga 7, agama Majusi sangatlah dominan. Oleh sebab itu, pokok buah-buahan dan pengaliran air memainkan peranan penting dalam hidupan beragama tersebut.

Setelah ditakluk oleh Arab pula, konsep binaan taman dalam tamadun Parsi seperti Chahar Bagh iaitu empat taman, masih dikekalkan dan digunakan bersama dengan konsep syurga seperti yang digambarkan dalam al-Quran sebagai panduan melandskap bumi Parsi pada ketika itu. Mengenai konsep Chahar Bagh, ianya terbahagi kepada empat taman, merujuk kepada empat elemen penting iaitu bumi, langit, air dan Tuhan, yang saling melengkapi dan diperhalusi dalam seni bina tamadun Parsi.

Seterusnya, giliran Mongol pula yang menawan Pasargadae pada abad ke-13. Mereka juga telah membawa segala jenis perhiasan dan spesies tumbuhan bunga mereka ke kota tersebut untuk menghiasi taman-taman yang sedia ada. Akhir sekali, semasa abad ke-17 dan 18 iaitu semasa dinasti Safavid berkuasa, sebuah istana telah didirikan sebagai bahagian tambahan pada taman-taman yang ada dan menjadi antara elemen penting yang melengkapkan keserian taman-taman Parsi tersebut.

Walaupun pemimpin bersilih ganti, dari berlainan latar belakang kepimpinan dan kebudayaan, mereka seakan-akan terikat dengan ‘sumpahan’ atau ideologi yang sama iaitu memelihara dan menambahbaik taman-taman tersebut dengan sepenuh jiwa dan kepakaran mereka. Persoalannya, apakah faktor yang menyatukan visi mereka terhadap kota Pasargadae?

Pengaruh Seni Bina

Sentuhan kesenian yang dipaparkan oleh taman-taman Parsi ini telah dijadikan sebagai penanda aras bagi sesetengah taman antarabangsa. Pengaruh dari kesenian taman-taman tamadun Parsi ini boleh dilihat kesannya pada Alhambra di Sepanyol dan Taj Mahal di India. Selain itu, pengaruh keseniaan ini juga telah dikesan pada Longwood Gardens di Kennett Square, Pennsylvania. Antara aspek yang dikenal pasti ialah konsep Chahar Bagh dan saliran air yang membentuk rekaan-rekaan taman di Longwood Gardens.

Makam Siapa?

Merupakan suatu kebiasaan bagi masyarakat Iran Purba atau Parsi, tidak membina makam untuk mayat-mayat mereka. Namun begitu, makam mula dibina selepas adanya pengaruh kebudayaan dari Chaldea, Assyria dan Mesir. Masyarakat tersebut sangat aktif dan membudayakan pembinaan makam untuk raja-raja mereka. Perkara ini boleh dibuktikan dengan kewujudan makam Cyrus The Great, yang dibina di Pasargadae pada abad ke-6 Sebelum Masihi.

Menurut Stronach (2000), makam tersebut dibina dari batu-batu kapur yang di ambil dari Kuari Sivand, 30km dari Pasargadae. Makam ini berketinggian 11m dan anggaran ukuran tapaknya pula ialah 13.35m x 12.30m. Makam tersebut siap dibina oleh anaknya, Cambyses II. Segala barang peninggalan Cyrus telah dipindahkan dari Ectabana ke Pasargadae, itupun 10 tahun selepas Cyrus meninggal dunia (Sami, 1959).

Sejarawan Parsi lewat abad ke-13, Hafiz-e Abru mendakwa, makam tersebut milik bonda Nabi Sulaiman AS. Sejauh manakah kebenaran ini? Dakwaan beliau ini diperkukuh dengan elemen dan reka bentuk yang melengkapi makam tersebut:

1) Batu-batu kapur di ambil dari kuari yang jaraknya 30km dari makam tersebut.

2) Batu-batu ini tersusun cantik dan rapi.

Maka, Abru berpendapat, mustahil bagi manusia untuk melakukannya dan mendakwa bahawa jin-jin suruhan Nabi Sulaiman AS yang membina makam tersebut. Pendapat ini ada rasionalnya, kerana sebelum Mongol menyerang kota tersebut pada abad ke-13, orang Arab/Islam terlebih dahulu menawan kota terletaknya makam ini. Pengaruh ajaran Islam, ada mempengaruhi pendapat beliau. Lagipun masa zaman orang Arab/Islam memerintah, terdapat seorang wanita yang menjaga kawasan makam tersebut. Menurut kepercayaan masyarakat ketika itu, hanya golongan hawa sahaja yang boleh melawat makam tersebut.

Jika kita lihat pada gambar tersebut, seakan-akan ada binaan rumah kecil di atas makam tersebut. Menurut Sir K. Porter, dulunya, ruangan yang terbuka itu, terdapat sebuah pintu kayu. Padanya terdapat inskripsi dalam tulisan Arab yang tertulis “Mash-had-i-Suleman”, bermaksud makamnya Sulaiman.

Namun begitu, masyarakat di sana menggelarkan makam ini dengan nama “Mash-had-i-Mader-i-Suleman”, makamnya bonda Sulaiman, setelah seorang khalifah bernama Ali, menanam mayat bondanya di kawasan makam tersebut. Sampai laa ni terpahat nama panggilan tersebut.

Berdasarkan dakwaan inilah, elemen-elemen Islam mula diserap masuk terhadap persekitaran makam tersebut. Sebuah masjid telah dibina disekitarnya dan asas binaan masjid ini telah diambil dari tinggalan istana purba dan mihrab telah diukir pada makam tersebut. Namun, semasa intervensi restorasi dijalankan pada 1970-an, segala tinggalan masjid ini telah dipindahkan dan serpihan-serpihan purba yang ada telah ditempatkan semula ke kawasan yang berdekatan dengan lokasi asalnya. (Stronach, 2000).

Walau bagaimanapun, dakwaan ini boleh disanggah. Menurut Sir K.Porter, terdapat 2 plat inskripsi cuneiform , yang berupaya mematahkan dakwaan tersebut. Tambahan, plat-plat tersebut, sezaman dengan Alexander The Great. Inskripsi ini disalin oleh Strabo dan Plutarch, yang kedua-duanya menyampaikan mesej yang sama:

“Wahai (sekalian) manusia! Aku (ialah) Cyrus, anakanda Cambyses, pengasas Empayar Parsi dan Maharaja (Pemilik) Asia; maka, cemburuilah aku (dan) bukannya makam ini”

Daripada penyataan ini, dapat disimpulkan bahawa kota ini, Pasargadae  dibina oleh Cyrus dan bukannya Nabi Sulaiman AS. Sekaligus, menolak dakwaan yang dikemuka pada abad ke-13 tersebut dan makam ini (sememangnya) milik Cyrus The Great.

Kronologi mudah, Cyrus asaskan Pasargadae dan empayar Achaemenid terus memerintah kawasan ini sehingga ditakluk oleh Alexander The Great. Jadinya, sepanjang tempoh tersebut, tidak berlakunya sebarang interaksi antara dua tamadun ini dengan Nabi Sulaiman AS.

Wallahu a’lam.

RUJUKAN:

Fallahi, E., Fallahi, P., Mahdavi, S. (2020). Ancient Urban Gardens of Persia: Concept, History, and Influence on Other World Gardens. HortTechnology, 30(1), 6-12.

Kiash, K. (1889). Ancient Persian Sculptures: Or The Monuments, Buildings, Bas-Reliefs, Rock Inscriptions. Bombay.

Livius. (2020, November 29). Pasargadae. Retrieved  from https://www.ancient.eu/Pasargadae/

Maryam Rafiee Fanood & Fatemeh Mehdizadeh Saradj (2013) Learning from the Past and Planning for the Future: Conditions and Proposals for Stone Conservation of the Mausoleum of Cyrus the Great in the World Heritage Site of Pasargadae, International Journal of Architectural Heritage, 7:4, 434-460.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pena, wadah intelek agama, bangsa dan watan.

Comments are closed.