Saya mengenali Pak Chot ketika terlibat dalam projek bantuan kepada bekas tentera pasca banjir 2018 di Sg. Dua, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Memang daripada rupa beliau, kita boleh meneka yang beliau adalah bekas anggota. Tapi, dek rupa yang kelihatan garang itu, tak berani pula sesiapa nak bertanya lebih-lebih, sehinggalah beliau memulakannya dulu. Kedatangan beliau adalah bersama-sama sekumpulan lagi rakan-rakan beliau, yang juga merupakan veteran.

Mereka tidak dijemput, sebab itupun sebenarnya bukan majlis apapun – sekadar gotong-royong membantu proses membersihkan rumah yang terlibat banjir itu sebelum sebarang aktiviti lain dijalankan. Pak Chot dan rakan-rakan pun datang secara kebetulan, bila mereka terlihat trak tentera di situ.

Dan, nyata, semangat setiakawan dan persaudaraan di dalam pasukan ini, hanya difahami oleh mereka yang faham semata. Walau datang secara tak sengaja, dan tak mengenali sesiapa pun, kumpulan ini tanpa banyak cakap, terus membantu. Ketika itulah kisahnya saya cungkil, dan ingin saya kongsikan.

“Saya, 934032 Mansor B Mat, adalah anak jati Sg. Dua ini, dilahirkan di sini pada 24 Januari 1958. Saya bersekolah setakat darjah 6, dan selepas itu, saya membantu keluarga melakukan kerja-kerja kampung, sampailah saya mencecah umur 18 tahun. Dengan kelulusan yang saya ada tu, apa sajalah pekerjaan yang boleh saya mohon. Akhirnya, saya memutuskan untuk memohon memasuki pasukan Tentera.

Selepas lulus semua ujian saringan, saya dihantar menjalani latihan asas ketenteraan di PULADA (Pusat Latihan Tentera Darat), Ulu Tiram, Johor, pada tahun 1976. maka, bermulalah hidup saya di dalam dunia ketenteraan ini. Selepas tamat latihan asas, saya ditugaskan ke batalion, dan saya ditempatkan di dalam pasukan 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), yang ketika itu belum ditukar tauliah kepada pasukan Mekanis.

Ianya adalah permulaan baru bagi hidup saya, yang meletakkan saya ke dalam satu dunia yang tak pernah saya terfikir. Daripada sau segi, ianya tidaklah berbeza sangat dengan kehidupan saya semasa di kampung dulu – banyak saja kerja-kerja berat yang perlu saya lakukan. Sebagai askar baru ni, fitiq merupakan rutin harian kami. Menebas rumput, cabut rumput, cuci longkang – itu dah jadi lumrah.

Namun, daripada satu sudut lain pula, ia menghidangkan cabaran baru buat saya. Membersihkan senjata, menembak, operasi – itu adalah perkara-perkara baru yang perlu saya sebatikan dengan diri saya. Zaman itu memang zaman yang mencabar. Ancaman komunis wujud di mana-mana, terutama bagi anggota pasukan keselamatan. Segala yang dipelajari di pusat latihan dulu, rupanya hanyalah sebanyak hujung jari. Selebihnya, adalah ilmu yang perlu dikutip di medan, jika kami mahu terus selamat.

Selepas ditugaskan ke pasukan, saya dibawa bersama-sama mereka untuk jadual tugasan di Sarawak selama setahun. Tak pernah terfikir oleh saya, dapat melihat bumi asing di luar tempat asal saya, meski ia masih dalam sempadan negara yang sama. Genap masanya, kami pun kembali ke bumi semenanjung. Dan ketika itulah, hidup saya melalui kegetiran yang merubah segalanya.

Daoyai Musnah

Demi mengekang ancaman komunis yang semakin meruncing, pasukan Tentera Darat Malaysia telah melancarkan gerakan untuk memburu musuh habis-habisan melalui   beberapa siri operasi “cari dan musnah”yang banyak tertumpu di di kawasan sempadan Malaysia – Thailand dan juga di Sarawak, di mana musuh hadir sebagai PARAKU (Parti Komunis Kalimantan Utara). Di Semenanjung, operasi-operasi ini  diperintah kawal dan diselaraskan oleh Markas Divisyen Kedua Infantri (2 Divisyen), yang bertanggungjawab terhadap kawalan  keselamatan ke atas  negeri-negeri Pahang, Perak, Kelantan, Selangor dan Kedah.

Antara siri operasi terbesar dijalankan ketika itu adalah Ops GONZALES yang banyak tertumpu di Pahang dan Perak. Menyedari mereka diburu, musuh bertindak lebih agresif dengan  menggunakan taktik serang dan lari. Kawasan sempadan Malaysia-Thailand menjadi laluan utama di mana mereka masuk dan menyerang  pasukan keselamatan, sebelum menggunakan laluan tersebut kembali untuk melarikan diri. Taktik sebegini menjadi berkesan buat mereka kerana pasukan keselamatan Malaysia tidak mempunyai kuasa mengejar (hot pursuit) melintasi sempadan, lantas  membantutkan kejayaan operasi siri Gonzales.

Satu tindakan perlu diambil. Maka, rundingan diadakan antara kerjaan malaysia dan Thailand bagi membolehkan  pasukan keselamatan Malaysia mengejar unit-unit penggempur Parti Komunis Malaya walaupun melepasi sempadan Thailand. Kerajaan Gajah Putih itu akhirnya memberikan persetujuan, dengan syarat, pengejaran itu dihadkan ke bandar Sadao, Thailand. Pada tahun 1976, lahirlah Op  Daoyai Musnah yang melibatkan  kawasan operasi 2 Divisyen Infantri. Komunis ketika itu mula geabah kerana kali ini, mereka mula dikejar  sehinggalah ke kawasan operasi di wilayah Thailand. Satu lagi jalan bagi mereka melarikan diri mula tergugat.

Bagi tujuan perintah dan kawalan operasi, satu markas hadapan ditubuhkan di Sadao. Ketumbukan pasukan Tentera Darat diletakkan di Thailand sebagai pasukan penyekat  (blocking force). Ini menyebabkan musuh tersepit. Apabila mereka melakukan sabotaj di Malaysia, mereka akan dikejar oleh pasukan keselamatan, dan sebaik masuk kembali ke kawasan sempadan, mereka bertembung pula dengan pasukan penyekat. Bagai binatang tersepit, itu menjadikan mereka terdesak, dan mereka mula mengambil tindakan drastik.

Ramadhan Berdarah

Saya masih ingat, ketka itu Ramadhan tahun 1979. Pasukan saya telah dihantar bagi Op Daoyai Musnah di Sadao. Walaupun dalam keadaan berpuasa, saya dan rakan-rakan tidak menghadapi masalah menjalankan tugas kami. Maklumlah, tenaga masih muda dan kederat masih jenuh. Tugas yang diberikan kepada kami adalah untuk menjalankan pembersihan jerangkap samar di sebuah kampung yang sudah pun meragut nyawa dan anggota badan beberapa penduduk kampung.

Pasukan jurutera akan masuk dengan perlatan mereka, menanda tempat yang terdapat jerangkap samar, dan kami pula akan menyusul untuk memusnahkannya. Saya masih ingat, ketika itu hari keempat berpuasa. Kami memulakan tugas pada awal pagi, memandangkan kami tidak perlu bersarapan. Sebelum itu, kami telah mendapat tahu bahawa pasukan Jurutera telah menjumpai dua butir jerangkap – satu di hentian bas, dan satu lagi di tanggan surau di kampung itu. Geram juga saya. Begitulah zalimnya komunis tu – jangankan pasukan keselamatan, malah orang kampung pun menjadi mangsa.

Kami diarahkan bergerak ke sebuah kebun getah oleh Ketua Platun kami – Tuan Syed Osman. Bersama-sama kami adalah beberapa anggota Thailand. Walaupun sudah diberitahu oleh pasukan Jurutera bahawa kawasan itu belum dibersihkan, entah naluri mana yang mendesak Syed Osman untuk tetap menjengah kawasan itu. Tahir ditugaskan untuk mengesan jerangkap menggunakan pengesan logam.

Dengan telinga ditekup fon kepala, dia melayang-layangkan alat itu di atas tanah. Saya pula mengikutnya daripada belakang. Tak jauh pun kami berjalan – adalah kia-kira 100 meter, dan tiba-tiba terdengar bunyi alat itu. Kuat bunyinya, sampai saya di belakangnya pun dapat mendengarnya dengan jelas. Tahir berpusing ke arah saya. Dia menyuruh saya melakukan prodding. Saya pun mengeluarkan pisau. Belum sempat saya mencucuk pisau itu ke tanah, tiba-tiba segalanya meletup.

Dalam masa beberapa saat itu, saya tidak perasan pun sebenarnya apa yang berlaku. Tau-tau saja saya melambung tercampak dari tempat saya berdiri. Segalanya dipenuhi asap, dan telinga saya berdengung akibat letupan kuat yang berlaku betul-betul di cuping telinga saya itu. Mamai saya dibuatnya. Saya nampak apa yang ada di sekeliling saya, tapi otak saya seakan tak dapat mentafsir apa yang terjadi.

Bila asap itu surut sedikit, barulah saya nampak Tahir melolong meminta tolong, memegang kakinya yang sudah putus separuh. Tapi, pada ketika itu, saya seakan kebas. Saya hanya melihat kakinya yang berjurai-jurai dengan tulang putih yang relai disambung dengan cebisan daging merah itu, seolah-olah ianya adalah satu pandangan biasa. Dan ketika itu, barulah saya terasa sengal, dan tergerak untuk memeriksa tubuh sendiri.

Separuh badan saya di sebelah kanan dipenuhi pelbagai benda- serpihan kaca, serbuk besi, paku dan entah apa lagi. Kalaulah tak disebabkan pouches yang saya pakai, saya kira, pasti perut saya sudah terburai dibuatnya. Habis pecah kelopak senjata simpanan saya. Malah, laras senjata yang saya pegang pun sampai bengkok jadinya. Di tempat letupan itu berlaku tadi, kelihatan sudah terbentuk kawah yang agak dalam dan berwarna hitam, menunjukkan kuatnya letupan itu. Di belakang, saya nampak Tuan Syed Osman memegang sebelah matanya yang telah terkeluar bijinya. Tangannya dipenuhi darah berjejer.

Melihat apa yang berlaku, anggota lain segera menghubungi markas meminta bantuan. Tapi, lambat lagi nampaknya Nuri akan sampai untuk membawa kami keluar. Dalam keadaan sebegitu, rasanya sudah batal puaa kami masing-masing. Dek cedera yang dialami, tekak terasa perit dan berpasir. Bagi mengelakkan kecederaan lebih parah, rakan-rakan kami hanya memberikan sedikit demi sedikit air, terutamanya kepada Tahir. Sambil itu, mereka meninjau keadaan seterusnya kawasan itu. Tidak jauh dari situ, terdapat sebatang sungai.

Entah apalah agaknya takdir pada hari itu. Melihat sebatang buluh yang melentur di tengah sungai itu, Kpl. Rani dihinggap rasa ingin tahu yang mencanak-canak. Sanggup dia meredah air sungai itu ke arah pokok buluh itu. Sebaik diangkat buluh yang melentur itu, satu lagi letupan begema. Kali ini, ianya lebih parah. Kpl. Rani terkorban serta-merta akibat serpihan yang menembusi kepalanya daripada arah hadapan. Sungguh, hari itu menyaksikan korban pertama bagi pihak 19 RAMD dalam peperangan melawan insurgensi – samada dalam bentuk kecederaan parah atau kematian.

Menunggu sejak pukul 0830, menjelang 1300 (1.00 tengahari) barulah pesawat sampai. Kesemua kami diterbangkan keluar. Saya dihantar ke Hospital Sg. Petani, manakala yang lain-lain dihantar ke Hospital Pulau Pinang. Sebaik sampai, kelihatan sudah ada MP (Polis Tentera) mengawal hospital itu, kerana ramainya anggota pasukan keselamatan yang menjadi mangsa jerangkap samar dipasang oleh komunis. Nasib baik jugalah asaya dihantar ke situ, dan bukan ke Hospital Pulau Pinang. Kalau tidak, entah apalah nasib saya.

Skandal

Ketika itu, agak kecoh sebenarnya apabila anggota-anggota yang tercedera, yang dihantar ke Hospital Pulau Pinang, pasti akan berakhir dengan dipotong anggota badan mereka, walaupun kecederaannya tidak serius sangat. Memandangkan ia adalah rawatan yang dijalankan oleh doktor, tak adalah sesiapa yang berkata apa-apa, meskipun ia agak memusykilkan. Selepas kelur daripada hospital, saya mendapat tahu, ramai skot saya yang bertugas di unit lain, termasuk di dalam pasukan Komando, yang dipotong anggota badannya.

Akhirnya, ia telah mencetuskan siasatan daipada pihak KEMENTAH, dan didapati, rupa-rupanya, ada doktor yang bertugas di hospital itu, adalah penganut tegar ideologi komunisme. Dia mungkin tidak mengangkat senjata, tapi dia berjuang dengan caranya sendiri. Dengan memotong anggota tubuh anggota keselamatan, dia dapat melumpuhkan pasukan kita secara halus.

Maklumat tentang kecederaan anggota kemudian disampaikannya pula kepada komunis yang berada di lapangan, memberikan idea kepada mereka untuk mengubahsuai rekabentuk dan cara kerja jerangkap samar yang mereka pasang. Agak lama jugalah ia berlangsung – sehingga sekitar tahun 80-an, sebelum doktor itu dikenalpasti. Sungguh saya benasib baik kereka tidak dihantar ke sana. Kalau tidak, pasti sampai ke hari ini, separuh badan saya sudah kudung.

Selepas Dentuman

Agak lama juga saya di hospital Sg. Petani – lebih kurang 3 bulan, sebelum saya dihantar pula ke Rumah Sakit Angkatan Tentera di Kem Sg. Layar, Sg. Petani bagi menyambung rawatan selama sebulan lebih. Setahun lebih jugalah saya terpaksa berubat dan berusaha. Setelah saya agak sihat, saya kembali ke unit, tapi kemudian dipindahkan ke KEMENTAH, di bahagian Bilik Gerakan.

Ketika itu, timbul rasa tidak enak di hati saya – terasa seolah saya ini sudah tak berguna. Daripada berada di medan tempur, saya kini hanya duduk di dalam sebuah bilik, menandakan lokasi dan tempat di atas peta yang terbentang – itu saja. Tidak lama saya di sana. 2 tahun kemudian, saya dipindahkan pula ke unit Wataniah – Rejimen 509, sehinggalah saya tamat perkhidmatan.

Kejadian itu berlaku ketika saya masih di awal perkhidmatan – baru 3 tahun saya menjejakkan kaki ke dunia Tentera ini. Dengan kecederaan yang saya alami, memang agak sukar saya meneruskan hidup berseorangan. Tapi, takdir Tuhan telah menetapkan, saya bertemu jodoh dengan isteri saya, Mizun Bt Said.

Bersama, kami dikurniakan 8 orang anak – 5 lelaki dan 3 perempuan. Isteri sayalah yang menjadi tonggak kekuatan saya, dan dia tidak pernah mengeluh dengan keadaan saya dan menerima saya seadanya walaupun saya sendiri terasa dipinggirkan pasukan. Saya hanya menerima pampasan RM300.00. Dalam keadaan saya menanggung kesan akibat jerangkap samar itu, tidak ada sesiapapun datang melawat saya atau bertanya khabar. Saya cuma mampu meneruskan perubatan secara kampung.

Ternyata jerangkap yang dipasang itu bukanlah berteknologi tinggi sangat pun. Ianya cuma terdiri daripada sebuah tin yang dipadatkan dengan segala serbuk kaca, serbuk lampu kalimatang (fluoresen), paku dan serpihan besi, yang disambungkan dengan bekalan bateri yang dibalut tebal menggunakan plastik untuk menjadikannya kalis air. Kedua-duanya disambung menggunakan wayar, dan dicetuskan oleh pemijak – sebaik suisnya dipijak, ia menghasilkan letupan yang memusnahkan.

Seumur hidup saya menanggung akibatnya. Serpihan-serpihan itu masih ada yang tertanam di dalam badan saya kerana ianya terlampau kecil untuk dikeluarkan. Bersama isteri, saya cuba berubat secara kampung. Banyak juga yang dikeluarkan – dah macam santau rupanya. Namun, kesannya masih terasa sampai sekarang. Kalau tiba musim hujan, tangan saya sebelah kanan terasa kebas, dan kaki saya saya – jangan ceritalah. Ada masanya ia tersentak-sentak sendiri. Melalui kecederaan yang diperolehi oleh anggota seperti saya, doktor yang telah menimbulkan skandal di hospital itu telah memberikan cetusan idea kepada komrad-komradnya yang masih berada di lapangan. Pelbagai jerangkap samar baru dicipta – antaranya jenis rantaian yang mana bila suisnya dipijak, orang yang berada tidak jauh dari situ pula yang menjadi mangsa”.

Begitulah yang diceritakan oleh Pak Chot. Seperti biasa, beliau ada menyebut tentang betapa terasa dirinya tidak dihargai. Bekas anggota sepertinya, selepas perkhidmatan, pandai-pandalah membawa diri danmeneruskan hidup. Mereka tidak menamatkan perkhidmatan dengan pangkat yang tinggi. Pak Chot sendiri hanya tamat perkhidmatan dengan pangkat Lans Koperal pada 10/01/1997, yang menyebabkan pencen yang diperolehinya tidak seberapa.

Saya tanyakan, apakah yang diinginkan olehnya. Kata Pak Chot, duit pampasan yang diberi, tidak akan mencukupi – walau sebanyak mana. Yang diharapkan adalah sedikit jaminan yang membolehkan mereka meneruskan hidup dengan sedikit selesa. Tapi, dalam merungut pun, tetap Pak Chot terlepas sebut, bahawa dia tetap meneruskan perkhidmatan sampai tamat 21 tahun bukan saja kerana itu satu-satunya mata pencariannya, tapi juga kerana Ikrar Ksatria yang dilafazkan demi menumpahkan bakti buat negara tercinta. Panggillah bila-bila – orang sepertinya tetap tak akan terfikir 2 kali untuk kembali berkhidmat.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Comments are closed.