Parti Konservatif Menang Pilihanraya Greece

218

Dalam pilihanraya di Greece (Yunani) yang menjadi tumpuan dunia, parti New Democracy (ND) yang berhaluan “centre-right” (konservatif) menewaskan Syriza yang berhaluan “left-populist”. 

Pilihanraya kali ni ialah pilihanraya Greece yang pertama selepas negara itu keluar daripada krisis hutang kerajaan yang menjerat ia dari tahun 2010 hingga 2018. Syriza naik pada tahun 2015, menewaskan ND yang merupakan kerajaan ketika itu. Tapi hari ini, Syriza pula tewas kepada ND, ND naik balik. 

Tahun 2015, ND kalah teruk, dari 129 kerusi turun kepada 76, Syriza naik dari 71 kepada 149. Tapi kali ni, Syriza pula kalah teruk, dari 145 merosot ke 86. ND pulak naik dari 75 ke 158 (jumlah kerusi parlimen Greece ialah 300).

Apa yang menarik sangat pasal pilihanraya Greece ni? Greece ialah tempat lahir demokrasi. Perkataan demokrasi itu sendiri berasal dari istilah Bahasa Greek iaitu “demos” (rakyat) dan “kratos” (kuasa). Orang Greece di kota Athens lah yang mencipta sistem demokrasi pada 2,500 tahun yang lalu, sebelum ia dipopularkan dan disebarkan ke seluruh dunia dalam 2 abad yang lepas.

Tapi yang lebih penting, krisis Greece 2010-2018 lah yang membuka mata dunia tentang kelemahan Kesatuan Eropah (EU). Dulu cerita pasal EU orang penuh dengan kagum. Wah pakai satu matawang. Wah dari satu negara ke negara lain tak perlu pasport. Heaven. Advanced. 

Tapi pengalaman Greece membuktikan semua tu indah khabar dari rupa. Ada hikmah juga UK tak pakai Euro. Krisis hutang 2010-2018 menyebabkan Greece hampir-hampir keluar daripada EU. Sebelum Brexit, orang cerita pasal kemungkinan berlakunya “Grexit”. 

Krisis hutang Greece juga menyebabkan “hutang negara” menjadi bualan hangat. Orang anggap kerajaan boleh jadi bankrap kalau berhutang banyak sangat macam Greece. Tapi sebenarnya, negara tak boleh bankrap atau muflis macam individu. Negara hanya mengisytiharkan “default” ke atas hutang.

Kalau individu muflis, aset peribadi macam kereta dan rumah akan disita dan dilelong, tapi tu tak berlaku pada negara. Yang kita nampak negara jual aset kepada negara pemiutang tu sebenarnya sebahagian daripada perjanjian untuk mendapatkan pinjaman bagi mengelakkan negara mengisytihar default.

Disebabkan Greece memakai matawang Euro, Greece tiada autonomi ke atas dasar kewangan sendiri. Ia tak dapat mempengaruhi nilai matawang melalui kadar bunga sebab kadar bunga ditentukan oleh Bank Pusat Eropah (ECB) yang berpusat di Frankfurt.

Kalau Greece tak pakai Euro, ia mempunyai fleksibiliti untuk “devalue” matawangnya, supaya hutangnya lebih murah (debt monetization) dan juga untuk merangsang ekonomi (nilai matawang rendah bagus untuk eksport) bagi menjana pendapatan membiayai hutang. 

Contoh macam Jepun, walaupun nisbah hutang dan GDP (debt-to-GDP ratio) cecah 200% Jepun tetap rileks. Sebab Jepun ada autonomi ke atas dasar kewangan. Tapi Greece kena ikut had hutang yang ditetapkan oleh EU iaitu 60% daripada nilai GDP.

Apabila nisbah antara hutang dan GDP Greece mencecah 120% pada awal 2010, pasaran bon jadi panik, dan penarafan kredit bon kerajaan Greece diturunkan ke level “junk bond”. Kos pinjaman kerajaan Greece meningkat secara mendadak dan kerajaan terpaksa meminjam dengan EU dan IMF akibat ketandusan dana. 

Tapi masalah meminjam dengan EU dan IMF ni ialah kerajaan terpaksa melaksanakan dasar “austerity” (jimat cermat) sebagai prasyarat pinjaman diluluskan. Kerajaan kena menunjukkan “disiplin” kewangan dengan mengurangkan defisit belanjawan dan hutang kerajaan ke tahap yang ditetapkan oleh EU. Jadi kerajaan Greece terpaksa memotong perbelanjaan awam. Peruntukan pendidikan hingga pencen semua dikurangkan, subsidi ditarik. 

Pakej pinjaman EU-IMF juga disertakan syarat penswastaan syarikat milik negara. Walaupun EU dan IMF justify permintaan semua tu sebagai “best practice” dalam teori dan amal ekonomi, tapi ia sebenarnya lebih ke arah memajukan kepentingan golongan pemodal (kapitalis).

Indonesia dan Korea Selatan dah pernah kena semasa krisis kewangan 1997-1998. Dalam ekonomi-politik kita panggil pakej lengkap dasar austerity, penswastaan dan pembukaan pasaran ni sebagai “neoliberalisme”. Dan bukan rahsia lagi bahawa EU dan IMF ialah institusi yang promote ideologi neoliberal.

Pelaksanaan dasar neoliberal ni bukan saja menyusahkan hidup rakyat, malah memburukkan lagi keadaan ekonomi Greece. Ekonomi Greece mengucup 25%, angka paling tinggi bagi sesebuah negara Barat sejak kemelesetan dunia pada 1930-an. Kadar pengangguran pun meningkat ke 25%, dan paling kronik di kalangan belia (bawah umur 25) di mana kadar pengangguran mencecah 60%. 

Rakyat menyalurkan kemarahan mereka terhadap kerajaan ND ketika itu. Dalam pilihanraya Januari 2015, rakyat Greece memilih Syriza pimpinan Alexis Tsipras yang berjanji untuk memansuhkan dasar austerity dan memaksa EU dan IMF untuk merunding semula pinjaman.

Apabila Greece perlu bayar balik hutangnya pada pertengahan 2015, Greece tak mampu berbuat demikian dan memerlukan pinjaman baharu, orang menanti-nantikan Tsipras untuk beraksi dan mendapatkan deal yang adil kepada Greece. 

Tapi mungkin sebab tak cukup pengalaman berunding, last-last Tsipras berkompromi dengan tuntutan EU dan IMF supaya kerajaan Greece melaksanakan austerity sekali lagi untuk mendapatkan pinjaman. U-turn maut. Dari hero lawan EU-IMF jadi barua EU-IMF, Tsipras kata nak serah kepada rakyat samada nak terima atau tak dengan mengadakan referendum pada Julai 2015.

Walaupun 61% rakyat Greece menolak deal tersebut, Tsipras tetap meneruskan pinjaman tersebut. Golongan bijak pandai dalam kabinet Syriza seperti Yanis Varoufakis meletak jawatannya sebagai Menteri Kewangan kerana merasa partinya telah mengkhianati amanat rakyat. 

Walaupun Tsipras mengumumkan Greece berjaya keluar daripada krisis pada Ogos 2018, tapi keadaan ekonomi masih tidak menyakinkan. Kadar pengangguran belia turun dari 60% ke 40%, masih tinggi. Setelah “bersabar” dengan Tsipras selama 4 tahun, kali ni pengundi Greece menghukum Syriza dengan menaikkan semula ND. 

ND terang-terang neoliberal, tapi sekurang-kurangnya ND tidak hipokrit seperti Syriza. ND neoliberal zahir dan batin. Syriza berlagak sebagai sosialis-populis, tapi akur kepada neoliberalisme. Yang menariknya, Varoufakis yang meletak jawatan pada 2015 telah menubuhkan parti baharu bernama MeRa25 dan berjaya meraih 10 kerusi dalam pilihanraya kali ini.

Begitulah politik demokrasi di tempat asal usul demokrasi. Parti pemerintah bersilih ganti. Yang dicaci dulu diangkat hari ini. Yang jadi hero semalam dilabel barua (traitor) hari ini. Tapi pi mai pi mai sama juga sebenarnya. “Tuan” sebenar dalam sesebuah demokrasi adalah “oligarchs”, bukan rakyat. 

Tak kira parti mana yang rakyat Greece naikkan, yang paling untung ialah golongan pemodal seperti Fraport yang berjaya menguasai 14 lapangan terbang Greece yang diswastakan menurut perjanjian pinjaman EU-IMF, dan juga bank-bank Jerman yang merai keuntungan berbilion-bilion dari pelaburan dalam bon kerajaan Greece.

Rakyat Greece? Ikat perut dan percaya bahawa itulah jalan penyelesaian terbaik kepada ekonomi mereka.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.