Parlimen Tempat Melahirkan Manusia Bodoh

5,730

Semua sedia maklum peranan parlimen sebagai tempat ahli politik berbahas tentang pelbagai isu semasa termasuk penggubalan undang-undang sesebuah negara. Dan seperti biasa, parlimen juga dianggap ‘sarkas’ berikutan tingkah laku penggubal undang-undang yang mengundang tawa rakyat jelata sama ada dengan memberi jawapan bersifat separuh masak, pertikaman lidah yang kadangkala tidak masuk akal atau aksi mengejut mereka bila memperjuangkan sesebuah isu. Namun, dalam sejarah parlimen dunia, ia juga boleh menjadi tempat yang paling merbahaya dan boleh membawa kepada kematian.

Di Amerika Syarikat, Kongres dan Senat menjadi saksi pelbagai bentuk pergaduhan dan pembunuhan pada abad ke-19. Pada 22 Mei 1856, sudah menjadi kebiasaan bagi senator-senator menguruskan urusan mereka sebelum berangkat pulang selepas sesi Senat berakhir. Tatkala itulah, ahli kongres yang pro-perhambaan Preston Brooks masuk ke dewan dan menuju ke arah Senator Charles Sumner. Ramai terkejut apabila Brooks memukul Sumner beberapa kali dengan tongkatnya hingga senator itu tidak sedarkan diri. Selepas itu, beliau meninggalkan dewan tanpa dihalang oleh sesiapa.

Apa yang anda lihat ini merupakan sekelumit daripada pelbagai insiden berdarah yang menghantui Capitol Hill. Menurut Profesor Joanne B. Freeman dalam bukunya, The Field of Blood: Violence in Congress and the Road to the Civil War, dalam tempoh 30 tahun sebelum berlakunya Perang Saudara, terdapat 70 insiden ganas membabitkan ahli kongres. Jadi, sudah menjadi kebiasaan bagi ahli kongres dan senator pergi ke Capitol Hill dengan senjata yang disembunyikan seperti pistol atau pisau. Malah, ada sesetengah turut menerima hadiah senjata dari pengundi mereka dengan tujuan perlindungan semasa berada di Kongres atau Senat.

Tetapi semua itu tidak mengatasi peristiwa pembunuhan Ahli Kongres Jonathan Cilley dalam satu pertarungan sampai mati dengan seorang lagi Ahli Kongres, William Graves pada tahun 1838. Tahun tersebut menyaksikan persaingan sengit Parti Demokrat dengan Parti Whig dan sesiapa yang menghina ahli kongres mana-mana parti dianggap menghina parti masing-masing.

Justeru bila wujud cabaran berlawan sampai mati, ia bukan sekadar mempertahankan kehormatan diri sendiri tetapi juga kehormatan parti. Ia bermula apabila Cilley, wakil Demokrat dari Maine itu menggelar editor akhbar pro-Whig James Watson Webb sebagai korup. Webb yang berang meminta Graves menghantar suratnya yang mahu tuduhan tersebut ditarik balik tetapi Cilley enggan menerima surat itu kerana tahu dengan reputasi Webb yang gemar menyerang ahli politik.

Bagi rakan-rakan parti Whig, apa yang dilakukan Cilley itu dianggap menghina Graves dan parti mereka. Atas nasihat mereka, Graves mencabar Cilley demi menjaga kedudukannya dalam parti dan cabaran itu diterima beliau atas alasan sama bila dinasihati wakil-wakil Demokrat. Kedua-duanya bersama beberapa orang pengiring mereka bertemu di Price George’s County, Maryland dengan mereka berlawan dengan pistol raifal. Pada dua pusingan pertama, kedua-duanya gagal menepati sasaran berikutan jarak tembakan yang terlalu jauh. Tetapi pada pusingan ketiga, tembakan Graves mengenai arteri femur Cilley dan wakil Demokrat itu mati akibat kehilangan darah yang banyak. Akibat insiden itu, satu undang-undang berkenaan larangan berlawan sampai mati digubal setahun kemudian.

Namun, insiden tersebut tidak berakhir di situ saja. Di peringkat negeri pula, setahun sebelum pembunuhan Cilley, seorang wakil perundangan Kansas menimbulkan kemarahan speaker dewan perundangan Kansas apabila menghinanya semasa sesi debat berlangsung. Akibatnya, speaker tersebut menikam ahli perundangan itu dengan pisau Bowie sampai mati. Menurut Freeman, speaker itu kemudiannya didapati tidak bersalah oleh mahkamah dan sekali lagi dipilih sebagai wakil perundangan. Dan kali kedua, speaker ini sekali lagi bersiap sedia menikam wakil perundangan lawan semasa sesi debat tetapi membatalkan hasratnya itu selepas mendengar bunyi picu pistol ditarik.

Tetapi jika anda menganggap insiden sebegini hanya terhad berlaku di Amerika Syarikat, anda salah. Jika anda memegang jawatan sebagai Speaker Parlimen England pada abad ke-14 hingga abad ke-16, maka menjadi tanggungjawab anda untuk memberitahu Raja/Ratu dan pembesar-pembesar lain ketika itu berkenaan sentimen Parlimen terhadap mereka.

Jika Raja/Ratu dan pembesar-pembesar tidak bersetuju, maka bersedialah berhadapan nasib malang sama ada dipenjarakan atau dihukum bunuh. Dalam tempoh 150 tahun, tujuh speaker yang dipilih dipenjarakan, mati akibat hukuman mati atau mati di medan pertempuran. Speaker Parlimen pertama dalam sejarah England, Sir Peter de la Mare pernah dipenjarakan sementara Thomas More pula mati dihukum bunuh kerana enggan bersumpah mengisytiharkan Raja Henry VIII sebagai ketua gereja.

Namun, semua ini tidak boleh menafikan jenayah keganasan pertama pernah dilakukan di parlimen atau dewan perundangan dalam sejarah: pembunuhan Julius Caesar pada tahun 44 SM. Pembunuhan ini didalangi oleh sekumpulan senator diketuai Brutus yang bimbang dengan kuasa mutlak yang dipegang Caesar dan kesannya terhadap Rom. Pembunuhan diktator Rom ini membawa kepada perang saudara di mana ia bukan saja mengakhiri era republik Rom tetapi juga memulakan era pemerintahan diraja dan pembinaan Empayar Rom menerusi anak saudara Caesar, Augustus.

Pada era moden ini, selalunya parlimen bertukar menjadi sarkas apabila pihak kerajaan dan pembangkang yang tidak bersetuju tentang sesebuah usul dan selalunya berakhir dengan pertikaman lidah. Sekali-sekala, laporan berita akan menyebut pergaduhan fizikal sesama mereka seperti yang berlaku di Taiwan (2001, 2007), Turki (2015, 2017) dan Uganda (2017). Hanya satu kes kematian saja dicatatkan akibat pergaduhan fizikal di Parlimen dan ini berlaku di Turki pada tahun 2001 membabitkan ahli parlimen Fevzi Silhanlioglu, 55.

Allahyarham Silhanlioglu meninggal dunia akibat sakit jantung selepas terlibat dalam pergaduhan dengan anggota-anggota parti pelampau berhaluan kanan Parti Tindakan Nasionalis (MHP). Bedah siasat mendedahkan beliau dipukul beberapa kali di kepala sebelum mati akibat sakit jantung. Ketua pembangkang merangkap ketua Parti True Path, Tansu Ciller menganggap kematian Allahyarham sebagai satu pembunuhan dan mendesak Perdana Menteri Turki ketika itu, Bulent Ecevit meletak jawatan. Walaupun Ecevit merasa kesal dengan apa yang berlaku, beliau enggan tunduk kepada desakan pembangkang dan enggan melepaskan jawatannya.

RUJUKAN:

1. Zaman, Amberin. (2001). Turkish MP dies after brawl in parliament. The Telegraph. https://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/europe/1320631/Turkish-MP-dies-after-brawl-in-parliament.html

2. Little, Becky. (2019). Violence in Congress Before the Civil War: From Canings and Stabbings to Murder. History. https://www.history.com/news/charles-sumner-caning-cilley-duel-congressional-violence

3. Peplow, Emma dan Seaward, Paul. (2019). 9 things you didn’t know about the history of parliament. History Extra. https://www.historyextra.com/period/georgian/facts-history-parliament-house-commons-speaker-mp-expenses-westminster/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.