Parasite Jadi Filem Asing Pertama Menang Oscar

1,466
Filem “Parasite” menang filem terbaik Oscar, menjadi filem Korea pertama dan filem Asia pertama yang dapat kehormatan ini, sekali gus sapu Best Director, Best Original Screenplay dan Best International Feature Film. Den yang berasal dari Gyeongnam (bukan Gangnam) turut menumpang bangga.

Filem ini mendapat sambutan dan menjadi bualan hangat even kat US sebab dia “real”. Bukan sebab pengaruh K-pop (ARMY stop perasan) tapi sebab ia menceritakan realiti masyarakat “late stage capitalism” (nampak jargon?) menerusi plot yang melibatkan keluarga Park yang kaya-raya dan keluarga Kim yang miskin pokai.

Kim sekeluarga (Kim Ki-taek, bininya Chung-sook, anak lelakinya Ki-woo dan anak perempuannya Ki-jung) ialah golongan miskin bandar yang tak ada kerja tetap. Diorang buat kerja macam lipat-lipat kotak pizza, kais pagi makan pagi, hidup macam tak ada halatuju.

Tempat tinggal diorang ialah rumah “semi-basement” (반지하). Bunyi mewah macam semi-D tapi kat Korea ia adalah rumah bajet untuk orang miskin atau student luar negara. Rumah semi-B ni bila hujan je akan banjir. Keadaan rumah pun kotor sebab bila orang mabuk k3ncing tepi jalan airnya akan mengalir masuk ke dalam rumah. Geli kan, tapi itulah kehidupan Kim sekeluarga.

Ada sekali, Ki-woo dapat peluang menjadi tutor kepada anak perempuan pasangan Park Dong-ik dan Park Yeon-kyo yang kaya raya duduk dalam banglo mewah. Ki-woo cuba grab peluang ni mewujudkan peluang pekerjaan kepada keluarganya dengan cara menipu: Ki-jung jadi cikgu seni kepada anak lelaki Park, Ki-taek jadi drebar, Chung-sook jadi pengemas rumah. Tapi diorang buat-buat konon tak kenal antara satu sama lain. Macam mana diorang buat, korang tengok sendiri nanti.

Jadi “parasite” pada tajuk filem secara literal merujuk kepada keluarga Kim yang menjadi penumpang kepada keluarga Park. Dan mula-mula korang akan simpati dengan suami isteri Park, macam diorang ni innocent sangat senang kena tipu. Keluarga Kim pula macam desperate sangat sampai buat pengemas rumah yang asal, Moon-gwang kena pecat.

Tapi ada sekali, keluarga Kim kantoi dengan Moon-gwang dan suaminya Geun-sae yang duduk dekat basement rumah Park. Rupa-rupanya sebelum Kim sekeluarga masuk, suami Moon-gwang dah lama jadi “parasite”. Moon-gwang akan hantar makanan bagi Geun-sae yang hidup dalam basement, dan keadaan Geun-sae pun macam tak berapa betul sudah lama tak rasa cahaya matahari.

Akibat mahu mempertahankan pekerjaan mereka sekarang, keluarga Kim bunuh Moon-gwang. Itu menyebabkan Geun-sae mengamuk dan mengakibatkan tragedi kemat1an Ki-jung dan Dong-ik.

Jalan cerita dia simple, tapi plot twist kaw-kaw. Mula-mula tengok macam cerita komedi, tapi last-last tukar tragedi dan buat kau terfikir siapa sebenarnya “parasite” yang dimaksudkan.

Dan simbolisme dalam filem ini memang power. Cuba perhatikan, babak naik tangga mesti datang dari keluarga Park, kalau keluarga Kim mesti turun tangga. Itu ialah simbolisme orang kaya makin menuju ke atas, orang miskin hanya makin ke bawah. “Kaya makin kaya, miskin makin miskin”. Bunyi macam klise tapi filem ni berjaya mewujudkan gambaran “kaya” dan “miskin” yang umpama syurga dan neraka.

Simbol kedua, bau. Suami isteri Park selalu tutup hidung dengan jari mereka secara tak sengaja bila bersama dengan keluarga Kim, tandanya diorang tak selesa dengan bau yg ada dekat badan Kim sekeluarga. Bau itu mungkin datang dari rumah semi-B yang ventilation tak bagus, atau sebab pakai pencuci baju murah, atau dari interaksi harian macam bau pasar dan bau naik tren. Yang pasti orang kaya tak ada bau macam tu sebab pergi mana-mana kereta hantar, nak keluar peluh pun payah. Baju mungkin pakai sekali buang. Pakai perfume mahal tahan 24 jam, keluar masuk rumah hotel pejabat yang penuh dengan wangian.

Simbolisme dia ialah “kelas” tak boleh dibuat-buat: walaupun keluarga Kim cuba menyamar, tapi akhirnya kantoi juga dengan bau diorang. So tak yah jadi climber sangat, be true to your class. Kalau lahir marhaen hidup macam marhaen, asal kampung jangan malu ngaku kampung. Bukannya lepas jadi kaya tiba-tiba speak London tak nak makan budu.

Dan simbolisme yang paling power sekali ialah rak buku dalam basement rumah Park, tempat tinggal Geun-sae. Semua buku ilmiah. Maksudnya Geun-sae orang yang ada pendidikan. Orang macam dia ni kalau kat Malaysia dah jadi intelektual tubuhkan institut sendiri. Tapi dalam masyarakat late stage capitalism macam Korea Selatan, pendidikan, skill semua tu bukan lagi penjamin kehidupan yang lebih baik.

Itulah realiti yang cuba disampaikan oleh pengarah filem: peluang pekerjaan yang semakin terhad, ketiadaan mobiliti antara kelas (dari miskin nak jadi kaya) seperti yang dijanjikan oleh pendukung kapitalisme (“kau akan berjaya kalau kau berusaha”) membuat orang miskin sampai tikam-menikam (macam keluarga Kim dan Geun-sae dalam cerita ini) semata-mata nak merebut peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh belas kasihan golongan kaya.

Keadaan kat Korea Selatan memang agak kronik sebab struktur ekonomi mereka yang didominasi oleh “chaebol”, conglomerate yang diwujudkan oleh kerajaan untuk mencapai perindustrian dengan cepat, macam Samsung, Hyundai, LG, SK, CJ, Lotte, Hanwha, Hanjin, GS. Ekonomi bergantung kepada chaebol, tapi chaebol tak mampu menyediakan pekerjaan yang cukup, jadi persaingan untuk pekerjaan memang dahsyat. Kalau tak dapat masuk SKY (SNU, Korea U, Yonsei U, tiga universiti paling top di Korea Selatan) memang kena bunuh diri, kalau hidup pun segan je jadi macam keluarga Kim dalam filem ni.

Malaysia okay lagi sebab kau masih boleh jadi kaya dengan menjadi penceramah motivasi atau jual produk cepat slim. Tapi ekonomi yang didominasi oleh sektor swasta (kapitalisme tulen) pasti akan membawa kepada keadaan late stage capitalism seperti di Korea Selatan akibat “contradiction” dalam sistem kapitalisme itu sendiri (ok aku kena stop cerita pasal kapitalisme, makin banyak jargon timbul pulak).

Tapi bukan bermaksud kapitalis itu “villain” atau golongan bawahan ialah “hero”. Kita semua hanya memainkan watak yang diberikan kepada kita.

Filem ni aku bagi 4.9/5.0. Semua perfect cuma ending dia macam melodrama Korea tak cukup thrill. Apa pun filem ni memang seni agung yang wajib tonton. Jangan marah aku bagi spoiler pulak, filem dah keluar hampir setahun kot.

Ruangan komen telah ditutup.