Parasite (2019): Siapakah Parasite Yang Sebenarnya?

4,756

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Terlalu ramai orang bercakap tentang filem ini. Dari pengkritik dan peminat filem sehinggalah ke orang awam. Pengarahnya dijemput beberapa hos popular Amerika Syarikat untuk bercakap lebih mendalam tentang filem yang menerima tepukan gemuruh di Festival Filem Cannes.

Itu belum lagi di media sosial. Di ruang ini filem ini diceritakan dan disebar dengan meluas, sehingga menjadi tular dikalangan warga maya. Di Malaysia pun, apa kurangnya. Filem Parasite diminati penonton di Malaysia tidak kiralah mereka peminat k-pop ataupun sekadar peminat filem konvensional.

Tapi di sebalik kejayaan itu, apa mesej yang cuba disampaikan filem ini? Ada apa di sebalik nama Parasite itu? Kenapa tak ada seekor pun parasit dalam filem ini? Dan siapakah parasit sebenar yang dimaksudkan Bong Joon-Ho?

Keluarga Kim

Parasite secara asasnya menceritakan tentang kisah dua keluarga. Dengan taraf dan kedudukan yang bagaikan langit dan bumi. Bagaikan cerminan yang bertentangan di antara satu sama lain.

Satu adalah keluarga Kim yang tinggal di kawasan setinggan. Rumah mereka terletak di bawah tanah. Dengan keadaan yang sempit dan bersepah, ternyatalah keluarga Kim bukanlah keluarga yang hidup senang-lenang.

Ianya terdiri dari si ayah (Ki-Taek), si ibu (Chung-Sook), seorang anak lelaki (Ki-Woo) dan seorang anak perempuan (Ki-Jeong).  Mereka sekeluarga masing-masing tidak bekerja, terpaksa melakukan kerja-kerja rencam bagi menyara hidup mereka sekeluarga.

Ada satu adengan menunjukkan yang ahli keluarga mereka terpaksa berhempas pulas mengelilingi rumah, sehingga sanggup duduk di tandas, semata-mata kerana hendak mencuri wi-fi jiran. Itulah nasib kehidupan keluarga Kim yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang.

Keluarga Park

Keluarga Park pula adalah keluarga yang kaya raya, Rumah mereka rumah banglo yang direka arkitek terkemuka. Nak ke sana seperti perlu menaiki jalan di lereng bukit.

Keluarga mereka terdiri daripada si ayah (Dong-ik), si ibu (Yeon-gyo), anak lelaki (Da-Song) dan seorang anak perempuan (Da-hye). Si Ayah merupakan pengarah kepada sebuah syarikat terkemuka, membolehkan beliau sekeluarga menjalani hidup dalam keadaan yang mewah.

Ketika di awal cerita mereka mempunyai seorang penjaga rumah, seorang pemandu kereta, dan seorang tutor yang diupah untuk mengajar anak perempuannya bahasa Inggeris.

Begitulah berbezanya kehidupan dua keluarga ini. Satu keluarga hidup di bawah tanah, satu keluarga hidup di atas bukit. Dan takdir (ataupun plot cerita) akan mempertembungkan kedua keluarga ini.

Pertembungan Dua Keluarga

Konfliknya bermula bila Min-Hyuk, kawan baik kepada Ki-Woo datang melawat keluarga Kim di rumah mereka. Min-Hyuk menghadiahkan batu berhias yang cantik kepada keluarga Kim, sebagai tanda tuah.

Selepas itu, Min-Hyuk keluar minum bersama Ki-Woo, sambil menawarkan kerja kepada anak lelaki keluarga Kim itu. Kata Min-Hyuk, dia hendak ke luar negara untuk menyambung pelajaran.

Jadi tugasnya sebagai tutor kepada anak perempuan keluarga Park terpaksa ditinggalkan. Oleh kerana itu, Min-Hyuk meminta Ki-Woo untuk mengambil alih tugasnya sebagai tutor kepada Da-Hye.

Pada mulanya Ki-Woo enggan, kerana tidak mempunyai sebarang sijil pelajaran yang sah,. Tapi dengan bantuan adiknya, dia berjaya menghasilkan satu sijil palsu untuk dibawa ketika temuduga kerja dengan keluarga Park.

Keluarga Park yang kelihatan seperti lurus bendul menerima sahaja Ki-Woo tanpa banyak soal. Dari situlah bermulanya kehidupan Ki-Woo dalam rumah keluarga Park.

Sedikit demi sedikit Ki-Woo mula mengatur langkahnya. Untuk membawa keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan, dan bekerja untuk keluarga Park. Ki-Woo bermula dengan mengambil hati Da-Hye, sehinggakan anak perempuan keluarga Park itu jatuh cinta dengannya.

Selepas itu, Ki-Woo mengorek tentang Da-Song yang kelihatan seperti mempunyai bakat melukis. Jadi Ki-Woo menyamarkan adik perempuannya Ki-Jeong sebagai seorang ahli terapi professional dalam bidang seni.

Selepas itu Ki-Jeong pula melakukan muslihatnya untuk memastikan yang pemandu kereta keluarga Park dipecat. Dengan itu, Ki-Woo membawa masuk ayahnya pula (Ki-Taek) sebagai pemandu untuk keluarga Park.

Selepas itu, mereka sekeluarga pula merencana untuk membuang penjaga rumah itu. Berkat kesabaran dan kepintaran mereka, penjaga rumah itu akhirnya dibuang kerja, dan ibu mereka pula (Chung-Sook) menyamar sebagai penjaga rumah untuk bekerja dengan keluarga Park.

Maka dengan itu bermulalah kehidupan dua keluarga ini dalam satu rumah. Keluarga Park yang memang pemilik asal rumah banglo ini, dan juga keluarga Kim yang masing-masing menyamar sebagai pekerja professional untuk membolehkan mereka tinggal dalam rumah serba mewah ini.

Jadi Siapa Parasite yang dimaksudkan?

Kalau tengok sekali imbas, kita boleh agak siapa sebenarnya parasit yang cuba ditonjolkan oleh pengarah filem ini. Nampak macam keluarga Kim-lah parasit. Yang duduk menumpang hasil kemewahan keluarga Park.

Tapi sebenarnya, kalau kita menganalisa cerita ini dengan lebih teliti, kita akan dapati yang keluarga Kim bukanlah parasit yang dimaksudkan. Parasit, jika kita ambil maksudnya adalah satu organisma yang menumpang perumah, dan menyedut segala khasiat yang ada pada perumah tersebut, menjadikan dirinya sihat dan terus hidup, tapi mendatangkan b4hay4 pada perumahnya.

Kata kuncinya di sini adalah mencuri kesenangan dari perumah, dan mendatangkan bah4y4 pada perumah. Melihat kepada nasib keluarga Kim di akhir cerita, bolehkah kita panggil mereka sebagai parasit? Adakah keluarga Kim menjadi kaya raya di akhir cerita, membolot segala kekayaan keluarga Park?

Tidak bukan? Di akhir cerita si ayah (Ki-Taek) terpaksa bersembunyi di rumah tersebut menunggu dirinya untuk diselamatkan anaknya Ki-Woo. Dan mereka sekeluarga masih lagi hidup dalam serba kemiskinan.

Jadi siapa parasit sebenar? Sudah tentulah keluarga Park. Yang hidup mewah di atas kesusahan keluarga Kim. Si ibu tidak tahu berbahasa Inggeris dengan baik, maka dia terpaksa mengupah seorang tutor untuk mengajar anaknya. Anaknya Da-Hye terus menerus menjadi pandai dan belajar ke universiti, tapi si tutor? Hanya mendapat upah yang tak seberapa, tapi masih lagi terpaksa berusaha keras untuk ke universiti.

Si ibu keluarga Park tidak tahu memasak dan mengemas rumah, maka terpaksa mengupah seorang penjaga rumah, untuk memasak dan mengemas rumah bagi keluarganya. Si ayah malas hendak memandu kereta, maka terpaksa mengupah seorang pemandu untuk memandu bagi keluarga mereka.

Tapi yang diupah mereka itu masih lagi hidup miskin dan melarat, sedangkan mereka terus menerus hidup senang dan dalam kemewahan. Itulah dia parasit sebenar yang cuba ditonjolkan melalui filem arahan Bong-Joon Ho ini.

Apa Mesejnya?

Ingat lagi dulu, ketika kecil, kita sering terdengar nasihat, “Belajar rajin-rajin, nanti besar boleh hidup senang.” Ia merupakan sesuatu yang logik bila difikirkan. Di mana orang miskin yang rajin berusaha pasti akan berjaya akhirnya.

Tapi bagaimana pula dengan mereka yang kaya? Ada kajian yang pernah diterbitkan beberapa tahun lepas yang menunjukkan lebih daripada 82% kekayaan di seluruh dunia, pergi kepada hanya 1 peratus sahaja dari seluruh populasi dunia. Bunyi macam parasit kan?

Di sini menunjukkan satu hakikat bahawa terdapat satu jurang yang besar di antara yang kaya dan yang misikin .Dan jurang itu semakin membesar, tahun demi tahun. Di mana yang kaya terus menerus mengambil kesempatan dari yang miskin.

Di Korea Selatan sendiri, kita mendapat tahu bahawa 10% populasi Korea Selatan mengawal sehingga 66% kekayaan di negara itu. Dan Korea Selatan merupakan antara negara yang mempunyai jurang kekayaan yang terendah di Asia.

Yang kaya akan terus menjadi kaya, dan yang miskin mungkin akan terus kekal sebegitu, ataupun lebih teruk lagi menjadi semakin miskin.

Hakikat ini ditunjukkan dengan baik sekali, dalam filem Parasite. Keluarga Kim yang miskin itu bukanlah keluarga yang bodoh. Mereka semua bijak, dan pandai dengan muslihat. Sedangkan keluarga Park merupakan keluarga yang lurus bendul, sehingga muslihat keluarga Kim lansung tidak disedari mereka.

Tapi keluarga Park hidup serba mewah, sedangkan keluarga Kim hidup melarat dalam kemiskinan. Di akhir cerita kita ditayangkan satu adengan di mana Ki-Woo bertekad untuk membeli rumah itu dan membebaskan ayahnya yang tinggal di bawah tanah. Tapi semua penonton tahu, yang semua itu hanya satu angan-angan Ki-Woo yang mungkin sekali tidak akan tercapai.

Satu realiti yang patut kita terima untuk membolehkan kita merubahnya.

RUJUKAN:

Bradley, L. (2019, Disember 10). Parasite Director Bong Joon-ho Might Be the Best Late-Night Guest Eve. Retrieved from Vanity Fair: https://www.vanityfair.com/hollywood/2019/12/parasite-bong-joon-ho-tonight-show-jimmy-fallon-interview

Frater, P. (2019, May 21). Bong Joon-ho’s ‘Parasite’ Earns Five-Minute Cannes Ovation. Retrieved from Variety: https://variety.com/2019/film/asia/bong-joon-ho-parasite-five-minute-cannes-standing-ovation-1203223102/

MacDonald, J. (2020, Jan 13). ‘Parasite’ Makes Korean Film History With Six Oscar Nominations. Retrieved from Forbes: https://www.forbes.com/sites/joanmacdonald/2020/01/13/parasite-makes-korean-film-history-with-six-oscar-nominations/#260ffb5941ee

Suliman, A. (2018, January 22). 82 Percent of the Wealth Generated Last Year ‘Went to the Richest 1 Percent of the Global Population’. Retrieved from Time: https://time.com/5111971/billionaires-global-inequality-income-oxfam-wealth/

Terry, S. M. (2020, Jan 18). ‘Parasite’ brutally portrays inequality in South Korea. It also signals progress. Retrieved from Washington Post: https://www.washingtonpost.com/opinions/2020/01/17/parasite-brutally-portrays-inequality-south-korea-it-also-signals-progress/

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.