Dakwaan atau claim mengenai perkara ini sepertinya sudah membarah dalam sebilangan kecil masyarakat India di Malaysia ditambah lagi dengan pelbagai forum yang diadakan termasuk juga teater mengenai Parameswara ini. Uthaya Sankar dalam tulisannya yang memetik Sejarah Melayu turut mengatakan bahawa keturunan Raja Melayu ialah daripada Raja Suran yang berasal dari India  maka secara tidak langsung Raja-raja Melayu ialah raja yang berasal dari India.

Teater yang pernah diadakan suatu masa dahulu dalam percubaan mendakwa keturunan Parameswara

Hakikatnya walaupun Parameswara memakai nama Sanskrit yang bermaksud Tuhan Yang Esa namun baginda tetap seorang Raja yang berketurunan Melayu. Setakat ini tiada bukti bahawa baginda merupakan orang India yang dijadikan raja oleh orang Melayu. Keturunan baginda sangat jelas iaitu daripada Sang Sapurba, pemerintah Palembang.

Dalam tradisi klasik Melayu, Parameswara dikatakan daripada keturunan Iskandar Zulkarnain dari Macedonia dengan Puteri Syahrul Bariah dari India. Dalam Sejarah Melayu ada mengatakan, selepas Iskandar Zulkarnain atau Alexender The Great berjaya menakluk India, baginda telah berkahwin dengan anak Raja Kida Hindi yang bernama Puteri Syahrul Bariah itu. Daripada perkahwinan ini, mereka mendapat anak yang diberi nama sebagai Raja Suran. Dan Raja Suran inilah yang menjadi nenek moyang kepada raja-raja Melayu.

Cerita ini sebenarnya pada saya hanyalah rekaan semata-mata dan juga sebagai satu cara untuk meninggikan martabat seseorang raja itu sendiri sebagaimana fungsi Sejarah Melayu itu sendiri yang bertindak untuk mengangkat martabat raja-raja Melayu daripada keturunan Melaka. Jika orang India mahu mengatakan cerita ini merupakan cerita benar maka mereka perlu mengakui bahawa Raja-raja Melayu ini merupakan keturunan daripada Iskandar Zulkarnain bahkan keturunan sebelah Iskandar Zulkarnain itu terlebih kuat kerana baginda merupakan pihak lelaki. Untuk mengatakan Parameswara itu India atau Melayu, seharusnya kita melihat siapa itu Parameswara sebenarnya?.

Parameswara asalnya pemerintah Singapura yang terakhir sebelum diusir oleh Majapahit atau Siam sehingga baginda terpaksa melarikan diri ke kawasan utara dan mengasaskan Kerajaan Melayu Melaka. Ada beberapa sumber yang boleh menerangkan mengenai Parameswara di Temasik ( Singapura ) antaranya Sejarah Melayu dan juga Suma Oriental tulisan Tom Pires dari Portugal. Selain sumber di atas, ada juga penulisan oleh Nuraidil Zakaria dalam bukunya Tanah Kala Sejarah Negeri Kelantan yang memberi memberikan naratif yang sedikit berbeza mengenai Siam dan Parameswara di Temasik.

Menurut Sejarah Melayu, Paramesawara merupakan Raja Temasik yang keempat. Kerajaan Temasik atau Singapura telah diasaskan oleh Sang Nila Utama sekitar tahun 1324M, namun ada pendapat lain menyatakan Sang Nila Utama mungkin mengasaskan Kerajaan Temasik seawal tahun 1299M. Sang Nila Utama telah memerintah Singapura dari tahun 1324M-1372M.

Selepas baginda mangkat, Kerajaan Singapura telah diambil alih oleh putera baginda yang bernama Paduka Sri Pekerma Wira Diraja ( Raja Kechil Besar ) dari tahun 1372M-1386M. Selepas itu, Paduka Seri Rana Wira Kerma telah menjadi raja dan memerintah dari tahun 1386-1399M. Raja terakhir Temasik ialah Paduka Sri Maharaja Parameswara yang memerintah dari tahun 1399M-1401M sebelum terpaksa melarikan diri selepas serangan Majapahit keatas Singapura.

Sang Rajuna Tapa merupakan Bendahara Singapura sewaktu pemerintahan baginda, Sang Rajuna Tapa dikatakan mempunyai seorang anak perempuan yang cantik hasil perkahwinan beliau dengan seorang dayang dari Palembang. Disebabkan kejelitaannya itu, Paramewara telah mengambil anak Bendahara Sang Rajuna Tapa sebagai isterinya yang menyebabkan gundik-gundik baginda yang lain merasa cemburu kerana kasih sayang Parameswara hanya ditumpahkan kepada anak Sang Rajuna Tapa seorang sahaja.

Gundik-gundik Parameswara yang cemburu itu telah telah memfitnah anak Sang Rajuna Tapa berselingkuh dengan seorang lelaki. Parameswara yang termakan fitnah gundiknya itu telah mengarahkan isterinya disula di kawasan pasar Temasik yang sekarang ini mungkin berada di sekitar Kampung Gelam. Disebabkan peristiwa yang memalukan itu, Sang Rajuna Tapa berdendam dengan Parameswara.. “Jika anak hamba melakukan kesalahan sekalipun maka hukum lah mati tapi jangan malukan dia”, kata Sang Rajuna Tapa.

Tidak lama kemudian, Sang Rajuna Tapa telah menghantar surat kepada Betara Majapahit (Raja Wikramawardhana?) supaya menyerang Singapura dan beliau akan membantunya daripada dalam kota. Oleh itu, Betara Majapahit telah mempersiapkan angkatan perang sebanyak 300 jong, banting, jongkong, kelulos dan juga sekitar 2 keti ( 200,000 ) orang tentera Jawa yang diketuai oleh Demang Mangku Negara.

Perang yang dahsyat  telah berlaku antara angkatan Singapura dan Jawa. Selepas tidak mampu bertahan di peperangan terbuka, akhirnya tentera Singapura telah masuk ke dalam kota untuk bertahan. Tentera Majapahit terus mengepung Kota Singapura selama sebulan sehingga menyebabkan penduduk Singapura mengalami kebuluran. Semasa kebuluran inilah, Sang Rajuna Tapa telah mengambil kesempatan membuka pintu kota dan tentera Majapahit dengan mudah berjaya masuk dan menawan Singapura. Parameswara yang sudah tahu kekalahan akan tiba telah melarikan diri ke utara dan mengasaskan Kerajaan Melaka.

Menurut versi Suma Oriental pula, Parameswara merupakan anak kepada Raja Sam Agi dari Kerajaan Palembang. Semasa Majapahit semakin lemah, Parameswara telah mengambil kesempatan untuk membebaskan Palembang daripada kekuasaan Majapahit. Baginda telah mengisytiharkan dirinya sebagai Mjuera yang bermaksud “orang yang berani” untuk mencabar Majapahit. Betara Tamavil  ( Wikramardhana ) dari Majapahit telah mengarahkan tenteranya untuk menyerang Palembang.

Ternyata, kekuatan Majapahit masih berbisa dan tidak mampu ditandingi oleh Palembang sehingga menyebabkan, Parameswara melarikan diri ke Temasik. Di Temasik, baginda telah membunuh Temagi iaitu wakil Siam dan kemudian menjadi pemerintah Singapura yang baharu. Siam yang mengetahui peristiwa pembunuhan Temagi tersebut telah mengarahkan tenteranya untuk menyerang kedudukan Parameswara di Temasik sehingga menyebabkan Parameswara terus melarikan diri ke utara dan mengasaskan Kerajaan Melaka.

Walaupun mempunyai naratif yang berbeza, namun Sejarah Melayu dan Suma Oreintal sebenarnya mempunyai persamaan secara tidak langsung dimana mereka bersetuju bahawa Parameswara merupakan keturunan daripada Palembang[1]. Selain itu, kedua-dua sumber ini juga bersetuju bahawa Majapahit[2] telah menjadi punca yang menyebabkan Parameswara melarikan diri walaupun ada penambahan mengenai Siam yang dimasukkan.

Menurut Nuraidil Zakaria dalam bukunya Tanah Kala Sejarah Negeri Kelantan  pula, Parameswara merupakan Raja Temasik yang sedia ada memerintah Singapura pada waktu itu. Apabila mengetahui Kerajaan Chermin telah tewas kepada Kerajaan Ayuthia Siam, maka Parameswara telah bertindak melarikan diri dari Temasik kerana bimbang dengan  keselamatan dirinya.

Selepas berjaya meluaskan kuasa sehingga Temasik buat pertama kali, Raja Ayuthia telah melantik menantunya iaitu Singesinga atau Temagi sebagai wakil baginda di kawasan selatan Semenanjung Tanah Melayu. Tidak lama kemudian, Parameswara bersama dengan 3000 orang pengikutnya telah tiba kembali di Temasik kali ini sebagai orang yang menyerah diri. Temagi yang tidak mengesyaki apa-apa telah melayan Parameswara dengan baik di istana.

Di Temasik, Parameswara telah menghasut Temagi untuk melancarkan pemberontakan ke atas Siam. Baginda berjanji akan membantu Temagi untuk melancarkan pemberontakan tersebut dan jika pemberontakan itu berjaya, Temagi akan dilantik menjadi Raja Kelantan manakala Parameswara akan menjadi Raja Temasik kembali. Namun belum sempat sebarang gerakan dilakukan oleh Temagi, Parameswara telah merasa curiga dengan Temagi dan membunuh wakil Siam tersebut.

Baginda telah mengangkat dirinya sebagai Raja Temasik buat kali kedua. Abang kepada Temagi iaitu Sultan Ismail dari Patani merasa marah dengan tindakan Parameswara tersebut dan telah meminta bantuan Siam untuk menyerang Temasik. Parameswara yang memiliki tentera yang sedikit merasakan angkatan Siam dan Patani bukanlah lawan yang mudah dan baginda akhirnya  telah melarikan diri ke utara dan mengasaskan Kerajaan Melaka.

Dalam hal ini, saya lebih suka memilih sumber yang mengatakan Parameswara merupakan Raja Temasik berbanding dengan sumber yang mengatakan baginda  anak Raja Palembang kerana Frank Swetenhem ada mencatatkan mengenai Bukit Larangan yang menempatkan Istana Raja Singapura:

“Pada Januari 1819, terdapat lebih kurang 150 penduduk di Pulau Singapura; sebilangan kecil merupakan orang asli dan selebihnya merupakan orang-orang yang menemani Dato’ Temenggung ketika beliau menetap di sana 8 tahun lalu. Orang Melayu tinggal di dalam bot dan pondok buruk di tebing kiri sungai Singapura, dan mereka sepatutnya menyara hidup melalui aktiviti melanun; tempat tersebut agak terbiar dan dipenuhi hutan belantara, walaupun Raffles dengan penuh semangat keghairahan menulis  mengatakan bahawa beliau telah berjaya mengesan kubu sebuah kota purba yang musnah 600 tahun dahulu.

Tapak yang dikatakan sebagai kota tersebut terletak di atas bukit kecil (kini dikenali sebagai Fort Canning) di sebelah tebing kiri Sungai Singapura, lebih kurang suku batu dari pesisir pantai. Ianya dipenuhi semak dan dipanggil “Bukit Larangan” dan dipandang oleh orang Melayu dengan rasa takut disebabkan tempat itu pernah diduduki oleh Istana Raja Singapura yang dikatakan berpenunggu. Apabila hutan belantara itu dibersihkan, terdapat beberapa pokok buah di atas bukit, batu asas bangunan yang lama musnah, dan beberapa batu nisan yang sangat purba.”

Dalam Hikayat Munshi Abdullah juga ada mencatatkan mengenai perbualan antara William Farquhar iaitu Residen Singapura Pertama dan Temenggung Abdul Rahman dari Kerajaan Johor-Riau :

 “Tengku, apa nama bukit ini disebut orang?” Lalu jawabnya, “Adapun bukit ini dari zaman dahulu zamannya bernama Bukit Larangan.” Maka kata Tuan Farquhar, “Apa sebabnya bernama Bukit Larangan?” Maka jawab Tengku Temenggung, “Adalah dalam ceteranya tatkala zaman sultan-sultan yang dahulu kala itu, di atas bukit inilah ia membina istananya. Maka sebab itulah dinamakan bukit itu Bukit Larangan. Maka ada pula di sebalik bukit itu suatu pancuran. Maka tempat itu bernama Pancuran Larangan. Kerana ia itu tempat segala gundik dan isteri sultan itu mandi. Seorang pun tiada boleh ke situ adanya.”

Melaka terletak ditempat paling strategik di Selat Melaka iaitu pertengahan jalan perdagangan antara Timur dan Barat. Disebabkan kedudukannya di kawasan pertengahan Selat Melaka dan juga di kawasan Semenanjung Tanah Melayu,  maka Melaka mendapat faedah yang cukup besar kerana pedagang dari China mahupun India yang ingin pulang ke negara masing-masing atau yang ingin berdagang ke negara lain akan singgah di sini terlebih dahulu kerana jarak yang lebih dekat berbanding ke Pulau Sumatera.  

Pedagang yang ulang alik berdagang dari China ( timur ) dan India ( barat ) akan singgah di Melaka untuk berdagang dan mengisi  bekalan secukupnya untuk meneruskan perjalanan seterusnya. Dengan adanya Banjaran Titiwangsa, pelabuhan Melaka akan terlindung daripada tiupan angin monsun Timur Laut pada bulan November hingga Mac dan dengan adanya Pulau Sumatera, pelabuhan Melaka akan terlindung daripada Monsun Barat Daya yang bertiup dari bulan Mei hingga September. Perairan Selat Melaka yang sempit juga  memudahkan Kerajaan Melaka untuk mengawal laluan kapal dagang dan keselamatan para pedagang.

Pada suatu hari, semasa Parameswara sedang berehat di bawah sepohon pokok, baginda telah melihat satu kejadian yang aneh dimana seekor pelanduk putih telah menendang anjing pemburuan baginda sehingga jatuh ke dalam sungai. Parameswara telah memilih tempat ini untuk mendirikan sebuah kerajaan yang diberi nama sebagai “ Melaka” mengambil kira nama pokok yang baginda berteduh tersebut.

Ada 2 pendapat mengenai pengislaman Parameswara. Pertama Paramaeswara dikatakan telah memeluk Islam pada tahun 1409M selepas berkahwin dengan puteri Pasai dan memakai gelaran Raja Iskandar Syah. Pendapat kedua pula menyatakan Parameswara telah memeluk Islam pada tahun 1414M selepas berkahwin dengan Puteri Perlak iaitu Putri Ratna Kamala puteri kepada Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Syah II. Perkahwinan Putri Ratna Kamala dengan Parameswara boleh diperdebatkan lagi kerana Parameswara lahir pada tahun 1344M sedangkan pemerintahan Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Shah II berlaku sekitar tahun 1230M-1267M. Satu jarak masa yang cukup panjang.

Kesimpulannya, Parameswara memang seorang raja yang beragama Islam namun baginda bukannya raja yang berketurunan India. Sedangkan mengenai Raja Suran ataupun keturunan Iskandar Zulkarnain itu adalah tidak lebih sebagai arketaip dalam masyarakat Melayu. Sejarah Melayu menisbahkan keturunan Parameswara kepada Iskandar Zulkarnain kerana pengaruh Islam yang sudah mula masuk ke alam Melayu pada waktu itu. Jadi kenapa Sejarah Melayu tidak menggunakan keturunan India sebagai arketaip orang Melayu pada waktu itu? Jawabnya senang iaitu orang India bukannlah bangsa yang akan memberi ketinggian martabat[3] kepada raja Melayu pada waktu itu dikala orang Melayu sudah memeluk Islam.

Arketaip semacam ini bukanlah suatu  perkara yang asing sebenarnya kerana masyarakat dunia seperti orang eropah itu sendiri sering menyandarkan raja-raja mereka sebagai keturunan daripada para dewa dan dewi yang menguasai alam ini. Begitu juga dengan masyarakat Jepun yang menyandarkan keturunan Maharaja mereka kepada Amaterasu iaitu Dewa Matahari yang menuntut rakyatnya patuh dan taat sepenuh hati kepada sang maharaja.

Orang China pula menyandarkan maharaja mereka kepada keturunan dewa langit sehinggakan jika ada musibah dalam kerajaan, mereka akan mengaitkan restu dewa langit tersebut kepada sang maharaja. Jika kemarau atau banjir berterusan berlaku dan kebuluran semakin merata, mereka akan memberontak terhadap maharaja tersebut kerana beranggapan maharaja tersebut sudah tidak mendapat restu daripada langit.

Dalam masyarakat Melayu sendiri terutamanya sebelum kedatangan Islam, mereka juga akan menyandarkan keturunan raja-raja mereka kepada dewa. Contohnya dalam Babad Tanah Jawa ada menyebutkan bahawa raja-raja Jawa berketurunan daripada Dewa Sang Yang Tunggal. Masyarakat Bugis pula percaya raja mereka iaitu Sawerigading berasal daripada keturunan dewa laut dan dewa laut.

Semasa zaman Hindu-Buddha, orang Melayu memperkenalkan konsep dewaraja untuk menuntut ketaatan dalam kalangan rakyatnya. Dan selepas Islam mula masuk ke Tanah Melayu, arketaip ini diteruskan tetapi dengan mengubah konsepnya kepada lebih islamik iaitu keturunan Iskandar Zulkarnain.

Jadi disini, jelaslah bahawa Parameswara merupakan Orang Melayu dan berketurunan Melayu dan merupakan raja Islam. Baginda bukannya orang India seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Sehingga kini tiada bukti nyata dan jelas bahawa Parameswara merupakan orang India. Namun begitu, kita tidak boleh menafikan peranan orang India muslim dalam kerajaan Melaka itu sendiri dimana keturunan Mani Purindam[4] dari India telah diangkat menjadi Bendahara Melaka antaranya ialah Seri Nara Diraja Tun Ali dan juga Tun Mutakhir.

NOTA KAKI:

[1] Sejarah Melayu menjelaskan bahawa Parameswara merupakan keturunan Seri Nila Utama yang merupakan keturunan Sang Sapurba dari Palembang manakala Suma Oriental menjelaskan Parameswara merupakan putera Raja Palembang yang bernama Sam Agi.

[2] Kisah yang berbeza apabila Sejarah Melayu menyebut serangan Majapahit itu berlaku di Temasik manakala Suma Oriental mengatakan berlaku di Palembang.

[3] Semasa zaman Hindu-Buddha, raja-raja Melayu menggunakan konsep dewaraja untuk menunjukkan ketertinggiannya namun selepas orang Melayu memeluk Islam sudah tentu konsep itu tidak terpakai lagi.  Disebabkan Iskandar Zulkarinain memiliki reputasi yang bagus dalam sejarah Islam maka nama Iskandar Zulkarnain telah digunakan untuk menunjukkan asal-usul raja Melayu.

[4] Mani Purindam ialah seorang putera Pahili daripada Kesultanan Gujerat. Nama sebenar beliau ialah Amir Badaruddin Khan Shindi Syeikh Matraluddin Zulkarnain Baharshid ibni Nizamul Mulk Akbar Shah. telah dikahwinkan oleh Seri Nara Diraja dengan anaknya yang bernama Ratna Sandari. Hasil perkahwinan ini, mereka mendapat 2 orang anak iaitu Tun Ali dan Tun  Ratna Wati. Tun Ratna Wati telah berkahwin dengan Sultan Muhammad Shah dan mendapat seorang putera iaitu Raja Kasim.

Artikel dikirimkan oleh Andullah Sidek untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.